BAB 59

Fantasy Completed 18480

“KAKAK ORKED!” Aku menjerit sebaik sahaja melihat kelibatnya keluar daripada ruang dapur belakang. Apa lagi kami berdua terus berpelukan sesama sendiri.

“Kakak ingatkan Seri sudah berangkat ke Kota Puspaloka. Rupanya, Seri masih di sini. Suami Seri mana?” Laju sahaja kakak Orked mengajukan soalan kepada aku.

“Suami dengan keluarga dia sahaja yang pulang dulu. Seri masih mahu tinggal di sini. Lagipun, Seri sudah minta izin dengan suami.” Jawab aku dengan senyuman.

“Oh, kalau begitu kakak masih ada masa untuk bertemu dengan Serilah. Tidak apalah. Seri dengan Suri duduk dulu. Kakak buatkan air untuk kamu berdua, ya.”

Laju aku dengan Suri menganggukkan kepala. Kakak Orked terus ke belakang menyiapkan air minuman untuk kami berdua.

Sedang aku memerhatikan pelanggan-pelanggan Pak Ajis ini mataku menangkap satu susuk tubuh lelaki. Bola mataku membesar dan mulutku melopong. Aku pandang Suri yang sedang melayan perasaannya sendiri. Reaksinya bersahaja. Padahal, matanya memandang ke hadapan. Dia mengelamunkah? Dia perasankah dengan kehadiran Tengku Ryan Arjuna itu?

Aku tidak keruan. Saat itu anak telinga aku menangkap dua suara perempuan yang sedang berbual di sebelah aku. Aku menaikkan sedikit kain batik menutupi kepala dan wajah aku.

“Kasihan pula aku tengok Tengku Ryan Arjuna itu. Wajahnya kusut. Diri dia macam tidak betul. Pasti dia kecewa dengan Seri Mawar kerana perempuan itu memilih lelaki lain.”

“Yalah. Lihat sahaja wajah lelakinya itu. Wajah kecewa kerana cinta tidak berbalas. Ah, aku tiba-tiba geram dengan si Seri Mawar itu tahu. Aku tahulah dia itu perempuan idaman anak teruna di kampung kita. Tapi, bukan sewenang-wenangnya dia hendak permainkan perasaan mereka terutama Tengku Ryan Arjuna.” Dia mencebik.

Aku terkedu. Aku memasang telinga lagi. Tengku Ryan Arjuna yang semakin hampir dengan aku itu tidak aku pedulikan.

“Kalau akulah jadi Seri Mawar, aku sudah pilih Tengku Ryan Arjuna itu. Buat apa aku hendak pilih sepupu Tengku Ryan Arjuna sedangkan sepupu dia itu sudah bertunang dengan perempuan lain. Mereka putus pun sebab sepupunya jatuh cinta dengan Seri Mawar.”

Luluh hati aku mendengarnya. Mereka senang-senang sahaja mengata aku begitu. Mereka bukan tahu hal sebenar pun. Aku melepaskan keluhan berat.

“Kakak Mawar...” Meleret suara Suri memanggil aku.

“Abang Ryanlah.” Beritahunya dengan suara perlahan. Laju aku mendongak dan wajahku terus berubah. Aku langsung tidak perasan dia duduk di hadapan aku. Aku berpaling ke sebelah. Dua orang perempuan yang duduk di sebelah aku ini terbeliak memandang aku dengan Tengku Ryan Arjuna silih berganti. Laju mereka berdua membayar minuman mereka dan terus berlari meninggalkan kawasan ini. Tahu takut!

“Dinda Naura...”

Aku telan liur. Sudah lama aku tidak mendengar panggilan manja itu.

“Ten... Tengku Ryan apa khabar?” Aku menundukkan kepala bertanya kepadanya.

“Kanda baik saja.”

Kepalaku naik semula. Baik? Dalam keadaan kusut tak bermaya begini dia cakap dia baik?!

“Maafkan, Seri. Seri mahu pulang dulu.” Aku sebenarnya tidak sampai hati. Dengan keadaannya sebegitu lagilah membuatkan hati aku sayu.

“Tunggulah dulu dinda. Kita berdua sudah lama tidak bertemu. Bagilah kanda peluang untuk berbicara dengan adinda.”

“Tengku Ryan, tolonglah berhenti guna panggilan itu. Seri sudah berkahwin.” Aku mengetap bibir. Aku tidak suka memberitahunya tentang status aku yang baru ini.

“Tengku Ryan lupakan saja Seri. Tengku Ryan kembalilah pada diri tengku yang dulu. Bengis. Ego. Kasar orangnya.” Aku mahu menarik tangan Suri tetap tangan aku pula ditarik oleh Tengku Ryan Arjuna. Pada saat itu, kakak Orked muncul di depan kami. Masing-masing berpandangan sesama sendiri.

“Tengku Ryan Arjuna!” Dek kerana suara aku yang tinggi itu dia terus melepaskan tangan aku. Aku menyambar tangan Suri.

“Kakak Orked lain kali sajalah Seri datang lagi. Seri minta diri dulu.” Aku terus menarik Suri meninggalkan gerai makan Pak Ajis. Reaksi orang-orang di situ sudah aku tidak peduli lagi.

MALAM itu aku menangis sepuas-puasnya. Aku sudah pun mengunci pintu bilikku. Ketika ini jugalah aku teringat dengan keluarga aku yang berada di sana. Rindu yang mencengkam jiwa ini tidak dapat aku tahan lagi. Aku menangis tanpa suara.

Berjam-jam jugalah aku menangis. Ketukan bertalu-talu dari mereka tidak aku hiraukan. Nasib baiklah di sini tidak menggunakan telefon pintar. Kalu tidak, bertambah sakitlah hati aku mendengar suara Tengku Rayyan Rehan dengan Tengku Ryan Arjuna.

“Naura, berhentilah menangis.”

“Siapa tu?!” Aku mengangkat wajah dan mencari arah datangnya suara tersebut.

“Aiz! Kau buat apa...”

“Abang Nadim yang bawa aku ke sini. Dia dengan yang lain risau sejak kau kunci diri kau dekat dalam bilik ni.”

“Habis, yang lain sudah tahu pasal kaukah?” Aku mengesat air mata. Aiz Hafizi duduk di tepi tingkap sambil menghadap aku.

“Mereka tidak tahu pun. Aku datang ni pun sebab nak tengok keadaan kau. Aku tahu kau sedih dengan perkahwinan kau ini.”

“Macam mana aku tak sedih, Aiz...” Tangisan aku kembali bergema. Aku menyembam wajah di atas bantal.

“Kau tahu tak bagaimana perasaan aku bila Tengku Ryan Arjuna muncul di depan aku?! Aku sedih. Rasa bersalah dengan dia. Aku cintakan dia tapi aku tak layak untuk dia, kau tahu tak?!” Aku melepaskan marah pada bantal yang aku sembam tadi.

“Naura, berhentilah menangis. Nanti, anak dalam kandungan kau tu sakit pula.”

“Aku peduli apa! Ini bukan anak aku tapi anak Seri Mawar.”

PANG!!

Aku terkedu dengan tindakan kasarnya. Ini kali pertama aku terima tamparan dari seorang lelaki yang bernama Aiz Hafizi. Aku sentuh pipi kananku. Tentu pipi ini sudah merah.

“Naura aku...”

“Aku apa?! Mentang-mentanglah kau ada kelebihan, suka hati kau saja nak mengawal aku.” Aku berlari ke arah pintu namun sempat di tahan olehnya. Aku ditarik dan di paksa duduk di birai katil.

“Naura bertenang! Istighfar! Bawa mengucap, Naura.”

Aku geleng kepala berkali-kali sambil tangan mengesat air mata. Aku menyembam semula wajah ke bantal.

“Naura, kau tak bolehlah macam ni. Kalau kau terus-terusan bersedih, macam mana kita nak balik sana? Kau tak rindukan keluarga kau ke?”

Aku masih melayan perasaan. Bicaranya langsung aku tidak mahu dengar.

“Okey. Aku janji dengan kau. Kalau kau berhenti menangis aku akan beritahu kau serba sedikit tentang hal yang akan berlaku selepas ni. Maksud aku masa depan kau. Tapi, aku tak bagitahu semua. Siapa orang tu aku tak akan beritahu. Hanya situasi sahaja yang aku akan ceritakan kepada kau.”

Terus aku diam. Wajah masih tidak kuangkat. Aku berfikir sejenak dengan tawaran yang diberikan.

“Kau diam tu...”

“Kau tipu!” Aku menangis lagi. Aku tahu dia pasti tipu aku.

“Aku tak tipulah. Aku janji aku akan beritahu kau. Tapi, tak semua.”

“Janji.”

“Ya, aku janji. Tapi, kalau kau terus menangis aku tak rasa aku akan beritahu kau.”

Ish, dia ni main tarik tali pula dengan aku.

Perlahan-lahan aku angkat wajah aku dan air mata aku kesat kasar. Senyuman yang diukirnya buatku langsung tidak aku balas. Hanya mata tajam yang aku hadiahkan kepadanya.

“Ceritalah. Bagitahu aku cepat. Aku tak nangis dah.” Aku bangkit dan berhadapan dengannya. Nampaknya dia tersenyum puas dengan tindakan yang aku berikan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience