BAB 8

Fantasy Completed 18480

SELESAI menunaikan solat subuh aku terus keluar daripada bilik Seri Mawar ini. Aku harus pulang ke tempat asal aku. Aku tidak mahu berlama-lama di sini.

Terjingkit-jingkit aku berjalan menuju ke pintu utama. Aku tidak mahu mereka terjaga di awal pagi sebegini. Aku tidak mahu tertangkap oleh mereka. Jadinya, aku kena berhati-hati sehingga aku berjaya keluar daripada kawasan rumah ini.

Aku melepaskan lega. Akhirnya, aku dapat juga keluar daripada rumah Seri Mawar itu. Tanpa membuang masa aku terus ke tempat kelmarin. Mana tahu, jalan pulang ke dunia aku itu masih ada di sana. Kelmarin aku tidak sempat untuk meninjau lebih lama di kawasan itu disebabkan sepit rambut si Seri Mawar. Sekarang aku kena ke sana semula. Aku pandang kiri dan kanan. Mujurlah, tidak ramai orang yang lalu lalang ketika ini. Aku meneruskan langkah.

“Seri!”

Langkah aku mati sebaik sahaja mendengar suara parau yang aku sendiri tidak tahu siapa pemiliknya. Laju aku berpaling ke belakang.

“Seri hendak pergi ke mana awal pagi sebegini?”

Aku telan liur. Satu lagi masalah yang aku kena hadapi pagi-pagi buta ini. Siapa pula pak cik ini? Apa hubungannya dengan Seri Mawar? Aku tersengih.

“Seri mahu ke mana pagi-pagi buta macam ini?” Tanya pak cik itu sekali lagi.

“Err... Seri... Seri...” Aduh, kalau aku tipu nanti berdosa pula. Eh, bukan aku pernah tipu jugakah sebelum ini? Tapi, itu tipu sunat saja. Hehehe...

“Seri keluar ambil angin sekejap. Pak cik pula hendak ke mana dengan bakul-bakul di tangan itu?” Aku terus menyoalnya. Aku mengerling ke arah bakul-bakul yang dijinjing olehnya yang ditutup dengan kain batik itu.

“Seperti biasalah, Seri. Pak cik ke pasar tadi hendak membeli bahan-bahan basah. Sekarang ini Pak cik hendak pergi ke kedai Pak Musli. Pak cik mahu beli garam dengan gula pula.”

Aku terangguk-angguk mendengar penjelasannya.

“Tapi, itu semua untuk apa pak cik?” Soalku bersahaja. Langsung tidak terlintas di fikiran aku untuk berhati-hati menyoalnya.

Pak cik itu mengerutkan dahi.

“Hesy, Seri ini. Pagi-pagi begini hendak bercanda dengan pak cik, ya. Barang-barang ini semuakan untuk kedai makan pak cik.” Beritahu pak cik itu seiring dengan tawa kecilnya.

Aku garu kepala. Nasib baiklah soalan aku itu dianggap olehnya sebagai satu gurauan.

“Kalau begitu Seri mahu minta diri dululah pak cik. Assalamualaikm.” Aku mengorak langkah meninggalkan pak cik itu. Siapa pak cik itu aku tidak mahu ambil peduli. Apa yang penting sekarang misi aku untuk pulang ke tempat asal. Aku mahu cepat-cepat pergi daripada sini.

“Eh, Seri hendak ke mana tu? Mari, sini tolong pak cik. Pak cik tidak larat mahu mengangkat bakul-bakul ini semua.” Permintaannya mematikan langkahku. Aku buat muka tidak puas hati sebelum berpaling semula menghadap orang tua itu. Aku mengukir senyuman palsu.

Baru sahaja aku mahu membuka mulut pak cik ini terlebih dulu memberikan bakul itu kepada aku. Tercengang aku dibuatnya.

“Nah, ambil bakul ini dan tolong pak cik di kedai makan pak cik itu, ya.”

Dalam diam aku mengeluh. Apalah nasib aku ini. Mahu atau tidak, aku terpaksalah membantu pak cik ini. Nanti di kata aku ini tidak prihatin pula dengan orang tua ini. Haih... Tidak dapatlah aku ke hutan itu hari ini.

KEDAI MAKAN PAK AJIS. Aku tidak sangka ramai pelanggan yang datang ke kedai makan ini. Nasib baiklah pak cik ini letak nama dia pada papan tanda kedai makan itu. Kalau tidak habislah aku. Hal sebegini pun sudah tentu menjadi masalah bagi mereka kerana Seri Mawar dikenali orang kampung. Yalah, fikiran aku mengatakan yang si Seri Mawar ini mesti kenal semua orang di sini dan setiap daripada mereka pasti ada gelarannya tersendiri.

“Seri,”

“Ya!” Laju aku mencari suara yang memanggil aku itu. Ketika itu aku lagi sedang mengelap meja makan yang baru sahaja ditinggalkan oleh dua orang pelanggan tadi.

“Hari ini Seri tidak berpantun dengan kamikah?”

Dahiku berkerut memandang empat orang lelaki muda yang duduk selang dua meja di depan aku. Siap dengan senyuman manis yang dihadiahkan kepada aku lagi.

“Apalah kamu berempat ini. Tidak habis-habis hendak mengusik Seri.” Pak Ajis datang menyelamatkan aku. Dia kemudiannya menyuruh aku ke belakang. Hal lelaki-lelaki muda itu biar dia sahaja yang menguruskannya.

Aku masuk ke bahagian dapur dan sempat mengintai Pak Ajis dengan lelaki-lelaki itu di sebalik dinding kayu. Muka lelaki-lelaki itu tegang apabila Pak Ajis memarahi mereka. Hmmm...

“Apa yang Seri sedang perhatikan itu?”

Aku tersentak. Pantas aku berpaling ke belakang. Kakak Orked rupanya. Dia adalah salah satu pekerja di kedai makan Pak Ajis ini.

“Seri perhatikan mereka itu. Seri berasa serba salah pula bila Pak Ajis marah mereka berempat.” Aku saja berkata begitu. Aku sebenarnya tidak suka pun dengan lelaki berempat itu. Apa yang aku harap adalah informasi daripada kakak Orked ini.

“Pedulikan saja mereka itu Seri. Sudahlah, mari kita cuci pinggan mangkuk ini.” Kakak Orked sudah mengangkat besen yang penuh dengan pinggan-pinggan dan mangkuk-mangkuk yang kotor itu ke luar dapur.

Aku mengeluh. Aku ingatkan dia bolehlah bagi aku informasi tentang lelaki-lelaki itu. Tapi, sangkaan aku salah. Aku takut kalau lelaki-lelaki itu datang mengacau aku di tempat lain. Kalau aku tahu serba sedikit tentang mereka bolehlah aku lindungi diri aku sendiri.

Langkah lemah aku atur mengambil besen yang berisi gelas-gelas dan sudu-sudu kotor itu lalu aku bawa ke luar dapur. Di sana ada satu perigi dan disitulah tempat mereka selalu mencuci pinggan mangkuk ini semua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience