BAB 23

Fantasy Completed 18480

FIKIRAN aku jauh memikirkan kata-kata Aiz Hafizi. Dia di sini sebagai Radin yang aku sendiri tidak kenal siapa lelaki itu.
Aku dengan Aiz Hafizi kenal sewaktu kami belajar di universiti lagi. Kami sebaya. Selepas konvokesyen aku dengan dia sudah terputus hubungan. Tidak sangka pula kami akan bertemu di tempat asing ini.

Pintu aku dikuak dari luar. Lantas aku bangun apabila abang Nadim muncul. Dia tersenyum nipis lalu duduk di birai katil.

“Mengapa abang Nadim tidak tidur lagi?” Wajahnya agak sayu. Kenapa, ya?

“Mawar, abang minta maaf,”

“Err... Mengapa pula abang Nadim mahu minta maaf dengan Mawar?” Aku bingung.

“Sebab abang marahkan Mawar tadi. Abang cubit dan tampar Mawar.”

“Oh... Mawar tidak ambil hati pun.” Aku tunduk dengan senyuman tawar yang menghiasi wajahku.

Tadi, aku pulang lewat. Hampir maghrib baru aku tiba di rumah ini. Pada masa itu, abang Nadim sudah menunggu aku di luar rumah dengan wajah tegangnya. Begitu juga dengan umi Intan dan juga walid Adi. Suri pula langsung tidak kelihatan ketika itu.

Sebaik sahaja aku berdiri di depan abang Nadim, dia terus menampar aku. Lengan aku pula menjadi mangsa cubitannya. Aku terpana saat itu. Ini kali pertama seorang lelaki menampar dan mencubit aku dengan sakit sebegitu.

Abang Nadim melepaskan marahnya kerana aku telah membuatkannya dengan yang lain risau. Seharian aku menghilangkan diri. Orang kampung juga tidak menemui aku ketika mencari aku petang tadi.

“Mawar, lain kali kalau Mawar hendak ke mana-mana beritahulah abang dengan yang lain dulu. Sebelum ini Mawar tidak pernah buat begini. Mengapa sekarang ini Mawar sudah pandai keluar rumah tanpa pengetahuan kami semua, huh?”

“Mawar...” Kalau boleh aku hendak berterus terang sahaja. Tapi, percayakah dia?

“Abang tahu Mawar susah hati dengan apa yang berlaku sebelum ini. Abang sudah mengetahuinya. Abang hendak marah tetapi benda itu sudah terjadi. Mereka berdua sudah berterus terang dengan abang, Mawar.”

Aku melopong. Wajahku berkerut. Apa sebenarnya yang abang Nadim ini cuba untuk sampaikan kepada aku? Mengapa pula aku susah hati dan siapa mereka yang sudah berterus terang dengan abang Nadim ini? Eh, kejap. Bukan aku tapi Seri Mawar.

Seri Mawar susah hati, kenapa pula? Aku memandang abang Nadim dengan pandangan dalam.

“Err... Abang Nadim, siapa yang abang Nadim maksudkan ini? Mawar kurang mengertilah.”

Dia tidak membalas sebaliknya tersenyum kepadaku.

“Sudahlah. Mawar tidurlah dulu. Sudah lewat ini.” Dia menolak lembut tubuhku, menyuruh aku berbaring. Abang Nadim menarik selimut hingga ke paras dada aku.

“Tapi...”

“Buat masa sekarang, abang tidak mahu Mawar bersedih. Abang mahu Mawar teruskan hidup seperti biasa. Biarlah masalah ini abang yang selesaikan. Abang akan cari cara untuk beritahu umi dan juga walid.” Dia senyum lagi.

“Abang mahu Mawar fikir dalam-dalam tentang perkahwinan Mawar itu. Pilihlah di antara Tengku Ryan Arjuna atau Tengku Rayyan Rehan untuk jadi suami Mawar. Kalau boleh abang mahu perkahwinan itu dipercepatkan sebaik yang mungkin sebelum orang-orang kampung memandang serong kepada keluarga kita.” Abang Nadim terus berlalu keluar daripada bilik.

Aku tergamam. Mengapa pula orang-orang kampun mahu memandang serong dengan keluarga ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience