BAB 57

Fantasy Completed 18927

SELESAILAH sudah upacara akad nikah dan juga majlis persandingan. Aku tidak percaya yang aku sudah menjadi isteri orang. Aku memandang cincin berlian yang tersarung di jari manis aku ini. Lepas ini, aku akan tinggal serumah dengan Tengku Rayyan Rehan yang sudah bergelar suami aku.

Aku meminta diri untuk masuk ke dalam bilik. Aku mahu merehatkan diri terlebih dahulu. Kemeriahan majlis perkahwinan aku tadi langsung tidak mengusik jiwa aku ini. Depan tetamu aku terpaksa mengukir senyuman paksa. Lagipun, tetamu-tetamu yang datang bukan calang-calang orang. Kebanyakkan mereka adalah berketurunan bangsawan. Mujurlah, tiada lagi orang-orang kampung mengata aku dengan keluarga aku ini.

“Di sini pula adinda kanda ini.”

Bagai terkena renjatan elektrik aku rasakan ketika itu. Terus berdiri tegak menghadapnya. Panggilannya juga sudah berubah.

Tengku Rayyan ketawa melihat tingkah laku aku.

“Tentu dinda penat. Rehatlah. Hari ini kanda tidur di rumah dinda. Esok kita sudah mahu bertolak ke Kota Puspaloka.”

“Esok?”

“Ya. Mengapa dinda?”

Esok...

Aku belum bersedia lagi hendak meninggalkan tempat ini. Lagipun, di luar sana sudah tentu ramai orang-orang Agis sedang mencari aku. Aiz Hafizi pula masih di pulau itu. Apa aku hendak buat ini?

“Err... Abang Rayyan, bolehkah abang Rayyan tangguh dulu perjalanan pulang esok hari? Seri tidak bersedia lagi hendak tinggalkan umi dengan walid.” Aku harap dia menerima alasan yang aku beri ini.

Lama dia mendiamkan diri. Aku masih menunggu keputusannya. Dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan aku ketika ini. Segala-galanya bercampur dan aku lagi bingung sekarang ini.

Tengku Rayyan Rehan memandang aku dengan senyuman kecilnya.

“Baiklah. Kalau macam itu, biar kanda dengan yang lain sahajalah yang pulang ke Kota Puspaloka dulu.”

Lega. Nasib baik dia bersetuju. Cepat-cepat aku membalas senyuman itu.

AWAL PAGI lagi aku sudah terpacak di dapur menyediakan sarapan pagi. Tengku Rayyan Rehan sudah keluar awal tadi. Katanya, hendak ke rumah Tengku Ryan Arjuna.

Kejadian semalam kembali bermain difikiranku. Semalaman aku tidak boleh tidur. Puas aku menolak dan memberi alasan agar tidak tidur sekatil dengannya. Namun, semuanya gagal. Dia tetap mahu aku tidur di sebelahnya. Siap memeluk aku lagi.

Haaih...

Aku rasa serba salah bila teringatkan Tengku Ryan Arjuna. Dia langsung tidak datang ke majlis perkahwinan aku kelmarin. Tengku Bahaman dengan Tengku Ayusha tidak pula mengatakan apa-apa kepada aku tentang keadaan anak mereka itu.

“Termenung saja adik abang ini. Gembiralah sikit.”

Aku tersentak. Senyuman nipis kuukir untuknya.

“Abang Nadim, apa Naura hendak buat sekarang ini? Naura buntu. Naura tidak rasa gembira pun dengan perkahwinan ini.” Di dalam dapur itu hanya kami berdua sahaja. Orang-orang rumah yang lain masih lagi dibuai mimpi.

“Naura... abang minta maaf. Tidak patut semua ini terjadi. Abang rasa bersalah dengan Naura tetapi ini untuk kebaikan Naura, Mawar dengan yang lain juga. Abang tidak mahu kehilangan orang yang abang sayang seperti Ayana Maisara itu.”

Ya, aku faham dengan perasaan abang Nadim ini.

“Abang Nadim,”

“Hmm...”

“Sebenarnya...” Aku tarik nafas panjang sebelum memandang wajahnya.

“Abang Nadim, sebenarnya semalam Tengku Rayyan Rehan hendak bawa Naura pulang hari ini. Tapi, Naura beri alasan kepadanya. Naura belum bersedia untuk hidup bersamanya.” Lemahku rasakan ketika itu. Aku terus duduk di kerusi sebelah aku.

“Abang tidak rasa Naura kena keluar daripada tempat ini. Lagipun, orang-orang Agis berkeliaran di luar sana. Bukankah Aiz beritahu sebelum ini yang tempat ini sudah dilindungi dengan pelindung yang dibuat oleh Maji? Kalau Naura keluar dari kawasan pelindung ini, nanti orang-orang Agis dapat kesan Naura pula.”

Aku mahu menangis mendengar bicara abang Nadim itu.

“Habis, apa yang perlu Naura buat sekarang ini? Naura bukan boleh jamin dengan alasan yang Naura beri pada Tengku Rayyan Rehan itu.” Aku hampir mahu menjerit tetapi ditenangkan oleh abang Nadim. Dia mengusap lembut belakang tubuhku.

“Naura tidak usah risau, ya. Nanti, abang dengan Suri jumpa dengan Aiz berbincang dengan hal ini. Tenang, ya.”

Aku angguk lemah. Terbantut seketika tugasku menyediakan sarapan. Pada masa itu, perbualan kami didengari oleh seseorang yang sedang bersembunyi di sebalik dinding ruang tamu hendak ke dapur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience