BAB 29

Fantasy Completed 18494

AKU berguling-guling di atas tilam. Kenangan semalam tidak mungkin aku lupakan. Tidak sangka pula Tengku Rayyan Rehan mengajak aku ke luar kota. Dia membawa aku ke Kota Puspaloka, tempat tinggalnya. Aku kira perjalanan itu mengambil masa dalam dua jam lebih. Walaupun penat tapi berbaloi aku ikut dia ke sana.

Tidak sangka pula Kota Puspaloka itu cantik. Di mana-mana saja kawasan di sana itu dipenuhi dengan bunga-bugaan yang pelbagai jenis dan warna. Bagi aku kota itu penuh dengan haruman bungaan. Langsung tiada bau busuk. Mungkin juga bauan bunga yang harum itu sudah menutupi bauan busuk. Aku ketawa kecil.

“Seri! Seri, bangun.” Laung umi Intan dari luar sambil mengetuk pintu bilik aku.

“Ya, umi!” Laju aku melompat dari katil dan segera membuka pintu. Tersembul wajah umi Intan.

“Umi ingatkan Seri masih lagi tidur. Itu, hah, Tengku Ryan Arjuna sudah menunggu di luar. Dia mahu mengajak Seri keluar.” Mendengar sahaja nama lelaki itu aku terus buat muka.

“Umi, Seri malaslah hendak keluar hari ini,” aku memuncungkan mulut. Sebenarnya aku malas hendak bergaduh dengan lelaki itu. Bila teringat balik dengan kata-katanya pada malam pesta Indera itu membuatkan aku terasa malu. Tanganku spontan menyentuh rantai yang terkalung di leherku ini. Ini adalah hadiah pertama yang aku dapat daripada seorang lelaki.

“Ish, Seri ini. Cubalah bermesra dengan bakal suami Seri itu. Macam mana hendak bahagia rumah tangga itu kalau Seri sendiri tidak mahu berusaha kenal dengan bakal suami Seri sendiri?” Umi Intan geleng kepala lalu meninggalkan aku yang masih terpacak di muka pintu.

Aku masih berdiri statik di sini memikirkan kata-kata umi Intan. Ya, Tengku Ryan Arjuna itu memang bakal suami Seri Mawar. Tapi, di dalam diri gadis ini adalah aku, Naura Athifa. Patutkah, aku buat keputusan sendiri tanpa menunggu empunya badan ini kembali? Keluhan berat aku lepaskan perlahan.


TENGKU RYAN ARJUNA membawa aku memasuki kawasan hutan dengan menunggang kuda putihnya. Aku di paksa olehnya untuk duduk di bahagian depan walaupun aku tidak mahu.

“Tengku Ryan, bolehkah tengku jarakkan sedikit tubuh tengku dari Seri? Seri tidak selesalah.” Aku merungut. Dari tadi lagi aku cuba untuk menjarakkan tubuhku dari terkena dengan tubuhnya itu. Tapi, aku tidak boleh kerana tubuhku sudah dikunci oleh kedua tangannya yang memegang tali kuda ini.

“Bukankah sebelum ini Seri panggil saya dengan panggilan kanda Arjuna?” Dia mengerling ke arah aku dengan senyuman manisnya. Aku mencebik. Aku ingatkan dia sudah lupa tentang nama panggilan itu.

“Seri tidak suka.” Bentakku. Bukan aku rela pun hendak memanggilnya begitu. Dia sendiri yang memaksa aku untuk memanggilnya dengan panggilan tersebut.

Semakin laju pergerakkan kuda ini. Aku yang mula rasa cuak terus memeluk tubuh Tengku Ryan Arjuna. Aku tahu dia mesti tengah ketawakan aku sekarang ini. Aku menjeling atas melihat wajahnya. Seperti yang di jangka olehku. Aku buat muka.

Aku melepaskan pelukan namun dia menarik aku semula ke dalam pelukannya.

“Diam. Peluk saja kanda ini. Kakanda tidak akan apa-apakan Seri.” Pandangannya membuatkan aku terasa lain. Tambahan lagi dengan senyuman manisnya itu. Aku seolah-olah terpukau dengannya.

Aku jadi malu.

“Kenapa senyap?” Dia perasan yang aku tidak bersuara lagi.

Sejujurnya, aku tidak pasti apa yang terjadi dengan aku. Perasaan yang tiba-tiba muncul di benak kalbu ini betul-betul mengacau jiwa aku sekarang. Tanpa aku sedari, aku mengeratkan lagi pelukanku pada tubuhnya.

“Kanda tidak sangka pula dinda Naura ini sayang pada kanda.”

Aku tergamam. Laju aku mendongak memandangnya. Wajahku berkerut. Dia masih tersenyum.

“Buktinya ada pada leher dinda Naura. Kakanda suka melihatnya. Sesuai dengan dinda.” Laju aku menyentuh leherku.

“Dinda Naura, bolehkah dinda berjanji dengan kekanda?”

“Berjanji untuk apa?” Perlahan saja suara aku. Intonasi suaranya, cara dia berbicara dan juga pandangannya membuatkan jantung aku berdegup pantas.

“Berjanji dengan kakanda yang adinda tidak akan melepaskan rantai itu.” Dia memandang aku dan kemudian berpaling ke hadapan semula. Dia memberi isyarat kepada kuda putihnya ini agar memperlahankan kelajuannya.

Aku menyentuh dan mengenggam erat buah rantai itu. Bukan mudah untuk aku menepati janji itu. Lagipun, aku bukannya Seri Mawar. Hanya keluhan berat yang aku lepaskan. Biarlah jawapan itu aku diamkan saja.

“Tengku Ryan,” nadaku mendatar memanggil nama lelaki itu. Ketika itu, dia sudah memberi isyarat kepada kudanya untuk berhenti.

“Ya, dinda. Mengapa dinda ini masih tidak mahu memanggil kakanda dengan panggilan itu?” Dia menggeram dan kemudian melompat turun dari atas kuda ini. Aku pula masih terkaku di atas. Aku memandangnya dengan pandangan redup. Tanganku masih lagi menggengam buah rantai itu.

“Tengku Ryan janganlah memaksa Seri. Seri belum bersedia dan Seri tidak suka dengan panggilan itu.” Aku baru hendak beremosi dia pula buat aku geram.

“Belum bersedia untuk apa?” Dia membelakangi aku.

“Belum... belum bersedia untuk segalanyalah.” Kataku acuh tak acuh. Aduh, aku masih lagi di atas kuda ini. Kuda ini pula bergerak-gerak. Kalau aku jatuh, siapa yang akan susah nanti? Argh!

Sudahlah aku berpakaian kurung. Kalau aku pakai seluar tidak apalah. Senang saja aku hendak melompat turun ke bawah. Dengan pakaian sebegini macam manalah aku hendak turun? Lagipun, aku tidak selesa naik kuda dengan pakaian sebegini.

Tiba-tiba Tengku Ryan Arjuna menghulurkan tangannya kepada aku.

“Cepatlah,”

Aku masih tidak memberi reaksi. Tangan dan wajahnya aku pandang bersilih ganti.

“Dinda Naura mahu turun atau mahu duduk saja di atas kuda ini?”

Aku tersengih. Buat apa aku hendak duduk di atas kuda ini. Kalau kuda ini bawa aku lari, habislah aku. Cepat tanganku menangkap tangan Tengku Ryan Arjuna itu. Perlahan-lahan dia menurunkan aku dari atas kuda ini.

“Seri tidak selesalah naik kuda ini dengan pakaian kurung ini.” Aku merengus. Dia ketawa.

“Tidak apa. Selepas ini, kanda akan biasakan dinda dengan kuda ini. Kanda akan ajarkan dinda bagaimana mahu menunggang kuda kakanda ini.”

“Tidak payahlah Tengku Ryan bersusah payah mengajar Seri menunggang kuda ini. Lagipun, Seri...” Aku menekup mulut. Hampir saja aku terlepas cakap. Ya, aku memang pandai tunggang kuda. Di kampung, aku selalu menunggang kuda. Atuk aku ada kandang kudanya sendiri dan atuk akulah yang mengajar aku cara untuk menunggang kuda.

“Dinda Naura,” panggilnya.

“Ya,” Cepat-cepat aku memandang lelaki itu. Aku bereaksi tenang.

“Kanda ada permintaan.”

Aku mengerutkan dahi. “Permintaan? Tengku Ryan mahu buat permintaan apa dengan Seri?”

“Bolehkah selepas ini dinda layan kanda seperti orang lain.” Dia tersenyum nipis.

“Apa maksud Tengku Ryan?”

“Kanda mahu dinda layan kanda seperti dinda layan sepupu kekanda itu. Mesra dan tiada pergaduhan di antara kita.”

Aku berpaling ke arah lain. Aku tidak tahu hendak beri jawapan apa kepadanya.

“Dinda,”

Tiada balasan.

“Dinda Naura,” suaranya yang ditinggikan sedikit itu menyentak lamunanku. Aku berdeham sebelum tersenyum.

“Baiklah. Itupun, kalau Tengku Ryan tidak buat perangai dengan Seri.” Aku menjelirkan lidah ke arahnya sebelum melarikan diri. Terasa seronok pula mengenakan lelaki ini.

Kawasan rumput yang menghijau dengan angin yang bertiup lembut itu membuai aku seketika. Udaranya sungguh segar. Langsung tidak tercemar. Tiba-tiba hidung aku dicuit. Wajahku memerah.

“Dinda Naura malu dengan kekanda, ya.” Senyumannya menjengkelkan aku.

“Dinda marahkah?” Usikannya membuatkan aku berasa geram.

“Bukankah Tengku Ryan sendiri beritahu Seri yang tengku tidak mahu ada pergaduhan di antara kita. Tengku saja mahu Seri naik marah dengan tengkukan?” Aku mengepal tangan.

Dia ketawa. “Kanda memang tidak mahu bergaduh dengan Seri. Tapi, apa yang kakanda buat tadi itu adalah balasan atas perbuatan dinda sendiri. Berani-beraninya dinda menjelirkan lidah di hadapan kanda ini.”

Aku mula panas dengan perangainya. “Tengku Ryan Arjuna!” Jeritku. Aku mengejarnya yang sudah melarikan diri daripada aku. Kami berkejar-kejaran di kawasan lapang hutan itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience