BAB 65

Fantasy Completed 18480

PETANG itu aku ditemani oleh Suri dan juga Aiz Hafizi. Tengku Rayyan Rehan dengan yang lain keluar sekejap ke pekan. Suri ke dapur membantu Imah menyediakan hidangan petang. Aku sudah ditegah oleh Tengku Rayyan Rehan agar tidak membuat lagi kerja-kerja berat di rumah ini. Risaunya bukan kepalang. Berkali-kali aku ditegur tapi aku langsung tidak mendengarnya. Bila sudah terkena barulah aku berhenti buat kerja-kerja di rumah. Anak dalam kandungan perlu diutamakan terlebih dulu.

Aku mengusap lembut perutku sambil menikmati angin petang. Aiz Hafizi sekadar menjadi pemerhati. Dia tersenyum melihat perutku yang sudah membesar ini.

“Aiz, aku nak tanya dengan kau boleh?”

“Apa dia?” Dia memandang ke hadapan semula.

“Macam mana kau dengan Tengku Ryan Arjuna boleh rapat?”

“Macam mana aku rapat dengan dia itu tidak payahlah kau ambil tahu, Naura. Apa yang penting sekarang adalah misi kau itu. Ini sudah lebih dua bulan lebih dan mana benda yang aku suruh kau cari tu, huh?”

Aku menunduk. Aku tahu apa yang dimahukan olehnya ini.

“Sejujurnya, aku hampir terlupa tentang hal itu. Bila Suri ingatkan aku balik terus aku cari benda itu dan...”

“Dan apa?” Suaranya tegang.

“Aku nampak Tengku Rayyan Rehan ada pegang sesuatu yang bercahaya di dalam bilik hujung rumah ini. Cahaya itu kebiru-biruan.”

Bola matanya besar. “Naura itulah batu Fatamorgana Aurora yang kita cari. Kau kena dapatkan batu tu secepat yang mungkin dan lepas tu kita boleh jumpa dengan Maji.”

“Tapi, aku takut. Bagaimana kalau dia perasan? Apa yang aku hendak buat kalau dia menyoalku?”

“Naura, dia tidak akan perasan kalau kau tidak melakukan kecuaian. Aku yakin kau boleh. Kita tidak ada banyak masa lagi sekarang ini.”

“Apa maksud kau?”

“Aku tahu suami kau selalu berikan kau gula-gula sakti tu.”

Aku tercengang.

“Ya, memang betul gula-gula itu boleh buatkan diri kita halimunan. Gula-gula sakti ini hanya berkesan pada orang-orang Agis saja. Mereka tidak akan nampak kita selagi kita ada gula-gula sakti ini.” Penjelasannya membuatkan aku terdiam seketika.

Tengku Rayyan Rehan yang beri gula-gula sakti ini kepada aku. Bermakna...

“Aiz, aku rasa Tengku Rayyan tahu tentang hal ini.” Aku mula takut.

“Tenang Naura. Aku akan cuba fikirkan cara untuk dapatkan batu tu.”

“Tapi... Aiz. Buat apa kau nak fikirkan caranya sedangkan kau sudah tahu apa yang akan berlaku nanti. Lebih baik kau beritahu saja aku caranya. Senang sikit.”

Dia diam.

“Aiz?”

Diam lagi.

“Aiz, kau kenapa?” Tanyaku.

Dia berdiri dan menarik nafas panjang sebelum memandang aku.

“Naura... sebenarnya aku dah tak boleh nampak masa depan. Separuh kuasa yang ada pada aku sebelum ini sudah hilang sepenuhnya. Aku dah jadi macam kau. Orang biasa.”

“Serius?!”

Dia angguk perlahan.

“Aku tak boleh nak kesan siapa orang-orang Agis. Jadi, kita kena berhati-hati mulai sekarang. Aku sudah beli stok gula-gula sakti. Aku takut kalau mereka sekat peniaga-peniaga gula-gula sakti ini. Lagipun, di kota Puspaloka ini hanya ada satu saja kedai yang menjual benda-benda magik ini.”

“Aiz, aku takutlah. Aku takut kalau kita tak dapat balik ke sana lagi.” Aku mahu menangis saat ini.

“Jangan takut Naura. Walaupun aku dah tak ada kuasa tapi kita masih ada abang dan adik kau untuk bantu kita.”

“Kalau kita mati di sini...”

“Shh! Naura janganlah cakap macam tu.” Aiz menutup mulutku dengan jari telunjuknya.

“Tidak mungkin kita akan mati di sini.” Aiz Hafizi menenangkan aku.

“Aku takut kalau kita jadi macam Jelita tu.”

“Naura, Jelita saja yang mati tapi Ayana masih hidup. Dia sudah kembali ke tempat asalnya.”

“Tapi, aku tak nak Seri Mawar ni mati. Aku nak dia hidup. Kesianlah anak dan suami dia nanti.” Aku mahu dia hidup supaya dia boleh membalas semua cinta Tengku Rayyan Rehan. Aku sampai ke hari ini melayan Tengku Rayyan Rehan kerana anak ini sahaja. Cinta aku pada Tengku Ryan Arjuna tidak pernah padam. Aku masih mahu berbual dan bergurau dengannya tapi malangnya keadaan kami ini tidak mengizinkan kami untuk bersama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience