BAB 21

Fantasy Completed 18494

“ISH, lepaskanlah tangan Seri ini. Sakitlah!” Aku mendengus kasar. Lepas minta izin daripada keluarga, dia terus menarik tangan aku menuju ke taman Indera yang terletak di hujung kampung ini.

“Tengku Ryan Arjuna! Tengku Ryan tidak dengarkah apa yang Seri cakap ini, hah?!” Marah aku.

“Buat apa orang bangsawan macam saya ini mahu ikut kata seperti kamu.”

Laju aku memandangnya yang membelakangi aku. Lain macam saja suara dia ini. Marahkah?

“Err... Tengku Ryan...”

Aku terkedu saat dia berpaling memandang aku. Jarak kami terlalu dekat. Dia melepaskan tangan aku. Kami sudah berada di taman Indera.

Bagaikan di jampi, aku langsung tidak melarikan pandangan aku kepadanya. Kami berpandangan kejap.

“Sudah puas menatap wajah saya ini?” Dia bersuara lantas membuatkan aku hilang tumpuan seketika.

Tengku Ryan Arjuna tiba-tiba mentertawakan aku. Aku menggeram. Aku tahu dia sahaja mahu mengenakan aku. Ish!

“Seri mahu pulanglah!” Aku mengorak langkah pergi tapi tangannya pantas menangkap tanganku.

“Tengku Ryan!” Geram sungguh aku dengan dia ini.

“Temankan saya.”

Aku terdiam. Suaranya sungguh menggetarkan jiwa. Aku berdeham.

“Kalau Tengku Ryan mahu Seri temankan, baik Tengku Ryan lepaskan dulu tangan Seri. Seri tidak suka.” Kataku tegas. Dia senyum segaris.

“Mengapa pula Seri tidak menyukainya? Mengapa si Mail itu boleh pula sentuh-sentuh Seri. Mengapa saya tidak boleh, huh?” Sebelah keningnya terangkat. Aku mengepal tangan sebelah.

Ini salah kaulah Seri Mawar!! Aku tidak suka disentuh tapi kau pula sebaliknya.

“Tengku Ryan, dengar apa yang Seri mahu bilang, ya.” Intonasi aku berubah.

“Seri memang tidak suka disentuh oleh lelaki-lelaki yang tiada kaitan dengan Seri...”

“Bukankah saya ini ada kaitan dengan Seri?” Dia mencelah. Aku menggeram. Aku tidak habis cakap lagi dia sudah menyampuk.

“Apa pula kaitan Seri dengan Tengku Ryan?!”

“Bakal suami Serilah.”

Aku mencebik. “Tengku Ryan, walaupun tengku itu bakal suami Seri tapi tengku tetap tidak boleh sentuh Seri. Seri ini tidak halal lagi untuk tengku.”

“Kalau begitu, kita halalkanlah. Saya akan minta keluarga kita percepatkan perkahwinan kita ini.”

“Jangan! Seri tidak bersedia lagi untuk berkahwin.” Bidasku. Tengku Ryan Arjuna berpeluk tubuh sambil mundar-mandir di depan aku. Suasana malam itu sungguh sunyi. Hanya bunyi cengkerik dan belalang saja yang kedengaran.

Angin bertiup lembut menampar pipiku. Walaupun terasa nyaman, hati masih lagi geram dengan lelaki ini. Diam dan langsung tidak mahu bercakap. Dia asyik berulang-alik dari hujung sana ke sini.

“Kalau Tengku Ryan tiada apa-apa yang mahu dibincangkan lagi, Seri mahu minta diri dululah, ya.”

“Berhenti.” Dia segera menghalang pergerakan aku.

“Seri mahu pulanglah. Nanti, keluarga Seri cari pula.” Aku merengus.

“Eh, bukankah tadi kita sudah meminta kebenaran dengan mereka?”

Aku menggeram. Jelingan tajam dihadiahkan kepadanya.

“Seri tidak boleh pulang. Seri harus temankan saya ambil angin di sini dulu.”

Aku menjulingkan mata ke atas. Buat perangai pula si Tengku Ryan Arjuna ini.

“Tengku ambillah angin itu cepat-cepat. Sedut angin itu sampai kembung perut tengku, ya.” Seloroh aku dengan air muka tenang.

“Seri bercanda dengan saya, ya?” Dia senyum serot dan mendekati aku. Aku undur setapak.

“Tidaklah. Seri tidak bercanda tetapi bercerita.” Menyampah.

Dia ketawa. Langkahnya membuatkan aku cuak.

“Tengku jangan buat perangai di sini. Di taman ini hanya kita berdua saja, tahu.” Aku memberi amaran.

“Kalau Seri tidak mahu saya apa-apakan Seri, lebih baik Seri ikut kata saya. Saya minta Seri temankan saya di sini sajakan? Saya tidak minta lebih daripada itu pun.” Dia menyimpul senyuman.

“Fine! Aku boleh temankan kau. Tapi, kalau kau apa-apakan aku, siaplah kau!” Bebel aku sendirian.

“Seri bercakap dengan siapa?”

Aku terkejut apabila dia berdiri dekat di belakang aku. Dia dengarkah?

“Baiklah. Seri akan temankan tengku. Tapi, Seri mahu Tengku Ryan berdiri jauh dari Seri. Lelaki bukannya boleh percaya.” Aku berpeluk tubuh. Kerana lelaki aku menjadi mangsa perempuan itu. Aku bukannya ada apa-apa hubungan pun dengan teman lelaki dia. Sebab mereka jugalah aku terdampar di dunia ini. Haaih... bilalah aku boleh pulang ke sana?

“Seri termenung jauh, ingatkan siapa?” Suaranya menyentak lamunanku. Aku berdeham.

“Kalau tengku mahu mengambil angin, silakanlah. Seri mahu duduk di sana dulu.” Ujarku lalu menuju ke arah bangku yang terletak tidak jauh dari tempat aku berdiri. Malas aku hendak melayan lelaki ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience