BAB 19

Fantasy Completed 18480

BODOHNYA aku berimaginasi seperti itu. Kalau saja aku terlepas cakap tadi, mungkin saja imaginasi aku itu menjadi realiti. Nasib baiklah hati aku ini kuat. Tinggal di dunia asing ini memang memerlukan kesabaran yang tinggi.

“Mail, kita berdua ini sudah jauh berjalan. Ke mana sebenarnya Mail hendak bawa Seri ini?” Soalku. Ini bukannya laluan hutan yang aku pergi sebelum ini.

“Sabarlah, Seri. Sekejap lagi kita sampailah ke tempat itu.” Dia mengerling ke belakang memandang aku dengan senyuman. Dia meneruskan lagi langkah. Aku mula rasa tidak sedap hati dengan keadaan ini.

“Seri, mengapa Seri seperti tidak selesa dengan saya? Bukankah kita ini pasangan kekasih? Seri tidak pernah begini pun sebelum ini.”

Aku terkedu dan kemudian tersenyum nipis. Aku tidak akan beri reaksi sebegini kalau aku Seri Mawar.

“Mail pun tahukan yang Seri ini bakal berkahwin tidak lama lagi.”

Diam. Tiada balasan pun daripada lelaki itu. Aku andaikan yang dia ini mesti tengah kecewa. Ah, buat apa aku hendak kisahkannya. Jadinya, aku biarkan saja perasaan itu bermain di dalam dirinya itu.

Mail mematikan langkah. Kami tiba di pinggir tasik. Aku terpegun seketika melihat tasik tersebut. Airnya jernih dan tenang sahaja. Tasik ini tidaklah terlalu besar dan ada dua buah pulau kecil di tengahnya. Tidak jauh daripada tempat kami berdiri ini ada sebuah jambatan kayu yang menghubungkan kawasan ini dengan pulau yang ada di tengah tasik tersebut.

“Cantiknya pulau itu.” Dalam tidak sedar aku memuji pulau tersebut. Dari tempat aku berdiri ini aku boleh lihat ada beberapa jenis pokok yang tinggi mengelilingi pulau tersebut. Di tepi-tepinya ada pelbagai jenis bunga-bungaan kecil dan juga yang besar.

“Seri tidak tahu pula ada tasik dan juga pulau dekat dalam kawasan hutan ini.”

Tiba-tiba Mail memandang aku dengan wajah bingungnya.

“Err... Mengapa Seri berkata begitu? Bukankah Seri terlebih dulu yang menjumpai tempat ini?” Jelas kelihatan kerutan di dahi lelaki itu. Aku garu belakang tengkuk.

Aku tidak tahu pula tempat ini dijumpai oleh Seri Mawar. Tapi...

Aku tersengih. “Seri bercanda saja.” Aku cuba berlagak tenang.

“Err... Mail, tidak sia-sialah kita buat semua inikan? Walaupun kita tidak selalu datang ke sini tetapi tempat ini masih lagi kelihatan cantik.” Aku melihat reaksinya. Mulutnya melopong. Wajahnya seakan-akan tidak percaya dengan kata-kataku. Tidak lama kemudian dia ketawa.

“Sampai sebegini sekali Seri bercanda dengan saya, ya. Seri...” Dia mengalihkan pandangannya ke arah pulau tersebut.

“Seri, apa yang Seri lihat sekarang ini bukanlah hasil titik peluh kita. Ini semua sudah ada sebelum Seri menjumpainya dulu. Bukankah Seri sudah beritahu semua ini sebelum ini. Mengapa Seri boleh lupa pula?”

Aku menarik nafas lega. Nasib baik lakonanku menjadi. Aku memang sengaja buat begitu. Dengan cara itu saja aku boleh tahu tentang Seri Mawar.

“Seri tidak lupalah. Seri saja...”

“Bercanda lagi?” Potongnya. Aku hanya tersengih.

“Seri, mengapa saya rasa Seri ini sudah berubah? Seri tidak seperti sebelum ini.”

“Apa maksud Mail?” Tenang saja aku menyoalnya.

“Iyalah. Sekarang ini saya lihat Seri sudah pandai bergurau dengan saya. Sebelum ini, Seri sering berpantun dengan saya.” Dia ketawa kecil.

Aku mencebik. “Kalau tidak bercanda, hidup kita tidak gembiralah. Seri tidak mahulah hidup Seri ini suram saja. Lagipun, Seri sudah malas hendak berpantun dengan Mail mahupun orang lain.” Baru aku teringatkan sesuatu. Patutlah masa aku di kedai makan Pak Ajis itu, empat pemuda itu sibuk betul mahu aku berpantun dengan mereka.

Mail ketawa kecil. “Ada benar juga dengan kata-kata Seri itu.”

“Mail, marilah kita ke sana, ya.” Aku mengajaknya ke pulau tersebut namun dia menghalang aku. Aku mengerutkan dahi.

“Mengapa Mail?”

“Seri, saya sebenarnya mahu berbincang dengan Seri tentang hal kita berdua.”

Aku diam. Hal kita berdua...

Maksudnya hal dia dengan Seri Mawarlah, kan? Aku telan liur. Kalau dia tanya aku pasal hubungan mereka berdua sudah tentu aku tidak boleh menjawabnya. Argh! Ini lagi susah daripada soalan-soalan peperiksaan di universiti sana tahu.

“Err... Hal apakah itu Mail?” Sudahlah, Suri tidak ada bersama aku sekarang ini. Ah, aku jawab suka hati aku sahajalah. Tidak apa, aku akan ikut kata naluri aku ini.

“Seri, Seri pun tahukan yang saya sayangkan Seri.”

Sayang? Kalau sayang kenapa dia keluar senyap-senyap dengan Melati tanpa memberitahu aku?

“Saya tahu Mail, tetapi, Mail kena faham dengan situasi kita sekarang ini. Seri bakal menjadi milik orang lain dan bukannya milik Mail lagi.”

Tiba-tiba dia ketawa sinis.

“Ya, apa yang Seri katakan itu benar. Saya bukan milik Seri lagi. Tapi, Seri tidak ingatkah dengan janji-janji kita sebelum ini. Tidak mungkinlah Seri sudah melupakannya?”

Janji? Aduh, Seri apa yang kau berjanji dengan lelaki ini, huh?

“Mail...”

“Seri, saya mahu Seri tahu dalam hati saya ini cuma ada Seri seorang saja. Kalau Seri mahu saya berjumpa dengan keluarga Seri dan beritahu perkara sebenar, saya akan pergi. Demi cinta kita, saya akan pergi berjumpa dengan keluarga Seri.” Aku terkejut apabila dia tiba-tiba menggenggam tanganku.

“Err... Mail...” Aku menarik tanganku tapi dia memperkemaskan lagi genggaman tersebut. Aku kekok.

“Seri, saya tahu Seri sayangkan keluarga Seri. Tapi, janganlah sampai mengorbankan kebahagian sendiri demi keluarga. Saya tahu Seri tidak cintakan lelaki itu. Seri hanya cintakan saya seorang sajakan?” Pandangannya sungguh mendalam.

“Mail, lepaskanlah tangan Seri.” Aku menarik sekali lagi tanganku.

Dia mengerutkan dahi. “Mengapa Seri? Seri tidak sukakah?”

Ish, dia ini dari tadi asyik cakap ayat yang sama sahaja. Memang si Seri Mawar ini sukakah dengan sentuhan si Mail ini?

“Mail tolonglah lepaskanlah tangan Seri ini. Seri tidak sukalah.” Pedulilah kalau dia ini mahu buruk sangka dengan aku. Apa yang penting aku tidak mahu dia menyentuh aku.

Mail melepaskan tanganku. Wajahnya masih tegang.

“Seri, sejak Seri dijodohkan dengan Tengku Ryan Arjuna itu Seri memang sudah berubah. Apa Seri tidak sukakah lelaki seperti saya ini? Tidak mungkinlah Seri hanya berpura-pura dengan saya?” Mail mula tidak keruan.

“Mail, Seri tidak memilih sesiapa pun untuk menjadi pasangan hidup Seri. Tapi, apa yang berlaku sekarang ini adalah atas permintaan keluarga Tengku Ryan dan juga keluarga Seri. Lagipun, keluarga Seri dengan keluarga Tengku Ryan Arjuna sudah lama berkawan.” Jelas aku.

“Seri...”

“Sudahlah, Mail. Lupakan Seri. Seri mahu pulang dulu.” Aku terus berlalu pergi. Sempat juga aku berpaling sekejap melihat Mail yang masih lagi terpacak di situ. Maafkan aku Seri Mawar. Aku rasa lelaki ini tidak sesuai untuk kau. Dia berbohong dengan kau, Seri Mawar. Aku yakin dia dengan Melati pasti ada hubungan. Aku akan buktikan pada kau Seri Mawar yang lelaki ini memang tidak sesuai untuk kau.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience