BAB 2

Fantasy Completed 18480

KAMPUNG INDERA, KOTA INDERA AURORA. Papan tanda itu jelas menunjukkan aku sekarang berada di Kota Indera Aurora. Nama yang agak pelik. Setahu aku, aku tak pernah lagi dengar nama tempat ini di Malaysia. Agak-agaknya, di manalah kedudukan tempat ini di google map?

Bangun sahaja terus berada di tempat asing. Sejak dari tadi aku memerhatikan orang-orang sini dan juga kawasan sekeliling aku. Pelbagai jenis rumah yang ada di kawasan ini. Rumah kedai pun banyak jenis juga. Orang-orangnya pula tidaklah nampak kekampungan sangat.

Aku perasan yang kaum perempuan semuanya berbaju kurung dan berkebaya. Rambut mereka semuanya di dandan dengan cantik dan kemas. Aku langsung tidak nampak perempuan yang memakai pakaian biasa. Rambut juga dihias dengan cantik. Kaum lelaki pula tidak memakai baju melayu tapi sebaliknya memakai pakaian kemeja dan berseluar jean. Ada juga yang memakai pakaian kasual.

“Seri!”

Aku tersentak. Saat itu juga benjolan yang ada pada bahagian tepi kepala ini berdenyut. Aku menahan kesakitan.

“Mengapa Seri? Apa yang Seri pandang lama-lama dekat papan tanda yang sudah buruk itu, huh?” Dia menghampiri aku dengan wajah geram.

“Err...” Aduh, apa aku hendak panggil dia ini. Kakak? Tapi, muka masih muda. Dia sebaya dengan Seri Mawarkah atau sebaya dengan aku?

Ish! Nama dia aku tidak tahu. Umur dia pun aku tidak tahu. Hanya nama Seri Mawar sahaja yang disebut sejak dari tadi. Nama Seri Mawar agak klasik berbanding dengan nama aku yang agak moden.

Haaih...

Aku hendak bertanya, tapi takut pula nanti dia kata aku ini tidak betul. Fikir Naura... Fikir!

“Mengapa berhenti? Apa yang sebenarnya Seri hendak cakapkan ini, huh?” Sebelah tangannya menyentuh lenganku. Aku garu belakang tengkuk. Terasa keringat aku pada bahagian itu.

“Saya... Err...” Sekali lagi aku terdiam. Bukan sebab aku tidak ada idea untuk bercakap tapi ada suara lain yang menegur kami.

Serentak kami berpaling ke arah suara tersebut. Seorang lelaki berdiri dengan pakaian kasualnya. Baju kemeja berwarna biru gelap serta berseluar jean hitam. Rambutnya kemas dan wajahnya nampak matang dan kacak.

“Syukur, Alhamdulillah. Jumpa juga anak dara seorang ini.” Ujarnya dengan senyuman yang lega. Tiba-tiba dia menghulurkan tangan kepada aku.

Dahiku berkerut. Wajahnya dan tangan itu aku pandang silih berganti. Siapa dia ini dengan Seri Mawar?

“Salamlah.” Arahnya. Aku bingung.

Dia ingat aku ini jenis perempuan yang suka hati sentuh lelaki yang bukan mahram ke? Seri Mawar memang macam inikah kalau berjumpa dengan lelaki?

“Seri Mawar! Ish, Seri ini. Seri tidak reti hendak salam dengan abang sendirikah?”

Aku pandang perempuan itu dengan wajah tanda tanya.

Abang? Sejak bila aku ada abang? Eh, kejap. Bukankah aku sekarang ada di dunia Seri Mawar? Jadi, dia ini abang yang bagaimana dengan Seri Mawar? Abang kandungkah? Abang angkatkah? Atau kekasih? Argh! Macam manalah aku boleh ada di tempat yang pelik ini?!

“Mawar sudah hilang ingatankah? Abang kandung sendiri pun Mawar sudah tidak kenal?” Lelaki itu bercekak pinggang. Aku tersengih. Aku tidak pasti apa hubungan lelaki ini dengan Seri Mawar. Lambat-lambat huluran tangannya itu aku sambut. Lagipun, dia sudah kata yang dia ini abang kandung Seri Mawar. Kalau aku tidak sambut pula nanti apa pula kata mereka nanti.

“Di mana Melati jumpa adik abang ini?”

Hah! Akhirnya, aku sudah tahu nama perempuan ini. Aku hanya senyum dalam hati. Tinggal seorang ini lagi.

“Dekat kawasan hutan sana. Seri ini merajuk sampai bawa diri masuk ke dalam hutan itu. Nasib baiklah saya jumpa dia.” Melati menunjuk arah kawasan hutan di mana dia menjumpai aku tadi.

“Terima kasihlah, Melati.”

“Masalah kecil sajalah, abang Nadim.” Ujarnya dengan tawa kecil.

Aku memandang mereka. Nadim? Pendeknya nama dia.

Tiba-tiba reaksi abang Nadim bertukar sebaik sahaja pandangannya menghala ke arah aku.

“Mawar tahukah! Umi dengan walid tengah risau dekat rumah itu. Kalau Mawar hendak marah sekalipun janganlah jauhkan diri sampai masuk ke hutan itu. Bahaya tahu tidak?!” Marahnya itu membuatkan aku rasa takut.

“Sa... Saya bukannya nak bunuh diri pun. Saya lari saja. Saya dah biasa masuk hutan. Lagipun, bukannya ada apa-apa dekat hutan tu.” Aku mendengus. Apalah sangat dalam hutan itu. Baru sahaja beberapa hari lepas aku dengan teman-teman aku buat aktiviti merentas hutan. Sebelumnya pun aku sudah banyak kali keluar masuk hutan dengan papa aku.

“Apa yang Mawar cakapkan ini? Abang tidak faham. Bukankah abang jarang-jarang bawa Mawar ke sana. Bila masa pula Mawar masuk hutan tanpa pengetahuan abang, hah?” Pandangannya begitu tajam.

Aku cuak. Yakah? Aku ingatkan Seri Mawar seperti aku. Sebab itu aku main belasah sahaja cakap. Aduh, aku harap sangat ini semua hanyalah mimpi semata-mata.

“Nadim! Melati!” Panggil suara garau yang lain. Lantas kami bertiga memandang ke arah lelaki itu.

“Hah, Mail. Kau beritahu semua orang kampung yang kami sudah jumpa dia ini.”

Aku pandang sekilas lelaki yang berdiri di sebelah tepi aku ini. Senyum-senyum pula dia dengan aku. Siapa pula dia ini dengan Seri Mawar?

Sekali lagi aku mengerling ke arahnya. Lelaki itu memakai pakaian yang sama jenis dengan abang Nadim. Cumanya, baju kemeja lelaki ini bercorak kotak-kotak dan warna kemejanya merah gelap bercampur dengan merah muda. Rambutnya sedikit berombak di bahagian depan namun nampak rapi dan kemas.

“Seri baik-baik saja, kan?” Pertanyaannya menyentak lamunanku.

Aku menjawab dengan anggukkan kepala sahaja. Aku lihat Melati sedang mencebiknya. Sepertinya dia tidak suka dengan lelaki ini.

“Kau, Mail. Jangan hendak ambil kesempatan pula dengan adik aku ini. Dia sudah dijodohkan dengan orang lain tahu. Semua orang kampung sudah tahu mengenai hal ini.” Tiba-tiba wajah abang Nadim berubah. Wajahnya agak serius.

“Tenanglah, Nadim. Kau pun tahu sendiri yang adik kau ini bukan gadis biasa-biasa. Seri ini gadis idaman semua lelaki di dalam kampung ini.” Beritahunya.

Gadis idaman kaum lelaki? Biar betul?! Siapa sebenarnya Seri Mawar ini? Aku baru tersedar akan sesuatu. Telinga aku tidak silap dengarkah? Seri Mawar dijodohkan dengan seorang lelaki?! Siapa?!

“Hah?!” Aku pandang mereka bertiga. Sungguh aku binggung sekarang ini.

Apa sebenarnya yang berlaku terhadap Seri Mawar? Kenapa aku boleh berada dalam tubuh dia? Tidak mungkinlah ini semua realiti. Apa yang aku boleh pastikan sekarang ini adalah jiwa aku di dalam tubuh Seri Mawar. Aku bertukar badan dengan dia.

Jadi, apa yang terjadi dengan tubuh aku pula?

Aku panik. Kalau mereka minta aku kahwin, aku memang tidak mahu. Aku belum bersedia.

Aku teringat dengan kata-kata mereka tadi. Seri Mawar merajuk dan lari masuk ke dalam hutan. Adakah Seri Mawar melarikan diri disebabkan hal kahwin ini?

Argh! Serabut kepala aku tahu. Kepala mula terasa pening. Pitam. Bila-bila masa sahaja tubuh aku ini akan rebah.

“Seri jangan cuba hendak lari lagi, ya. Penat satu kampung mencari Seri tahu.” Amaran Melati. Tangannya bersedia mahu menangkap aku sekiranya aku lari daripada mereka bertiga.

“Saya... Abang Nadim...” Aku tidak dapat menahan sakit yang berdenyut-denyut di bahagian kepala aku ini. Mata aku tertutup perlahan-lahan dan jatuh pengsan.

“Mawar!” Aku sempat menangkap suara abang Nadim. Tangannya menyentuh aku dan aku terus tidak sedarkan diri lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience