BAB 55

Fantasy Completed 18494

HABIS satu rumah aku kemas. Sarapan juga sudah aku sediakan. Ini gara-gara mahu hilangkan tekanan semalam yang masih terasa di dada ini. Selesai dalam rumah, aku meneruskan lagi kerja di luar. Segala daun-daun kering aku sapu. Kemudian, baju-baju yang sudah aku basuh tadi aku jemur di jemuran belakang rumah.

Peluh dan keringat membasahi wajah dan leherku. Aku biarkan dan meneruskan lagi kerja-kerja lain.

“Seri, apa lagi yang umi hendak buat ini?” Umi Intan datang menegurku. Aku tersengih.

“Mengapa umi?”

“Iyalah. Semua kerja Seri sudah selesaikan. Umi hendak buat kerja apa lagi?” Umi Intan bercekak pinggang. Aku ketawa.

“Umi... umi. Tidak apalah Seri buat semua ini. Lagipun umi sudah tua, perlukan rehat.” Lembut bicaraku dengannya.

Tersenyum dia mendengar bicara aku. Umi Intan menarik aku duduk di bawah pokok rendang itu.

“Sejuk mata umi tengok Seri tolong umi buat kerja-kerja ini semua.”

“Itulah umi. Lain kali, umi bagi saja Seri buat kerja-kerja dekat rumah ini. Ini tidak, bila Seri mahu tolong umi tegah Seri pula. Umi tahu tidak yang Seri ini kasihan melihat umi seorang-seorang buat itu, ini semua.” Aku memuncungkan mulut. Ketawa umi Intan mendengar colotehku.

“Yalah. Yalah. Kalau begitu, Seri tolonglah umi sementara Seri masih di sini. Tidak lama lagikan Seri mahu jadi isteri orang.”

Aku mengetap bibir. Tekanan aku baru sahaja hilang. Sekarang umi Intan sebut lagi perkataan tersebut.

“Err... umi. Semalam... Tengku Ryan Arjuna...” Malu pula aku ingin bertanya umi Intan tentang hal semalam.

“Umi lihat dia kecewa sungguh dengan keputusan yang Seri buat itu. Mahu saja dia rempuh pintu bilik Seri semalam. Mujurlah walid, ayahanda dia dengan Tengku Adika menahannya.”

Aku mengeluh. Aku tahu dia pasti marah dan tidak berpuas hati dengan aku. Nasib baik jugalah aku tidak bertindak melulu tempoh hari. Kalau sahaja aku meluahkan perasaan aku padanya hari itu sudah tentu dia akan mengamuk. Maafkan aku, Tengku Ryan Arjuna.

PETANG itu aku mengambil angin di sekitar taman Indera. Suri ada bersamaku. Aku pekakkan telinga sahaja apabila orang-orang kampung mengata aku. Agaknya mereka masih belum puas mahu memburuk-burukkan aku terutama sekali mulut anak-anak dara yang cemburukan aku. Ah, ada aku kisah!

Mujurlah tidak ramai orang berkunjung di taman Indera ini. Aku mengelilingi satu taman ini sambil menghidu bau bunga-bungaan yang ada di sini. Menyegarkan.

“Dinda Naura,”

Tubuhku menegak apabila mendengar suara itu. Aku tidak berpaling sebaliknya meneruskan langkah ke hadapan.

“Dinda Naura! Kanda tahu dinda tipu.” Laju dia menghalang jalanku.

Apa aku hendak buat sekarang ini?

“Dinda, tolonglah jujur dengan kanda. Dinda tiada perasaan dengan sepupu kanda, bukan?”

Aku membelakanginya. Mahu melarikan diri tetapi tangannya mengunci lenganku. Aduh, ke mana pula Suri menghilangkan diri ini?

“Terus terang sajalah dengan kanda, dinda. Tolong jujur dengan perasaan dinda.”

Sayu pula aku mendengar rintihan Tengku Ryan Arjuna ini.

Perlahan-lahan aku berpaling menghadapnya. Aku meneliti wajah kacak itu lama.

“Dinda Naura...”

“Tengku Ryan Arjuna sebenarnya...”

“Kakak Mawar!” Sergah Suri. Terkejut aku dengan Tengku Ryan Arjuna.

“Abang Ryan pun ada di sini?”

“Ya, Suri. Abang mahu bercakap dengan kakak Suri dulu. Suri berilah abang masa untuk bercakap sekejap dengan kakak Suri ini.”

“Err...”

“Lain kali sajalah kita berbual lagi. Seri dengan Suri hendak pulang dulu.” Aku melepaskan tangannya yang masih menggengam lenganku.

“Dinda...”

“Tengku Ryan Arjuna!" Aku cuba menahan rasa galau yang bertandang di hati aku ini.

"Tengku Ryan, rasanya kita tidak payahlah bertemu atau bercakap lagi selepas ini. Seri tidak mahu mengeruhkan keadaan lagi." Aku membelakanginya.

"Tengku tolonglah lupakan Seri. Tolong jangan panggil Seri dengan panggilan itu lagi. Kita berdua tidak mungkin akan bersama.” Aku menarik Suri meninggalkan kawasan tersebut.

“Kakak Mawar...”

“Diam!” Marahku. Suri tertunduk dan ikut sahaja rentakku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience