BAB 63

Fantasy Completed 18494

SUDAH dua bulan lebih aku di sini. Perutku pula semakin hari semakin membesar. Keluarga Seri Mawar sudah mengetahui hal ini tetapi aku terpaksa berbohong yang kononya aku ini bunting pelamin.

Tentang Tengku Rayyan Rehan, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami kepada aku. Segala-galanya yang aku perlukan dia sediakan. Tetapi, sebagai balasannya dia memberikan gula-gula sakti kepadaku dan menyuruhku makan juga ketika itu.

Bosan pula asyik berkurung di rumah sahaja. Aku mengambil keputusan untuk keluar bersiar-siar di luar. Aku meminta keizinan daripada Tengku Rayyan Rehan dan dia membenarkan aku dengan syarat dia ikut sama.

“Kanda risau dengan keadaan dinda sekarang yang berbadan dua. Sebab itulah kanda ikut sekali.”

Aku memuncungkan mulut. “Dinda boleh saja pergi dengan orang gaji kita itu.”

“Tapi, tetap kanda risau.” Dia memeluk pinggangku.

“Dinda jalan-jalan hendak beli apa?” Dia bertanya.

“Dinda hendak makan sesuatu yang masam. Apa-apa sajalah makanan asalkan makanan itu rasanya masam.” Beritahuku. Selama dua bulan ini jugalah aku berlatih menggunakan panggilan ‘dinda’ itu. Bukan aku mahu sangat guna perkataan itu tapi disebabkan kemahuan Tengku Rayyan Rehan, aku terpaksa turutkan sahaja.

Apa yang aku perasan tentang diri aku sekarang ini aku suka sangat dekat dengan Tengku Rayyan Rehan. Padahal hati aku tidak pun mencintainya. Kalau ikutkan aku yang tengah mengandung ini mungkin jugalah pembawaan budak.

Puas berjalan kami pulang ke rumah. Terkejut kami berdua apabila melihat tetamu yang datang bertandang. Mahunya aku menangis melihat wajah-wajah tersebut. Laju aku berlari memeluk mereka berdua.

“Abang Nadim. Suri...”

Aku pandang dua lelaki yang berdiri di belakang mereka.

“Radin. Tengku Ryan Arjuna.” Aku terkejut melihat mereka berdua.

“Lama kita tidak bertemu.” Sapa Tengku Rayyan Rehan kepada mereka. Dia memaut pinggangku. Canggung pula aku rasakan ketika ini.

“Ya. Perut Mawar pun dah nampak besar.” Ujar abang Nadim.

“Siapakah lelaki di belakang kau itu, Nadim?” Tanya Tengku Rayyan Rehan.

“Ini Radin, kawan aku. Dia dengan Mawar sama-sama kenal sebelum ini.” Beritahu abang Nadim.

“Oh. Jemputlah masuk. Kita berbual di dalam, ya.” Tengku Rayyan Rehan mengajak mereka semua masuk ke dalam rumah.

MEREKA berbual di ruang tamu sementara aku dengan Suri di dalam dapur menyediakan hidangan petang. Kami di bantu oleh Imah, orang gaji di rumah ini.

“Suri, umi dengan walid sihat-sihat sajakah?”

“Alhamdulillah, mereka sihat. Cuma, rindukan kakak Mawar saja.”

Lega aku mendengarnya.

“Kakak Mawar bahagiakah?” Pertanyaan Suri membuatkan aku terdiam seketika.

“Suri nampak kakak bahagiakah?”

“Jadi, kakak Mawar tidak gembiralah?”

“Entahlah, Suri. Kakak ikutkan saja naluri hati kakak ini. Suri nampak saja luaran kakak ini ceria tetapi di dalam hati hanya Tuhan saja yang tahu.” Aku menyimpul senyuman nipis.

“Sabarlah kakak Mawar. Err...”

Aku pandang dia. Sepertinya Suri hendak cakap sesuatu.

“Abang Radin sebenarnya suruh Suri tanya dengan kakak Mawar tentang batu Fatamorgana Aurora. Kakak Mawar sudah dapatkah?”

Aku menepuk dahi. Bagaimana aku boleh lupa tentang hal itu pula?!

“Aduh, Suri. Kakak benar-benar lupa tentang hal itu tahu.”

Dia tercengang. “Kakak Mawar tidak mahu kembali ke tempat asalkah?”

“Mestilah kakak mahu pulang. Tapi, kakak benar-benar lupa tentang batu Fatamorgana Aurora itu.” Jawabku jujur.

“Kakak mahu jumpa Aiz...”

“Kakak tidak boleh berjumpa dengan dia sekarang.” Laju Suri menghalangku.

“Mengapa pula?”

“Sebab... sebab...” Macam berat sahaja dia mahu memberitahu aku.

“Sebab apa Suri? Sebab dia ada dengan dua orang tengku itukah?” Tebakku.

Perlahan-lahan dia mengangguk.

“Lain kali sajalah kakak berbual dengan abang Radin. Lagipun, kami lama lagi di sini. Abang Nadim mahu mencari benih-benih buahan dan juga bunga.”

“Oh...”

Kopi sudah kusiapkan. Suri juga sudah menyiapkan kuih-muih yang Imah buat sebentar tadi. Aku mengambil dulang dan menyuruh Imah menyusun hidangan tersebut di dalam dulang.

Imah tolong bawakan hidangan ini ke depan, ya.” Arahku. Dia menurut kata.

“Suri,” panggil aku. Suri baru mahu buka langkah ke ruang tamu tapi aku menghalangnya. Dia berpaling.

“Suri tahukah yang kakak terkejut bila tengok dua orang itu. Sejak bila lagi Aiz Hafizi rapat dengan Tengku Ryan Arjuna?”

“Err...”

Aku tengok Suri seperti tidak selesa dengan soalan yang aku ajukan kepadanya.

“Suri bertahulah kakak. Sejak bila mereka berdua itu kenal rapat? Aiz ada beritahu apa-apa dekat Tengku Ryan Arjunakah?”

“Masa panjang lagi kakak Mawar. Sabarlah. Suri pun tidak berani hendak bercakap apa-apa tentang sesuatu yang Suri tidak pasti lagi.”

“Iyalah.” Aku akur.

TENGKU RAYYAN REHAN masuk tidur setelah kerjanya selesai. Dia sibuk kebelakangan ini kerana menguruskan ladang kuda ternakannya dan juga mengajar orang memanah. Tidak cukup dengan tugas itu, dia turut membantu ayahandanya untuk memungut cukai sekitar kota Puspaloka ini.

“Dinda tidak tidur lagi?” Soalnya apabila melihat aku sedang duduk di atas kerusi rotan.

“Dinda tidak mengantuk lagi. Lagipun, dinda baru habis makan buah cempedak. Teringin hendak makan malam-malam begini. Nasib baiklah, Imah sempat memetik buah cempedak dekat belakang rumah kita ini.” Beritahu aku. Dia tersenyum.

“Kanda, dimanakah tempat menginap mereka semua itu? Dinda risaulah dengan Suri. Sudahlah dia itu satu-satunya perempuan. Takut pula dinda kalau terjadi apa-apa pada dia.” Sebelum mereka bergerak pergi tadi, aku sempat memujuk Suri untuk tinggal di rumah ini sementara mereka masih di sini. Tetapi, Suri menolak.

“Janganlah adinda risau tentang Suri. Mereka semua menginap di rumah bonda dan ayahanda.”

Aku melepaskan lega.

“Dinda mahu ke mana pula ini?” Tanyanya apabila melihat aku sedang menuju ke arah pintu.

“Dinda hendak makan sesuatu.” Aku tersengih. Teringin pula aku hendak makan kek coklat. Adakah bahan-bahan untuk buat kek itu?

“Makan lagi?” Dia geleng kepala.

“Kanda tidurlah dulu. Dinda mahu ke dapur dulu, ya.”

“Kanda ikut. Kalau ada apa-apa, kanda ada untuk menolong dinda.” Dia menyimpul senyuman sambil mengusap lembut pipiku.

“Okey.”

Dia mengerutkan dahi. “Kanda ingat perkataan itu. Dulu, adinda ada sebut juga perkataan ini, bukan?”

Aku angguk. “Perkataan yang muncul dalam mimpi adinda.” Tenang aku membalasnya. Kemudian kami beriringan menuju ke dapur. Kek coklat aku datang!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience