BAB 24

Fantasy Completed 18480

“TENANG saja tempat ini, kan?” Sejuk mataku memandang kawasan sekeliling tasik ini. Dua buah pulau kecil yang berada di tengah tasik memukau pandangan aku seketika. Ya, ini adalah tempat yang Mail pernah bawa aku sebelum ini. Kali ini aku datang dengan Suri. Saja aku membawanya ke sini untuk menenangkan fikiran. Malas aku hendak memikirkan masalah si Seri Mawar itu.

Beberapa ekor burung pipit berkicauan tidak jauh daripada tempat kami berdua duduk. Bunyi siulan burung-burung itu seolah-olah burung-burung itu sedang bernyanyi. Merdu di dengar seiring dengan hembusan semilir angin. Ah, sungguh tenang sekali!

“Ya. Suri belum pernah lagi ke sini. Bagaimana kakak Naura tahu tempat ini?” Soalannya membuatkan aku tersentak. Tangannya sibuk melontar batu-batu kecil ke dalam tasik jernih itu.

“Sebenarnya kakak pun baru tahu tempat ini. Itupun, kekasih Seri Mawar yang bawa kakak ke sini tempoh hari. Dia kata tempat ini adalah tempat persinggahan Seri Mawar.”

Dia tercengang. “Abang Mail?!"

Aku mengangguk.

“Mengapa kakak Mawar tidak pernah beritahu Suri tentang hal ini?”

Kali ini aku pula yang tercengang.

“Bukankah Suri pernah bilang sebelum ini yang Seri Mawar tidak pernah berahsia dengan Suri?”

“Itu memang benar. Tapi...” Dia senyap.

Ya, aku rasa aku tahu. Suri bercakap benar. Tiada rahsia di antara dia dengan Suri. Tapi, Seri Mawar juga manusia seperti yang lain. Bukan semua perkara perlu diceritakan kepada orang. Kalau itu adalah perkara peribadi yang betul-betul penting, mana mungkin dia mahu ceritakan kepada Suri.

“Suri,” Aku menyentuh bahunya. Pandangannya jatuh melihat air tasik yang jernih itu. Lama juga dia termenung.

“Suri, marilah kita pulang.” Aku mengajaknya pulang. Aku tidak tahu apa yang sedang bermain di benak fikirannya itu. Suri hanya menuruti kataku. Aku mengerling seketika dua buah pulau itu. Ada sesuatu yang menarik aku hendak ke sana, tetapi, kutahan. Lagipun, aku risau dengan Suri sekarang ini.


DALAM perjalanan pulang, aku dengan Suri dikejutkan dengan dua suara yang berbeza sedang bergelak tawa di sebalik semak di dalam hutan. Aku dengan Suri berpandangan.

“Kakak Mawar, Suri takutlah.” Suri mengenggam erat lenganku. Tidak langsung dilepaskan olehnya.

“Suri tunggu sini. Kakak mahu lihat apa yang ada di sebalik sana itu.” Ujarku lembut. Suri geleng kepala berkali-kali. Aku mengeluh.

“Kita pergi sama-sama, mahu?” Aku mengajaknya pula. Semakin pelik suara-suara itu aku dengar.

“Suri tidak mahulah. Kakak Mawar, lekaslah. Marilah kita pulang.” Dia menarik lenganku kuat. Aku tetap pendirian. Aku tidak mahu pulang selagi aku tidak tahu apa yang ada di sebalik semak itu.

“Suri,” Aku memandangnya tajam sebelum memaksanya melepaskan lengan aku. Dia tidak jadi untuk menjerit apabila langkah aku sudah menjauhinya.

Sekejap-kejap aku memandang ke belakang melihat keadaan Suri dan kemudian berpaling ke hadapan semula. Semakin aku melangkah ke depan semakin besar tawa suara-suara itu.

Mataku terbeliak. Mulutku melopong melihat adegan mesra itu. Cepat-cepat aku beristighfar. Mereka berdua sedang membuat maksiat di tempat seperti ini. Aku... aku terpana. Terkejut. Segala perasaan bercmpur baur. Aku berlari mendapatkan Suri. Tidak sanggup aku mahu melihat adegan itu.

“Kakak Mawar, mengapa?” Terkejut Suri melihat reaksi aku ini.

“Lekas. Kita pergi dari sini.” Aku menarik tangan Suri dan terus membawanya keluar daripada hutan ini.


MALAM itu aku langsung tidak dapat melelapkan mata. Adegan mesra mereka berdua terngiang-ngiang di kotak minda aku ini. Sungguh, aku benar-benar kecewa. Seorang kawan baik dan seorang lagi kekasih hati. Kedua-duanya penipu!

Depan aku bukan main lagi baik bagai. Bukan main lagi sayang. Tapi, di belakang aku...

“Sanggup mereka berdua tikam Seri Mawar dari belakang.” Aku mengetap bibir. Tidakkah si Seri Mawar ini tahu tentang hubungan mereka berdua itu?

Pada masa yang sama kata-kata abang Nadim berlegar-legar di kepala. Banyak sungguh masalah yang aku kena hadapi.

“Kalau kaulah, Seri. Kau nak siapa? Siapa yang kau nak jadikan suami? Tengku Ryan Arjuna ke atau Tengku Rayyan Rehan?” Aku memandang ke arah cermin. Seolah-olah diri di dalam cermin itu adalah Seri Mawar. Lama aku mendiamkan diri dan akhirnya aku menghela nafas berat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience