BAB 14

Fantasy Completed 18480

WAJAHNYA bengang. Aku tahu dia masih naik angin dengan aku. Apa tidaknya, tadi dia memaksa aku duduk di bahagian depan tapi aku tidak mahu. Lebih baik aku duduk di belakang daripada duduk di bahagian depan. Aku takut kalau dia buat sesuatu yang tidak elok dekat aku. Lagipun dia ini playboy.

“Tengku marah lagikah?” Tanya aku. Aku hanya menggenggam kuat pada hujung baju milik lelaki itu.

“Tengku perlahanlah sikit. Kalau Seri jatuh bagaimana?” Aku merasakan pergerakan kuda ini semakin laju. Aku boleh sahaja mengawal kuda ini tapi aku teringat yang Seri Mawar itu tidak pandai menunggang kuda.

“Tengku!!” Aku meninggikan suara. Sungguh aku takut dengan cara Tengku Ryan Arjuna ini membawa kuda putihnya. Pada saat itu, mata aku tertancap pada dua pasangan yang berjalan di sebalik pokok-pokok hutan itu.

Ah, tidak mungkinlah itu kawan Seri Mawar! Apa yang Melati buat di dalam hutan sebegini? Aku pasti lelaki yang bersamanya itu adalah Esmail. Mana boleh aku lupa dengan wajah kekasih Seri Mawar itu. Kenapa mereka berdua berada di dalam hutan? Apa hubungan mereka berdua sebenarnya? Fikiranku melayang kembali kepada kata-kata Suri sebelum ini. Mindaku bermain dengan pelbagai soalan mengenai mereka berdua.

BUKK!!

Aku menggosok-gosok punggungku. Inilah padah kalau tidak mahu dengar cakap orang. Disebabkan kuda itu terlalu laju menyebabkan aku terjatuh dari tempat duduknya. Aku menggeram. Tak guna punya Tengku Ryan Arjuna!

Nasib baiklah aku terjatuh di atas tanah lembab ini. Kalau aku terjatuh di atas batu-batu besar itu memang pengsanlah jawabnya. Aku mahu bangun tapi belakang tubuhku terasa sakit.

“Maafkan saya.” Dia turun dari kudanya dan kemudian menghampiri aku. Aku mendengus kasar.

“Tiada maaf bagi orang yang bernama Tengku Ryan Arjuna ini! Tepi!” Aku menolaknya ke tepi apabila dia cuba membantu aku untuk bangun.

“Seri Mawar yang saya kenal bukan seperti ini. Dia lemah lembut. Pemalu. Menghormati orang lain.”

Ah, itu Seri Mawar! Aku ini Naura Athifa yang sesat dalam jasad Seri Mawar. Perangai kami berdua jauh berbeza. Persamaan kami hanya sedikit sahaja.

“Seri tidak kisahlah sama ada perangai Seri ini pelik ataupun tidak. Sekarang ini Seri marah dengan tengku. Disebabkan Tengku Ryan bawa kuda itu laju sangat, Seri jatuh tahu. Kalau Seri mati biar padan dengan muka Tengku Ryan. Tengku Ryan kahwin sajalah dengan perempuan lain.”

Tiba-tiba dia ketawa.

“Biar sekalipun perangai Seri ini pelik, saya tetap akan mengahwini Seri.” Katanya dengan tawa yang masih bersisa. Tanpa keizinan aku dia terus mengangkat tubuhku dan meletakkan aku di atas batu besar.

“Lain kali, kalau Tengku Ryan hendak sentuh Seri beritahulah Seri dulu.”

“Kalau saya minta izin sekalipun dengan Seri, Seri tetap akan menolaknya bukan?”

Aku mendengus. Tangan aku kembali menggosok bahagian punggung yang sakit.

“Apa yang Tengku Ryan hendakkan dari Seri, hah? Kalau pasal kahwin, Seri minta maaf sangat sebab Seri tidak mahu berkahwin dengan Tengku Ryan.” Lebih baik aku berterus terang. Kalau tidak aku juga yang akan sakit hati nanti.

Dia menyandarkan tubuhnya pada pokok dengan senyuman sinis yang terlakar di wajah kacaknya itu. Dia berpeluk tubuh sambil menghadap ke arah aku. Jarak di antara kami hanya beberapa langkah sahaja.

“Huh, tidak mahu berkahwin dengan saya, ya?” Dia ketawa sinis.

“Apa sekalipun alasan Seri, saya tetap tidak akan mengubah keputusan saya. Perkahwinan kita akan diteruskan juga.”

“Tapi... tapi...” Apa alasan yang hendak aku berikan kepada dia ini, hah?

“Tapi, kita berdua tetap tidak boleh berkahwin. Seri sudah berpunya.” Kataku laju. Aku harap alasan ini boleh membatalkan niatnya untuk berkahwin dengan aku.

“Berpunya?” Dia meledakkan tawanya. Aku terkesima. Dia langsung tidak marah dengan aku.

“Kalau Seri sudah berpunya, mengapa lelaki itu tidak muncul di saat Seri memerlukannya?”

“Apa maksud Tengku Ryan, hah?”

Aku tidak salah dengarkah? Tidak mungkinlah Mail itu jahat dengan Seri Mawar? Pada saat-saat yang bagaimana yang Tengku Ryan Arjuna ini maksudkan, hah?

Tengku Ryan Arjuna hanya tersenyum. Dia tidak mahu menjawab soalan aku itu. Dia mendekati aku semula. Aku mula rasa cuak.

“Marilah kita pulang. Lain kali sajalah kita bincangkan tentang hal ini.” Ujarnya lembut. Tapi aku belum puas hati.

“Tengku Ryan Arjuna.” Aku memandangnya dengan pandangan dalam.

“Tengku Ryan, tolonglah. Seri belum bersedia lagi untuk berkahwin dengan tengku. Bagilah Seri masa untuk memikirkan semua ini.” Aku merayu. Apa jua alasan yang aku berikan pasti dia akan menolaknya. Lebih baik aku merayu sahaja.

“Baiklah. Saya akan bincangkan dengan keluarga saya. Kalau perkahwinan kita tidak jadi saya akan tukar kepada yang satu lagi.”

Aku mengerutkan dahi. Tukar apa?

“Tengku Ryan hendak tukar apa?”

“Kalau bukan kahwin saya hendak kita berdua bertunang. Mahu atau tidak Seri kena terimanya.”

Mulutku melopong. Aku tidak terfikir pula tentang pertunangan ini.

“Tapi...”

“Sudahlah. Mari kita pulang. Nanti, keluarga Seri risau pula.” Lagi sekali tanpa keizinan aku dia terus mencempung aku dan meletakkan aku di atas kuda putihnya.

Aku buat muka marah. Dia hanya tersenyum sahaja. Pelik. Tiba-tiba terlintas di fikiran aku untuk mengetahui perangai Tengku Ryan Arjuna ini. Dia memang beginikah? Nampak serius tapi sebenarnya hatinya lembut. Mungkin sebab itulah anak-anak dara di kampung Indera Aurora ini tergila-gilakannya. Aku? Hesy, Naura Athifa jaga hati kau ni. Aku tidak mahu terjatuh hati pula dengan lelaki ini sedangkan aku sudah berpunya.

Dia naik di atas kuda dan menyuruh aku memeluk pinggangnya. Aku jadi malu. Sudahlah aku duduk di depannya. Mahu memberontak tapi dalam keadaan ini memang aku tidak boleh. Belakang tubuh aku masih lagi terasa sakit.

“Tengku Ryan, tolong jangan bawa kuda ini laju sangat, ya?” Aku langsung tidak memandang wajahnya.

“Baiklah.” Ujarnya lalu memberi arahan kepada kuda putihnya itu. Aku tidak tahu sama ada dia tersenyum ataupun tidak. Suaranya lembut sahaja membalas kata-kataku tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience