BAB 71

Fantasy Completed 18480

SEPANJANG hari aku memikirkan cara untuk keluar dari tempat ini. Imah sudah lima kali datang menghantar makanan yang aku mahu. Itupun aku sengaja berbuat begitu. Aku mahu Imah membantu aku keluar dari sini.

“Imah, tolonglah saya. Tengku Rayyan Rehan yang Imah kenal sekarang bukan lagi seperti sebelum ini. Sikap dia sudah berubah.” Aku cuba menyakinkannya.

Imah tidak memberi sebarang reaksi.

“Imah, kamu tahukah yang mereka perlukan saya. Abang dan adik saya perlukan saya. Radin...” Aku tidak meneruskan kata. Kata-kata Maji sukar untuk aku percaya bahawa Radin sudah dibunuh oleh orang-orang Agis.

“Imah, saya rayu pada kamu. Tolonglah bawa saya keluar dari sini.”

“Cik puan, maafkan saya. Saya benar-benar takut dengan Tengku Rayyan Rehan. Saya tidak mahu dimarahi olehnya lagi.” Dia melepaskan tangan aku dan kemudian keluar daripada rumah ini.

PERUTKU ini semakin membulat. Kata orang tua-tua kalau perut bulat itu berkemungkinan akan mendapat bayi perempuan. Aku mengusapnya sambil merenung ke luar tingkap yang berpagar ini.

“Bagaimana lagi aku hendak memujuk Imah ini? Aku buntu.” Aku mengeluh untuk sekian kalinya.

Aku berdiri mengeluarkan pensil dan juga beberapa helai kertas di dalam laci. Melihat keadaan aku sekarang ini aku tidak rasa yang aku akan hidup lama di sini. Selagi mereka ada alat yang boleh mengesan aku selagi itulah aku tidak akan hidup tenang.

Aku menarik nafas panjang. Sebelum terjadi apa-apa pada diri aku ini lebih baik aku luahkan saja semuanya di dalam helaian-helaian kertas kosong ini.

MALAM semakim larut dan aku masih lagi menulis. Imah langsung tidak datang ke sini. Sebaliknya, orang lain yang datang menghantar makanan kepada aku. Aku kecewa dengan orang gaji aku itu. Dia langsung tidak mahu menolong aku.

Sejam lebih berlalu dan akhirnya aku berhenti menulis. Semua helaian-helaian kertas itu aku lipat dan meletakkannya ke tepi. Esok adalah penentuan untuk aku. Aku bersyukur sangat sekiranya Maji datang membantu aku. Tapi, kalau jalan terhalang aku tidak boleh buat apa-apalah. Hidup perlu diteruskan walaupun maut ada di depan.

Aku terkejut apabila pintu utama terbuka tiba-tiba. Tidak ada sesiapa pun yang muncul. Berhati-hati aku melangkah ke arah pintu yang terbuka itu.

Sampai di muka pintu aku meliarkan pandangan mencari gerangan yang membuka pintu rumah ini. Tetapi tidak ada seorang pun di luar ini.

“Siapa agaknya, ya?” Aku tertanya-tanya.

Pandangan aku jatuh pada sehelai kertas yang berlipat di atas lantai. Segera aku mengambil dan membacanya.

Aku tergamam. Ini nota dari Imah. Dia yang membuka pintu ini dan menyuruh aku keluar dari sini. Pelindung jiwa juga sudah dibuka. Dia tahu aku bukan Seri Mawar dan berhari-hari juga dia berfikir sama ada mahu menolong aku ataupun tidak.

Rupanya, Imah yang membuat pelindung jiwa di sekitar kawasan rumah ini. Dia juga diarahkan oleh Tengku Rayyan Rehan agar menjaga aku. Imah bukan orang sini. Dia dari Kota Shir.

Tanpa berfikir panjang aku terus menutup dan mengunci pintu rumah. Aku melarikan diri ke dalam hutan. Di dalam nota itu Imah mengatakan yang Tengku Rayyan Rehan tidak pulang hari ini kerana bermalam di rumah keluarganya. Aku berterima kasih banyak kepadanya.

“Naura!!”

Langkahku mati. Aku cemas. Mahu melangkah tetapi suara itu masih memanggil nama aku. Perlahan-lahan aku menoleh ke belakang.

“I... Imah?!”

Dia meluru ke arahku dan memelukku erat.

“Maafkan aku, Naura. Aku sudah lama tahu tentang diri kau. Aku dipaksa oleh Tengku Rayyan Rehan untuk menyembunyikan kau dari pengetahuan orang-orang Agis.”

“Tidak apa. Aku faham. Terima kasih Imah sebab kau sudi tolong aku.”

“Sama-sama.”

“Tapi... apa sebab kau...”

“Itu tidak usahlah kau tahu, Naura.” Potongnya.

“Lebih baik kau pergi sekarang sebelum dia datang. Aku dapat rasakan yang dia akan kembali ke rumah itu.”

“Imah tolong aku, ya?”

“Baiklah. Aku akan bantu setakat mana yang aku mampu halang dia. Kau pergi. Kau jangan takut kerana ada orang yang akan ambil kau sekejap lagi.”

Wajahku berkerut. “Siapa?”

“Kau akan tahu nanti. Pergilah.”

Aku mahu pergi tetapi ada sesuatu yang aku mahu minta kepadanya.

“Imah ada seperkara lagi aku hendak minta tolong daripada kau.”

“Apa dia?”

“Janji dengan aku. Janji dengan aku yang kau sentiasa ada di sisi Seri Mawar. Tolong jagakan Seri Mawar. Jaga dia dan juga anak dia ini. Tolong jelaskan dia, terangkan dengan dia tentang semua ini. Lagi satu, aku mahu Tengku Rayyan Rehan sayang dan cinta semula dengan Seri Mawar.”

Wajahnya menunduk untuk seketika. Mungkin dia sedang berfikir.

“Untuk kau, Naura. Aku janji akan jaga dia. Aku anggap dia seperti saudara kandung aku sendiri.”

Aku memeluknya. “Terima kasih untuk segalanya Imah. Terima kasih kerana menjaga aku dengan baik. Terima kasih kerana sudi jadi teman aku di rumah itu.”

Kami berpelukan kejap.

“Sudah. Kau kena pergi sekarang.” Dia melepaskan pelukan. Aku angguk dan terus meninggalkannya.

“DINDA!”

Aku terkejut dek suara itu. Dalam kegelapan hutan ini aku mencari-cari arah suara itu.

“Dinda ikut kanda.” Suara garau itu milik Tengku Ryan Arjuna. Dia menggamit tanganku lalu membawa aku ke tempat dia meletakkan kudanya.

“Macam mana Tengku Ryan tahu yang saya ada di sini?” Tanya aku. Walaupun dalam keadaan panik aku tetap berhati-hati kerana takut sekiranya ada apa-apa terjadi pada kandunganku ini.

“Maji yang bagitahu kanda. Kanda akan bawa adinda ke tempat yang mula-mula adinda sedar dulu.”

Aku terfikir sesuatu. Mungkinkah...?

“Maji yang pujuk Imahkah?” Aku meminta kepastian. Lagipun, Imah tidak beritahu aku lagi siapa yang mendorongnya melepaskan aku pergi.

“Mungkin. Lagipun, petang tadi Maji ada cakap mahu jumpa dengan seseorang. Kanda rasa orang yang dia mahu jumpa itu orang gaji adinda.”

Tapi... Apa yang Maji cakap kepada Imah sehingga Imah membantu aku keluar daripada tempat tersebut?

“Tengku Ryan, Maji mana?”

“Dia dengan yang lain sudah ada di sana. Mungkin sekarang ini Maji tengah buka laluan ke tempat asal adinda.”

Betulkah?! Kalau Maji berjaya buka port ke sana bermakna aku akan pulang malam ini.

Kami sampai di tempat dia meletakkan kudanya. Sudah lama aku tidak melihat kuda putih kesayangan Tengku Ryan Arjuna ini. Aku ingat lagi semasa aku naik kuda ini dan terjatuh disebabkan Tengku Ryan Arjuna membawanya dengan laju.

“Dinda, lekas naik.”

Aku tersentak. Aku mengusap wajah kuda ini dan kemudian Tengku Ryan Arjuna membantu aku naik di atas kuda.

“Terima kasih.” Ucapku. Dia sekadar mengangguk dan kemudiannya naik di atas kuda. Aku duduk di depan, dia di belakang aku. Tengku Ryan Arjuna terus mengarahkan kudanya untuk bergerak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience