BAB 46

Fantasy Completed 18480

ABANG NADIM sudah berjanji tidak akan membocorkan rahsia yang aku ceritakan semalam. Dia juga ada menasihati aku tentang perkahwinan aku dengan Tengku Ryan Arjuna. Aku terima nasihat itu dengan hati yang berat.

Aku bersiap-siap untuk keluar rumah. Aku tidak boleh terperap saja di dalam rumah ini. Umi Intan dari pagi tadi asyik membebel saja dengan aku. Pelik juga aku dengan perangai umi Intan itu. Selalunya dia tidak marah-marah begini. Hari ini, dia asyik cari kesalahan aku sahaja.

“Hah, Seri hendak ke mana pula itu?” Umi Intan menegur aku sebaik sahaja aku keluar daripada bilik.

“Keluar, umi.” Jawab aku perlahan.

“Seri ini tidak reti hendak duduk diam di rumahkah, huh? Asyik keluar saja.”

“Seri...”

“Sudah. Hari ini jangan keluar rumah. Duduk diam saja di rumah ini. Kalau bosan ajaklah adik Seri itu bercerita.” Tegasnya.

“Mengapa umi marah-marah Seri ini? Seri ada buat salahkah?” Rasa tidak puas hati yang aku simpan sejak pagi tadi kini terlepas juga dari mulut aku.

“Umi marah sebab Seri kerap keluar rumah. Orang-orang kampung sibuk bercakap mengenai hubungan Seri dengan si Mail itu. Apatah lagi hubungan Seri dengan Melati. Semua orang kampung di sini cakap kamu ini jahat.” Umi Intan menghela nafas berat. Dia duduk sambil menghadap aku yang masih berdiri di depannya.

“Sakit hati umi dengar orang-orang sini mengata kamu dengan si Mail itu. Ada yang cakap kamu berdua sudah melakukan maksiat. Seri tahukan yang Seri ini bakal jadi isteri orang lain. Mengapa buat umi dengan walid macam ini? Umi malu, tahu.” Umi Intan menutup separuh wajahnya sambil menggelengkan kepala. Aku merapati orang tua itu dengan perasaan serba salah.

“Umi, percayalah. Seri bukan orang yang macam itu. Seri tidak pernah menjatuhkan maruah umi dengan walid.” Tidak semena-mena aku mengalirkan air mata.

“Percaya? Habis, mengapa orang-orang kampung ini mengata kamu seperti begitu, huh? Sebelum ini baik-baik saja tapi, sekarang ini?” Umi memandang aku dengan tajam sekali.

“Ada lagi kata yang Seri ini keluar rumah semata-mata hendak menggoda lelaki di luar sana. Umi pula tidak pandai menjaga anak sendiri. Mana umi hendak letak muka umi ini, hah?!”

Aku mengetap bibir. Sebegini sekali aku diburuk-burukkan oleh mereka. Siapalah dalang di sebalik ini semua yang berani-beraninya memfitnah aku?

“Umi, sumpah. Seri bukan seperti itu, umi. Walaupun Mail itu kekasih Seri tetapi kami berdua tidak pernah melakukan maksiat. Umi pun tahukan, Seri dengan dia sudah putus. Kami berdua tiada apa-apa hubungan lagi. Apa yang orang-orang kampung katakan itu semuanya tidak betul, umi.” Aku mengesat air mataku.

Umi Intan berdiri.

“Masuk bilik Seri sekarang juga. Umi tidak mahu dengar apa-apa alasan dari mulut Seri. Masuk!” Terhinjut bahu aku dek suara tinggi umi Intan. Aku merengus dan berlari masuk ke dalam bilik.


“GERAM betul aku! Siapa yang cakap bukan-bukan pasal aku ni, hah?!” Aku menghempas kasar tubuhku di atas tilam. Baru hari ini aku dengar orang memburuk-burukkan aku. Tidak mungkinlah mereka tahu keadaan aku sekarang ini?

Aku bangun dan mengubah posisi. Tiba-tiba pintu bilik diketuk dari luar. Aku segera membukanya. Tersembul wajah Suri di sebalik pintu. Aku terkejut, dia seperti lipas kudung masuk ke dalam bilik dan menguncinya.

“Mengapa Suri?” Berkerut-kerut wajahku memandang gadis remaja ini.

“Kakak Mawar, apa yang kakak sudah buat ini?” Suri menarik aku duduk di birai katil. Dia kelihatan panik.

“Apa yang kakak sudah buat, hah? Cuba Suri ceritakan dengan kakak. Tadi, umi baru saja marah kakak. Sekarang ini, Suri pula marah-marah kakak.”

“Iyalah. Macam mana Suri dengan umi tidak marah, orang-orang kampung tiba-tiba saja mengata kakak yang bukan-bukan.”

Aku melopong. “Mereka buruk-burukkan kakakkah?”

“Ya. Mereka kata yang kakak ini penggoda. Ada yang cakap kakak ini buat perkara yang jijik dengan lelaki di luar sana.”

Bulat mata aku mendengarnya. “Suri tahukan yang kakak bukan begitu orangnya?”

Perlahan-lahan dia menganggukkan kepala.

“Daripada mulut siapa Suri dengar semua ini, huh?”

Dia menundukkan kepala.

“Suri...”

“Kakak Orked.”

“Hah?! Dia dengar daripada siapa pula?”

“Dari abang Taji dengan orang-orang dia.”

Terus aku terdiam. Aku bangkit dan menuju ke arah tingkap. Aku berfikir sejenak.

Sedang aku berfikir, tiba-tiba ada sesuatu dihumban masuk ke dalam bilik aku. Laju aku mengambil benda tersebut. Sebiji batu yang di balut dengan sekeping kertas. Aku melihat ke luar tingkap semula dan mencari orang yang menghumban batu ini.

“Mengapa kakak Naura?” Suri berdiri di sebelah aku.

“Ada orang humban batu ni.”

Suri menyentak batu yang berbalut dengan kertas itu dari tangan aku. Laju dia membuka balutan itu dan membacanya.

“Kakak Naura, pesanan dari abang Radin.”

“Huh?” Aku menarik kertas dari tangan Suri. Ya, pesanan ringkas dari Aiz Hafizi. Dia mahu berjumpa dengan aku di tempat yang mula-mula aku sedar dulu.

“Tapi, macam mana kakak hendak pergi ke sana? Lagipun, umi masih marahkan kakak. Dia tidak mahu kakak keluar daripada rumah ni.”

“Jangan risau. Suri akan tolong kakak.”

Aku angkat kening sebelah. Boleh percayakah dengan budak ni?

“Kakak tunggu sini. Kalau dengar Suri menjerit, itu maknanya kakak boleh larikan diri. Apa-apa jadi nanti Suri akan minta tolong dari abang Nadim.” Dia angkat ibu jari sambil mengeyitkan mata.

“Baiklah. Kakak tunggu isyarat dari Suri.”

Suri tersenyum sebelum keluar daripada bilik ini. Beberapa minit berlalu dan aku terdengar Suri menjerit di luar bilik. Itu adalah isyaratnya. Lantas aku keluar dengan berhati-hati. Suri mahupun umi Intan tidak kelihatan di ruang tamu ini. Tanpa membuang masa aku terus keluar dari situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience