BAB 18

Fantasy Completed 18480

KEESOKKAN paginya aku keluar lagi. Aku mahu ke hutan itu semula. Aku belum berputus asa lagi tahu. Aku mahu cari benda yang suara misteri itu beritahu aku.

Aku sudah memberitahu Suri tentang hal ini semalam. Hampir sahaja kami berdua bergaduh tapi aku sudah berjanji dengannya yang aku akan beritahunya sekiranya aku menjumpai apa yang aku mahu di hutan itu.

“Seri Mawar.” Aku di sapa seseorang. Ketika itu aku sedang menutup pintu pagar rumah.

“Ma... Mail?” Aku tergamam melihatnya di depanku. Baru sahaja semalam aku melihatnya dengan Melati. Apa pula yang dia buat dekat sini?

“Err... Mail buat apa di kawasan rumah Seri ini?” Aku menyoalnya dengan riak tidak suka. Ya, sejak pertemuan tempoh hari itu lagi aku tidak suka dengan lelaki ini. Tapi, disebabkan dia ini kekasih hati Seri Mawar aku kena terimanya juga.

“Saya mahu berjumpa dengan Seri. Ada perkara yang saya mahu bincangkan dengan Seri.”

“Perkara?” Aku mengepal tangan dengan kuat. Kenapa asyik gagal saja?! Bila aku hendak ke hutan itu pasti ada yang menghalang.

“Perkara apakah yang Mail hendak bincangkan dengan Seri? Boleh Mail cakap di sini saja?”

“Rasanya di sini tidak sesuai. Mari kita pergi ke tempat lain.” Pantas dia menarik tanganku.

“Err... Mail. Lepaskan tangan Seri, ya. Seri tidak sukalah.” Aku menarik semula tanganku daripada genggamannya. Jelas wajahnya berkerut.

“Mengapa Seri? Setahu saya, Seri suka kalau saya pegang tangan Seri ini. Mengapa hari ini Seri menolaknya pula?”

Aduh, alasan apa yang hendak aku berikan kepada lelaki ini? Sejujurnya aku memang tidak suka bila lelaki menyentuh aku.

“Err... Mail pun tahukan yang Seri ini bakal menjadi milik Tengku Ryan Arjuna tidak lama lagi. Tidak manislah kalau orang lain melihat Mail memegang tangan Seri ini.” Huh, nasib baiklah aku teringatkan si tengku itu.

Aku dapat mendengar dengan jelas dia mendengus. Aku buat tidak tahu, bertenang.

“Kalau Seri tidak suka, tidak apalah. Tapi, saya mahu Seri ikut saya juga. Perkara ini penting untuk saya bincangkan dengan Seri.”

Aku menjulingkan mata ke atas.

“Bolehkah kita bincangkan perkara itu di lain hari? Seri sebenarnya hendak pergi ke tempat lain hari ini.” Aku tidak mahu ada sesiapa pun menghalang aku pergi ke hutan itu hari ini. Aku perlu segera mencari benda yang di panggil ‘Fatamorgana Aurora’ itu.

“Seri...”

“Mail tolonglah...” Aku merayu. Aku tidak mahu rancangan aku gagal lagi untuk kali ini.

“Tidak bolehlah Seri. Saya mahu perkara ini selesai hari hari ini juga.”

Aku mengetap bibir. Geram betul aku dengan dia. Tengok wajah dia ini lagi buat aku bertambah marah tahu.

“Hesy, awak ni! Jangan bagi saya hilang sabar boleh tak?!” Tahap kesabaran aku semakin nipis. Aku memang tidak boleh tahan kalau ramai yang menghalang rancangan aku ini.

“Se... Seri! Bahasa apa yang Seri gunakan ini, hah?” Dia meninggikan nada.

“Bahasa apa?! Huh!” Aku ketawa sinis.

“Ini bahasa melayulah. Takkan itu pun awak tak faham?” Aku sudah tidak peduli lagi. Biarlah aku guna bahasa melayu moden. Aku memang tengah marah dengan lelaki ini.

Dahinya berkerut. “Seri...”

“No! I’m not Seri Mawar!! Saya Naura Athifa. Saya tak suka awak dan saya tak nak tinggal dekat sini. Awak faham tak?! Saya nak balik. Ini bukan dunia saya.” Aku melangkah pergi tetapi langkahku mati semula apabila mendengar dia menjerit.

“Orang kampung!! Orang kampung!! Bahaya!!”

Aku tergamam. Apa yang dia cuba hendak lakukan sebenarnya?

Orang kampung mula mengerumuni kami. Abang Nadim, Suri, umi Intan dan walid Adi juga turut keluar daripada perkarangan rumah. Aku mula cuak.

“Seri... Seri Mawar...”

“Mengapa Mail? Mengapa dengan anak mak cik ini?” Tanya umi Intan.

“Mak cik! Mak cik, anak mak cik ini bukannya Seri Mawar. Cara dia bertutur tadi sungguh pelik. Dia ini bukan Seri Mawar yang sebenar! Dia makhluk asing!!”

“Mail! Apa yang awak cakapkan ni, hah?!” Aku laju mendekati umi Intan.

“Umi, jangan percaya cakap dia tu.” Aku cuba menyentuh umi Intan tetapi malangnya tubuhku di tolak ke belakang. Aku terpana.

“Umi...”

“Tidak... tidak...” Umi Intan terduduk lemah.

“Pergi... pergi... Pergi!! Kau bukan anak aku!!”

Terhinjut bahuku dek suara tinggi umi Intan. Aku berdiri dan berundur ke belakang. Aku tidak sangka ini akan terjadi. Semua mata memandang tajam ke arah aku. Suri pula tidak dapat membantu aku dalam keadaan orang kampung yang ramai sebegini. Aku ketakutan.

“Makhluk asing!!”

“Itu bukan Seri Mawar kita! Kampung kita ada makhluk asing!!”

“Bunuh dia! Kita bunuh dia!!”

Aku menggigil ketakutan apabila mereka mula bergerak ke hadapan.

“Kakak Mawar lari!” Suri menjerit menyuruh aku melarikan diri.

“Kejar!!”

“Kejar dia!!”

“Tangkap makhluk asing itu!”

Aku menutup telingaku dengan ketat. Tidak mahu mendengar jeritan-jeritan tersebut. Aku berlari sekuat hati meninggalkan kampung itu. Aku harus bersembunyi!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience