BAB 13

Fantasy Completed 18494

KAWASAN lapang dengan tumbuhan menghijau di sekelililng aku membuatkan aku damai seketika. Angin yang bertiup lembut itu menenangkan jiwaku. Aku menarik nafas panjang dan menghembuskannya dengan perlahan. Pokok besar yang tidak jauh daripada tempat aku berdiri aku renung lama. Ya, pokok itulah yang aku lihat sewaktu aku mula-mula sedar tempoh hari.

Aku melangkah laju menuju ke arah pokok itu. Aku harus mula dari sana. Kalau aku berjaya aku akan kembali ke dunia asal aku hari ini.

Aku mengelilingi pokok besar yang rendang ini berkali-kali, cuba untuk mencari sesuatu di sini. Aku betul-betul mengharapkan ada sesuatu yang pelik di sini. Benda pelik itu mungkin jalan keluar untuk pergi dari dunia ini.

“Argh! Kenapa susah sangat nak cari benda tu?!” Marah aku. Puas aku mencari tetapi tiada satu benda pelik pun yang ada di situ. Aku bercekak pinggang sambil mengesat peluh di leher.

“Kalau tak ada dekat sini, mesti ada dekat-dekat dengan pokok ni. Aku tak boleh putus asa. Aku mahu balik hari ini juga!” Aku meneruskan pencarian. Di kawasan rumput, sungai yang berdekatan dengan kawasan lapang ini, pokok-pokok yang aku sendiri tidak tahu apa namanya, di celah batu-batu besar dan kecil, semua tempat aku cari.

Kalau di dalam drama-drama yang selalu aku tengok, dia orang mesti jumpa benda-benda pelik seperti batu bercahaya. Kalau tidak pun, lubang bercahaya. Ada juga yang kena teruskan hidup di dunia asing seperti ini sehingga dia habis nyawa barulah boleh kembali ke dunia asal. Hesy, aku tidak mahulah cerita aku seperti itu.

“Fatamorgana Aurora.”

“Fatamorgana Aurora? Apa benda tu? Benda tu boleh bawa aku pulang ke dunia asal aku ke?” Aku masih meneruskan pencarianku.

“Ya. Hanya benda itu saja yang boleh membawa kau pulang ke tempat dunia asal kau itu.”

Tegak terus tubuhku apabila mendengar suara garau itu. Aku baru tersedar yang aku sedang bercakap dengan seseorang. Pantas aku berpaling dan mencari arah suara garau itu.

“Siapa kau?!” Mataku mencari-cari gerangan empunya suara tersebut. Dia tiada di sini. Tapi, suara ketawanya itu jelas kedengaran di gegendang telinga aku ini.

“Berhenti ketawa! Baik kau keluar daripada persembunyian kau itu.” Suara aku separuh menjerit. Suara garau itu masih lagi mentertawakan aku.

“Kau mahu balik ke dunia asal kau tu ke?” Dia menyoal aku tanpa menunjukkan dirinya.

“Ya! Aku tak mahu tinggal di sini!” Beritahu aku. Aku tidak senang duduk apabila pemilik suara itu tidak mahu muncul di depan aku.

“Tapi, sayang sekali sebab kau memang tak boleh keluar daripada dunia ni.” Jawabnya.

Aku mengerutkan dahi. Dia guna bahasa melayu moden sama seperti aku. Tapi, aku tidak faham dengan apa yang dimaksudkan olehnya.

“Siapa kau sebenarnya, hah?! Aku nak balik. Kalau kau tau jalannya, tolonglah aku.”
Diam. Tiada balasan daripada suara garau itu. Hanya bunyi alam semula jadi sahaja yang menyapa telinga aku sekarang ini.

“Seri Mawar!!” Jerit satu suara. Nadanya agak marah. Aku telan liur. Aku tidak mahu pandang ke belakang.

“Seri Mawar!!!” Sekali lagi nama Seri Mawar itu di sebut dengan agak keras.

“Abang Nadim janganlah marah dengan kakak Mawar... Abang Nadim...” Suri cuba memujuk abang Nadim namun, pujukannya itu tidak berhasil. Abang Nadim menolak Suri ke tepi dan menyebabkan gadis itu hampir terjatuh. Nasib baiklah Tengku Rayyan Rehan menyambutnya.

“Nadim, kalau kau marahkan adik kau pun janganlah sampai tolak Suri ini. Kasihan dia.” Suara Tengku Rayyan Rehan itu jelas kedengaran dari tempat aku berdiri. Mereka berempat semakin menghampiri aku.

Pandangan aku terpaku pada lelaki yang berjalan di belakang abang Nadim. Dia memandang aku dengan pandangan yang tajam. Tiada langsung senyuman yang terbit di bibirnya. Dengan perempuan lain bukan main lagi dia tersenyum manis tapi dengan aku tidak pula.

“Mengapa Mawar melarikan diri daripada kami, hah?” Soal abang Nadim, marah. Wajahnya ketat.

“Mawar... Mawar...” Aku terus melutut dengan wajah yang tertunduk. Lidahku kelu. Otakku beku. Aku langsung tiada idea untuk memberi alasan kepada abang Nadim. Suara misteri tadi itupun tiada lagi kedengaran.

“Nadim, tidak usahlah kau marahkan Seri Mawar.” Kata suara itu. Aku mengerling dengan ekor mata. Saat itu, aku rasa bagaikan terkena renjetan elektrik apabila dia memandang tepat ke anak mataku. Laju aku menundukkan wajahku semula.

“Beginilah, Nadim. Bagi aku pinjam adik kau sekejap. Aku ada sesuatu hendak berbincang dengan dia sebelum kami berdua berkahwin nanti.”

Laju aku menoleh ke arahnya. Dia mahu berbincang dengan aku tentang apa? Kalau pasal kahwin aku memang tidak bersedia lagi. Lagipun, aku bukannya Seri Mawar. Kalau sekiranya aku berkahwin dengan dia dan tiba-tiba aku kembali ke dunia asal aku, macam mana pula nanti dengan Seri Mawar? Mesti dia terkejut yang dia sudah menjadi isteri kepada Tengku Ryan Arjuna ini. Bagaimana pula dengan kekasih hatinya si Mail itu? Mestilah Seri Mawar bertambah sedih.

Hesy, semua ini hanya kemungkinan atau andaian saja, kan? Tapi, kalau betullah aku boleh pulang dengan cara itu...

Argh! Tidak mungkinlah. Aku tidak mahu berkahwin lagi. Lagipun, aku tiada perasaan cinta dengan Tengku Ryan Arjuna itu. Walaupun dia kacak, anak bangsawan tapi belum tentu dapat membuka hati aku ini. Sebab hati aku sudah terikat dengan seseorang yang berada di sana.

“Seri Mawar,”

Aku tersentak daripada lamunanku. Aku rasa wajahku membahang sekarang ini. Kenapalah aku pandang wajah Tengku Ryan Arjuna itu sambil mengelamun. Aku mencubit pahaku sendiri.

“Seri Mawar bangunlah. Nanti sakit pula lutut Seri itu.” Ujar Tengku Rayyan Rehan sambil menghulurkan tangannya kepadaku.

Aku tersengih dan menolak hulurannya. Aku berdiri semula dan merapikan pakaianku.

“Maafkan Seri, Tengku Rayyan. Seri tidak sentuh...”

“Tidak mengapa, Seri. Saya faham.” Ujarnya memotong kata-kataku. Aku hanya tersenyum nipis dan menundukkan kepalaku semula. Aku perasan yang seorang lagi itu langsung tidak melepaskan pandangannya kepadaku. Rimaslah!

Abang Nadim menggeram. Dia kemudian memandang ke arah Tengku Ryan Arjuna.

“Baiklah. Aku percaya dengan kau. Kau jaga adik aku ini dan pastikan kau bawa dia pulang dengan selamat.” Kata abang Nadim. Dia memberi keizinan kepada lelaki itu. Aku rasa kepala aku sekarang banyak batu-batu besar. Ini bukannya masalah kecil tapi masalah besar! Aku akan berhadapan dengan Tengku Ryan Arjuna. Hanya kami berdua!

Dia bersiul beberapa kali dan kemudian muncul seekor kuda putih di sebalik semak hutan itu. Boleh tahan juga Tengku Ryan Arjuna ini melatih kudanya.

“Naik!” Arahnya.

Aku telan liur. Naik kuda dengan dia, boleh hilang nyawa aku ini tahu! Aku tidak mahu berkepit dengan dia di atas kuda ni.

“Seri tidak mahu. Seri lagi suka berjalan kaki.” Aku beri alasan. Bukannya aku tidak tahu menunggang kuda tapi dengan keadaan aku sekarang ini mana mungkin aku mahu naik atas kuda itu. Aku berpakaian kurunglah! Lagipun aku tidak selesa berdua-duaan dengan lelaki ini.

“Naik sendiri atau saya...”

“Seri tidak mahu! Kasihanlah dengan kuda ini. Tengku itu berat di tambah lagi dengan berat Seri ini mana mungkin kuda ini dapat menampung kita berdua.”

Suri dan Tengku Rayyan Rehan sudah mentertawakan aku. Abang Nadim pula berpeluk tubuh sambil menjegilkan matanya ke arah aku.

“Mengarut! Lekas naik.” Marahnya. Tangannya mahu menyentuh lengan aku namun cepat aku mengelak.

“Okey. Okey. Saya naik!” Marah aku dan terus naik di atas kuda itu. Semua mata terbeliak memandang aku.

“Kenapa?” Tanya aku kepada mereka bertiga sambil membetulkan kain sarung yang aku pakai ini. Aku sudah berada di atas kuda putih ini.

“O... O... Okey? Apa benda yang Seri cakapkan ini?”

Aku telan liur. Wajah Tengku Rayyan Rehan berkerut memikirkan perkataan tersebut.

“Kenapa? Maksud Seri mengapakah?”

Wajah abang Nadim pula yang berkerut. Begitu juga dengan Tengku Ryan Arjuna. Aku gigit bibirku. Geram dengan kesilapan sendiri.

“Setahu Suri, kakak Mawar tidak pandai naik kuda. Malah, kakak Mawar takut dengan kuda.” Suri merenung aku dengan tajam sambil berpeluk tubuh. Renungan tajamnya itu aku tahu yang dia tengah marah dengan aku. Dia tahu aku sudah buat kesilapan di depan mereka. Habislah kau Naura Athifa!!

Aku berdeham, kemudian tersengih sambil menggaru-garu belakang tengkukku.

“Seri... Seri... terbawa-bawa mimpi Seri semalam. Seri mengembara ke dunia lain dan belajar bahasa asing. Seri jadi terikut-ikut dengan mimpi Seri itu.” Tipuku. Harap-harap mereka percaya.

“Hesy, budak ini. Sudahlah. Abang dengan yang lain hendak pergi dulu. Ryan, kau jagalah adik aku ini baik-baik.” Kata abang Nadim sebelum mereka berlalu pergi meninggalkan aku dengan Tengku Ryan Arjuna bersama dengan kuda putihnya ini.

“Naik.” Arahnya sekali lagi. Wajahnya ketat. Aku telan liur. Mahu atau tidak aku terpaksa menurutinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience