BAB 11

Fantasy Completed 18480

“KAKAK MAWAR!” Sergah satu suara. Aku laju berpaling ke belakang.

“Su... Suri,” Aku tertangkap.

Dia berpeluk tubuh seiring dengan pandangan tajam yang cukup menusuk ke kalbuku. Ketika itu aku sudah berada di anak tangga terakhir dan mahu melangkah menuju ke pintu pagar rumah.

“Kakak mahu melarikan diri lagikah?”

Aku tersengih. Tidak mahu membalasnya mahupun menganggukkan kepala.

“Kakak Mawar tolonglah. Tolonglah jangan buat seperti ini lagi. Tidak sayangkah kakak Mawar dengan umi dan juga walid?”

Aku berubah riak. Mungkin tersentuh dengan kata-kata Suri itu.

“Kakak Mawar batalkan sajalah niat kakak Mawar itu. Tidak ada gunanya kakak Mawar hendak ke sana lagi.” Kata-katanya membuatkan aku rasa sakit hati.

“Bagaimana Suri boleh beri andaian sebegitu sedangkan kakak belum masuk lagi ke dalam hutan itu.” Aku sedikit merengus.

“Apa yang kamu berdua sembangkan pagi-pagi buta begini?” Tiba-tiba kami di tegur oleh abang Nadim.

Aku dengan Suri saling berpandangan.

“Err...” Aku telan liur. Kalau saja abang Nadim tahu yang aku hendak masuk ke dalam hutan itu pasti aku akan dimarahi dengan teruk.

“Abang tanya mengapa kamu berdua berdiam diri sahaja?” Abang Nadim sudah berpeluk tubuh seiring dengan renungan tajamnya ke arah kami.

“Err... Suri dengan kakak Mawar sebenarnya...” Suri ketap bibir. Dia sendiri tidak tahu hendak beri alasan apa. Habislah kalau abang Nadim tahu tentang rahsia ini.

“Sebenarnya apa?” Naik satu oktaf nadanya. Aku sekali lagi menelan liur.

“Se... se... sebenarnya...” Aku tergagap-gagap hendak membuka mulut. Takut dengan pandangan tajam itu.

“Yang sebenarnya... Mawar dengan Suri hendak masuk ke dalam hutan sana. Tapi... tapi...”

“Tapi, kami berdua takut. Abang Nadim temankanlah kami berdua, ya?” Laju Suri menyambung ayatku.

Abang Nadim memandang kami bersilih ganti. Wajahnya ketat. Hesy, kenapalah aku berani mati menuturkan ayat seperti itu?!

“Masuk ke dalam hutan sana?! Mawar dengan Suri hendak cari apa di dalam kawasan hutan itu, huh?”

“Cari... cari... ikan!”

“Burung!”

Serentak aku dengan Suri menjawab. Abang Nadim menggeram. Dia masuk ke dalam rumah semula meninggalkan kami berdua di luar.

“Mengapa burung?” Renungan tajam aku hadiahkan kepada Suri.

“Mengapa ikan, hah?” Dia juga turut sama memandang tajam ke arah aku sambil berpeluk tubuh.

“Sudah. Kamu berdua berhentilah bergaduh dan ikut abang sekarang.” Abang Nadim muncul semula lalu turun ke bawah mendekati kami berdua.

“Abang Nadim hendak bawa kami ke mana pula?” Tanya aku.

“Ke hutanlah. Bukankah kamu berdua hendak ke sana? Abang boleh saja temankan kamu berdua. Lagipun, abang juga ada tujuan hendak ke sana.” Beritahunya. Suri memandang aku. Aku pula masih mencerna ayat-ayat abang Nadim itu. Aku rasa tidak sedap hatilah pula.

“Marilah kita pergi. Nanti lama pula teman abang menunggu.”

“Teman? Siapa?” Serentak aku dengan Suri bertanya. Senyuman misteri itu membuatkan aku rasa lain. Pasti ada sesuatu yang abang Nadim sedang sembunyikan daripada kami berdua.

“Nanti kamu berdua tahulah. Sudahlah, mari kita pergi sekarang. Kasihan teman abang menunggu seorang di sana.” Abang Nadim terus menolak kami berdua keluar dari perkarangan rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience