BAB 69

Fantasy Completed 18480

DUA HARI berlalu dan aku masih tidak dapat memasuki bilik tersebut. Tengku Rayyan Rehan mengawal segala gerak-geri dan kelakuanku. Aku naik rimas. Tinggal dua hari lagi dan aku tidak mahu terperangkap selama-lamanya di dunia ini.

Tengku Rayyan Rehan keluar daripada bilik. Aku duduk di ruang tamu sambil berfikir. Nampak sahaja kelibatnya masuk ke dapur aku segera bersembunyi di sebalik dinding mendengar perbualannya dengan Imah.

“Imah, jaga cik puan. Jaga rumah ini. Saya mahu pergi ke pekan sebentar.”

“Baik, tengku.”

“Satu lagi, jangan bagi cik puan pergi ke bilik hujung itu. Ini kuncinya. Jaga kunci itu sehingga saya pulang.” Arahnya.

Seperti lipas kudung aku kembali ke tempat duduk aku tadi. Aku berpura-pura tidur di bangku panjang itu. Dia keluar dan menghampiri aku.

Aku masih meneruskan lakonan tidur. Aku dapat rasakan wajahnya dekat denganku. Aku cuba berlagak tenang. Hanya hembusan nafas kasar sahaja yang di hela olehnya. Aku membuka mata perlahan apabila dia melangkah ke pintu utama. Dia langsung tidak mahu bersuara dengan aku. Aku kecewa.

MATAHARI semakin meninggi, hampir tengah hari. Tengku Rayyan Rehan masih belum pulang lagi. Imah pula sibuk melipat pakaian yang baru saja diambil dari jemuran tadi. Aku tidak tahu apa yang aku hendak buat sekarang ini. Lagipun, kunci bilik itu ada dengan Imah.

“Apa perlu aku buat ni? Aku mahu masuk ke dalam bilik tu sebelum Tengku Rayyan pulang.” Aku mengusap perut sambil memikir cara untuk mendapatkan kunci tersebut.

Imah keluar daripada biliknya dan terus ke bahagian dapur. Aku memerhatikan tindak-tanduk Imah dari jauh. Dia sedang membuat kuih dan mengeluarkan sesuatu dari poket bajunya.

Mataku membulat. “Kunci!”

Aku perlu fikirkan caranya. Imah masih sibuk membuat kuih. Dia membelakangi kunci yang diletakkan olehnya di atas meja. Tanpa melengahkan masa, aku terus ke dapur, melangkah perlahan-lahan agar Imah tidak perasan dengan kehadiran aku.

Hampir sahaja dia perasan dengan kehadiran aku. Mujurlah dia ke belakang tembok pemisah dapur ini. Cepat-cepat aku mengambil kunci itu dan terus pergi.

Sampai di bilik berkenaan aku terus membuka pintu tersebut dan mencari batu bercahaya itu. Aku masih ingat di mana Tengku Rayyan Rehan meletakkan batu tersebut. Lantas, aku membuka laci meja.

“Huh?!” Aku pasti batu itu ada di sini.

“Aku ingat lagi dia letak dekat sini. Mana pula batu tu hilang?” Aku menggerutu.

“Dinda!”

Aku terkejut. Wajahnya membahang melihat aku di dalam ruang bilik ini.

“Ka... kanda. Din... dinda...” Lidahku kelu.

“Dinda buat apa dekat dalam bilik ini, hah?!” Marahnya.

Aku diam. Tidak mungkin aku mahu beritahu dia hal sebenar.

“Cakap, dinda. Bagitahu kanda apa yang dinda buat dekat sini? Berterus terang sajalah dengan kanda!” Wajahnya bengis. Ini kali pertama aku nampak dia marah sebegini.

“Mengapa kanda marah dinda begitu. Sememangnya apa salah adinda, huh?” Aku menahan perut aku yang mula terasa sakit.

Dia senyum sinis. Dia melangkah ke arah almari dan membuka laci di bawah. Ada sebuah kotak sederhana di dalam laci tersebut, dia mengambilnya dan membuka kotak tersebut. Alangkah terkejutnya apabila aku melihat benda tersebut.

“Dinda cari batu ini, bukan?” Batu bercahaya itu digenggamnya dan ditunjukkan kepada aku. Lemah terus tubuhku. Aku terjelupuk jatuh. Nasib baik aku jatuh di atas kerusi.

“Cakap! Dinda cari benda ini, bukan?” Dia merapati aku dengan muka bengisnya.

“Ya. Ma... macam mana ka... kanda tahu adinda cari batu itu?” Tergagap-gagap aku bersuara. Situasi tegang ini menakutkan aku. Entah apa yang akan terjadi selepas ini?

“Kanda sudah lama tahu sejak adinda berbual dengan Nadim di dapur.”

Laju aku mengangkat wajah memandangnya.

“Kanda kononnya akan balik selepas tiga hari tetapi kanda bohong dengan adinda. Kanda sebenarnya mencari sesuatu yang boleh menyembunyikan adinda daripada pandangan orang-orang Agis itu.”

Aku bagaikan tidak percaya dengan apa yang baru sahaja aku dengar ini. Rupanya, Tengku Rayyan Rehan sudah mengetahuinya.

“Kalau kanda sudah mengetahuinya, beri batu itu kepada dinda. Dinda akan kembalikan Seri Mawar kepada kanda. Adinda tidak mahu tinggal lama di dunia kanda ini.” Akhirnya aku berterus terang.

“Tidak semudah itu adinda. Kanda memang cintakan Seri Mawar. Tapi, sekarang cinta kanda pada adinda yang berdiri di depan kanda ini. Kanda cintakan adinda Naura. Naura Athifa.”

Aku geleng kepala. “Tidak. Tidak! Kanda tidak boleh cintakan adinda. Adinda bukan orang sini. Adinda bukan berasal dari dunia ini. Adinda mahu pulang ke dunia adinda.” Aku menidakkannya.

“Sudah. Kanda tidak mahu dengar lagi alasan yang keluar dari mulut adinda. Batu ini kanda tidak akan beri pada adinda. Kalau batu ini boleh mengembalikan adinda ke dunia asal, kanda lagi rela batu ini di buang dan biarkan adinda hidup di sini bersama dengan kakanda.”

Aku merenungnya tajam.

“Kanda gilakah?! Seri Mawar bagaimana pula?”

“Kanda tidak kisah semua itu. Adinda yang ada di depan kanda sekarang ini lebih baik daripada Seri Mawar.”

Aku melopong. Tiba-tiba tanganku digenggam olehnya dan dia menarik aku keluar dari bilik tersebut.

“Apa kanda buat ini? Kanda mahu bawa adinda ke mana, hah?!” Aku cuba melepaskan genggaman tersebut tapi gagal.

Dia membawa aku ke halaman rumah belakang. Di hujung halaman itu ada sebuah rumah batu sederhana. Dia memaksa aku masuk ke dalam rumah tersebut.

“Kanda buat apa ini, hah?” Tanyaku tidak puas hati.

“Kanda mahu adinda duduk di dalam ini. Rumah batu ini kanda sudah minta orang untuk buatkan pelindung agar orang-orang Agis tidak dapat mengesan kedudukan adinda.”

“Tapi, ini tidak adil. Kanda bukannya mahu melindungi adinda tetapi mengurung adinda, bukan? Kanda buat begini supaya adinda tidak dapat balik ke dunia asal adinda, bukan?” Aku mendengus.

“Ya! Kanda sayangkan adinda. Sayang kanda tidak dapat menandingi sayang Tengku Ryan Arjuna pada adinda. Dinda hanya dimiliki oleh kakanda seorang saja dan bukannya Tengku Ryan Arjuna.”

“Kanda jangan buat adinda begini. Anak dalam kandungan ini. Tidak mungkin kanda mahu biarkan adinda di dalam rumah ini dalam keadaan begini?” Aku tidak berputus asa.

“Hal itu janganlah adinda khuatirkan. Kanda akan selalu jenguk adinda. Makan minum adinda biar Imah saja yang uruskan.” Dia terus mengunci aku di situ.

“Kanda! Kanda! Buka pintu ini!!” Jeritku. Namun, sia-sia sahaja kerana dia sudah jauh meninggalkan aku di sini. Aku menangis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience