KAWASAN tasik yang pernah aku jejaki sebelum ini menjadi pilahan Aiz Hafizi. Masing-masing meliarkan mata dan aku pula tertarik untuk melihat dua buah pulau yang berada di tengah tasik itu.
“Naura Athifa!”
“Hah?”
“Kakak Mawar hendak ke mana pula itu?” Suri menyoal aku.
“Ah?!” Aku memandang sekeliling dan baru tersedar kedudukan aku sudah jauh daripada mereka. Aku tersengih.
Aku langsung tidak menyedari langkahku yang semakin jauh dari tempat mereka berdiri. Fikiran aku telah mempengaruhi aku untuk pergi ke pulau itu. Ah... Apa agaknya yang ada di pulau itu, ya?
“Naura nak ke mana tu, hah?” Tiba saja di tempat mereka, abang Nadim menegur aku. Sekarang tidak ada apa lagi yang perlu dirahsiakan. Masing-masing sudah mengetahui hal sebenar kecuali cerita Ayana Maisara a.k.a Jelita. Hanya sedikit sahaja yang abang Nadim ceritakan tentang Ayana Maisara.
Perempuan itu mengaku kepada abang Nadim yang dia datang dari dunia lain. Pada mulanya, abang Nadim tidak percaya tetapi tingkah laku pelik perempuan itu kepadanya berjaya membuatkan abang Nadim percaya kepadanya. Ayana Maisara juga mengajar abang Nadim bahasa di tempat asal kami. Ketika itu, hanya dia dengan abang Ayana sahaja yang mengetahui rahsia Ayana Maisara. Aku juga menceritakan pada abang Nadim tentang aku yang pada awalnya terdampar di dunia ini dan sehinggalah cerita kelmarin. Mujurlah abang Nadim tidak terlalu marah.
“Kita semua sudah ada di sini. Sekarang aku nak kau bagitahu aku apa yang kau tahu pasal Ayana Maisara. Apa kaitan Ayana Maisara dengan kau dan juga Naura?” Abang Nadim terus ke topik utama. Masing-masing mencari posisi duduk. Aku dengan Suri duduk di tepi tasik. Abang Nadim dan juga Aiz Hafizi berdiri di sebelah pokok. Kedudukan mereka bertentangan di antara satu sama lain.
“Kami bertiga datang dari tempat yang sama.” Jawab Aiz Hafizi tenang.
“Itu aku tahulah. Sekarang ni, aku nak kau bagi tahu aku apa yang telah terjadi pada Ayana Maisara?”
“Dia di bawa lari oleh salah seorang penduduk dari Kota Agis. Abang Jelita mahu menolongnya tetapi dia juga ditangkap oleh mereka dan di bawa ke kota itu.”
“Semasa kejadian itu berlaku, kau tengah tunggu Jelita di Taman Indera Aurora. Aku tahu apa perasaan kau ketika itu. Tapi, aku tidak boleh berbuat apa-apa.”
“Kau tahu?! Kau ada di sanakah ketika itu?” Aku mencelah.
“Ya. Masa itu aku masih lagi dalam proses belajar kemahiran orang-orang Kota Agis.”
Aiz Hafizi masih dalam proses pembelajaran... Jadi, kejadian itu berlaku baru-baru ini jugalah, kan? Mungkin juga dalam bulan pertama dia berada di Lokamaya ini. Aku memandang Aiz Hafizi. Aku tahu dia sedang membaca fikiran aku sekarang ini.
Dia tersenyum memandang aku. Aku anggap senyuman itu adalah ‘ya’.
“Siapa yang bawa lari Ayana masa itu?” Tegang suara abang Nadim melontarkan soalan kepada Aiz Hafizi.
“Orang yang bawa Jelita lari itu adalah abang Radin. Niat dia hendak membantu Jelita. Dia mahu menyembunyikan Jelita kerana ketika itu orang-orang Agis sedang mencari Jelita. Dia tidak sangka pula abang Jelita itu mengejar mereka. Secara tidak sengaja orang-orang Agis ternampak abang Jelita dan mereka mengikutinya. Setelah mereka berjaya ditangkap mereka terus di bawa ke Kota Agis.” Beritahunya. Dia kemudiannya membelakangi kami.
“Naura, Nadim.”
“Ini semua tidak akan berlaku jika keluarga Radin tidak mencipta batu Fatamorgana Aurora itu.”
“Apa maksud kau, Aiz?” Soalku.
“Batu magik itu yang membawa kita ke sini, Naura. Jika mereka tidak membuat hajat seperti itu, ini semua tidak akan terjadi.”
“Ya. Aku sendiri pun tidak tahu mengapa mereka membuat hajat seperti itu.” Aku menunduk.
“Hajat mereka adalah mahu meminta jiwa lain untuk bertukar dengan mereka. Mereka berbuat begitu kerana mereka sendiri buntu untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.” Dia berpaling ke arah aku.
“Seri Mawar memanggil Naura kerana hatinya tidak boleh menolak apa yang berlaku di depan mata. Sekalipun dia cuba untuk buat tidak tahu, hatinya masih tetap untuk bersama lelaki itu.”
“Saya sudah mengagaknya. Iyalah, semua masalah dia, saya yang kena selesaikan. Terutama sekali soal cinta. Dari cerita Suri dengan Melati, saya tahu Seri Mawar itu cinta mati dengan Mail. Tetapi, apa yang saya lihat sebelum ini sangat menjijikkan. Sanggup mereka berdua buat seperti itu di belakang Seri Mawar.” Aku merengus.
“Jadi, kakak Jelita pun begitu jugakah?” Suri mencelah setalah lama mendiamkan diri.
“Jelita pula tersepit dengan permintaan keluarganya. Keluarganya memaksanya untuk berkahwin dengan pilihan hati mereka sedangkan pilihan hati mereka itu bukanlah berperangai baik. Lelaki yang mahu dikahwinkan dengan Jelita itu adalah seorang kaki perempuan dan suka mengambil kesempatan dekat perempuan lain. Pada masa yang sama, Ayana yang mengambil alih tubuh Jelita itu menyelesaikan dengan cara dia sendiri. Dia menolak pinangan lelaki itu. Jelita seorang yang lemah dan tidak berani bersuara di depan keluarganya. Semua arahan dia turutkan. Tetapi, Ayana tidak. Dia berani berbuat sebaliknya dan disebabkan itu dia dibuang keluarga. Ayana tidak merempat kerana abangnya masih sayangkannya dan membawanya tinggal di tempat lain. Abangnya selalu keluar kota dan selalu membawa Ayana ke mana saja dia pergi. Lawatan seterusnya di Kota Indera ini dan begitulah kau dengan dia berjumpa.” Aiz Hafizi mengerling ke arah abang Nadim.
“Ayana memang cintakan kau tetapi dia tidak boleh kerana ini bukan dunianya. Setelah dia puas berfikir dia mengambil keputusan untuk memberitahu kau tentang perasaannya. Dia tidak kisah apa yang terjadi nanti kerana dia betul-betul sukakan kau, Nadim. Tetapi, keadaan tidak mengizinkan. Sewaktu kau dengan dia berjanji untuk bertemu pada petang itu, abang Radin datang membawa dia pergi.”
“Adakah Ayana Maisara masih hidup sekarang?” Abang Nadim meminta kepastian.
“Ya, dia masih hidup tetapi bukan di sini. Dia sudah kembali ke dunia asalnya.” Beritahu Aiz Hafizi.
“Cerita keluarga Radin pula bagaimana?” Tanya aku yang ingin tahu. Saat itu, terdengar keluhan panjang yang dilepaskan oleh Aiz Hafizi.
“Sebelum ini aku sudah ceritakan dengan kau tentang batu Fatamorgana Aurora itu, kan?”
Aku mengangguk laju.
“Sebenarnya, batu-batu magik itu dibuat oleh keluarga Radin. Batu magik yang pertama hilang itu adalah dari hajat Jelita. Batu seterusnya yang hilang itu pula berpunca daripada Radin sendiri dan...”
“Batu ketiga itu adalah Seri Mawar, kan?”
Dia mengangguk.
“Ada berapa sebenarnya batu-batu magik itu?” Aku tidak puas hati.
“Ada tujuh biji kesemuanya batu-batu Fatamorgana Aurora itu. Tetapi empat daripadanya sudah diambil oleh pembesar-pembesar Kota Agis. Mereka menyimpannya di dalam peti jampi.”
“Suri peliklah. Mengapa keluarga Radin tiba-tiba mahu membuat batu Fatamorgana Aurora itu?”
“Niat mereka sebenarnya hendak menolong mereka yang berada dalam kesusahan. Batu itu sudah dijampi dan hajat yang diterima itu hanyalah hajat yang baik-baik sahaja.”
“Hajat untuk tukar jiwa itupun hajat yang baik-baikkah?” Tanya Suri.
Dia tersenyum kecil. “Tidak, Suri. Sebenarnya, semasa dalam proses penjampian itu, salah seorang daripada mereka sudah memberi syarat seperti itu. Hajat yang pelik, luar daripada Lokamaya inipun akan ditunaikan oleh batu magik itu.”
“Apa yang mereka telah lakukan itu telah diketahui dan mengundang amarah Raja Agis. Benda-benda seperti itu adalah larangan di sana bahkan seluruh alam yang ada di Lokamaya ini. Kehidupan luar dari Lokamaya ini sepatutnya tidak boleh masuk ke dunia ini.”
“Kuasa orang-orang Kota Agis juga ada batasnya. Jadi, Raja Agis membuat keputusan untuk menghukum keluarga Radin. Keseluruhan keluarganya telah di bunuh kecuali yang berdiri di depan kamu sekarang ini. Jika jasad Radin dan juga Seri Mawar ini ditangkap mereka akan membunuhnya tanpa belas kasihan. Kami pula akan dilepaskan semula pulang ke dunia asal.”
Suri laju memeluk aku. “Suri tidak mahu kakak Mawar mati. Suri tidak sanggup.” Dia menangis. Sebak pula aku mendengar luahan budak remaja ini.
“Tidak ada cara lainkah mahu kembalikan jiwa kamu berdua dengan jiwa empunya jasad ini?”
Lama pula si Aiz Hafizi ini mendiamkan diri.
“Itu aku tengah fikir sekarang.” Jawabnya ringkas.
“Jadi, kau ke sini untuk apa?”
“Aku ke sini untuk Naura Athifa. Dia kawan aku dan aku kena jaga dia. Aku juga kena sembunyikan diri takut sekiranya mereka menangkap aku nanti.”
“Apa-apa pun mulai dari sekarang kita semua kena berhati-hati. Aku takut mereka ke Kota Indera ini.” Ujar abang Nadim.
“Setakat ini, itu sajalah yang aku boleh beritahu dengan korang. Baik korang semua pulang dulu. Hari pun dah nak mendung. Aku tengok awan itu gelap sangat. Mungkin hujan lebat akan turun kejap lagi.”
Aku dengan Suri bangun. Sebelum mengorak langkah sempat lagi Aiz Hafizi berpesan kepada aku. Dia mahu berjumpa aku di sini esok hari. Aku sekadar mengangguk.
Share this novel