BAB 20

Fantasy Completed 18480

AKU pulang ke rumah dengan perasaan yang hampa. Hari ini aku gagal lagi ke hutan itu. Ini disebabkan si Mail itulah. Tiba di rumah aku dikejutkan pula dengan kedatangan Tengku Ryan Arjuna sekeluarga. Sepupunya, Tengku Rayyan Rehan juga ada bersama dengan mereka.

“Ke mana saja Seri pergi ini, huh? Petang sebegini baru Seri hendak pulang. Kasihan mereka semua menunggu Seri tahu.” Umi Intan geleng kepala. Aku tertunduk malu.

“Mana Seri tahu mereka semua hendak datang ke sini.” Aku memuncungkan mulut. Aku sedar Tengku Ryan Arjuna dan juga Tengku Rayyan Rehan sedang mentertawakan aku. Aku mencebik. Mesti mereka berdua itu tengah mengejek aku.

“Sudahlah. Pergi masuk. Mandi. Lepas itu tolong umi di dapur. Malam ini kita semua akan makan bersama.”

Aku melopong. Biar betul?! Umi Intan menyuruh aku tolong dia di dapur? Perlahan-lahan aku mengukir senyuman lebar.

Laju aku masuk ke dalam bilik. Ini peluang aku hendak tunjukkan bakat. Siapa kata aku tidak boleh memasak. Di sana aku memang pandai memasak tetapi bila aku di rumah yang satu lagi aku macam di kawal. Susah aku hendak buat itu ini.


MAKAN malam siap! Umi Intan dan juga Suri melopong melihat masakan yang aku masak. Tadi, aku langsung tidak beri peluang kepada mereka berdua untuk menolong aku. Aku menyuruh mereka duduk dan memerhatikan kerja aku sahaja. Lebih lima jenis hidangan masakan yang aku sediakan untuk mereka semua.

“Se... Seri. Seri belajar daripada mana semua masakan ini?” Berkerut-kerut umi Intan melihat hidangan-hidangan tersebut.

“Seri belajar ini semua daripada umilah. Lagipun, Seri pandai memasak.” Tuturku dengan teruja. Aku yakin Seri Mawar pun mesti sama hebat dengan aku dalam bidang masakan ini.

Aku perasan sesuatu pada wajah mereka berdua. Kedua-duanya memandang aku dengan dahi yang berlapis-lapis.

“Seri? Seri memang pandai memasakkah? Sejak bila? Umi tidak pernah lagi nampak Seri pegang kuali itu. Kalau setakat tolong umi potong sayur-sayur itu adalah.”

Aku telan liur. Aku sangkakan Seri Mawar ini pandai memasak. Tetapi, apa yang dikatakan oleh umi Intan itu pula jelas menunjukkan yang Seri Mawar tidak tahu apa-apa tentang masakan. Dia cuma tahu potong sayur saja?! Habislah aku...

“Err...”

“Umi, sedaplah!” Tiba-tiba Suri memuji masakan aku. Aku melepaskan lega. Nasib baiklah Suri menyelamatkan aku. Umi Intan tidak jadi bersuara. Dia mengambil sudu dari tangan Suri lalu merasa masakan yang aku masak itu. Aku tersenyum-senyum melihat kerenah dua beranak ini. Terangguk-angguk sambil memuji hidangan tersebut.

“Sedap sungguh masakan Seri ini.” Puji umi Intan. Dia mencuba lagi hidangan lain.

Sedang umi Intan asyik merasa masakan aku itu, tiba-tiba Suri menarik aku ke tepi.

“Mengapa Suri?”

“Kakak Naura lain kali hati-hatilah sikit. Kalau kakak hendak tahu, kakak Mawar bukannya pandai masak pun. Selama ini yang memasak di dapur cuma umi seorang saja. Lagipun, kakak Mawar tidak suka memasak.” Omelnya dengan suara yang berbisik.

Kali ini aku yang melopong. Biar betul?!

“Suri, bolehkah kita bincang pasal itu selepas ini saja?” Banyak sekali ingin aku tanyakan kepada adik si Seri Mawar ini. Informasi yang diberikan olehnya sebelum ini masih belum cukup membantu aku di sini.

“Baiklah.” Suri mengangguk.


“SEDAP-SEDAP belaka masakan yang Seri masak ini.” Puji Tengku Ayusha.

“Pembantu rumah di rumah itupun tidak sepandai Seri yang pandai memasak masakan seperti ini. Sedap sungguh.” Kata Tengku Bahaman disertakan dengan tawa kecilnya.

Aku menyimpul senyuman. Aku perasan wajah Tengku Ryan Arjuna agak tegang. Manakala, reaksi Tengku Rayyan Rehan disebaliknya pula. Apa kena dengan mereka berdua itu, hah?

“Seri, apa nama masakan ini semua? Bonda belum pernah lagi melihat masakan ini semua.”

Bonda? Malu pula aku bila Tengku Ayusha membahaskan dirinya dengan panggilan itu.

“Iyalah, Seri. Umi pun terkejut lihat hidangan ini semua. Setahu umi, Seri memang tidak pandai memasak dan tidak suka memasak.” Tutur umi Intan pula. Suri memandang aku dengan wajah geramnya. Aku buat tidak tahu.

“Seri bukannya tidak pandai memasak, umi. Seri cuma khuatir jikalau masakan Seri ini tidak sedap. Seri belajar memasak ini pun senyap-senyap tanpa pengetahuan umi dengan yang lain.” Nasib baiklah otak aku ini berfungsi. Aku harap jawapan aku ini dapat menyelamatkan aku. Aku pandang Tengku Ayusha pula.

“Tengku Ayusha...”

“Bonda.”

Aku tersengih. Kena jugakah panggil dia ini dengan panggilan bonda itu? Ish!

“Err... Bonda, kalau bonda hendak tahu masakan ini semua adalah hasil ciptaan Seri sendiri.” Mahu sahaja aku ketawa dengan jawapan yang aku berikan itu. Walhal, masakan ini semua ada di dunia aku sana. Ayam masak masam manis, sambal udang petai, kerabu ayam mangga dan beberapa lagi jenis masakan moden yang aku hidangkan.

“Eloklah Seri pandai memasak. Lepas ini bolehlah tolong umi Seri di dapur ini.” Walid Adi bersuara. Aku hanya membalas dengan senyuman. Aku perhatikan abang Nadim. Aku peliklah dengan dia. Sejak aku balik rumah tadi, dia hanya mendiamkan diri sahaja. Abang Nadim ada masalahkah?

Selesai makan malam, aku dengan Suri mengambil alih untuk mengemaskan meja makan. Mereka yang lain sudah beredar ke ruang tamu. Aku mengemas meja sementara Suri pula mencuci pinggan mangkuk di singki.

“Suri,” panggil aku. Tugas aku sudah selesai dan aku menemani Suri yang masih lagi dengan tugas mencucinya.

“Hmmm,”

“Abang Nadim itu baik-baik sajakah?” Tanyaku.

Suri mengerling dengan wajah yang berkerut. “Abang Nadim baik-baik sajalah. Mengapa tiba-tba saja kakak Mawar bertanya tentang abang kita itu?”

“Kakak pelik. Abang Nadim itu tidak seperti selalunya. Hari ini dia banyak mendiamkan diri. Kakak fikir dia ada masalah.”

“Abang Nadim memang begitu. Kakak Mawar tidak usahlah risau.” Katanya. Lambat-lambat aku menganggukkan kepala sebelum membuang pandang ke luar tingkap semula.

Sebelum ini aku membayangkan rumah ini seperti dalam cerita-cerita klasik itu. Rupanya, bayangan aku itu salah sama sekali. Rumah-rumah di sini semuanya moden walaupun ada yang menggunakan kayu sebagai bahan binaan rumah mereka.

“Suri,”

“Ya, kakak Mawar. Ada apa lagi?”

Aku ketawa kecil. Geramlah tu.

“Suri, mengapa rumah-rumah di sini ada bermacam-macam jenis, ya?” Tanya aku sambil mata meliar di luar kawasan rumah. Malam itu cerah disinari dengan cahaya bulan dan juga lampu-lampu jalanan.

“Oh, Suri lupa pula beritahu kakak Mawar. Kalau kakak Mawar mahu tahu rumah-rumah di sini ini dibina mengikut kemampuan mereka sendiri. Bahan-bahan binaan untuk buat rumah ini sebenarnya agak mahal juga kerana semua bahan-bahan itu diambil dari luar kota.”

Aku berfikir.

“Seperti rumah kita ini.”

“Mengapa dengan rumah kita ini?” Dahiku berkerut.

“Rumah kita ini dibina dengan bahan-bahan kayu. Separuh kayu berkualiti dan separuh lagi tidak. Kalau orang-orang kampung yang bina rumah mereka macam rumah kita ini, itu menunjukkan mereka itu dari golongan yang bersederhana. Sama seperti keluarga kita.” Beritahunya.

“Kalau kakak Mawar perasan, rumah di sebelah kita ini rumah batu dan itu menunjukkan mereka itu dari golongan orang-orang kaya.” Sambung Suri lagi. Aku terangguk-angguk.

“Jadi, sama jugalah dengan rumah Tengku Ryan Arjuna itu? Rumah mereka pun bercirikan rumah batu?”

“Eh, binaan rumah mereka lain lagi. Mereka dalam golongan bangsawan. Orang-orang tersohor di Kota Indera Aurora. Rumah mereka lagi cantik berbanding rumah-rumah jiran kita ini. Rumah keluarga Tengku Ryan Arjuna itu diperbuat daripada bahan batu dan juga kayu yang berkualiti.”

Aku mencebik. Rumah-rumah di dunia aku itu pun apa kurangnya. Orang yang tidak mampu hanya dapat rumah teres atau pangsa sahaja. Tidak pun, rumah-rumah kampung. Kalau orang yang kaya-raya sudah tentulah rumah mereka mewah seperti vila, banglo ataupun rumah-rumah yang lagi mahal daripada rumah tersebut.

“Err... Suri,” aku baru teringat tentang hal tadi. Apa lagi kalau bukan pasal si Seri Mawar.

“Ya,”

“Pasal kakak Suri itu... Benarkah dia tidak pandai memasak?”

“Ya.”

“Biar betul?! Selama dia hidup ini, dia langsung tidak pernah sentuh kuali itukah?”

“Adalah dua, tiga kali. Tapi, kalau memasak dia memang tidak mahu.”

“Eh, pelik? Macam mana pula kakak Suri ini boleh jadi gadis idaman lelaki di kampung ini sedangkan dia tidak pandai memasak.”

Pinggang aku dicubit. Aku mengadu kesakitan.

“Jangan mengata kakak Mawar, ya.” Dia menjeling tajam. Aku tersengih.

“Maaflah...” Kami terus berbual sehinggalah muncul Tengku Ryan Arjuna dengan Tengku Rayyan Rehan di dapur. Seorang dengan wajah ketatnya dan yang seorang lagi dengan senyuman lebarnya.

“Seri,” serentak mereka berdua menyebut nama aku. Aku memandang Suri. Dia jungkit bahu dan meneruskan cuciannya.

“Ya. Mengapa tengku berdua panggil Seri?” Aku memandang mereka berdua silih berganti.

“Saya mahu bawa Seri keluar sekejap.” Tegang suara lelaki itu. Aku pula tenang sahaja. Aku beralih pandang ke tempat Tengku Rayyan Rehan.

“Abang Rayyan pula mengapa panggil Seri?” Tanyaku. Senyuman diukir buat lelaki itu.

“Abang sebenarnya mahu berbual dengan Seri tetapi tidak mengapalah. Lagipun, sepupu abang ini mahu bawa Seri keluar berjalan.”

Aku mengeluh. Ini yang aku tidak suka. Aku malas hendak berdepan dengan lelaki macam Tengku Ryan Arjuna ini. Serius. Air muka dia asyik ketat sahaja. Cakap dengan aku pun macam hendak makan aku sahaja.

“Err... Kalau abang Rayyan mahu berbual dengan Seri, Seri mahu.”

“Kakak Mawar.” Suri memandang aku dengan pandangan tajam.

“Salahkah?”

“Bukan salah tapi...” Belum sempat Suri mengabiskan ayatnya, Tengku Ryan Arjuna terus menarik tangan aku keluar daripada dapur tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience