BAB 58

Fantasy Completed 18494

“ABANG akan datang semula tiga hari kemudian. Dinda kenalah jaga diri di sini. Rindukan kanda, ya.”

Geli aku mendengar ayat terakhir itu. Belum sempat aku berbuat apa-apa dia pantas menghadiahkan aku sebuah ciuman di dahi. Aku terpinga-pinga dengan perbuatannya itu. Malu jadinya.

“Mengapa lambat sangat kamu berdua bersembang? Bonda dengan yang lain sudah menunggu lama di bawah.” Laung Tengku Ratna dari luar bilik.

“Ya, bonda. Sekejap lagi kami keluar.” Balas aku. Aku buang rasa malu dan memandang semula Tengku Rayyan Rehan.

“Abang Rayyan dengan yang lain hati-hati dalam perjalanan nanti, ya.” Pesan aku sambil membetulkan pakaiannya. Dia tersenyum.

“Terima kasih, risaukan abang. Adinda pun hati-hatilah. Jaga diri di sini. Abang benarkan adinda ke mana saja adinda mahu pergi. Asalkan adinda ditemani oleh abang adinda ataupun adik adinda.”

“Betulkah, abang Rayyan?” Aku meminta kepastian. Lepas ini, bolehlah aku jumpa dengan Aiz Hafizi. Sudah lama aku tidak menjenguknya.

“Ya, tapi dengan satu syarat.”

Aku mengerutkan dahi. “Syarat apa?”

Tengku Rayyan Rehan melebarkan senyuman misterinya. Bertambah lapisan di dahi aku ini.

“Tukar panggilan abang itu kepada kanda.”

Aku telan liur. Permintaan yang agak berat bagi aku.

“Lekaslah. Kanda hendak dengar dari mulut mungil adinda ini.” Dia mencubit lembut pipi aku sebelum mengelusnya.

“Malu.” Aku terus berpaling ke tempat lain.

“Sekali saja. Abang teringin hendak dengar dinda panggil abang dengan panggilan itu.” Kali ini dia memeluk aku pula. Wajah kami dekat. Aku berasa tidak selesa dengan perbuatannya.

“Err... Ka... kanda,”

“Hmmm, cakaplah sesuatu yang manis untuk kakanda.” Dia menggeselkan hidungnya dengan hidung aku.

Argh!! Gelinya kurasakan ketika ini. Dia ingat ini cerita hindikah? Macam Shah Rukh Khan buat dengan pelakon-pelakon wanita yang lain. Mana aku hendak letak muka aku ini?!

Dia ketawa. “Malu?”

Aku angguk laju. Bertambah kuat dia mentertawakan aku. Aku terus memuncungkan mulut.

“Abang Rayyan janganlah ketawakan Seri.” Aku menghentak kaki dan berpaling darinya sambil berpeluk tubuh. Ish! Gedik pula aku ini. Gara-gara bayi inilah.

“Dinda janganlah merajuk. Nanti, bayi kita ini ikut macam adinda pula. Kuat merajuk.” Dia menyambung tawanya lagi. Aku mendengus.

“Abang Rayyan! Ish, malaslah Seri hendak layan abang. Suka betul usik Seri.” Aku menuju ke katil. Tawanya masih lagi bersisa. Aku buat muka marah. Tidak habis-habis mentertawakan aku.

“Tidak usahlah dinda merajuk. Mari kita keluar. Semua orang sudah menunggu di bawah. Nanti-nanti sajalah kanda tagih panggilan itu.” Dia menarik aku keluar daripada bilik. Terus hilang rajukku padanya.

Semua sudah menunggu di luar rumah. Kenderaan kuda berangkat ke Kota Puspaloka juga sudah ada di situ. Tersenyum-senyum mereka melihat aku dengan Tengku Rayyan Rehan. Maklumlah, pengantin barulah katakan.

“Bonda lihat kamu berdua ini susah sangat hendak berpisah. Seri, ikut sajalah kami pulang. Di sana nanti, Seri puaslah bermanja dengan suami Seri ini.”

Aku tersedak. Semua tersengih memandang aku. Berkali-kali aku malu. Ish!

Laju aku berlari masuk ke bilik. Tidak tahan dengan usikan mereka. Telinga aku sempat menangkap gelak tawa besar mereka. Ah, pedulikan sahajalah mereka itu. Lebih baik aku merehatkan diri.

RUMAH terasa sunyi sebaik sahaja suami dan keluarga mentua aku berangkat pulang ke kotanya. Fikiran terus melayang pada Tengku Ryan Arjuna. Agaknyalah, bagaimana keadaannya sekarang ini?

Ikutkan hati aku ini aku mahu bertemu dengannya sekarang. Tapi, dengan status aku baru aku ini mana mungkin aku berani untuk berdepan dengannya.

“Kakak Mawar!”

Terkejut aku apabila Suri merempuh pintu bilik ini dengan sesuka hatinya.

“Ish, Suri. Nasib baik kakak tidak pengsan tadi.” Aku mengurut dada.

Dia tersengih duduk di sebelah aku.

“Suri tahu kakak pasti bosan duduk di rumah sajakan? Mari Suri temankan kakak keluar berjalan.”

Aku angkat kening sebelah. “Tiba-tiba saja Suri ini mahu bawa kakak jalan. Suri baik-baik sajakah?” Aku menyentuh dahinya.

“Suri baik-baik sajalah. Kita berdua sudah lama tidak keluar bersama. Marilah, kakak. Kita singgahlah nanti dekat gerai makan Pak Ajis. Kakak pasti rindu dengan kakak Orked, bukan?” Dia menggesel kepalanya di bahu aku. Ish, budak ni.

“Yalah. Yalah. Petang sikit baru kita keluar, ya. Kakak mahu berehat. Penat.” Ujarku sambil mengusap lembut perut aku yang sedikit membulat. Suri angguk laju dan terus keluar dari bilik memberi ruang untuk aku berehat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience