BAB 62

Fantasy Completed 18494

RUMAH kayu dua tingkat itu sungguh indah dengan ukiran flora di setiap tiang dan sisi pintu juga tingkap-tingkap rumah. Ditambah lagi dengan hiasan bunga-bungaan yang pelbagai jenis di sekitar kawasan rumah ini. Apa yang membuatkan aku tertarik lagi adalah rumah pokok yang dibina di atas pokok besar yang ada di tepi rumah ini.

“Rumah pokok itu untuk apa?” Tanyaku.

“Untuk anak-anak kita nanti. Kanda sudah berfikir semua itu sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.”

Bulat mataku mendengar pengakuan tersebut. “Fikiran jauh nampaknya abang Rayyan ini.”

“Untuk masa depan, kenalah berfikir panjang.”

Aku terus dibawa masuk ke dalam rumah yang serba coklat di luar dan di dalamnya pula digabungkan beberapa warna gelap dan cerah. Aku terkesima melihat hiasan rumah Tengku Rayyan Rehan. Di luar nampak biasa sahaja rumah ini tetapi bila masuk ke dalam bagaikan istana. Cantik. Sedap mata memandang.

“Abang Rayyan, mengapa rumah ini abang Rayyan tidak gabungkan saja bahan kayu dengan konkrit. Bukankah gaya rumah itu menunjukkan status seseorang itu?”

“Dinda, itu semua tidak penting bagi kanda. Suka hati kandalah hendak bina rumah jenis apa. Apa yang penting isi di dalamnya. Lagipun, kanda bukan jenis yang suka menunjuk-nunjuk pada orang walaupun mereka sudah sedia maklum tentang status kanda ini.”

Aku diam. Ada betulnya juga kata-katanya itu.

“Mari, kanda bawa dinda ke bilik kita.”

Mendengar sahaja perkataan ‘bilik kita’ itu terus aku menjarakkan diri darinya.

“Tidak bolehkah kita berdua tidur berasingan? Seri sebenarnya tidak biasa lagi.” Alasanku. Sebolehnya aku mahu mengelak daripada terjatuh cinta dengannya. Aku tidak mahu berpaling daripada cinta Tengku Ryan Arjuna.

“Ti... tidur berasingan?”

Aku angguk kepala.

“Dinda...” Dia membelakangi aku seiring dengan keluhan.

“Tolong jangan minta kanda seperti itu. Dinda sekarang tengah mengandungkan anak kanda dan kanda tidak mahu dinda tidur berasingan dengan kanda. Kalau ada apa-apa terjadi pada dinda di bilik itu siapa yang akan susah nanti?” Dia menoleh memandangku semula.

“Seri tidak akan menyusahkan abang Rayyan. Seri tahu bagaimana hendak menjaga diri sendiri.” Tuturku perlahan.

Nafas berat di hela. Dia merapati aku dan memelukku. Aku hanya membiarkan sahaja perlakuannya itu.

“Dinda, dinda ini sudah menjadi tanggungjawab kanda sekarang. Mengapa pula dinda menyusahkan kanda pula?”

Aku tidak terkata. Kalau sudah berumah tangga mestilah isteri itu tangunggjawab suami.

“Jadi, Seri kena tidur sebilik dengan abang Rayyan jugalah?” Aku menjuih bibir. Dia ketawa.

“Yalah. Bukankah isteri itu sentiasa ada di sisi suami.” Dia mengucup dahiku. Aku terus diam.

SELESAI makan malam aku terus ke bilik menukar pakaian. Malam ini adalah malam pertama aku tidur bersama suami di rumah sendiri. Tubuhku menggeletar. Jantungku jangan di tanya. Sudah tentulah degupannya laju berbanding sebelumnya.

Aku berdiri di tepi tingkap sambil menghirup udara malam. Aku tidak sangka aku boleh bertahan sampai ke hari ini. Dari mula aku datang ke sini sehinggalah aku berkahwin dengan Tengku Rayyan Rehan. Bermacam-macam rintangan dan halangan yang aku lalui dan yang paling mengejutkan aku lagi adalah kandungan yang aku kandung sekarang ini. Perkara inilah yang buat aku paling takut sekali apabila mengetahuinya. Mujurlah diari Seri Mawar dengan Tengku Rayyan Rehan itu membantu aku.

“Dinda tidak tidur lagi.”

Nafasku seperti tersekat apabila dia memeluk pinggangku.

“Tidak. Seri tidak dapat tidur.” Aku masih kaku dengan perlakuannya itu.

“Dinda tidak dapat tidur sebab takut kanda buat sesuatu dekat adinda, bukan?” Dia meletakkan dagunya di atas bahu kananku.

Dahiku mula berpeluh. Tubuhku mengeras. Seumur hidup aku, aku tidak pernah merasai perasaan sebegini.

“Perut dinda ini sudah besar, ya. Tidak sabar kanda hendak melihat anak kita nanti.” Dia mengusap bahagian perutku.

Dia kelihatan gembira sekali tetapi aku tidak. Aku masih belum terima semua ini. Kalau sahaja perkara memalukan ini tidak berlaku mungkin aku sudah bersama dengan orang yang aku cinta sekarang.

“Abang Rayyan,”

“Hmm...”

“Seri mahu tidur. Mengantuklah.” Aku pura-pura menguap. Sebenarnya aku mahu melarikan diri daripada keadaan begini sahaja.

“Marilah. Kanda pun mengantuk juga.” Dia melepaskan pelukan dan menutup tingkap sebelum membawa aku ke katil.

“Abang Rayyan, rumah ini tidak ada tv, kah?”

Dia mengerutkan dahi. “Maksud dinda?”

“Tv, lah. Televisyen. Sepanjang Seri di rumah sana dan bila sampai sini Seri baru perasan yang...”

Tidak! Aku sudah terlepas cakaplah. Habislah aku.

“Dinda? Dinda Seri?”

“Ya!” Aku sedar semula daripada lamunan.

“Mengapa dinda terus senyap saja?”

“Err... tidur. Jom, tidur.” Laju aku menariknya ke katil dan menyuruhnya tidur. Janganlah dia ingat apa yang aku cakap sebentar tadi.

Aku tutup suis lampu dan tidur.

“Televisyen? Kanda rasa benda yang dinda mahu katakan ini adalah wayang, bukan?”

Suaranya dekat dengan anak telingaku. Naik bulu tengkuk mendengar suara gemersik itu.

“Lebih kuranglah.” Lantak dialah sama ada kenal atau tidak televisyen itu. Televisyen dengan wayang lebih kurang sama sahaja.

“Di sini memang tidak ada benda itu. Tetapi, kalau dinda mahu tengok wayang kanda boleh bawa dinda pergi tengok. Tapi dekat sini, orang-orang suka melihat wayang kulit ataupun teater dekat wayang Puspa.”

Laju aku berpusing menghadapnya.

“Benarkah abang Rayyan?”

Dalam kesamaran cahaya aku boleh lihat dia mengangguk dengan senyuman. Tangan kirinya itu dialas dijadikan sebagai bantal untuk kepalanya.

“Bila kita boleh pergi?” Tanya aku teruja.

“Bila-bila masa saja.”

“Tak sabarnya. Dah lama saya nak tengok wayang kulit dengan teater.” Aku langsung tidak menyedari bahasa yang terkeluar dari mulutku ini.

“Dinda, kalau kanda minta sesuatu boleh?”

“Minta apa?”

“Jangan tinggalkan kanda.”

Aku diam.

“Abang Rayyan, bukankah kita berdua sudah berkahwin. Mana mungkinlah Seri tinggalkan abang Rayyan. Lagi pula, sekarang ini Seri mengandungkan anak abang Rayyan.”

“Ya. Itu kanda tahu. Tapi, apa yang kanda cakapkan ini hal lain. Kanda suka dengan dinda yang sekarang ini.”

“Huh?”

“Tidak apalah. Satu hari nanti dinda akan faham juga.” Dia mengusap pipiku.

“Tidurlah.” Dia menarik selimut naik hingga ke paras dadaku. Sebelah tangannya dibiarkan sahaja di atas pinggang tanpa memelukku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience