BAB 35

Fantasy Completed 18494

PERASAAN aku kembali tenang selepas meluahkan segalanya kepada Suri semalam. Selesai menyiapkan diri aku terus keluar daripada bilik. Terkejut aku apabila abang Nadim berdiri tegak dengan pandangan tajamnya ke arah aku.

“Abang Nadim...”

Belum habis lagi aku berbicara dia sudah ke dapur. Aku jungkit bahu. Ada-ada sahaja perangai abang Nadim ini.

Sewaktu bersarapan, aku dengan Suri sesekali bercerita tentang Aurora dan kemudian bertukar cerita dengan umi Intan dan juga walid Adi. Abang Nadim pula masih mendiamkan diri. Aku naik seram setiap kali dia merenung aku dengan pandangan tajamnya. Pandangan itu sungguh menikam kalbuku. Apa, aku sudah buat salah dengan diakah?


“SURI, kakak lihat abang Nadim itu beremosi saja sejak dari pagi tadi sehinggalah petang sebegini. Kakak rasakan yang dia seperti marahkan kakak saja. Setiap kali mata kami bertembung pasti abang Nadim buat muka marahnya dengan mata yang tajam.” Ketika itu aku berada di dalam bilik Suri. Suri pula sibuk mengemaskan bilik tidurnya ini.

“Ish, perasaan kakak saja itu. Perangai abang Nadim inikan tidak menentu.” Kata Suri, cuba menenangkan perasaan aku yang tengah kacau sekarang ini.

“Daripada kakak Naura memikirkan abang kita itu, lebih baiklah kakak tolong Suri. Kotak-kotak pakaian ini Suri minta kakak tolong letakkan di atas almari itu. Bolehkan?” Dia buat muka comel. Aku ikutkan sahaja kata budak remaja ini.

Sedang kami mengemas bilik, umi Intan datang menyapa.

“Seri, boleh tolong umi sediakan air untuk teman abang Seri itu. Mereka ada dekat halaman depan rumah.” Kata umi Intan.

“Baiklah, umi.” Aku terus keluar daripada bilik tersebut meninggalkan Suri di situ yang masih sibuk mengemas biliknya. Aku segera menyediakan minuman dan makanan petang untuk abang Nadim dan juga temannya. Umi Intan pula sudah masuk ke bilik tidurnya.

“DIA sudah banyak berubah. Dia bukan lagi Seri Mawar yang dulu yang kita kenal.”

Terbantut langkahku mahu keluar rumah. Aku bersembunyi di sebalik dinding. Aku memasang telinga. Mereka sekarang berada di beranda rumah.

“Kalau dia sudah berubah kau hendakkah memperisterikan dia lagi?”

Itu suara abang Nadim. Aku memperkemaskan pegangan aku pada dulang yang berisi minuman dengan makanan ringan itu.

“Sebelum ini aku tidak bersetuju untuk berkahwin dengan adik kau tetapi disebabkan tanggungjawab yang satu itu aku perlu memperisterikannya.”

“Tapi, itu bukannya perbuatan kau. Aku tengok Tengku Rayyan Rehan itu berkenan dengan adik aku. Lebih baik mereka berdua saja yang berkahwin. Lagipun, sepupu kau itu ambil berat terhadap adik aku.”

Tengku Ryan mendengus kasar.

“Kau tahukan mengapa aku bersetuju untuk berkahwin dengan adik kau itu? Aku sudah jatuh hati dengan dia sebelum kita tahu tentang hal ini lagi. Nadim, aku sanggup tanggung semua itu. Lagipun, ini kali pertama aku jatuh hati dengan perempuan. Dia sudah berjaya membuka kunci hati aku ini, Nadim."

Aku kaku. Tergamam. Terkesima mendengar perbualan Tengku Ryan Arjuna dengan abang Nadim. Mereka berdua bercakap tentang Seri Mawar. Tetapi aku langsung tidak faham dengan apa yang dibualkan oleh mereka berdua. Tanggungjawab apakah yang harus ditanggung olehnya itu?

“Tapi, kau tidak boleh memaksa Mawar untuk segerakan perkahwinan ini. Dia perlukan masa untuk berfikir, Ryan.”

“Kau hendak suruh aku bagi berapa lama lagi masa, hah? Tunggu sampai benda itu sudah terjadi di depan matakah? Kau mahukah benda ini diketahui oleh keluarga kau. Kita belum tahu lagi apa yang akan terjadi nanti sekiranya hal itu berlaku.”

“Tapi...”

Aku meletakkan dulang itu di atas meja ruang tamu. Perlahan-lahan aku mengorak langkah menuju ke bilik. Hati aku terasa lain setelah mendengar perbualan dua lelaki itu.

AKU mengunci pintu bilik dan terus berbaring di atas katil. Perbualan mereka berdua masih lagi terngiang-ngiang di fikiran aku ini. Aku menarik dan memeluk bantal peluk yang ada di sebelah tepi aku ini. Terasa berat pula kepala aku.

Aku membetulkan posisi tidur dan melelapkan mata sekejap untuk menghilangkan rasa berat di kepala aku ini. Tidak sampai seminit aku menutup mata tiba-tiba secara spontan minda aku mengulang tayang semua memori aku dengan Tengku Ryan Arjuna. Jantungku berdegup laju. Jujur aku katakan yang aku terharu dengan kata-kata lelaki itu. Tapi, aku takut untuk meneruskan hubungan itu ke peringkat seterusnya. Kalau boleh aku tidak mahu jatuh cinta dengan sesiapa pun di dunia ini kerana ini bukan dunia aku.

Mataku meliar di segenap ruang bilik itu. Pasti ada sesuatu yang boleh membantu aku untuk selesaikan semua ini dan kembali ke tempat asal aku. Aku berfikir panjang.

“Diari?!” Aku mengetuk kepala. Mengapa aku tidak terfikirkan diari itu sebelum ini. Tidak mustahil Seri Mawar itu ada menyimpan diari sendiri, kan? Pantas aku bangun daripada pembaringan. Sakit kepala aku abaikan. Aku lebih memerlukan buku diari itu sekarang. Benda itu sahaja yang boleh membantu aku untuk mengetahui hal-hal lepas. Aku memulakan misi menggeledah bilik Seri Mawar ini.

Di atas almari, di dalam laci, di bawah katil juga tidak ada. Hampir semua tempat aku cari dan diari itu langsung tidak kelihatan di dalam bilik ini. Hmmm... tak mungkinlah?

“Seri Mawar tidak menulis diarikah?”

Bunyi pintu bilik di ketuk itu menyentak aku. Aku merapikan pakaian aku semula sebelum membuka pintu. Bilik juga sudah aku pastikan dalam keadaan yang kemas.

“Abang Nadim?” Aku terkejut.

“Ikut abang sekarang.” Tegasnya. Tangan aku di tarik mengikut langkahnya keluar. Tengku Ryan Arjuna sudah tidak kelihatan lagi di kawasan rumah ini.

“Abang Nadim mahu bawa kakak Mawar ke mana, hah?!” Suri yang muncul tiba-tiba itu terus mengejar kami yang sudah jauh meninggalkan perkarangan rumah itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience