BAB 1

Fantasy Completed 18480

PANAS terik yang menampar wajahku ini membuatkan aku tersedar. Seluruh anggota badanku terasa lemah seperti baru sahaja habis membuat latihan-latihan berat. Kepala aku berat dan terasa sakit pada bahagian tepi kepala. Aku meraba-raba kepala dan terasa ada benjolan pada bahagian tepi itu.

“Apa yang terjadi kepadaku? Kenapa ada benjolan di kepala aku ni?” Perlahan-lahan aku bangun dari pembaringan sambil memisat-misat mata yang terasa bengkak.

Cuaca yang semakin membahang meminta aku untuk beralih ke arah belakang. Mujurlah di belakang aku ini ada sebatang pokok besar dan tinggi yang rendang memayungi aku.

“Pokok?!” Laju aku mendongak ke atas. Mulutku melopong dan mataku terbeliak. Aku terkejut dan mula rasa takut.

Aku memandang kawasan sekeliling. Aku perhatikan tempat ini dan juga pokok-pokok besar yang mengelilingi kawasan lapang ini. Kawasan lapang ini membentuk satu bulatan yang luas dan aku berada di tengah-tengah kawasan bulatan ini.

“Tapi... ini bukan tempat aku.”

Kawasan ini penuh dengan rumput yang menghijau dihiasi dengan bunga-bungaan kecil yang pelbagai warna. Awan yang cerah itu aku pandang lama. Otak aku ligat memikirkan sesuatu.

Aku tidak rasa aku hilang ingatan. Sekali lagi aku perhatikan kawasan ini.

“Aku sebenarnya ada dekat mana sekarang ni, huh? Macam mana pula aku boleh berada di kawasan lapang seperti ini?” Pantas aku bangun dan meliarkan pandangan. Perasaan takut menguasai diri. Angin sejuk yang menampar kulitku menambah rasa ketakutan dalam diri ini.

“Bukankah aku sepatutnya berada di bilik penginapan teman aku?” Aku panik. Kali terakhir aku memang berada di dalam bilik penginapan teman aku. Kemudian...

“Ah! Kenapa aku tak ingat pula ni? Apa terjadi lepas tu?” Aku sedikit geram. Minda aku langsung tidak mahu membantu aku.

Aduh, aku betul-betul tidak tahu keberadaan aku sekarang ini. Aku langsung tidak kenal dengan tempat ini.

“Lebih baik aku cari jalan pulang sebelum senja.” Aku membuat keputusan sendiri.

Aku berjalan dan terus berjalan mencari arah jalan keluar dari kawasan ini. Peluh yang keluar daripada kulit tubuhku langsung tidak aku hiraukan. Apa yang penting sekarang aku hendak pulang.

Aku tidak tahu berapa lama aku mengelilingi kawasan hutan yang cantik ini. Puas aku mencari arah jalan keluar namun gagal. Aku terlalu penat dan tubuhku memerlukan rehat. Akhirnya, aku melabuhkan punggung di tepi sungai.

Suasana agak redup. Bayu lembut membuatkan aku berasa tenang. Aku menghirup udara segar sebelum menghembuskannya semula. Perlahan-lahan aku memijak batu-batu yang bersaiz sederhana itu. Aku mahu membasahkan tekak yang sudah kering serta membasuh muka.

Hati yang tenang mula rasa tidak puas hati. Wajahku berkerut. Aku baru perasan dengan pakaian yang aku pakai. Aku pasti sebelum ini pakaian aku t-shirt berlengan panjang dan berseluar denim berwarna hitam.

“Tapi... Kenapa boleh bertukar jadi baju kurung moden pula?” Aku kebingungan. Aku yakin aku tidak silap dan ingatan aku masih kuat. Baru sahaja tadi aku mengenakan pakaian kasual dan sekarang bertukar jadi baju kurung pula. Pelik.

Tidak mungkinlah aku diperkosa atau diculik oleh orang yang aku tidak kenali.

“Eh, kejap. Kalau mereka buat macam tu pun pasti pakaian aku ini koyak atau kotor. Mana mungkin mereka hendak tukar pakaian aku, kan?” Hati mula rasa tidak tenang.

“Apa sebenarnya yang dah terjadi ni?” Aku cuba berfikir semula. Cuba untuk mengingati kejadian yang berlaku sebelum ini.

“Seri Mawar.” Suara milik seorang perempuan menyapa gegendang telinga aku.

“Seri Mawar!” Panggilnya sekali lagi. Aku tidak menoleh kerana itu bukan nama aku. Nama aku adalah Naura Athifa.

Aku buat tidak tahu dengan panggilan tersebut. Aku membasuh wajah lagi sambil meneguk air sungai yang bersih dan jernih itu.

“Seri Mawar!” Kali ini suara tingginya berjaya membuat aku berpaling ke arahnya. Dia berdiri tegak sambil bercekak pinggang di depan aku dengan wajah yang serius.

Aku memandangnya dengan riak kosong.

“Sudah berapa kali saya panggil Seri. Seri buat tidak dengar pula.” Dia merengus dan berpeluk tubuh.

Aku diam membisu. Otak ligat mencerna setiap perkataan yang keluar daripada mulutnya. Aku tidak mengenalinya dan aku juga bukan Seri Mawar. Tapi, kenapa dia panggil aku dengan nama itu?

Perempuan di depan aku ini berpakaian kurung sama seperti yang aku pakai. Cuma, baju kurung kebaya yang dia pakai agak ketat dan berwarna merah hati. Baju kurung kebaya yang aku pakai ini pula berwarna coklat mempunyai hiasan bunga ros merah jambu di tepi hujung baju dan baju ini tidaklah terlalu ketat seperti baju kurung dia.

Aku meneliti perempuan itu lagi. Rambutnya di dandan dengan kemas dan cantik. Di tepi ikatan rambut dihiasi dengan bunga melati. Dandanan rambutnya dengan aku langsung tidak sama. Rambut aku hanya di tocang dua dan tidak mempunyai apa-apa hiasan. Wajahnya manis dan ayu. Pasti ramai lelaki yang tertawan dengannya.

“Seri!”

Aku tersentak.

Dia mendekati aku. Kemudian menarik tangan aku naik ke darat. Aku ikutkan sahaja rentaknya. Aku juga tidak tahu apa yang harus aku buat sekarang.

“Mengapa Seri buat orang kampung kita ini susah hati?” Dia bercekak pinggang. Riak risau jelas terpamer di wajahnya.

“Puas orang kampung cari Seri. Nasib baiklah, saya jumpa Seri dekat sini.”

Dahiku berkerut. Orang kampung mana pula yang cari perempuan bernama Seri Mawar ini? Susah hati dengan dia itu sudah kenapa pula?

Err... Kejap.

Aku merenung dalam anak mata perempuan ini. Tadi, dia ada sebut pasal orang kampung. Kampung apa? Aku berada di kampungkah? Macam mana aku boleh di bawa ke sini? Ah, sudah! Perempuan ini buat aku tidak senang duduk pula.

“Seri ini tidak mahu bersuarakah? Dari tadi menyepi saja.”

“Err...” Ayat apa yang aku hendak bagi dekat dia ini? Jelas-jelas aku masih bingung dengan situasi sekarang.

“Seri nampak gelisah saja. Seri baik-baik sajakah?”

Nampak aku tengah baikkah sekarang ini? Semua perasaan bercampur aduk.

Argh! Tidak mungkin aku hilang ingatan pula sedangkan aku masih lagi waras. Aku masih ingat apa yang berlaku sebelum ini kecuali kejadian yang berlaku sekarang ini. Atau aku sedang bermimpikah?

“Seri Mawar?”

“Err.. Kenapa cari Seri?” Aku cuba untuk berlagak tenang.

“Boleh pula Seri tanya soalan begitu dengan saya.” Dia menggeram. Aku telan liur.

Salahkah pertanyaan aku itu?

“Disebabkan masalah kecil saja Seri merajuk sampai masuk ke dalam hutan ini. Kalau terjadi apa-apa dengan Seri, siapa yang akan susah nanti?”

Aku tidak menjawab soalannya. Sebaliknya membalas dengan sengihan. Fikiran aku masih serabut. Masalah kecil apa yang dimaksudkan oleh dia ini? Aku mahu buka mulut namun dia lebih pantas memotongku.

“Sudahlah. Mari kita pulang dulu. Tentu orang kampug Indera sekarang ini tengah susah hati. Dekat sana sajalah nanti kita bercakap tentang ini.”

“Orang Kampung Indera?” Aku terdiam seketika.

Dia langsung menarik tangan aku, mengorak langkah meninggalkan kawasan hutan ini. Aku tidak tahu kemana dia hendak membawa aku pergi. Aku mahu membantah tapi aku sudah tidak ada tenaga. Aku turutkan sahajalah kata perempuan ini.

Orang Kampung Indera? Siapa mereka?

Aku juga belum tahu nama perempuan ini. Banyak persoalan yang mula bermain di fikiran aku. Tidak apa, Naura. Sabar.
Aku tidak tahu apa sebenarnya yang sudah terjadi. Dunia ini betul-betul asing bagi aku. Kalau ini sekadar mimpi baguslah. Tapi, jika dunia ini benar bagaimana aku hendak keluar daripada sini pula?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience