BAB 15

Fantasy Completed 18494

BERKALI-KALI aku cuba untuk melelapkan mata tapi tetap tidak boleh. Apa yang berlaku tadi masih lagi terngiang-ngiang di fikiran aku ini. Aku bangun dari pembaringan dan menuju ke arah tingkap yang aku biarkan terbuka sejak dari tadi.

Tiada bulan menyinari malam hari ini. Hanya ada bintang-bintang yang berkerlipan di langit itu sahaja. Terbayang aku dengan wajah-wajah yang aku sangat rindui. Apa agaknya khabar mereka di sana?

Aku mengeluh panjang. Sebagai Naura Athifa, ini kali pertama aku berdepan dengan lelaki yang bergelar tengku. Apa sebenarnya dunia yang aku tinggal sekarang ini, hah? Dunia aku di sana dengan di sini tidaklah jauh berbeza sangat pun. Hanya penggunaan bahasa saja yang membezakan aku dengan mereka.

Aku mendongak memandang langit hitam yang hanya dihiasi dengan kerlipan bintang-bintang. Angin yang sepoi-sepoi bahasa itu menyapa lembut kulit wajahku. Aku melepaskan keluhan berat. Tengku Ryan Arjuna.

Aku beralih pandang. Pokok mempelam di depan mata aku ini aku pandang dengan pandangan redup. Seolah-olah Tengku Ryan Arjuna ada di depan mataku. Dia bagaimana orangnya dengan Seri Mawar, ya? Adakah lelaki itu berlemah lembut dengan Seri Mawar dan tersenyum manis di depan dia?

Aku baru separuh hari kenal lelaki itu. Perangai Tengku Ryan Arjuna memang tidak boleh di jangka. Sekejap sahaja air mukanya berubah. Petang tadi bukan main lagi berlemah lembut dengan aku. Siap tersenyum manis lagi. Entah ikhlaskah atau tidak senyumannya itu. Tapi, bila tiba di rumah ini dia terus berubah menjadi serius. Bila aku hendak membantah ada sahaja jawapannya. Nasib baiklah dia tidak datang esok hari. Dia baru sahaja memberitahu aku dengan keluarga aku yang dia ke luar kota kerana urusan penting. Mungkin juga pasal kerja. Tapi, aku tidak tahu pula apa pekerjaan dia.

Aku menyandarkan tubuhku pada dinding kayu. Fikiran aku melayang lagi dengan hal yang satu. Suri memberitahu aku yang Melati dengan Mail itu adalah teman sejak dari kecil dan mereka juga berjiran. Tetapi, sejauh manakah hubungan mereka berdua itu? Bagaimana sebenarnya Mail melayan Seri Mawar sebelum ini? Hanya sekali sahaja aku pernah bertemu dengan lelaki itu. Walaupun sekali, wajahnya masih tetap melekat di kepala aku sehingga ke hari ini. Begitu juga dengan si Melati. Ah, kenapa susah sangat aku hendak faham masalah si Seri Mawar ini?!

Aku berdiri dan menuju ke katilku. Lagi satu hal bermain di fikiran aku. Agak-agaknya siapalah pemilik suara misteri yang menyapa aku petang tadi?

“Fatamorgana Aurora? Apa benda itu, ya? Di mana aku hendak cari benda itu?” Aku membaringkan semula tubuhku.

“Benda itu boleh bawa aku pulang ke dunia asal aku ke?” Aku terus-terusan menyoal diri sendiri sehinggakan aku tidak sedar bila masanya aku terlelap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience