BAB 31

Fantasy Completed 18494

WALID ADI baru sahaja pulang daripada kebun buah dengan abang Nadim. Mereka membawa sebakul yang berisi dengan pelbagai jenis buah-buahan. Aku langkah seribu mendapatkan mereka yang berada di beranda rumah.

“Walid, abang Nadim!” Sergahan aku membuatkan mereka berdua terkejut.

“Seri, janganlah berlari. Macam budak-budak saja perangai Seri ini tahu.” Marah walid Adi. Aku tersengih.

“Walid dengan abang Nadim bawa buah apa hari ini?” Aku terus ke topik utama. Aku sebenarnya teringin mahu makan buah mangga. Sejak dari semalam lagi buah mangga itu bermain-main di minda aku ini. Jadi kecur liur aku dibuatnya.

“Bermacam-macam jenis buah yang kami bawa ini Mawar. Mawar hendak makan buah apa?” Tanya abang Nadim sambil tangannya bergerak mengeluarkan kesemua buah-buahan yang ada di dalam bakul tersebut.

“Buah mangga! Mawar dari semalam lagi hendak makan buah itu.” Beritahu aku dengan teruja. Berkali-kali aku menelan liur apabila nama buah itu disebut.

Walid Adi ketawa seiring dengan gelengan kepala. Begitu juga dengan abang Nadim.

“Nah,” abang Nadim memberikan aku buah tersebut. Bukan main lebar lagi senyuman yang aku ukir ini. Aku memeluk abang Nadim dan mengucapkan terima kasih kepadanya. Aku terus berlari ke bahagian dapur dengan buah mangga yang ada di dalam genggaman aku ini.

Aku duduk di bawah pokok rendang di depan rumah sambil menggigit buah mangga yang baru sahaja aku hiris tadi. Masam tetapi sedap. Kalau dibuat jeruk mangga lagi sedap. Tapi, aku mahu makan begini sahaja.

“Suri hairanlah dengan kakak Mawar.” Suri muncul dari pintu luar dapur. Dia menuju ke arah aku dan menghenyakkan punggungnya di sebelah aku.

“Kakak Mawar berselera sungguh kebelakangan ini, ya. Mangga yang masam inipun kakak Mawar katakan sedap.” Ujarnya. Aku hanya tersengih.

“Berselera makan pun jadi masalahkah, Suri?” Aku angkat kening sebelah. Habis sudah satu biji mangga itu aku makan dan aku mengupas lagi buah mangga lain yang baru sahaja abang Nadim berikan kepada aku sebentar tadi.

“Iyalah. Selalunya, kakak Mawar makan sikit saja.”

Aku jungkit bahu. Malas aku hendak membalas katanya. Aku memberikan sedikit potongan mangga itu kepada Suri. Saat itu muncul Melati di depan kami. Aku menjulingkan mata ke atas. Meluat aku tengok wajah perempuan itu.

“Eh, kakak Melati duduklah. Jarang-jarang sudah kakak Melati ke sini. Tidak sangka pula hari ini kakak datang.” Suri menjemputnya duduk.

“Kakak datang ke sini hendak bertemu dengan kakak Suri.” Ujarnya. Dia mengambil tempat di sebelah Suri. Aku pula buat hal sendiri. Malas sebenarnya hendak melayan perempuan ini. Perempuan yang telah menyakitkan hati kawan sendiri.

“Tidak mengapalah. Kakak Melati dengan kakak Mawar berbuallah dulu sementara Suri buatkan air untuk kakak berdua.” Suri terus berlalu masuk ke dalam dapur semula. Tinggal kami berdua lagi duduk di bawah pokok rendang ini. Sekejap-kejap aku mengerling ke arahnya. Dia agak kekok hari ini dan wajahnya mencerminkan sesuatu yang aku sendiri tidak pasti.

“Melati baik-baik sajakah?” Aku memecah keheningan.

“Saya baik-baik saja.” Jawabnya dengan nada perlahan.

Aku menggigit hirisan buah mangga yang aku hiris sebentar tadi. Aku mengerling dia lagi. Wajahnya menunduk.

“Seri,”

“Ya.”

“Maaflah sebab saya jarang ke sini.”

“Seri tidak kisah pun.” Jawab aku. Dia tersenyum nipis.

“Saya cemburulah dengan Seri.”

Aku sedikit terkejut dengan bicaranya itu.

“Mengapa pula Melati cemburu dengan teman baik sendiri?” Tiba-tiba saja dia ini cakap pasal cemburu. Bukan aku sudah lepaskan si Mail itukah? Buat apa lagi dia hendak cemburu dengan aku?

Aku mengigit lagi hirisan mangga yang aku hiris itu.

“Iyalah. Seri ini kalau ke mana-mana saja pasti ada lelaki yang datang dekat dengan Seri. Saya yang selalu ada dengan Seri mereka tidak mahu dekat pula.”

Ya, ada nada cemburu di situ.

“Mengapa Melati tidak bertanyakan saja dengan mereka itu? Mengapa mereka mahu dekat dengan Seri tetapi tidak dengan Melati pula?” Aku bersahaja mengajukan soalan panas seperti itu.

Dia tersenyum.

“Buat apa saya mahu menyoal mereka semua itu sedangkan saya sendiri sudah tahu akan jawapannya.” Dia ketawa kecil dan kemudian senyap.

“Seri, saya datang berjumpa dengan Seri ini pun sebab saya ada permintaan. Saya harap Seri bolehlah tunaikan permintaan saya ini.” Suaranya bertukar rentak.

Terhenti terus kunyahanku. Baki hirisan mangga aku letak semula di dalam mangkuk. Aku memandang dia dengan wajah tanda tanya.

Cuaca tidaklah begitu panas. Aku masih lagi selesa duduk di bawah pokok rendang ini. Suri datang dengan dulang berisi minuman. Dia memberi minuman itu kepada aku dan juga Melati.

“Suri masuk dululah.” Ujar Suri meminta diri. Aku membalas dengan anggukkan. Melati pula membalas dengan senyuman nipisnya.

Masing-masing meneguk minuman yang diberikan oleh Suri sebentar tadi. Air manisan itu tidaklah terlalu manis. Suasana sepi sekali lagi. Hanya hembusan angin dan juga bunyi daun-daun pokok yang ditiup oleh bayu lembut itu sahaja kedengaran.

Aku membiarkan perempuan di sebelah aku ini melayan perasaannya. Aku meneguk lagi minumanku. Saat itu aku terdengar keluhan berat yan dilepaskan oleh Melati. Aku memandang wajahnya yang kelihatan agak berat itu.

“Mengapa wajah Melati kelihatan berat sekali? Melati ada masalahkah? Permintaan apa pula yang Melati mahu Seri tunaikan ini?” Akhirnya aku bersuara juga.

Dia mengangkat punggung, mendekati aku. Tiba-tiba tangan aku di genggam olehnya dan dia menangis. Aku tergamam.

“Sebenarnya saya hendak minta maaf. Seri, maafkanlah saya. Saya tahu ini semua adalah salah saya.”

“Salah Melati? Salah apakah yang sudah Melati lakukan kepada Seri? Melati minta maaf atas kesalahan apa ini, hah?” Walaupun perasaan aku pasti tentang sebabnya tapi aku mahu juga dengar dari mulut dia ini sendiri.

Bola mataku besar, terkesima apabila dia duduk melutut di depan aku. Aku menyuruhnya bangun dan duduk di sebelah aku ini tetapi dia tidak mahu. Dia menangis dan terus menangis. Genggaman tangannya pada tangan aku semakin kuat.

“Melati...” Aku kesian pula melihat dia yang sudah menangis teresak-esak ini.

“Seri...” Dia mendongak memandang aku. Wajahnya basah dengan air mata.

“Seri, saya benar-benar minta maaf dengan Seri.”

“Melati, cuba Melati jelaskan kepada Seri. Apa sebenarnya yang Melati tangiskan ini, huh? Apa yang Melati buat dekat Seri?” Soal aku. Tadi dia kata dia cemburu dengan aku dan sekarang ini pula dia menangis.

“Melati?”

Dia masih mendiamkan diri. Hanya bunyi esakkan sahaja yang kedengaran.

“Seri, saya tahu Seri pasti akan marah dengan apa yang saya akan beritahu nanti.”

“Beritahu apa? Permintaan apa?” Aku jadi bengang. Sekarang ini pun dia sudah buat aku rasa marah.

“Sebenarnya... Saya yang pukul kepala Seri tempoh hari.” Beritahunya dengan suara yang teresak-esak.

Aku tercengang. Bila masa dia pukul kepala aku ini? Lama aku berfikir.

“Saya ingatkan Seri sudah mati tetapi tidak sangka pula Seri akan sedar semula.”

Baru aku teringat akan kejadian itu. Aku baru mahu mencelah tetapi dia bersuara kembali.

“Saya yang upah dua orang lelaki itu supaya bawa Seri masuk ke dalam hutan. Saya juga minta mereka pengsankan Seri tapi Seri dapat lepaskan diri. Saya ikut Seri dan bila sampai ke kawasan lapang di tengah hutan itu saya ambil kesempatan untuk pukul kepala Seri.”

Ya, ketika itu kepala aku memang terasa berat dan sakit. Ada benjolan di tepi kepala aku ini. Semasa aku dengan Suri mencari bukti, Suri menjumpai sepit rambut kepunyaan Seri Mawar. Dia mahu bunuh Seri Mawarkah? Aku memandangnya tajam.

Tangan yang di genggam olehnya itu aku tarik kasar. Aku berdiri dan menjauh sedikit darinya. Dia masih lagi duduk melutut di situ.

“Mengapa Melati buat perkara seperti itu? Melati memang ada niat hendak bunuh Serikah?!” Aku meninggikan suara.
Melati meluru ke arah aku dan memeluk lututku. Aku cuba melepaskan diri namun pautannya kemas.

“Ya. Tapi, saya menyesal. Saya menyesal Seri.” Tangisannya semakin kuat. Aku memandang sekeliling. Masih tiada orang di sini melainkan kami berdua. Aku harap mereka tidak mendengar pengakuan si Melati ini. Aku tidak tahu apa yang akan terjadi sekiranya mereka dengar perbualan ini.

“Sungguh... Sungguh Melati bencikan Seri, ya? Sanggup Melati buat teman baik Melati seperti ini.” Aku mengurut dada yang kian sesak.

“Saya terlalu cemburukan Seri dengan Mail. Saya juga cemburu melihat lelaki-lelaki di kampung kita ini dekat dengan Seri. Cemburu itu yang telah membuatkan saya jadi begitu. Tiada siapa pun yang hendak melayan saya. Tapi, saya sudah menyesal Seri. Seri maafkanlah Saya.” Rintihannya itu membuatkan aku rasa sakit hati.

Disebabkan hubungan Seri Mawar dengan Mail, Melati jadi begini?! Gara-gara lelaki, dia jadi begini? Nonsense! Nafas aku mula tidak teratur. Aku menahan geram.

“Saya tidak kisah jika lelaki-lelaki di kampung ini tidak melayan saya. Tetapi, saya ambil kisah kalau hal itu berkaitan dengan Mail. Lagipun, kami berdua sudah lama berkawan. Saya kenal Mail lebih daripada Seri kenal dia. Sejak dari dulu lagi saya sukakannya. Saya mahukan dia. Saya mahu Mail pandang saya seorang saja,” Dia menarik air hidungnya.

“Tapi... apa yang saya telah buat selama ini hanyalah sia-sia saja. Mail lebih pentingkan Seri berbanding saya. Sebab itulah saya berniat hendak bunuh Seri. Saya mahu Seri pergi dari hidup dia.”

“Melati! Kawan jenis apa Melati ini, hah?! Dengan teman baik sendiri pun hendak cemburu?” Aku menyentuh kepala. Sudahlah sakit hati di tambah lagi dengan sakit kepala.

“Mengapa Melati tidak berterus terang sahaja dengan Mail yang Melati ada hati dengannya. Setidak-tidaknya, Melati jujur dengan Seri. Apa pun yang Melati luahkan dengan Seri, Seri akan dengar.”

“Saya tahu. Saya tahu Seri. Tapi, saya sudah terlambat untuk berbuat begitu. Kalau saja saya tidak paksa Seri untuk suka dengan Mail, semua ini tidak akan terjadi.”

“Mengapa pula Melati hendak paksa Seri sedangkan Melati sendiri suka pada Mail?”

“Sebab dia terlebih dahulu meluahkan perasaannya kepada saya. Dia sendiri beritahu saya yang dia cintakan Seri. Bagaimana lagi saya hendak meluahkan perasaan saya ketika itu? Sakit hati saya ini apabila mengetahuinya.”

Aku pula yang serba salah.

“Walaubagaimanapun, ini semua sudah terjadi, Melati. Kalaulah masa boleh diputarkan kembali, kita boleh betulkan semua ini.” Aku juga boleh kembali ke dunia aku itu dan tidak perlu menempuh semua ini.

“Seri, tolonglah. Tolonglah kembali pada Mail. Saya tidak sanggup melihat perangai bengis Mail itu. Dia tidak lagi seperti sebelum ini. Dia sudah berubah, Seri.”

Aku melopong. Aku tidak tahulah apa keputusan Seri Mawar jika dia mendengar rayuan si Melati ini. Bagi aku, keputusan aku adalah tidak. Mana mungkin aku mahu kembali pada lelaki yang berperangai jijik macam dia itu. Aku tidak mahu lelaki seperti Mail untuk dijadikan pasangan hidup aku.

“Buat apa Seri mahu kembali kepadanya sedangkan dia dengan Melati sudah buat perkara jijik di belakang Seri.” Kataku dengan sinis.

Wajahnya di angkat memandang aku dengan riak terkejut.

“Melati ingat Seri tidak tahukah apa yang Melati dengan Mail buat di belakang Seri, huh? Sanggup tikam belakang Seri lagi hendak bunuh Seri.”

“Apa perasaan Melati kalau Melati di tempat Seri, hah?!” Aku mengherdiknya.

“Saya faham. Saya menyesal Seri. Saya sungguh menyesal. Seri tolonglah Melati. Hanya Seri saja yang boleh kembalikan Mail seperti sebelum ini.” Rayunya. Aku tidak tahu hendak berbuat apa lagi. Sepatutnya, bukan aku yang berdepan dengan semua ini tetapi Seri Mawar, empunya tubuh ini.

“Sudahlah, Melati. Seri...”

“Mawar boleh maafkan dia ini tetapi tidak dengan abang.”

Aku tergamam. Begitu juga dengan Melati. Terus dia bangkit dan menyeka air matanya. Abang Nadim menghampiri aku dan dia menolak aku ke belakang.

“Hei, Melati! Aku tidak menyangka kau orangnya begini. Kau sanggup tikam adik aku dari belakang. Kau memang kejam!” Wajah abang Nadim kelihatan bengis. Dia menahan aku yang berdiri di belakangnya.

“Abang Nadim, sudahlah.” Aku cuba untuk menenangkannya tetapi dia menepis kasar tangan aku yang baru sahaja mendarat di bahunya itu.

“Selepas ini, kau jangan lagi ganggu adik aku! Kalau kau tunjukkan muka kau di sini lagi, aku tidak akan teragak-agak hendak bunuh kau. Apa yang kau lakukan pada adik aku sebelum ini aku akan balas balik pada kau!” Jerkahnya dengan penuh amarah. Terhinjut bahuku.

“Abang Nadim...”

“Sudah! Aku tidak mahu dengar lagi. Aku tidak mahu kau ada kena mengena lagi dengan adik aku. Pergi!” Abang Nadim mengangkat tangan menghalau Melati. Aku rasa kasihan pula melihat dia.

“Seri...”

“Aku kata pergi! Pergi sekarang!!” Suara lantang abang Nadim membuatkan Suri dan yang lain keluar dari rumah. Terkejut mereka melihat situasi ini.

Melati melangkah pergi dari kawasan rumah ini. Aku terdiam. Aku tidak tahu hendak berkata apa. Semua mata memandang ke arah aku. Lagi-lagi pandangan tajam abang Nadim kepada aku.

“Masuk!” Arahnya. Aku laju mengikut arahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience