BAB 38

Fantasy Completed 18494

KAMI kembali lagi ke tasik itu. Kali ini aku dengan Suri sahaja yang pergi. Sewaktu keluar tadi, Tengku Ryan Arjuna dan juga Tengku Rayyan Rehan datang ke rumah untuk mengajak aku keluar. Mujurlah ada abang Nadim yang membantu aku dengan Suri. Dia memberitahu yang dia mengarahkan aku dengan Suri menghantar barang ke kampung sebelah. Mulanya, Tengku Ryan Arjuna membantah tetapi hasil pujukan aku akhirnya dia melepaskan juga aku dengan Suri pergi.

“Kakak Naura, mana abang Radin? Suri langsung tidak nampak dia sejak dari tadi.” Suri menggaru-garu kepala yang berkeringat.

“Mana akak tahu. Mentang-mentanglah dia itu ada kuasa, suka hati dia saja nak sembunyikan diri.” Aku mencebik. Tidak lama kemudian dia muncul di depan kami. Terkejut Suri. Aku pula melihatnya bersahaja.

“Kau mengata aku ke, Naura?” Dia mula buat muka. Aku malas mahu melayan.

“Kau tidur di mana semalam?” Aku bertanya.

“Tu, dekat pulau tu. Tak sangka pula pulau tu cantik.”

“Abang Radin, ada apa dekat pulau itu, hah? Kakak Naura kata pulau itu adalah persinggahan kakak Mawar. Kakak Naura tahu itupun daripada abang Mail.” Kata Suri sambil dia mengintai-ngintai dua buah pulau itu dari tempat dia berdiri ini.

“Di sana ada taman dan pondok kecil yang cantik. Suri mahu tengokkah?”

Mata dibesarkan seiring dengan bibir yang diketap. Aku menggeram. Suka hati sahaja dia ini membawa budak ini ke sana. Kalau Suri ini tahu apa yang ada di sana...

Hmmm... aku sendiri pun tidak tahu ada apa di sana.

“Kalau hendak tahu, mari ikut saya.” Aiz Hafizi membawa kami ke seberang.

Kami berjalan di atas jambatan kayu yang berwarna putih ini yang menghubungkan kawasan darat dengan pulau itu. Dari tempat aku berjalan ini, aku dapat lihat kawasan pulau yang begitu indah sekali. Pokok-pokok yang tinggi mengelilingi pulau itu seolah-olah pokok-pokok itu adalah sebuah pagar bulatan yang melindungi pulau itu. Di tengahnya ada bermacam-macam jenis bunga-bungaan dan ada juga beberapa jenis pokok-pokok renek. Di tepinya itu terdapat sebuah pondok kecil. Pondok itu dihiasi dengan tumbuhan-tumbuhan menjalar yang berbunga.

“Cantiknya!” Jerit Suri setelah menapak di kawasan itu. Dia berlari-lari melihat sekeliling pulau. Aku baru perasan rupanya ada lagi satu jambatan kecil yang menghubungkan pulau ini dengan pulau yang ada di belakang itu.

“Aiz, bagitahulah aku apa yang kau tahu pasal dua pulau ni?” Aku memandangnya sambil membuka penutup bekas-bekas makanan yang aku bawa untuknya. Suri berada jauh dari kami. Dia sibuk memerhati dan menghidu bau-bauan dari bunga-bungaan yang ada di pulau ini.

“Aku tidak boleh beritahu kau, Naura. Aku kenal sangat kau ni macam mana orangnya. Sekali aku bagitahu, kau terus akan mencarinya. Langsung tiada kesabaran.” Balasnya dengan nada tenang.

“Ala...” Mulut aku muncungkan sedepa.

“Tak boleh. Hmmm... Kau dah tahu pulau ini pulau persinggahan si Seri Mawar itu, kan?”

Aku mengangguk.

“Nanti, kau tahulah jawapannya. Semua jawapan tu ada dekat pulau sebelah tapi kau tak boleh ke sana selagi masa itu belum tiba.” Amaran darinya. Aku mendengus.

Tak apa. Esok aku akan pergi ke sini. Aku nak tahu juga.

“Tengok tu. Aku baru bagi amaran tadi.” Dia menjegilkan matanya. Aku menggeram.

“Kau ni, boleh tak jangan baca fikiran aku. Kalau aku fikir yang bukan-bukan karang baru padan dengan muka kau.”

“Cubalah kalau kau berani. Nanti, kalau kita sudah kembali ke sana, aku akan hebohkan dekat media sosial yang kau ni suka berfikiran yang bukan-bukan. Aku tak nak tolong kalau orang kecam kau.”

Lagi aku menggeram. Ada saja balasannya yang buat aku sakit hati.

“Sedap juga kau masak, ya. Sudah lama aku tidak makan masakan macam ni.” Dia memuji pula. Aku mencebik. Ubah topik pula dia ini.

Aku ketawa melihat dia melahap lauk-pauk yang aku masak ini.

“Makan tu cubalah jangan gelojoh.” Aku geleng kepala melihat tingkah lakunya.

“Naura, pasal kelmarin itu...” Dia tersedak. Laju aku membuka penutup bekas minuman lalu memberikannya.

“Ish, kau ni. Kalau ya pun nak bercakap, tolonglah telan dulu makanan tu.” Aku memarahinya dan dia tersengih.

“Maaf.” Dia meneguk minuman tersebut. Hanya air kosong sahaja yang aku bawakan untuknya.

“Naura, pasal batu Fatamorgana Aurora itu,”

“Ya. Kenapa dengan batu Fatamorgana Aurora itu?”

“Maaflah. Aku tak beritahu semua pasal batu magik itu dekat Nadim dan juga Suri. Aku takut nanti membahayakan diri mereka berdua pula jika mereka membantu kita. Aku tak nak nasib mereka sama seperti abang si Jelita tu. Kesalahan dia kecil sahaja tapi dia tetap dibunuh oleh orang-orang Agis.”

Perlahan-lahan aku mengangguk mengiakan penjelasannya itu.

“Ya. Lebih baik kita selesaikan sendiri. Tapi Aiz,” aku mengerlingnya sekejap.

“Macam mana batu Fatamorgana Aurora itu boleh hilang, huh? Lepas mereka buat hajat, batu tu bercahaya ke? Lepas ditunaikan terus lesap tanpa jejak? Macam dalam cerita kartun dragonball tu ke?”

Dia ketawa. “Lebih kuranglah. Tapi, batu-batu ini tak payah dikumpul pun tak apa. Kalau buat hajat batu itu sendiri akan bercahaya. Hajat orang dari jauh pun batu magik itu boleh dengar tahu. Lagi pelik hajat itu lagi batu magik itu suka. Tapi, tidaklah sampai keluar naga macam dalam cerita kartun tu.”

“Ish, kenapalah mereka masukkan sekali syarat-syarat seperti itu. Bukankah itu menyusahkan orang-orang di Lokamaya ini?”

“Aku dengar daripada Maji sendiri yang mengatakan adik bongsu si Radin ini nakal dan suka cakap lepas. Masa mereka membuat penjampian ketujuh-tujuh batu Fatamorgana Aurora itu, adik bongsu dia sudah terlepas cakap.”

“Boleh pula adik dia terfikirkan perkataan ‘pelik’ itu. Tengok, sekarang kan dah susah.” Aku mencebik.

Kami senyap seketika. Aiz Hafizi meneruskan suapannya. Sesekali aku melihat Suri yang tidak jauh dari pondok kecil ini bermain seorang diri di sana.

“Naura, sebenarnya ada sesuatu yang perlu kau tahu pasal batu itu.”

“Pasal apa? Kau dah dapat batu tu ke?”

“Aku punya sudah dapat. Batu itu digunakan oleh Mawar sebelum ini dan aku sudah meminta Maji untuk tolong simpankan batu magik itu. Sekarang ini, hanya dia seorang saja yang aku boleh percaya. Dia akan membantu kita pulang sekiranya kau sudah mendapatkan batu itu.”

“Kalau batu magik yang menunaikan hajat Seri Mawar itu sudah dijumpai oleh kau, di mana pula batu magik si Radin?”

“Batu itu sudah disimpan oleh pembesar-pembesar Agis. Aku boleh guna batu Fatamorgana Aurora yang digunaka oleh Jelita itu. Tapi, masalahnya...”

“Masalahnya apa?”

Suapannya terhenti. Dia memandang aku dengan pandangan redup.

“Batu itu ada dengan Tengku Rayyan Rehan.”

Aku melopong. Kenapa pula batu itu ada pada Tengku Rayyan Rehan?

“Sebab dia menjumpainya semasa Jelita dibawa lari oleh abang Radin. Jelita terjatuhkan batu itu tanpa sengaja dan keesokkan harinya, Tengku Rayyan Rehan yang menemui batu tersebut.”

“Tak ada cara lain ke? Aku tidak tahu bagaimana hendak meminta batu itu darinya.”

Dia geleng kepala. Aku mengeluh.

“Tapi, macam mana pula aku nak kenal batu tu?” Wajahku bertukar. Risau ada, takut pun ada.

“Batu itu bercahaya. Aku yakin kau boleh cari batu itu di tempat lelaki itu.”

Nafas berat aku hembuskan perlahan. Alasan apa yang aku hendak berikan kepada Tengku Rayyan Rehan?

“Kau tak payah risau sangatlah. Masa itu akan datang juga dan waktu itu mahu atau tidak kau kena lakukan juga.”

Wajahku berkerut. Dia tersenyum sambil memandang ke bawah.

“Hoi! Apa kau tengok-tengok dakat perut aku, hah? Nak ambil kesempatan ke?” Tempik aku. Dia ketawa.

“Mengusik pun tak boleh.” Dia mencebik. Aku menjelingnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience