BAB 22

Fantasy Completed 18494

SEPERTI hari sebelumnya, aku keluar senyap-senyap dari rumah ini. Aku bertekad hendak pergi ke hutan itu semula. Kali ini aku tidak menggunakan pintu depan, tetapi, sebaliknya keluar ikut pintu belakang yang terletak di bahagian dapur. Semuanya masih lena dibuai mimpi dan ini adalah peluang aku untuk melarikan diri.

Senyuman aku lebar hingga ke telinga. Tiada siapa pun yang terserempak dengan aku hari ini. Nampaknya, tuah menyebelahi aku. Aku terus melangkah menuju ke tempat destinasi.

Cuaca yang agak redup langsung tidak mematahkan semangat aku untuk sampai ke hutan itu. Sesampainya aku di sana, pokok besar yang rendang menjadi tempat teduhku sementara menunggu hujan renyai berhenti. Nasib baiklah pakaian aku tidak semuanya basah.

“Seri Mawar,”

Bola mataku besar saat mendengar suara garau menyapa anak telingaku. Bulu romaku naik tiba-tiba.

“Ha... hantukah?” Mataku meliar. Aku memeluk tubuh.

“Bukan hantulah. Sini.”

Suara itu kedengaran sekali lagi. Jantungku bukan main berdegup laju lagi. Ini gara-gara takut punya pasallah.

Dia ketawa. “Yang bercakap dengan Seri ini adalah Radin dari Kota Agis. Seri tidak payahlah takut dengan saya.”

“Radin?” Tubuhku menegak. Perasaan tenang kembali. Aku mencari-cari arah suara itu.

“Kamukah suara misteri yang menegur Seri hari itu?” Aku meminta kepastian, masih mencari kelibatnya.

“Ya. Sayalah suara misteri itu. Sayalah yang beritahu Seri tentang ‘Fatamorgana Aurora’ itu.” Beritahunya.

“Tunjukkan wajah kau. Aku mahu lihat!” Aku meninggikan suara. Panggilan diri sudah berubah.

“Kalau kau mahu lihat aku, aku ada di atas. Aku di atas pokok ini.” Dia juga turut sama mengubah panggilan diri.

Laju aku mendongak ke atas mencari pemilik suara itu. Apabila wajahnya sudah di depan mata, aku mengamatinya lama. Wajah lelaki itu seperti pernah aku lihat sebelum ini.

Dia mengulum senyuman sebelum turun daripada atas pokok itu. Dia betul-betul turun mendarat di depan aku. Aku terkedu. Ya, aku memang kenal lelaki ini. Tapi...

“Kau memang kenal aku pun. Kita terima nasib yang sama Naura Athifa.”

Aku terkesima. Dia sebut nama aku. Aku diam dan terus meneliti wajahnya.

“Aiz Hafizi? Kau... kau macam mana...” Otakku beku seketika. Aku sangkakan aku sahaja yang terperangkap di dunia ini. Rupanya, bekas teman seuniversiti aku juga turut sama terperangkap di dunia ini.

“Aku sudah tiga bulan lebih terperangkap di dunia ini. Aku pun sama macam kau. Aku mau pulang tapi keadaan sekarang tidak mengizinkan aku untuk pulang ke sana.”

“Kenapa pula?”

“Radin, lelaki yang bertukar jiwa dengan aku ini tidak mahu kami bertukar semula.”

Aku tercengang. “Kenapa? Macam mana? Bagaimana pula...?” Soalan-soalan pelik mula bermain di minda aku.

“Aku dapat tahu ini semua pun daripada Maji lelaki yang tinggal di kota Agis itu. Majilah yang menjaga aku selama ini.”

“Huh? Dia itu siapa dengan Radin?”

“Maji bukannya siapa-siapa pada lelaki yang bertukar jiwa dengan aku ini. Dia itu ahli Agis yang tersohor di sana. Dia lelaki yang baik. Apa yang diceritakan olehnya kepada aku, keluarga si Radin ini sudah dibunuh oleh orang-orang jahat di sana. Apa sebabnya aku masih mencari. Sekarang ni, si Radin ini pula yang jadi sasaran mereka.”

“Huh?!” Aku betul-betul terkejut. Bahaya pula situasi teman aku ini.

“Habis, macam mana dia tahu kau ni bukan si Radin? Ke kau yang tak pandai nak sembunyikan identiti kau tu masa kau dijaga oleh dia?” Aku senyum senget. Aku tahu sangat perangai lelaki yang bernama Aiz Hafizi ini. Kalau di universiti dulu dialah lelaki yang tiada kesabaran. Sekejap saja naik angin. Yang jadi mangsa aku dengan kawan aku. Semua tempias kemarahan dia kena dekat kami. Nasib baiklah, dia ini kawan kalau musuh memang sudah lama aku ketuk-ketuk kepala dia ini.

“Mengumpat aku ke?”

Aku terkedu.

“Aku tahulah perangai aku ini tidak berubah. Tapi, sekarang aku sudah boleh kawal perasaan tu.” Tenang saja nadanya bercakap dengan aku. Aku pula yang melopong sejak dari tadi. Dia memang pandai baca fikiran aku.

“Itulah kelebihan orang Kota Agis.”

Lagi sekali aku terkedu. Tahu-tahu saja apa yang aku sedang fikir.

Dia ketawa. Aku mula seriau. Aiz Hanafi yang aku kenal bukan macam ini orangnya.

“Ya, aku tau tu. Tapi, kan Naura...” Dia mendekati wajahnya ke wajah aku.

“Aku rasa seronok pula jadi si Radin ini. Banyak power yang ada pada diri dia ini. Si Maji itu memang sudah tahu perkara seperti ini akan berlaku dan sebab itulah dia menjaga dan melatih aku.”

Aku tersentak. Power? Kuasa apakah?

Dia membelakangi aku dan berjalan ke hadapan. “Baca fikiran orang, teleport, terbang...”

“Kuasa tukar jiwa ada tak?” Aku memotong katanya.

“Tak ada. Hanya Maji saja yang boleh buat begitu.”

Aku mencebik.

“Aku ingat semua kuasalah kau ada. Hampeh!”

“Kau ingat aku ni TUHAN yang ada semua kuasa-kuasa tu? Kalau aku ada semua itu, senang saja aku ubah semua ini tau.”

“Tuhan jangan main, ya.” Marah aku. Dia ketawa.

“Tapi, Naura. Aku bukannya nakkan semua ini. Aku cuma mahu pulang.”

“Habis kenapa kau tak pergi cakap dengan Maji pasal hal ini.”

“Aku dah cakap dah. Dia cakap kalau nak balik juga kenalah cari benda tu. Fatamorgana Aurora.”

Aku pula yang sakit hati. Mana hendak cari benda itu di sini?!

“Ben...”

“Jangan baca fikiran aku boleh tak.” Aku memarahinya.

“Ish, kau ni. Macam mana aku tak baca kalau aku dah memang ada kuasa tu.”

“Sini kepala kau tu. Aku ketuk dulu biar hilang kuasa kau yang boleh baca fikiran orang.” Aku mahu mengetuk kepalanya tapi dia pantas melarikan diri dengan melompat naik ke atas pokok itu semula.

“Naura, kau dengar sini.”

Aku mendongak memandangnya.

“Aku tahu apa yang kau tak tahu. Aku tahu apa yang berlaku pada Seri Mawar sebelum ini. Bagaimana kau ke sini juga aku tahu. Tapi...”

Aku mendengar keluhan kasar yang dilepaskan olehnya. “Tapi, kenapa? Kenapa kau tak nak cerita dekat aku? Aku nak tahu. Bawa aku ke masa sebelum aku ke sini. Aku nak tahu apa yang terjadi pada Seri Mawar. Aku nak cepat pulang.”

“Aku tidak boleh. Orang-orang di Kota Agis juga ada undang-undangnya sendiri. Walaupun, mempunyai kuasa tapi mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kuasa tersebut. Apa yang berlaku sebelum ini tidak boleh diputarkan kembali dan aku juga tidak boleh menceritakannya.”

Aku menggeram.

“Kau kena bersabar. Kau akan temui juga jawapan itu. Tapi...”

“Tapi apa lagi?!” Buat sakit hati saja mendengar dia ini membebel.

“Tapi kau kena kuat. Dugaan kau selepas ini lagi besar dan kalau boleh kau kena tabah dan jangan pernah berfikiran negatif.”

“A... apa maksud kau, Aiz?” Wajahku berkerut. Beribu soalan yang sedang bermain di kotak fikiran aku sekarang ini.

Senyuman nipis terlakar di wajah hitam manisnya itu.

“Aku kena pergi. Aku tidak boleh berlama-lama di sini. Takut akan ditangkap oleh orang kampung sini pula. Lagipun, mereka bukan suka sangat dengan orang-orang Kota Agis ini. Cemburu kerana orang-orang Kota Agis mempunyai kuasa padahal kami juga terikat dengan undang-undangnya.”

“Aiz, janganlah pergi. Aku tak tahu nak minta tolong daripada siapa lagi. Kau saja yang tahu aku ini siapa.”

“Habis, Suri tu tak tahu ke pasal kau?”

Aku tersengih. “Tahu...”

“Jadi, kalau kau ada perlukan apa-apa, kau minta tolong sajalah dengan Suri. Kau kena percayakan dia kalau kau mahu pulang semula ke dunia kita. Aku pun tengah berusaha sekarang ini. Kau selesaikanlah masalah yang Seri Mawar itu tidak dapat selesaikan. Aku pula akan cari ‘Fatamorgana Aurora’ tu.” Dia berdiri.

“Kau jangan risau. Aku sentiasa ada kalau kau betul-betul perlukan aku. Jaga diri.”

Dan dia menghilang begitu saja. Aku menghela nafas berat. Banyak lagi yang aku hendak tanyakan kepadanya. Tapi, tidak apalah. Hujan semakin lebat turun. Aku berlari pulang ke rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience