BAB 74

Fantasy Completed 18480

MATAHARI memancar dengan begitu terik sekali. Aku bangun dan terasa seluruh tubuhku ini sakit. Aku memandang sekelilingku. Panik.

“Pondok apa ni?” Bermacam-macam benda yang ada di dalam pondok ini.

“Baguslah anak sudah sedar. Gembira hati nenek dapat membantu anak.”

Wajahku berkerut-kerut. Aku tidak faham.

“Apa yang telah terjadi pada saya, nek?” Tanyaku. Mataku meliar mencari sesuatu di ruang pondok ini. Aku cuba bangkit tetapi terasa sakit pada bahagian perut kiriku. Aku menyentuhnya.

“Luka apa ni? Nek apa dah terjadi pada saya?” Aku betul-betul tidak ingat apa yang terjadi pada diri aku. Memori terakhir yang aku ingat semasa berada di ruang tamu bilik penginapan Nurul Aqila. Aku mahu membetulkan keadaan tetapi kepala aku...

“Udin beritahu nenek yang dia jumpa anak dekat hutan sebelah sana. Dia yang bawa anak ke sini.” Nenek itu berjalan dengan tubuh yang sedikit membongkok. Dia mengambil beberapa daun herba dan membawanya ke tempat aku. Dia duduk dan menumbuk herba-herba tersebut di dalam lesung batu.

“Ini untuk apa?”

“Herba-herba ini untuk ubat luka kamu tu. Sudah sebulan lebih kamu di sini dan tidak sedarkan diri. Nenek selalu berdoa agar kamu sedar kembali. Nenek kasihan tengok keadaan kamu mula-mula dulu. Teruk keadaannya. Kepala kamu berdarah perut kamu di tikam.”

Aku melopong dan pada masa yang sama aku kebingungan. Tiba-tiba aku teringat sesuatu.

“Nenek, bukankah saya ada di dunia Lokamaya? Tengku..." Aku seperti orang gila. Tidak senang duduk dibuatnya. Bayangan lepas dan tempat ini buatkan aku rasa keliru.

Nenek itu terkejut. Dia berdiri dan menjauhkan diri daripada aku.

“Kenapa nek? Kenapa nenek tiba-tiba jauhkan diri dari saya?”

“Bagaimana kamu masuk ke dunia Lokamaya itu?”

“Err... Saya tak faham apa yang nenek cakapkan itu.”

“Tidak mengapalah. Apa yang penting kamu sudah sedar. Ini pun sudah cukup menggembirakan nenek.” Dia kembali duduk dan meneruskan kerja.

SEPANJANG hari aku memerhatikan nenek itu membuat kerja. Udin, cucu nenek itu turut membantunya. Aku menyentuh perutku yang masih terasa sakitnya. Kata nenek luka sebelum ini besar dan sekarang sudah mengecil. Kata-kata nenek itu berlegar-legar di ruang fikiran aku ini.

“Siapa yang jadikan aku seperti ini?” Tanyaku sendiri. Aku langsung tidak ingat apa-apa. Minda aku ini pula asyik berfikir tentang apa yang berlaku sebelum ini. Aku sudah kembali ke sini. Bagaimana dengan Seri Mawar di sana?

“Lokamaya... Indera Aurora...”

“Kakak pun sudah pergi ke tempat itu?”

Laju aku berpusing. Udin dengar apa yang aku sebut tadi. Aku mengerling mencari kelibat nenek.

“Kakak jangan risaulah. Nenek ke hutan mencari herba.” Beritahunya. Udin ini berumur 18 tahun.

“Udin, beritahu kakak. Apa sebenarnya yang dah terjadi pada diri akak? Ceritakan semuanya pada kakak.”

Pandangannya dalam. Sepertinya dia berat hati mahu membuka mulut. Dia berpaling duduk di tepi pintu.

“Malam itu, saya baru pulang daripada perkampungan asli. Saya sembunyikan diri apabila melihat beberapa orang perempuan membawa kakak masuk ke dalam hutan. Salah seorang daripada mereka sempat menikam kakak dan kemudian membuang kakak ke dalam gaung. Mujurlah gaung itu tidak berapa dalam. Sebaik saja mereka melarikan diri saya terus menyelamatkan kakak. Tapi, bila saya pergi ke gaung tu dan mencari kakak, kakak tidak ada di situ.”

“Tidak ada? Macam mana pula saya tidak ada di kawasan gaung tu?”

“Saya pun tak tahu. Berhari-hari juga saya lalu di tempat itu mencari kakak. Sebab saya yakin yang kakak masih ada di kawasan itu. Saya berfikir juga bagaimana kakak hendak keluar dari sini sedangkan keadaan kakak ketika itu hanya tinggal nyawa-nyawa ikan lagi.”

“Habis macam mana Udin jumpa kakak dan bawa kakak ke sini?”

“Saya ceritakan semuanya kepada nenek. Wajah nenek ketika itu sangat risau. Kami tidak berputus asa. Berhari-hari kami mencari kakak. Selepas seminggu kemudian barulah kami jumpa kakak. Masa itu, kakak pengsan di sebalik semak belakang pokok besar. Saya pun pelik masa tu. Padahal, berkali-kali juga saya pusing di situ tetapi kakak tidak ada.”

“Maksudnya, kakak hilang dan muncul semula selepas seminggu kemudian?”

Dia angguk.

“Takkan Udin dengan nenek saja yang mencari kakak. Pasti keluarga kakak ada mencari kakak, kan?” Aku merenungnya.

Dia diam.

“Udin, cakaplah. Tiada siapa yang cari kakak selama inikah?”

“Udin...”

“Ada, kak. Tapi, saya meminta nenek untuk merahsiakan hal tentang kakak.”

“Siapa yang cari kakak? Mengapa Udin tidak beritahu saja kepada mereka yang Udin sudah menjumpai kakak.”

“Saya tidak berani hendak buka mulut masa itu. Lagipun, perempuan-perempuan yang saya nampak malam itu ada bersama dengan dua orang lelaki dan juga sepasukan penyelamat.”

Apa sebenarnya yang telah terjadi ini? Aku cuba mengorek dalam lagi memori aku ini. Tetapi, langsung tiada hasil.

“Pasal Lokamaya tu...”

Aku memandangnya semula.

“Tempat itu memang wujud.”

“Hah?! Betulkah?!”

“Ya. Sebenarnya tempat yang akak di buang itulah kawasan mereka. Orang-orang sini kata tempat itu adalah tempat bunian. Ada juga yang kata itu pintu masuk ke dimensi lain. Macam-macam lagilah yang saya dengar pasal tempat tu. Lagipun atuk, nenek dan moyang kami pernah ke sana tanpa sengaja. Kebanyakan mereka mengatakan tempat itu tidak baik. Kejadian ini semua berlaku 10 tahun yang lepas dan selepas itu senyap begitu saja. Tempat itu kembali tenang.”

“Tapi tidak sangka pula kejadian ini berulang kembali. Tiga tahun lepas seorang daripada kampung asli ini tidak sengaja terjatuh dan pengsan. Ramai orang kampung mencarinya dan ternyata dia dijumpai di tempat yang sama saya menjumpai kakak.”

“Jadi, semenjak dari itu sudah berapa orang yang terkena dengan tempat tu?”

“Sejak tiga tahun lepas sehingga sekarang hanya empat orang sahaja yang pernah termasuk ke sana.” Beritahunya.

“Siapa mereka semua itu?” Tanya aku ingin tahu.

“Ayana Maisara. Aiz Hafizi. Kakak dan juga nenek.”

Aku terkesima. Dua nama yang di sebut itu aku kenal.

“Udin, kakak pernah jumpa Aiz Hafizi di sana tetapi tidak Ayana Maisara. Kakak hanya mendengar nama gadis itu di cerita oleh salah seorang yang berada di sana saja.” Cerita Ayana Maisara itu pernah diceritakan oleh abang Nadim.

“Tapi, apa sudah jadi kepada mereka berdua?”

“Ayana Maisara dikhabarkan masuk hospital. Koma kerana jatuh dari gaung yang sama dengan kakak. Kalau tak silap saya, perempuan itu kena tahun lepas dan sampai sekarang dia masih tidak sedarkan diri di hospital.”

“Udin tahu dari mana?”

“Udin tanya ketua kampung asli ini. Lagipun, ketua kampung yang jumpa perempuan itu di tempat kejadian.”

“Aiz Hafizi?” Aku mahu tahu keadaan kawan aku itu.

“Aiz Hafizi diselamatkan oleh pasukan penyelamat tiga minggu yang lepas. Saya tidak tahu sebab apa dan bagaimana dia jatuh ke gaung itu.”

Cerita Udin ini betul-betul membuatkan aku rasa terkejut. Nenek Azimah...

“Udin, nenek Udin itu siapa nama?”

“Azimah. Kenapa kak?”

Serta merta pesanan Maji itu dan juga tingkah laku nenek tadi bermain difikiranku.

“Jadi... tiga tahun yang lepas tu... Udin ada cakap tadi orang tu dari sini. Adakah dia itu nenek Udin?”

“Ya. Orang itu adalah nenek.”

Serentak kami berdua berpaling ke beranda. Nenek Udin sudah pulang.

“Nenek...”

Renungannya tajam. Aku telan liur. Udin menundukkan kepalanya.

“Nah, letakkan dekat sana.” Nenek memberi bakul rotan yang penuh dengan tumbuhan herba itu kepada cucunya. Udin hanya menurut arahan.

Tempat duduk Udin menjadi tempat pelabuhan nenek pula. Dia mengibas-ngibas kain ke wajahnya dan kemudian mengelap keringat-keringat di wajah dan juga di sekitar lehernya.

“Tiga tahun lepas nenek mencari herba di dalam hutan. Nenek terlalu asyik mencari herba sehingga tidak sedar yang nenek sudah berada di tempat lain. Dunia yang nenek masuk itu adalah dunia Lokamaya. Dunia yang anak pergi sebelum ini.”

Aku dengan Udin memandang nenek.

“Siapa saja yang masuk ke situ akan hilang selama seminggu. Mereka akan membawa orang-orang itu ke dunia mereka dan kemudian mengembalikan mereka semula ke sini selepas seminggu kemudian.”

“Tapi apa yang jadi pada anak ini sangat merisaukan nenek.”

“Nenek boleh panggil saya Naura. Nama saya Naura Athifa.” Aku tidak selesa pula bila nenek ini memanggil aku dengan panggilan anak.

“Maafkan nenek. Nenek lupa pula hendak tanya nama kamu.”

“Udin pun sama.” Dia tersengih sambil mengurut belakang tengkuknya.

“Tidak mengapa. Tapi, kenapa nenek risau pula?” Aku kembali ke topik utama.

“Nenek risau kerana Naura tidak sedarkan diri.”

“Betul apa yang nenek kata tu kak Naura. Bukan itu saja, kakak meracau dalam keadaan yang tidak sedarkan diri. Selang dua hari kakak pasti akan menyebut perkataan ‘batu Fatamorgana Aurora’. Kami cuba sedarkan kakak tetapi kakak tidak beri reaksi apa pun. Masuk hari ini sudah sebulan dua minggu kakak terlantar di tilam tu dan sekarang legalah hati kami. Sebab kakak sudah sedar sepenuhnya.” Sampuk Udin.

“Yakah...?”

“Daripada pengalaman nenek tiga tahun lepas itu menyakinkan nenek bahawa jiwa Naura tidak ada di sini. Kenalan nenek dari sana pernah beritahu nenek tentang hal ini. Dia boleh melihat masa depan dunia mereka. Dia beritahu nenek apa yang akan berlaku pada dunia mereka di kemudian hari dan dia pernah menyebut tentang ‘batu Fatamorgana Aurora’ dan juga tentang seorang perempuan yang akan tinggal lama di dunia mereka.”

Tidak berkelip mataku mendengar setiap bicara nenek Azimah ini.

“Adakah kenalan nenek itu namanya Maji.”

Dia tersenyum, tenang. “Ya.”

Mataku membulat.

“Tapi...” Bagaimana aku hendak cakap dengan nenek ini. Maji dengan nenek sungguh jauh perbezaannya. Maji itu pada aku seperti seorang ayah. Tapi, nenek Azimah ini terlalu tua pada Maji itu.

“Umur kami berbeza.”

Aku tersentak. Nenek ini tahu apa yang sedang aku fikirkan sekarang.

“Dia orang Agis, Naura. Orang Agis sentiasa ada cara untuk mengubah diri mereka kembali muda. Cerita nenek dengan dia itu sudah tiga tahun berlalu. Nenek tidak pernah mengharapkan kedatangannya ke sini. Dunia kita dengan dunia mereka jauh berbeza sekali. Dunia mereka berbahaya kerana mereka memiliki kelebihan lain berbanding kita yang manusia biasa ini.”

Nenek bangkit dari duduknya. Dia membetulkan kain sarung batik yang di pakai olehnya itu.

“Nenek... Maji sempat berpesan kepada saya.”

“Pesan?”

“Ya. Dia suruh saya sampaikan salam rindu pada nenek. Itu saja.”

Nenek tersenyum.

“Tidak sangka dia masih ingat nenek. Sudahlah. Nenek mahu siapkan ubatan untuk Naura dulu. Naura dengan Udin bersembanglah. Nenek mahu buat kerja nenek.” Dia menuju ke sudut pondok dan membuat kerjanya di sana.

Aku dengan Udin menyambung cerita. Tempat yang aku duduki sekarang ini adalah kawasan perkampungan asli. Rumah nenek Azimah ini jauh daripada kampung asli. Hanya Udin sahaja sekali sekala ke kampung untuk mencari sumber makanan di sana.

“Kak Naura, nah.”

Aku tergamam melihat benda tersebut.

“Nenek jumpa rantai ini di tempat kakak pengsan tempoh hari. Kalau tak silap saya seminggu yang lepas.”

Aku mengambil rantai tersebut. Rantai ini sama seperti rantai yang diberikan oleh Tengku Ryan Arjuna.

“Naura,”

“Ya, nek.”

“Lupakan sajalah pasal dunia Lokamaya itu. Mulakan hidup baru.”

Senyumanku hambar. Bukan mudah untuk aku melupakan dunia asing itu. Banyak perkara yang aku lalui di sana.

“Kakak Naura, lepas ni kakak nak buat apa?”

“Entahlah Udin. Kakak rasa kakak tinggal sinilah dulu sehingga kakak baik sepenuhnya.”

“Orang-orang yang cuba bunuh kakak itu pula macam mana? Nak biarkan mereka teruskan hidup mereka begitu sajakah?” Udin memandang aku.

Aku tiada jawapan untuk soalan itu. Aku sendiri tidak tahu siapa yang cuba mahu membunuh aku. Aku merenung rantai yang masih berada dalam genggaman aku ini. Kata-kata Tengku Ryan Arjuna menjengah ke dalam fikiran aku.

Tidak mungkin ada lelaki di dunia ini seperti dia.

~ TAMAT ~

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience