BAB 43

Fantasy Completed 18480

TERGAMAM aku seketika. Diari kepunyaan Tengku Rayyan Rehan itu telah habis aku baca. Ternyata Selama ini dia menyimpan perasaan terhadap Seri Mawar. Tetapi, dia berasa takut dan kecewa sekiranya Seri Mawar menolak cintanya. Lagipun, dia tahu yang Seri Mawar masih lagi berhubungan dengan Mail.

Disebabkan rasa takut kehilangan orang yang dia cintai itu dia telah lakukan perkara yang salah. Sehari sebelum Seri Mawar dengan abang Nadim pulang, Tengku Rayyan Rehan telah membawa Seri Mawar berjalan di pesta malam Puspa.

Ketika itu, tiada siapa yang nampak akan kejadian tersebut kerana Tengku Rayyan Rehan membawa Seri Mawar jauh daripada kawasan pesta tersebut. Tempat itu gelap dan sunyi. Namun, masih ada cahaya bulan yang meneranginya. Mereka berdua berbual panjang dan Tengku Rayyan Rehan telah memberikan minuman yang dia telah campurkan sesuatu di dalamnya kepada Seri Mawar.

Seri Mawar berasa pening dan dia mula berkhayal. Tengku Rayyan Rehan tidak sampai hati untuk melakukannya tapi dia tidak sanggup kehilangan Seri Mawar. Dia mahu Seri Mawar menjadi miliknya dan disebabkan itu dia perlu lakukannya juga.

Rasa bersalah bersarang di hatinya selama dua bulan selepas Seri Mawar dan abang Nadim pulang ke sini. Mana mungkin Seri Mawar tahu apa yang berlaku pada malam itu. Kerana semua yang dilakukan olehnya itu sudah mengikut perancangan telitinya. Dia membawa Seri Mawar kepada abang Nadim dan kemudian memberitahunya bahawa Seri Mawar tiba-tiba sahaja pengsan. Abang Nadim pula bulat-bulat mempercayai kata-kata temannya itu.

Kejadian itu tidak dapat dilupakan oleh Tengku Rayyan Rehan. Dia yakin Seri Mawar mengandung. Dalam diam dia datang ke kampung ini untuk melihat keadaan Seri Mawar. Tanda-tanda orang mengandung memang ada pada Seri Mawar. Kerap kali juga dia datang ke sini. Sambil dia memerhatikan Seri Mawar sambil dia membina taman cantik di tasik ini. Dua buah pulau ini adalah milik Tengku Rayyan Rehan dan dia mencantikkan kawasan ini untuk dihadiahkan kepada Seri Mawar.

Namun, itu semua tidak dapat menebus kesalahannya. Tengku Rayyan Rehan tidak dapat pertahankan rahsianya dan akhirnya dia berterus terang dengan sepupunya. Segala-galanya tentang Seri Mawar itu dia beritahu kepada Tengku Ryan Arjuna. Keluarga sepupunya itu juga tahu akan hal tersebut. Teruk dia dimarahi oleh ibu saudaranya, Tengku Ayusha. Mujurlah rahsia ini tidak sampai kepada keluarga Tengku Rayyan Rehan. Kalau tidak, lagi bertambah buruk keadaannya nanti.

Namun, masih ada halangannya apabila dia memutuskan untuk berkahwin dengan Seri Mawar. Keluarganya mahu dia berkenalan dengan seorang perempuan, anak kepada kawan baik bondanya. Dia sudah menolak permintaan tersebut tetapi bondanya tetap mahu dia berkenalan dengan perempuan tersebut. Hal ini diketahui oleh Tengku Ryan Arjuna dan dia sangat marah.

Hampir sahaja Tengku Ryan Arjuna mahu masuk campur urusan keluarga Tengku Rayyan Rehan itu namun bondanya melarangnya. Tengku Rayyan Rehan berjanji akan menyelesaikan masalah itu dengan segera. Tetapi, berita yang sampai pada keluarga Tengku Ryan Arjuna membuatkan mereka sekeluarga bertambah marah. Bonda Tengku Rayyan Rehan sudah menetapkan tarikh pertunangan Tengku Rayyan Rehan.

Tengku Ayusha sudah menganggap Seri Mawar itu seperti anaknya sendiri dan jika anak saudaranya tidak mahu bertanggungjawab, dia sendiri yang akan ambil tindakan. Dia tidak mahu melibatkan ibu bapa Tengku Rayyan Rehan itu. Sebagai penggantinya, Tengku Ayusha meminta anaknya mengambil tanggungjawab tersebut. Tengku Ryan Arjuna harus mengahwini Seri Mawar.

Mendengar sahaja cadangan tersebut, Tengku Rayyan Rehan marah dan dia tidak mahu sepupunya berkahwin dengan Seri Mawar. Mahu atau tidak itu adalah keputusan ibu saudaranya.

AKU menutup buku diari dengan perasaan yang sebak. Memang benar cinta itu buta. Kerana cinta dia sanggup berbuat begitu. Lantas, cerita yang diberitahu oleh Suri sebelum ini menjengah ke fikiran aku.

“Tiga hari sebelum kami bertukar jiwa, Mail datang ke rumah dengan niat untuk merisik Seri Mawar...” Tanganku laju membuka semula diari Seri Mawar itu.

Ya, di dalam diari ini diberitahu hal itu adalah cadangan daripada Mail sendiri. Seri Mawar menunggu hari itu tetapi Melati pula datang membawanya keluar berjalan. Hatinya ketika itu yakin mengatakan yang Mail sudah berjumpa dengan keluarganya. Tetapi, bila Seri Mawar bertanya dengan keluarganya, mereka kata tiada sesiapa pun yang bertandang ke rumah.

Tentang Mail sebenarnya belum diketahui lagi oleh keluarga Seri Mawar. Ikutkan hatinya, dia masih belum bersedia untuk memberitahu keluarganya bahawa dia sudah mempunyai kekasih.

“Tapi sekarang semua itu bukan rahsia lagi. Abang Nadim sudah tahu tentang Mail dan abang Nadim juga tahu tentang ini.” Aku mengusap perutku. Aku tidak sangka yang aku akan ada anak di usia muda ini. Kalau umi Intan dengan walid Adi tahu pasti mereka akan kecewa.

Aku meliarkan pandangan di luar tingkap. Rintikan hujan semakin lebat turun dari langit gelap. Aku tidak sangka pulau-pulau ini kepunyaan Tengku Rayyan Rehan. Seri Mawar tahu tempat ini pun semasa dia tersesat mengikut seekor burung Hoatzin yang terbang masuk ke dalam hutan ini.

Padahal, burung Hoatzin itu kepunyaan Tengku Rayyan Rehan sendiri. Dia menggunakan burung itu untuk mengumpan Seri Mawar ke sini.

Sampai sahaja di jambatan putih itu, Seri Mawar menjumpai sepucuk surat yang di dalamnya tertulis mengatakan tempat ini adalah khas buatnya. Jika Seri Mawar ingin bersendirian, dia bolehlah ke sini. Segala-galanya telah disediakan untuknya. Surat itu tidak pula dinyatakan nama pemiliknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience