BAB 44

Fantasy Completed 18494

SEHARIAN aku berfikir panjang. Keputusan terletak di tangan aku. Aku menyentuh perutku dan mengusap lembut di bahagian itu. Kandungan yang sudah berusia tiga bulan lebih ini semakin hari semakin membesar. Aku tidak tahulah apa yang akan terjadi di masa akan datang nanti.

Anak yang aku kandung sekarang ini adalah anak Tengku Rayyan Rehan. Kalau aku pilih dia aku takut aku tidak bahagia pula nanti. Perasaan yang aku simpan ini bukan untuk Tengku Rayyan Rehan. Aku menganggapnya tidak lebih daripada seorang kawan.

“Seri Mawar,”

Tersentak aku apabila Tengku Rayyan Rehan muncul berdiri di depan aku. Terus aku berdiri dan membelakanginya. Diari miliknya dan juga Seri Mawar masih ada di atas meja kecil itu. Cepat-cepat aku mengambil diari-diari tersebut.

“Bukankah itu diari saya? Seri baca diari sayakah?” Dia terkejut. Aku cuak.

“Seri, jawab. Seri ada buka diari sayakah?” Kali ini suaranya agak tinggi sedikit. Aku berpaling. Wajahnya tidak aku pandang.

“Err... ya...” Aku tergagap-gagap.

“Maknanya, Seri sudah tahu semua isi di dalam diari saya itu?”

Aku angguk kepala. Wajahnya tidak tegang. Sebaliknya, dia mempamerkan riak rasa bersalah kepada aku.

“Mengapa abang Rayyan pandang Seri macam itu? Err... Dan mengapa pula abang Rayyan ada di sini?” Aku bertanya.

“Diari abang ada di sini dan sebab itulah abang ke sini.”

Aku malu sendiri.

“Seri, tentang kandungan Seri itu...” Dia senyap. Dibiarkan sahaja ayat itu tergantung begitu. Tengku Rayyan Rehan berjalan menuju ke arah tingkap yang ada berada di tepi katil. Hanya bunyi rintikan hujan dan juga bunyi guruh kedengaran buat masa ini.

Aku duduk semula di kerusi rotan sambil menanti kata seterusnya dari lelaki itu.

“Maafkan abang, Seri. Abang tidak sepatutnya melakukan perkara itu kepada Seri.” Dia mendekati aku.

“Apa yang berlaku sebelum ini memang salah abang. Abang tidak mahu Seri menjadi milik orang lain selain abang. Seri tahukah betapa gembiranya hati abang bila tahu yang Seri tidak mahu meneruskan lagi hubungan dengan si Mail itu?”

Aku diam.

“Seri, abang janji dengan Seri. Abang akan tebus salah abang pada Seri.”

Aku tergamam. Tengku Rayyan Rehan sedang menangis.

“Bagaimana abang Rayyan hendak tebus kesalahan yang telah abang lakukan pada Seri, huh?” lembut aku bertanya.

“Kahwin.” Jawapannya membuatkan aku telan liur berkali-kali. Tidak terlintas pun di fikiran aku hendak berkahwin dalam usia aku sebegini.

“Abang mahu jadikan Seri suri hati abang. Abang sayangkan Seri,” matanya memandang dalam anak mataku. Wajahnya bertukar serius.

“Abang benar-benar cintakan Seri.”

Luahan itu membuatkan bulu romaku menegak. Meremang seluruh badan kurasakan ketika itu.

“Kalau cintakan Seri mengapa abang bertunang dengan orang lain?” Aku mahukan kepastian. Lagipun, bukan semua pasal tunang itu dia tulis dalam diari dia ini.

“Abang sudah jelaskan kepada keluarga abang. Abang tidak bertunang dengan sesiapa pun, Seri. Abang cuma mahukan Seri Mawar dalam hidup abang. Abang sudah ceritakan kepada keluarga abang tentang kita dan juga kesalahan yang abang buat pada Seri.”

Aku melopong.

“Keluarga abang akan datang ke rumah Seri untuk bincang tentang perkahwinan kita.”

“Mereka datang ke rumah?!” Mahu tercabut jantung aku mendengarnya.

Tengku Rayyan Rehan menganggukkan kepala.

Habislah aku kali ini.

“Abang Rayyan, bolehkah abang Rayyan berikan Seri masa untuk berfikir tentang semua ini? Apa yang berlaku sekarang ini terlalu mendadak untuk Seri. Lagipun, abang Rayyan sendiri tahu yang keluarga sepupu abang Rayyan sudah datang terlebih dulu merisik Seri.”

“Tapi...”

“Abang Rayyan tahukah perasaan Seri bila Seri tahu yang diri Seri ini mengandung? Hampir gugur jantung ini, tahu. Selama Seri hidup Seri tidak pernah sampai ke tahap yang memalukan keluarga Seri sendiri. Apa alasan yang Seri hendak berikan kepada mereka kalau mereka tahu keadaan Seri, huh? Sedangkan Seri sendiri pun tidak tahu bagaimana Seri mengandung.” Air mata yang ditahan akhirnya gugur juga.

“Seri, abang minta maaf. Abang benar-benar minta maaf. Abang akan bertanggungjawab atas kesalahan yang abang buat ini. Seri, tolonglah beri abang peluang.” Rayuannya membuatkan aku sesak nafas. Aku juga buntu hendak berbuat apa sekarang. Dalam diari itu, Seri Mawar langsung tidak menulis tentang hal ini. Dia betul-betul tidak tahukah diri dia itu mengandung?

“Bagi Seri ruang untuk berfikir dulu.”

“Baiklah kalau itu kemahuan Seri. Tapi, Seri janganlah berfikir terlalu lama. Abang buat semua ini pun sebab abang cintakan Seri dan abang mahu tutup aib kita berdua sebelum semuanya tahu tentang kandungan Seri ini.”

Aku faham. Tapi, hati tidak boleh di paksa, kan? Aku tiada perasaan dengan Tengku Rayyan. Aku perlukan masa untuk berfikir semua ini. Sekiranya aku ditakdirkan untuk tidak kembali ke dunia asal aku, aku terpaksa hidup mengharungi kehidupan di dunia Lokamaya ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience