BAB 34

Fantasy Completed 18480

SEHARIAN aku berfikir tentang kata-kata Tengku Ryan Arjuna. Cinta dan mencintai ini bukannya senang. Dia jatuh cinta dengan aku itupun selepas kejadian Seri Mawar melarikan diri dari rumah kerana keputusan perkahwinan yang dibuat oleh kedua belah pihak keluarga.

Aku mengeluh dan terus mengeluh. Berat sungguh perasaan aku sekarang ini. Teringat kata-kata abang Nadim yang mahu aku memilih pasangan hidup sama ada Tengku Ryan Arjuna ataupun Tengku Rayyan Rehan. Aku sendiri tidak tahu hendak pilih siapa di antara mereka berdua itu. Masing-masing ada karakternya sendiri dan kedua-duanya berjaya membuatkan hidup aku seperti pelangi.

“Kakak Mawar, boleh Suri masuk?” Terkejut aku apabila Suri menguak pintu bilik tidur aku. Aku bangun daripada pembaringan.

“Masuklah.”

Suri masuk dan menutup semula pintu tersebut. Dia duduk bersila di birai katil aku.

“Kakak Naura, baik-baik sajakah? Satu hari ini Suri lihat kakak Naura tidak bersemangat.”

“Kakak baik saja. Terima kasihlah Suri, sebab ambil berat pasal kakak.” Aku mengukir senyuman. Dia membalasnya.

“Walaupun kakak bukanlah kakak Mawar, tetapi, Suri tetap ambil berat terhadap kakak. Lagipun, kakak Naura dengan kakak Seri Mawar tidak ada beza pun. Hanya jiwa saja yang bertukar.”

“Ya, jiwa kami saja yang bertukar." Aku senyum tawar.

"Suri, kakak harap sangat kakak dapat kembali ke dunia kakak. Kakak harap sangat yang kakak dengan Seri Mawar akan bertukar kembali. Kakak rindukan keluarga kakak di sana.” Air mataku mula bergenang di tubir mata. Cepat-cepat aku menyekanya.

“Kakak Naura,” aku lihat Suri juga mahu menangis. Kami berpelukan, kejap.

“Kakak Naura menangiskah?”

Aku angguk. Air mata yang mengalir semakin lama semkain deras. Pelukan dikemaskan lagi. Aku menangis di bahu Suri.

“Kakak Naura, mengapa kakak menangis? Beritahulah Suri. Sebab apakah kakak menangis ini?” Pujuknya sambil mengusap belakang tubuhku.

“Suri, mengapa harus kakak yang menghadapinya? Mengapa kakak yang dipilih untuk ke sini, huh? Mengapa kakak yang perlu selesaikan semua masalah Seri Mawar ini? Kakak tidak suka dengan apa yang berlaku pada diri kakak sekarang ini. Kakak tidak suka, Suri.” Teresak-esak aku meluahkannya.

“Selesai satu masalah datang lagi satu masalah. Kalau masalah lain tidak apalah tetapi ini soal hati, Suri. Jawapan apa lagi yang harus kakak berikan kepada Tengku Ryan Arjuna supaya dia faham dengan kehendak kakak ini, huh? Kakak tidak mahu dia tersalah pilih. Di depannya ini bukanlah Seri Mawar tetapi Naura Athifa.” Aku mengesat air mataku. Pelukan dilepaskan. Aku memandangnya dengan pandangan dalam. Cuba mencari kekuatan untuk meluahkan segala rasa yang terbuku di hati ini.

“Dia suka kakak tapi kakak tidak sanggup untuk menipu dia, Suri.”

“Kakak Naura ada hati dengan Tengku Ryan Arjunakah?” Soalan budak remaja itu membuatkan aku terdiam.

Aku menyentuh dada. Jantung ini sentiasa berirama apabila bersama dengan Tengku Ryan Arjuna itu. Dia selalu buat aku jadi tidak keruan. Usikannya sentiasa menjengkelkan hati aku. Namun, sikapnya yang menghormati keluarga Seri Mawar, ikhlas dan jujur itu telah membuatkan aku tertarik kepadanya. Lagi-lagi dengan sikap romantik yang ditunjukkan olehnya kepadaku.

Jika aku buat perbandingan di antara dia dengan sepupunya, aku lebih sukakan Tengku Rayyan Rehan. Walaupun nampak tegas di mata orang lain tetapi bila dengan aku, dia jadi lemah lembut. Dia juga memahami aku dan sentiasa melindungi aku. Aku suka bila bersama dengan lelaki itu kerana aku rasa selamat.

“Kakak Naura,” Suri menyentak lamunanku. Tangisan aku ketika itu sudah berhenti.

“Suri tanya dengan kakak ini. Kakak Naura ada hati dengan Tengku Ryan Arjuna itukah?” Soalan diajukan kembali kepadaku.

“Suri, kakak...” Malam itu aku jujur kepadanya. Tanpa aku sedari ada seseorang sedang mendengar perbualan kami berdua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience