BAB 5

Fantasy Completed 18480

SELESAI menunaikan solat subuh aku terus mencari pakaian yang sesuai untuk aku pakai hari ini. Aku mengerutkan dahi. Tanganku membelek satu-persatu pakaian yang ada di dalam almari Seri Mawar ini. Kepala aku garu berkali-kali.

Tiba-tiba pintu dikuak dari luar. Aku tersentak dan kemudian mengurut dada. Aku ingatkan umi Intan, rupanya anak bongsunya pula yang datang menyapa aku. Aku menjawab sapaannya dengan senyuman.

“Suri, takkan semua pakaian dalam almari ni baju kurung dengan kebaya je? Tak ada ke pakaian lain?” Soalan aku membuatkan wajah remaja perempuan itu berkerut.

“Kenapa?” Tanya aku bila perasan wajahnya yang sudah berubah.

“Cara kakak Naura bercakap anehlah.” Katanya.

Aku menekup mulut. Terlupa pula yang aku sekarang ini berada di dunia lain yang sama bahasanya tetapi di dunia ini masih lagi menggunakan bahasa baku. Sementara aku pula sudah terbiasa dengan bahasa melayu moden.

Aku tersengih.

“Maaflah, Suri. Akak tak biasa lagi dengan dunia kamu ni. Lagipun, baru sehari akak di sini.”

“Tidak mengapalah, kakak Naura. Suri faham. Tapi, kakak Naura kenalah berhati-hati. Takut pula orang lain perasan dengan perangai aneh kakak.” Pesannya. Sejak dia mengetahui nama aku dia sudah membiasakan diri memanggil aku dengan nama kakak Naura.

“Suri, janganlah biasakan diri tu panggil kakak ni dengan nama kakak. Panggil akak ni kakak Mawar. Anggap akak ni kak Suri yang sebenar.” Ujarku. Walaupun nama, perangai dan cara bercakap aku dengan dia berbeza tetapi wajah kami serupa dan aku pula tidak mahu Suri merasa kehilangan terhadap orang yang paling dia sayangi.

Dia tersenyum nipis. Dari riak wajahnya aku pasti dia tengah bersedih. Aku mengeluh. Aku tidak tahu bagaimana hendak kembali ke tempat asal. Aku juga tidak tahu ke mana perginya pemilik asal tubuh yang aku sedang menumpang sekarang ini.

“Suri, Seri Mawar tak ada pakaian lain ke selain baju kurung dengan kebaya ni?” Aku kembali kepada topik utama. Dia menggeleng kepala seiring dengan tawa kecilnya.

“Kalau kakak Naura hendak tahu, di Kota Indera Aurora ini perempuannya semuanya berpakaian kurung dan kebaya tidak kira malam, siang, petang ataupun hendak tidur.” Terangnya.

Aku melopong. Tidak rimaskah perempuan-perempuan di Kota Indera Aurora ini memakai pakaian kurung itu? Kalau aku sudah tentaulah berasa panas dan tidak selesa. Tambahan lagi dengan cuaca yang panas. Berpeluh. Melekit lagi.

Lamunan aku tersentak apabila Suri menghulurkan sepasang kurung kebaya berwarna kuning coklat kepada aku. Aku tersengih dan menyambut huluruannya itu. Selesai berpakaian aku terus mendandan rambutku. Aku hanya menocang dua dan kemudian memberi sedikit bedak pada bahagian wajahku.

“Macam mana? Cantik tak?”

“Cantik tapi...” Berkerut-kerut Suri memandang aku.

“Tapi apa?”

“Hmmm... Kurang sesuatulah pada tocang kakak Naura ini.” Kata Suri. Dia kemudian membuka laci meja solek itu dan mengambil hiasan bunga-bunga kecil lalu diselitkan di tepi tocang rambutku.

Aku berpaling ke arah cermin semula dan aku lihat rambut aku ini agak sedikit pelik. Aku memandang Suri.

“Kenapa Suri letakkan bunga-bunga kecil ni dekat tocang akak?” Tanya aku. Ada sesuatu sebenarnya yang sedang bermain di fikiran aku sekarang ini.

“Semua perempuan-perempuan yang ada di Indera Kota Aurora ini mendandan rambutnya dengan cantik dan bunga-bunga seperti ini sudah kebiasaan bagi kami untuk dijadikan hiasan di rambut kami.” Terangnya. Aku jadi bingung apabila mendengar penjelasan tersebut.

“Tak kira luar atau dalam rumah, Seri Mawar tetap mendandan cantik rambut ni dengan hiasan-hiasan ini ke?” Aku meminta kepastian.

Suri mengangguk laju.

“Kakak Mawar tidak pernah keluar dengan rambut yang tidak berhias. Perempuan-perempuan di sini terutama sekali dengan anak-anak dara mesti akan keluar dengan hiasan bunga-bungaan di rambut mereka. Suri tidak pernah lagi lihat anak-anak dara di luar sana yang tidak berhias.”

“Semua perempuan? Rambut budak-budak perempuan yang masih kecil pun di dandan dan dihias juga ke?”

Dia mengangguk.

“Tapi, hiasan rambutnya berbeza. Kalau Suri hendak jelaskan pun panjang sangat. Nanti, sajalah Suri beritahu perbezaannya.” Ujarnya.

“Hmmm... Mengapa kakak Naura bertanyakan soalan seperti itu?” Suri berasa pelik dengan pertanyaan aku.

Aku berfikir sejenak. Aku masih ingat lagi diri ini ketika tersedar daripada pengsan kelmarin. Rambut ini di tocang dua tetapi tidak pula ada hiasan bunga di tocang ini.
“Suri boleh temankan akak tak?”

“Teman? Kakak Naura hendak ke mana?”

“Pergi satu tempat. Akak masih ingat lagi jalannya. Suri temankan akak, ya?” Aku memujuknya.

“Baiklah, kalau itu yang kakak Naura mahukan.” Ujar Suri sambil tersenyum kecil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience