BAB 9

Fantasy Completed 18480

SEMALAM aku di marah teruk oleh abang Nadim. Umi Intan dengan Walid Adi hanya membiarkan sahaja anak sulung mereka itu mengambil alih tugas memarahi aku. Lepas abang Nadim aku dikerjakan pula oleh adik bongsu Seri Mawar. Seharian aku menghilangkan diri dan membuatkan mereka sekeluarga risau dengan aku.

Namun, itu tidak mematahkan semangat aku untuk pergi dari sini. Aku harus kembali ke dunia aku. Seperti hari kelmarin, aku terus melarikan diri selepas subuh. Nasib aku bertuah kerana tiada sesiapa pun di dalam rumah itu yang perasan aku keluar.

Aku melajukan langkah meninggalkan kampung tersebut. Namun, usaha aku sia-sia sahaja apabila seorang mak cik menegur aku. Aku buat muka geram sebelum berpaling ke arah belakang.

“Ya, mak cik.” Aku buat senyuman paksa. Ini kali kedua rancangan aku gagal.

“Awal sungguh Seri keluar rumah. Seri hendak ke mana ini?” Tanya mak cik itu.

“Err... Seri... Seri hendak ambil angin sekejap. Mak cik hendak ke mana pula?” Giliran aku bertanya. Harap-harap mak cik ini tidaklah seperti Pak Ajis yang memaksa aku membantunya di kedai makannya kelmarin. Itu memang perasaan aku. Aku tidak tahu pula apa perasaan si Seri Mawar itu bila membantu Pak Ajis di kedai makan orang tua itu.

“Mak Lin hendak pergi ke rumah tengku.”

“Rumah tengku?” Dahiku berkerut. Nasib baiklah mak cik ini membahaskan dirinya dengan nama. Aku cuba mengorek memori berkaitan dengan tengku ini.

“Maksud Mak Lin, err... keluarga Tengku Bahaman itukah?”

“Ya. Mak Lin sekarang ini bekerja di sana. Mak Lin sudah berhenti bekerja di kedai makan Pak Meon itu. Seri pun tahukan mulut Pak Meon itu macam mana. Dulu sikapnya itu mesra dan baik hati dengan Mak Lin dan yang lain. Tapi, sekarang sikapnya sudah berubah. Dia suka memburuk-burukkan pekerja-pekerjanya di depan pelanggan-pelanggan dia termasuklah Mak Lin ini.” Kata Mak Lin. Nadanya kedengaran kecewa.

Tapi, maafkan sayalah Mak Lin. Orang yang berdiri di depan Mak Lin sekarang ini bukannya Seri Mawar. Saya tidak kenal pun siapa Pak Meon itu. Kalau Pak Ajis itu saya sudah kenallah. Itupun baru sehari kenal. Aku ketawa dalam hati sahaja.

“Siapa yang tidak tahan dengan perangai Pak Meon itu. Ada-ada saja ragamnya. Buat itu salah, buat ini salah. Tidak ada satu benda pun yang kami buat ini betul di mata dia. Hari-hari kena marah di depan pelanggan. Mak Lin pun tidak tahu mengapa Pak Meon bengis sebegitu?” Luah Mak Lin lagi seiring dengan keluhan beratnya itu. Wajahnya tampak sugul. Tanganku bersahaja menepuk lembut bahu Mak Lin agar bebanan yang diterimanya itu hilang sedikit.

“Bagaimana pula dengan pekerja-pekerja yang lain? Mereka pun berhenti kerjakah?” Tanya aku ingin tahu.

Lagi sekali helaan nafas berat kedengaran dari mulut wanita separuh abad itu. Jahat sungguhkah Pak Meon itu sehinggakan wajah Mak Lin ini kelihatan berat sekali.

“Kebanyakkan mereka masih lagi bertahan. Kalau mereka berhenti mereka tidak ada duit untuk menyara hidup keluarga mereka. Hanya Mak Lin, Cik Bulan dengan Atan saja yang berputus asa untuk kerja di situ.”

“Kasihan, Mak Lin. Tidak apalah Mak Lin... Yang lepas itu biarlah lepas. Tidak usahlah diingatkan kembali. Lagipun, Mak Lin sekarang sudah ada kerja baru di rumah tengku.” Ujarku mengembalikan suasana gembira. Terserlah senyuman manis Mak Lin kepadaku.

“Hmmm... Kalau macam itu, Mak Lin pergilah dulu nanti tengku marah pula kalau Mak Lin lambat hendak ke sana.” Kataku sambil menayang gigi. Aku cuma tidak mahu berlama-lama dengan wanita ini.

“Marilah ikut sekali Seri. Lagipun, Seri inikan bakal menantu mereka. Marilah, ya?”

Mataku membulat. Aku telan liur. Aku hampir terlupa hal tentang ‘bakal menantu’ itu. Saat ini jugalah Mak Lin ini mahu mengajak aku ke sana. Hesy, aku tidak mahu! Aku mahu pergi dari sini. Aku tidak mahulah kalau Mak Lin ini menghalang rancangan aku.

Mak Lin masih tersenyum menunggu jawapan daripada aku. Aku pula tersengih-tersengih.

“Err... Mak Lin...” Belum sempat aku menghabiskan ayatku dia sudah menarik tangan aku mengikut langkahnya.

Argh!! Suka hati sahaja orang kampung buat aku macam ini. Siapa kau ni Seri Mawar?! Kenapalah aku ini mudah sangat mengikut langkah mereka? Setahu aku, sikap aku bukannya sebegini. Aku tidak suka di paksa dan kalau aku di paksa pun aku akan cuba larikan diri. Usaha aku semuanya menjadi tetapi tidak untuk kali ini. Kenapa?! Tidak mungkinlah ini sikap Seri Mawar?


LEMAH langkahku berjalan mengikut langkah Mak Lin itu. Entah di manalah agaknya rumah si tengku ini. Aku hanya kenal dengan nama mereka sahaja tetapi rupa mereka langsung aku tidak pernah lihat.

“Mak Lin,”

“Ya,”

“Mak Lin buat kerja apa di rumah tengku itu?” Tanya aku.

“Mak Lin kerja memasak di sana.”

“Oh...” Aku mengangguk-anggukkan kepala.

“Tepilah!!” Sergah seorang gadis. Dengan bersahaja dia menolak bahu aku ke tepi. Mak Lin juga turut ke belakang kerana tolakan tersebut. Aku menggeram. Aku mahu marah namun marahku terbantut kerana terkesima melihat anak-anak dara yang berkumpul tidak jauh daripada tempat kami berdiri.

“Mak Lin, mengapa ramai sungguh anak-anak dara berkumpul di sana? Mengapa mereka menjerit-jerit sebegitu? Ada apa-apa yang menarik di sanakah?” Tanya aku bertubi-tubi. Aku hanya dapat melihat kuda putih yang berada di tengah-tengah mereka sahaja. Tidak mungkinlah mereka semua gilakan kuda putih itu?

Mak Lin ketawa kecil. Keningku terangkat.

“Mengapa Mak Lin ketawa?”

“Anak-anak dara itu semua berusaha mahu memikat teruna di depan mereka itu.”
Jawapan Mak Lin membuatkan dahiku berkerut.

“Siapakah anak teruna itu Mak Lin?” Perlahan namun dapat di tangkap oleh Mak Lin. Sekali lagi wanita separuh abad itu ketawa.

“Kura-kura dalam perahu, Seri ini buat-buat tidak tahu pula.”

“Hah?”

“Seri sudah lupakah? Satu-satunya anak teruna yang memlikki kuda putih di sini itu adalah Tengku Ryan Arjuna.”

“Hah?!” Aku tercengang. Aku berpaling semula ke arah anak-anak dara itu. Kuda putih itu pula sepertinya tidak senang dengan kedudukannya kerana dikerumuni dengan ramai orang. Kuda putih itu mengundur ke belakang dan saat itu juga aku melihat seorang lelaki sedang tersenyum ke arah mereka. Betulkah itu Tengku Ryan Arjuna?

“Seri tidak mahu berjumpa dengan bakal suami Serikah?” Sempat lagi Mak Lin mengusik aku. Aku mencebik. Mana mungkin aku mahu berjumpa dengan lelaki itu.

Aku memandang anak teruna itu dari jauh. Wajahnya boleh tahan kacak juga. Tapi, sekarang bukan masanya untuk aku berfikir tentang dia. Aku harus pergi dari sini. Aku mengerling ke sebelah. Ternyata, pandangan Mak Lin masih lagi terarah ke arah mereka. Inilah peluang aku!

Perlahan-lahan aku mengundurkan langkah ke belakang sambil mataku tidak lepas memandang Mak Lin. Aku tidak mahu dia perasan dengan perbuatan aku ini.

“Maafkan saya, Mak Lin.” Kataku dengan nada perlahan lalu terus melarikan diri. Aku sudah tidak peduli dengan kegilaan anak-anak dara itu terhadap jejaka yang bernama Tengku Ryan Arjuna. Biasalah bagi lelaki-lelaki kacak macam dia. Sudah semestinya lelaki seperti dia itu menjadi rebutan kaum Hawa. Tidak kiralah yang muda mahupun yang tua. Semuanya pasti akan terpikat dengan lelaki jenis seperti dia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience