BAB 33

Fantasy Completed 18494

BEBERAPA hari sudah berlalu sejak kejadian hari itu. Aku langsung tidak nampak Melati sudah. Dia betul-betul mengotakan janjinya pada abang Nadim.

Aku bersiap-siap hendak keluar. Hari ini Tengku Rayyan Rehan hendak membawa aku berjalan ke Kota Puspaloka. Aku sentiasa teruja hendak ke sana kerana di sana banyak bunga-bungaan. Sebaik sahaja aku keluar daripada bilik, wajah orang lain pula yang muncul di depan aku. Bukan Tengku Rayyan Rehan tetapi sepupunya yang bakal berkahwin dengan aku.

“Tengku Ryan! Apa tengku buat dekat sini? Bukankah...”

“Tengku Rayyan Rehan tidak ada di sini. Dia ada hal di luar kota.” Potongnya. Tahu sahaja soalan yang aku hendak ajukan kepadanya.

“Sudah berapa kali saya cakap dengan dinda Naura. Jangan panggil saya dengan nama saya.” Dia buat muka. Aku tersengih.

“Ala, sekali-sekala biarlah Seri panggil nama saja. Kalau hari-hari panggil dengan panggilan yang sama, nanti, lepas kahwin nak panggil apa pula? Seri takut nanti lepas kahwin Seri jemu dengan panggilan itu.” Aku ketawa mengekek sebelum melarikan diri ke dapur. Aku mahu mengisi perut dulu sebelum keluar rumah. Aku perasan yang diri aku sekarang ini jadi kuat makan. Perut makin buncit. Ish, tidak boleh jadi ini! Aku kena bersenam.


“TENGKU RYAN hendak bawa Seri ke mana?” Tanya aku. Seperti biasa Tengku Ryan Arjuna akan membawa kuda putihnya keluar bersama kami dan sewaktu mahu menunggang kuda ini, dia menyuruh aku duduk di bahagian depan tetapi aku tidak mahu. Aku berkeras mahu duduk di bahagian belakang. Pergaduhan kecil membuatkan dia mengalah dengan aku dan akhirnya aku menang. Aku duduk di bahagian belakang dengan perasaan yang gembira.

“Kanda mahu bawa dinda naik ke bukit itu.” Dia menunjuk ke arah bukit yang ada di hadapan kami.
Aku sedikit berkerut.

“Kita buat apa di atas bukit itu malam-malam sebegini? Ada apa-apa yang menarikkah di sana?” Soalku. Ish, menyesal pula aku ikut lelaki ini. Sudahlah malam, kalau siang tidak apalah. Seharian aku berjalan dengan dia ini. Petang tadi dia membawa aku ke rumahnya kerana ibu bapanya ingin bertemu dengan aku. Sekarang ini dia membawa aku ke tempat lain pula, tempat yang aku sendiri tidak tahu.

“Rahsia. Sampai sana nanti, barulah dinda akan tahu.” Ujarnya dengan senyuman. Aku memcebik. Aku menyuruhnya berhenti menunggang.

“Mengapa dinda?”

“Turunkan Seri. Seri mahu berjalan.” Kataku. Dia menurut sahaja.

“Mengapa dinda mahu berjalan pula? Kanda, kan bawa kuda ini bersama kita. Tunggang sajalah kuda ini.” Dia turut sama mengikut rentakku sambil tangannya menarik tali kuda itu.

“Tengku Ryan tidak perasankah dengan perubahan Seri ini? Seri semakin lama semakin gemuk.” Rungut aku. Dia ketawa.

“Siapa suruh Seri kuat makan. Nadim kata, Seri sekarang ini makin kuat makan. Macam-macam makanan pelik yang Seri masak di rumah itu. Nasib baiklah semua masakan yang Seri masak itu sedap-sedap.” Dalam sindirannya ada juga pujian yang diberikan kepada aku.

“Tengku Ryan ini kalau sehari tidak mengusik Seri tidak bolehkah?” Aku merengus.

“Salahkah kalau kanda mahu mengusik adinda kanda ini, hmmm?”

Aduhai, gemersik sungguh suara Tengku Ryan Arjuna ini. Mulalah jantung aku buat hal.

“Tidak salah, cuma...” Aku terdiam, terpaku melihat wajah Tengku Ryan Arjuna. Wajahnya tampak kacak apabila disinari dengan cahaya bulan.

“Cuma apa dinda?” Suaranya menyentak lamunan aku. Aku berdeham. Laju aku berpaling ke arah lain.

Dia ketawa.

“Kanda tahu dinda pasti sudah terpaut dengan kanda, bukan?” Dia mencuit hidungku. Lagi bertambah malu aku dibuatnya. Aku terus melangkah ke hadapan meninggalkannya yang berada di belakang aku.

Suasana yang samar-samar hanya diterangi dengan cahaya bulan itu telah menyebabkan kaki aku tersadung dengan batu. Aku hampir jatuh tetapi sempat disambut oleh Tengku Ryan Arjuna. Wajahku merona. Nasib baiklah malam. Kalau tidak sudah tentu dia akan mengusik aku lagi.

“Dinda ini berhati-hatilah sikit. Kalau dinda jatuh tergolek macam mana? Kanda juga yang susah nanti.” Tengku Ryan Arjuna geleng kepala. Aku tersengih. Kami meneruskan lagi perjalanan sehingga sampai ke puncak bukit itu.


SAMPAI di puncak bukit aku terus merehatkan diri. Terasa begitu penat sekali mendaki bukit ini. Aku tersengih. Aku juga sendiri yang mahu berjalan naik ke bukit ini. Berkali-kali Tengku Ryan Arjuna menyuruh aku naik atas kuda putihnya tapi aku tidak mahu. Lebih baik aku berjalan, dapat juga keluarkan peluh dan lemak-lemak yang berkumpul di perut aku ini.

“Tengku Ryan, tiada apa-apa pun yang menarik dekat sini?” Aku memuncungkan mulut. Macam-macam yang aku bayangkan di atas bukit ini. Mungkin ada kelip-kelip dekat sini. Setidaknya pun ada binatang comelkah atau bunga-bunga yang pelik.

Aku mengeluh. Tetapi, semua benda yang aku bayangkan langsung tidak ada. Atas bukit ini kosong. Hanya sebatang pokok besar yang rendang dan juga rumput-rumput yang menghijau.

“Sekejap lagi benda menarik itu akan muncul dan dinda pasti akan teruja melihatnya.”

Aku berpeluk tubuh memikirkan kata-kata Tengku Ryan Arjuna itu. Benda menarik apa yang akan muncul nanti?

Aku memandang pemandangan malam dari atas bukit ini. Tengku Ryan Arjuna pula sibuk menguruskan kuda putihnya itu. Tidak lama kemudian muncul pancaran cahaya lain yang menerangi langit hitam itu. Aku terpukau, terpesona melihat cahaya yang berwarna kemerah-merahan disertai dengan warna kehijauan itu.

“Cantik sekali! Dari mana datangnya cahaya-cahaya itu?” Dalam tidak sedar aku bertanya.

“Cahaya-cahaya itu datangnya dari Kota Agis. Cahaya itulah yang dipanggil Aurora. Setiap kali pertengahan tahun, cahaya-cahaya ini akan muncul dari sana dan menerangi langit di Kota Indera Aurora ini.” Serba sedikit Tengku Ryan Arjuna memberitahu aku tentang cahaya-cahaya itu.

Cahaya dari Kota Agis, ya? Itu tempat si Radin a.k.a Aiz Hafizi. Hmmm... Agaknya ke mana lelaki itu sekarang ini?

“Sekiranya dinda berada di tengah bukit di sebelah sana, dinda akan nampak keseluruhan kota ini dan dinda juga akan dapat lihat Aurora ini membentuk satu garisan bulatan yang mengelilingi kota ini. Disebabkan pembentukkan Aurora dari Kota Agis itu, tempat ini dinamakan Indera Aurora.” Terangnya. Aku menganggukkan kepala sahaja dengan penerangannya itu.

Dari tempat kami ini, hanya separuh garisan cahaya Aurora itu sahaja yang dapat dilihat kerana garisan lain ditutupi dengan pokok-pokok yang tinggi.

“Banyak yang Tengku Ryan tahu tentang Aurora ini. Seri pula hanya tahu sedikit saja mengenai cahaya itu.” Aku mencebik.

“Orang-orang di kampung ini tahukah juga tentang kewujudan Aurora ini?” Tanya aku lagi. Pandangan aku masih tidak lari dari melihat Aurora yang indah itu.

“Mereka mestilah tahu. Cumanya, mereka jarang ke sini. Kebiasaannya, mereka melihat Aurora ini di kawasan rumah mereka saja.”

Mesti Suri tengah tengok Aurora ini juga, kan?

“Mengapa pula mereka jarang ke sini? Mereka tidak sukakah dengan pemandangan indah seperti ini?” Lagi aku bertanya.

“Bukan tidak suka. Tapi, jarak kawasan kampung dengan bukit inikan jauh.” Dia ketawa sambil memandang langit hitam yang masih bercahaya.

Aku mengusap lenganku. Walaupun berbalut kain tetap terasa kesejukkan angin malam yang menembusi lapisan kain pakaian aku ini.

“Sejuk?” Tegur Tengku Ryan Arjuna. Aku segera menidakkannya.

Dia tersenyum sebelum meminta diri.

Leka aku melihat Aurora di langit itu. Kerdipan bintang-bintang yang menghiasi langit hitam menambahkan lagi kecantikan malam itu. Tiba-tiba aku terasa ada sesuatu pada tubuhku.

“Tengku...” Aku bungkam. Baiknya hati Tengku Ryan Arjuna ini menyarungkan pakaian panas miliknya di tubuhku ini.

“Pakailah. Kanda tidak mahu dinda kesejukkan pula nanti.” Dia menyimpul senyuman kecil.

“Terima kasih, Tengku Ryan.” Ucapku dengan wajah yang menunduk.

“Sama-sama kasih, dinda. Untuk adinda, kanda akan buat apa saja agar adinda Naura ini cinta dan sayang dengan kanda seorang saja.” Kata-katanya membuatkan wajahku membahang.

“Walaupun sebelum ini dinda mempunyai kekasih hati, tetapi itu tidak akan membuatkan kanda berputus asa untuk memiliki adinda. Kanda mahu dinda Naura tahu yang hati kakanda sekarang ini hanya untuk adinda seorang sahaja. Tiada perempuan lain yang boleh mengantikan tempat dinda di hati kanda ini.”

Aku terdiam. Kata-katanya membuatkan aku sedikit takut. Aku mendongak memandang cahaya Aurora itu.

“Tengku Ryan, bolehkah Seri hendak tahu sesuatu?”

“Hmmm,”

“Sejak bila lagi perasaan cinta Tengku Ryan itu hadir untuk Seri? Tengku Ryan jujur dengan Seri, ya. Kalau Tengku Ryan tidak jujur, Seri lari hilangkan diri.” Soal aku, diiringi dengan amaran.

Dia turut sama mendongak memandang langit hitam itu. Suasana senyap seketika.

“Kanda sendiri tidak tahu bila perasan cinta itu hadir. Tapi, apa yang pasti semuanya berlaku selepas dinda melarikan diri ke dalam hutan tempoh hari. Sebelum ini, kanda selalu juga ke rumah adinda tetapi kanda tidak pernah merasakan perasaan itu sehinggalah selepas kejadian dinda melarikan diri kerana tidak mahu berkahwin dengan kanda.”

Aku tercengang. “Err... Tengku Ryan tahu mana semua hal itu?”

“Dari abang adindalah. Orang-orang kampung di sini dan orang-orang gaji di rumah kanda sibuk bercerita tentang dinda Naura, tahu. Mereka semua risaukan adinda.”

Tapi... Yang berada di dalam tubuh ini bukannya Seri Mawar. Aku takut suatu hari nanti Tengku Ryan Arjuna akan berubah hati sekiranya dia tahu tentang hal ini.

“Dinda masih ingatkah tentang permintaan kanda itu?”

“Permintaan apakah?”

“Tentang perkahwinan.”

Aku telan liur. Sudah lama hal ini tidak di ungkit dan hari ini Tengku Ryan Arjuna kembali kepada topik itu semula.

“Kanda harap kita berdua dapat membina istana bahagia. Kanda mahu segerakan perkahwinan kita ini.” Ada riak risau yang terpancar di wajahnya. Hal apa agaknya yang dirisaukan oleh Tengku Ryan Arjuna ini?

“Tengku Ryan...” Sebolehnya aku mahu lebih masa lagi. Aku tidak boleh kahwin dengan dia. Ini semua salah. Aku bukan Seri Mawar. Aku melangkah ke arah kuda putih yang sedang berehat di bawah pokok rendang itu. Tengku Ryan Arjuna membuntuti dari belakang.

“Seri mahu pulang. Tengku Ryan tolonglah beri Seri sedikit masa lagi. Seri tidak mahu tersalah pilih pasangan. Alam perkahwinan ini bukannya mainan. Kita perlu hadapinya bersama sehingga ke hujung nyawa.”

“Dinda Naura, kanda tahu perkahwinan ini bukannya mudah.”

Langkahku mati. Aku masih membelakanginya.

“Tapi, kanda benar-benar mahu memperisterikan adinda.”

Mengapa aku jadi lemah mendengar bicaranya ini. Aku mengerling wajahnya yang serius itu. Dia memang mahu memperisterikan Seri Mawar. Tapi, aku tidak boleh. Bagaimana lagi aku hendak menghalang perkahwinan ini?

“Tengku Ryan, Seri mohon pada tengku. Berilah Seri masa untuk memikirkan hal ini. Seri perlu pastikan diri Seri ini benar-benar sudah bersedia untuk menempuh alam baru nanti.”

Dia mendiamkan diri.

“Dinda mahukan masa lebih bukan kerana memikirkan tentang hal kahwin mahupun bekas kekasih dinda itukan?”

Mataku membulat. Nadanya berubah tegang.

“Mengapa Tengku Ryan berkata begitu pula?”

“Mestilah kanda akan berkata begitu. Sebenarnya, dinda lebih memikirkan hubungan dinda dengan sepupu kanda, bukan? Seri fikirkan Tengku Rayyan Rehan bukannya saya?!” Tiba-tiba dia meninggikan suara. Aku terkesima.

“Apa yang Tengku Ryan cakapkan ini, hah? Sejak bila Seri memikirkan Tengku Rayyan Rehan itu?”

Dia senyum sinis. “Bukan saya tidak tahu yang Seri dengan dia sering keluar bersama apabila ketiadaan saya di sini.”

Aku bungkam. Aku baru perasan dengan semua ini. Setiap kali Tengku Ryan Arjuna ke luar kota, Tengku Rayyan Rehan pasti akan datang menjenguk aku.

“Tapi,” aku tidak dapat meneruskan bicara. Aku tidak tahu bagaimana hendak memberitahunya. Apa yang berlaku ini semua adalah secara spontan dan langsung tidak disedari oleh aku sendiri.

“Sudahlah. Kita pulang. Saya akan beri Seri masa. Fikirlah sepuas-puasnya.” Suaranya masih tegang. Panggilan juga bertukar. Aku akur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience