BAB 49

Fantasy Completed 18480

“BAGAIMANA Tengku Ryan tahu Seri ada di kedai makan Pak Ajis?”

“Abang dinda yang bagitahu kanda.”

Kami beriringan jalan ke sebuah taman di hujung kampung.

“Dinda baik-baik sajakah?” Soalnya pula.

“Tengku Ryan tengok Seri ini baik-baik sajakah?” Aku memulangkan paku buah keras.

“Kanda tanya sajakan. Mengapa dinda hendak marah-marah pula ini?” Nampaknya, dia tidak berpuas hati. Aku merengus.

“Seri tertekan dengan semua ini. Sakit kepala, sakit hati, segala-galanya sakit.” Aku melepaskan geram.

“Kanda tahu dinda sakit hati dengan apa yang orang-orang kampung katakan pasal dinda ini. Sabarlah. Lambat-laun, mulut mereka berhenti juga mengata dinda yang bukan-bukan.” Ujarnya dengan nada yang tenang.

“Tengah sabarlah ini. Tapi, tahap kesabaran Seri pun ada batasnya juga. Apa yang mereka katakan itu semuanya tidak betul. Mereka buat begitu sebab Seri tidak layan mereka terutamanya si Mail itu.” Aku mengeluh. Bangku panjang diperbuat daripada kayu yang ada di bawah pokok Tecoma itu menjadi pilihan tempat aku berlabuh.

Nafas ditarik dan kuhembus perlahan. Bunga-bunga Tecoma yang berguguran jatuh diterbangkan angin itu menenangkan perasaan aku untuk seketika. Hilang sedikit tekanan yang aku rasakan sekarang ini.

“Sabar itukan separuh daripada iman. Berdoalah. Minta pada TUHAN untuk kuatkan hati dinda. Pekakkan saja telinga itu dengan kata-kata busuk mereka itu.”

Aku cuma membalasnya dengan senyuman kecil.

“Hmmm... Bagaimana pula dengan kandungan dinda? Tiada apa-apa masalahkah?”

“Buat apa Tengku Ryan hendak tahu?” Aku menjelingnya.

“Salahkah abang prihatin dengan dinda?” Soalan berbalas soalan.

Aku diam. Malas hendak melayannya.

“Dinda, tolong kanda boleh?”

Aku memandangnya dengan kerutan di dahi. “Tolong apa?”

“Tolong jangan layan kanda seperti ini. Bila kita bertemu, dinda mesti hendak mencari gaduh dengan kakanda. Kanda tidak sukalah.”

Sudah perangai kau itu menyakitkan hati, sebab itu aku marah-marah. Tapi, orang kata jangan gaduh-gaduh dan benci dengan orang yang kita tidak suka nanti, lama-lama kita akan suka dengan orang itu balik.

Aku...

Perlahan-lahan aku menganggukkan kepala. Dia tersenyum senang.

“Terima kasih, dinda Naura.” Senyumannya membuatkan hatiku tidak keruan. Cepat-cepat aku melarikan pandangan.

“Err... cantikkan bunga Tecoma ini.” Laju tanganku mengambil salah satu bunga Tecoma yang gugur dan menhidunya.

“Cantik macam dinda juga.” Pujinya. Jantungku berdegup pantas.

“Tapi, orang-orang sini tidak memanggilnya bunga Tecoma tetapi...”

“Bunga Sakura, bukan?” Jawab aku dengan senyuman lebar.

“Ya. Tecoma itu hanya orang-orang Puspaloka saja yang memanggilnya. Err... Dinda tahu nama bunga ini dari sepupu kandakah?”

Aku tersengih. “Ya,” padahal, bunga ini banyak pun dekat dunia aku di sana itu.

Deruan angin membuatkan tubuhku rasa sejuk. Nampaknya, hari sudah mendung. Aku memandang Tengku Ryan Arjuna yang masih melayan perasaannya.

“Tengku Ryan hendak ke mana-mana hari inikah?”

Dia memandang aku dengan kening sebelah yang terangkat.

“Kanda tidak ke mana-mana pun. Mengapa dinda bertanya?”

Senyuman aku lebar hingga ke telinga.

“Bawalah Seri jalan-jalan. Tapi, Seri tidak mahu di sini. Tengku Ryan bawalah Seri ke luar kota sekejap, ya?” Aku memujuknya dengan gaya gedik aku ini. Aduh, kenapa aku manja pula ini? Pembawaan budakkah?

“Dinda ini peliklah. Tiba-tiba saja ubah perangai.”

“Ala, Tengku Ryan janganlah banyak cakap. Tengku Ryan bawa sajalah Seri jalan-jalan luar kota.” Aku memaniskan muka semanis yang mungkin.

Dia bangun dan merapikan pakaiannya.

“Marilah.” Senyumannya benar-benar membuaikan aku. Laju aku mengangkat punggung membuntutinya dari belakang.

Biarlah hari ini aku habiskan masa dengannya. Ya, sebelum ini aku selalu sahaja berkasar dengannya. Tapi, bila aku fikirkan balik apa yang aku buat sebelum ini telah memakan diri aku sendiri. Cuma, aku tidak pasti lagi sama ada perasaan ini betul-betul lahir untuknya ataupun sebaliknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience