Chapter 46

Humor Completed 22614

Bab 46

RUANG kosong itu suram dan gelap walaupun pada hari siang. Langsirnya dibiarkan tertutup rapat bagi tidak membenarkan cahaya memasuki rumah kecil itu. Keadaan rumah itu tidak terurus lagi setelah penghuninya berpindah. Barang-barang di dalamnya sudah tidak lengkap lagi kerana telah dibawa ke rumah yang baru. Hanya beberapa barang yang bersaiz besar ditinggalkan di pangsapuri kecil tanpa bilik itu.

Heris baring menelentang di atas katil. Peristiwa semalam bagaikan mimpi yang membawanya ke ruang yang ditinggalkannya beberapa minggu yang lalu itu. Dalam sekelip mata dia jatuh cinta dengan Sophia dan dalam sekelip mata juga dia berpisah dengan wanita tersebut. Semuanya bagaikan mimpi. Keindahan cinta itu datangnya sekejap cuma. Orang yang dicintainya itu sebenarnya milik orang lain dan dia tidak ubah seperti meminjam cinta untuk mengetahui bagaimana rasanya cinta itu. Ternyata cinta itu bukan mudah untuk ditangani.

Heris mengangkat kepala melihat jam di sudut katil. Waktu sudah menunjukkan pukul 10.30 pagi. Patutlah perutnya sudah berbunyi-bunyi mendendangkan lagu keroncong. Namun Heris tidak mahu berganjak untuk mencari makanan. Dia tidak teringin untuk menjamah sebarang makanan. Luka di hatinya itu masih terasa dan seleranya hilang tatkala teringat peristiwa duka yang baru berlaku semalam. Dia baru memutuskan ikatannya dengan Sophia. Wanita yang dicintainya itu sebenarnya tidak menyintainya dan menjadikannya tidak ubah seperti bahan ujikaji dalam eksperimen cintanya.

“Tindakan kau akan membawa padah, Heris.”

Kata-kata ayahnya terngiang-ngiang di telinganya. Dia berasa malu kerana mulut ayahnya masin dan dia benar-benar sudah berpisah dengan Sophia. Jika dia mendengar nasihat ayahnya tentu perkara sebegini tidak akan berlaku. Perangainya yang suka bertindak melulu itu sudah memakan dirinya sendiri. Penyesalan sudah tidak berguna lagi. Cuma dalam waktu yang sukar ini dia tidak berani untuk berjumpa dengan sesiapa lebih-lebih lagi keluarga dan teman-temannya. Termasuklah juga Nia kerana wanita itu telah menjadi salah satu punca perpecahan hubungannya dengan isterinya. Walaupun dia tidak menyalahkan Nia tetapi dia tidak mahu sahabatnya itu runsing jika tahu masalah besar yang sedang melanda dirinya ketika ini.

***************

“SOPHIA, makanlah. Kalau kau tak makan macamana nak sembuh.”

Puas Naliz memujuk Sophia untuk menjamah makanan tetapi Sophia tetap tidak mahu. Dia terus membisu dan menangis sepanjang hari. Naliz sangat risau apabila melihat Sophia langsung tidak menyentuh makanan yang disediakan oleh pihak hospital. Dia berharap Ivan datang dengan segera untuk membantunya memujuk Sophia.

Tidak lama kemudian Ivan muncul dengan membawa satu bungkusan beg plastik. Naliz mendekati Ivan.

“Dia tak nak makan. Cakap pun tak nak. Cuma menangis sejak tadi.” Bisik Naliz kepada Ivan.

“Biar aku cuba pujuk dia.”

Ivan mengambil tempat untuk duduk di sisi Sophia. Bungkusan yang dibawanya tadi dibuka dan di hulurkan kepada Sophia.

“Aku bawa makanan untuk kau. Aku beli di gerai yang selalu kita makan bersama tu. Kau sukakannya, bukan?”

Sophia menolak jauh mangkuk yang dihulurkan oleh Ivan. Ivan menoleh kepada Naliz sekejap. Naliz mengeluh. Ivan meletakkan mangkuk itu di atas meja. Dia memandang wajah Sophia yang tidak bermaya. Matanya bengkak akibat terlalu banyak menangis. Bibirnya kering dan pucat. Pipinya basah dek air mata yang tidak berhenti mengalir. Ivan tidak tega melihat keadaan Sophia yang serupa itu.

“Apa yang berlaku sebenarnya, Sophia? Kau bergaduh dengan Heris?” tanya Ivan.

Tangisan Sophia bertambah kuat. Dia menarik baju Ivan dan memeluk pemuda tersebut. Ivan terkesima dengan perlakuan Sophia yang memeluknya secara tiba-tiba.

“Aku bencikan dia. Kau jangan sebut nama lelaki tak berguna tu lagi.”

“Apa yang Heris dah buat pada kau?” Ivan memegang pangkal bahu Sophia. Wajah tidak bermaya itu di tatap tajam. Bunga kemarahan Ivan mula memekar apabila mengetahui Heris yang menjadi punca Sophia jadi sebegitu.

“Apa yang berlaku sebenarnya, Sophia?” Naliz duduk dengan kakinya tergantung di hujung katil. Dia dan Ivan tertumpu pada Sophia.

“Dia tuduh aku curang sedangkan dia yang ada hubungan sulit dengan Nia. Dia tuduh aku main permainan yang kejam ni untuk berseronok. Itu semua tak benar. Itu cuma alasannya untuk berpisah dengan aku,” cerita Sophia.

Wajah Ivan berubah. Ada perasaan tidak enak mendengarkan cerita Sophia. Dia tertanya-tanya sendiri di dalam hati samada Heris ada membaca e-mail yang dihantarnya kepada Sophia. Sedikit sebanyak rasa risaunya tetap muncul apatah lagi Heris tidak tahu menahu tentang kisahnya dengan Sophia sebelum ini jadi bagaimana lelaki itu boleh mengesyaki Sophia sebegitu. Namun tidak mustahil juga jika Heris telah terbaca e-mail tersebut secara tidak sengaja.

“Dia sangat rapat dengan Nia. Setiap tindakan, perbuatan malah kata-katanya juga selalu melibatkan Nia. Dalam komputernya juga terpampang wajah Nia. Baginya Nia adalah segala-galanya. Dia rela melepaskan aku daripada menjauhi Nia. Dia tak sayangkan aku. Semua cinta yang dia beri adalah palsu.” Sophia kembali meraung. Kali ini dalam dakapan Naliz pula.

“Mungkin dia anggap Nia seperti adik atau kakaknya. Bukankah mereka rapat sejak kecil?” Ivan memberi pendapat. Cuba menyenangkan hati Sophia.

“Sebab mereka terlalu rapatlah Heris sanggup melepaskan aku daripada kehilangan Nia.”

“Semua tu sudah jelaskah? Mungkin ini semua hanya satu salah faham. Biar aku cuba hubungi Heris untuk dapatkan penjelasan.” Naliz cuba mencari jalan untuk menjernihkan situasi antara Sophia dan Heris.

“Tak perlu Naliz. Dia sendiri yang mengaku pada aku… dia memang tak pernah menyintai aku. Aku saja yang bodoh kerana terlalu mengharapkan cintanya selama ini.”

“Kau benar-benar cintakan dia?” soal Naliz.

“Naliz!” Ivan cuba hendak menegah pertanyaan Naliz tapi telah terlambat.

Sophia memandang Naliz kemudian pandangannya bertaut dengan Ivan pula. Dalam mata yang berkaca-kaca itu dia tetap dapat melihat perubahan air muka Ivan yang keruh dalam jernih disebabkan soalan yang dilontarkan oleh Naliz.

“Ya. Aku… aku cintakan Heris.”

Terasa jantung Ivan bagai disentap mendengarkan jawapan Sophia.

“…tapi tidak lagi selepas ini. Aku takkan jatuh cinta lagi dengan mana-mana lelaki di dunia ini.” Sambung Sophia dan air matanya kembali lebat membasahi wajah.

“Kau yakin?” Naliz merenung tepat wajah layu yang dihiasi air mata itu.

“Apa gunanya cinta jika ia membuatkan aku tersiksa. Apa gunanya cinta kalau aku terus menunggu tanpa menemui hasilnya. Sebelum aku mula membenci lelaki lebih baik aku buang cinta ini dari lubuk hatiku.” Dengan esakan yang masih berlagu Sophia memberikan jawapannya.

“Jadi kau akan buang aku juga?”

Sophia menoleh kepada Ivan yang sedang tepat memanah renungan ke arahnya.

“Ya, sebab kau orang pertama yang selalu menyakiti aku.”

Ivan melihat mata Sophia yang dipenuhi perasaan kecewa. Dalam mata itu juga sedang menceritakan betapa tersiksanya dia disebabkan cinta yang tidak pernah berakhir dengan kebahagiaan.

“Kenapa aku perlu jatuh cinta dengan lelaki seperti kau, Ivan? Kenapa aku percaya pada cinta lelaki seperti Heris juga? Kenapa lelaki seperti kalian nak musnahkan kepercayaan aku terhadap cinta? Kenapa Ivan? Kenapa?” soal Sophia sambil tangannya memaut pangkal kemeja Ivan. Air matanya kembali berlinangan. “Jawab soalan aku, Ivan. Jawab!”

Lidah Ivan kelu untuk bersuara. Hatta untuk memohon maaf pun rasanya dia sudah terlambat. Dia sedar akan sikapnya selama ini yang terlalu mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan perasaan Sophia terhadapnya.

Naliz bangun lantas menarik tubuh Sophia ke dalam dakapannya. Dia cuba menenangkan perasaan Sophia. “Sophia, jangan terlalu banyak berfikir. Kau rehat, ya. Kami minta diri dulu. Nanti aku datang lagi dan temankan kau.”

Selepas itu Naliz menarik Ivan keluar.

“Aku sayangkan kau, Sophia.” Kata-kata Ivan mematikan langkah Naliz yang sedang menarik tangan lelaki itu.

Sophia yang mendengar agak tersentap. Dia menarik mukanya berpaling membelakangkan panahan mata Ivan waktu itu.

“Aku tak nak perkara buruk berlaku pada kau. Aku akan pastikan Heris menyesal dengan perbuatannya terhadap kau.”

“Kau pergi sekarang, Ivan. Jangan cuba beri apa-apa harapan lagi terhadap aku.”

Naliz memberi isyarat mata kepada Ivan mengajaknya segera beredar. Sophia perlukan rehat yang secukupnya jadi mereka tidak boleh terus di situ mengganggu rehatnya. Sebaik berada di luar bilik barulah mereka berdua kembali berbicara.

“Naliz…”

“Sudahlah. Semuanya dah berlaku. Kita perlu berada di sisinya pada waktu begini. Dia perlukan sokongan kita sebagai sahabatnya.”

“Aku rasa aku adalah sebahagian punca perpisahan mereka.”

“Bukan. Ini semua takdir yang telah ditentukan.”

“Dia benci aku?”

“Dia cuma marah. Emosinya belum stabil. Dia akan okey nanti.”

“Kau tak dengarkah apa yang dia cakap tadi? Semuanya salah aku.”

“Kan aku dah kata dia akan okey nanti. Sudahlah, mari kita balik.”

Naliz berjalan dulu. Dia tidak mahu Ivan membangkitkan lagi isu lalu yang masih menghantui hidup Ivan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience