Completed
22877
Bab 5
HERIS mendapatkan Sophia yang berada di atas buaian di taman permainan. Satu plastik yang berisi tin minuman dibawanya bersama. Heris menangkap raut wajah Sophia yang sugul. Kepalanya dilentokkan ke tali buaian. Matanya memandang ke tanah. Tali buaian yang sudah berkarat itu berkeriut-keriut apabila Sophia menggoyangkannya. Heris mendekatinya.
“Nah, untuk awak.” Heris menyuakan tin 100 plus kepada Sophia.
Sophia memandang tin di hadapan matanya.
“Thank’s, tapi saya tak nak.” Wajahnya masih sugul.
“Awak tak minum 100 Plus? Kalau macam tu saya ada Tropicana Twister untuk awak.” Heris memberi pilihan.
“Tak, saya tak nak minum apa-apa.”
“Betul ni? Kalau nak saya boleh belikan apa-apa untuk awak.”
“Jangan, saya tak nak apa-apa. Awak ni kenapa? Saya okeylah. Jangan layan saya macam ni.”
“Okey? I don’t think so… saya faham, memang tak patut awak dipecat dengan alasan sekecil itu. Tentu awak sangat sedih.” Heris duduk di buaian disebelah Sophia.
“Betulkah awak faham atau saja nak sedapkan hati saya?”
“Sebenarnya saya memang tidak memahami awak sekarang. Jadi awak boleh anggap saja saya nak sedapkan hati awak. But it’s okey, what… sekurang-kurangnya disaat-saat begini saya ada di sini menemani awak.”
“Saya tak perlukan teman macam awak. Kita belum jadi kawan lagi.”
“So, kita boleh jadi kawan mulai hari ini.”
“Awak anggap suatu perhubungan boleh dibentuk dalam sekelip mata? Senangnya…”
“Oleh itu, berilah peluang pada saya. Saya pun tak kenal awak juga. Jadi apa salahnya jika kita saling berkenalan untuk memulakan perhubungan baru.”
Tiada sebarang reaksi daripada Sophia mendengarkan cadangan Heris itu. Dia berhenti menggoyangkan buaiannya. Heris mencari sinar mata yang terlindung disebalik rambut. Kepala gadis itu tertunduk bagai menyembunyikan sesuatu. Tangan yang berpaut pada tali buaian telah dilepaskannya. Tangan itu kemudiannya meramas-ramas antara satu sama lain. Tubuh Sophia terhenjut-henjut. Bunyi esakan yang lirih dapat ditangkap oleh Heris. Heris bangun dan mendekati Sophia. Dia berlutut menghadap gadis tersebut.
“Sophia…” seru Heris.
Sophia mendongak. Air matanya dikesat. Dia malu menangis di hadapan lelaki berkenaan. Namun air matanya masih melimpah.
“Menangislah… lepaskan semua bebanan yang menghempap jiwa awak. Jangan ditahan air mata awak daripada keluar. Saya ada di sini untuk menemani awak.” Heris menarik dagu gadis itu supaya wajahnya tepat memanah matanya.
Air mata Sophia melimpah dengan lebih deras. Bukan setakat esakan malah rengekannya bertambah kuat. Heris menyeluk poket seluar mendapatkan sapu tangan bagi mengelap air mata Sophia. Tanpa persetujuan gadis tersebut, dia mengusap perlahan-lahan pipi gadis itu.
“It’s okey. Saya boleh buat sendiri.” Sophia mengambil sapu tangan berwarna maroon dari tangan Heris yang sedang mengusap pipinya.
Tidak lama kemudian tangisan Sophia hampir reda. Cuma sendunya sesekali masih kedengaran. Dia bangun dari duduknya di atas buaian tadi. Heris turut bangkit.
“Terima kasih, He…Heris,” ucap Sophia.
Heris mengangguk sambil mengukir senyumannya.
“Apa nama penuh awak tadi?”
“Nama penuh?” Heris mengulang soalan Sophia.
Sophia mengangguk ingin tahu.
“Emm, Heris James Kruger.”
Sophia tersenyum sambil mengulang nama Heris perlahan.
“Awak ni Dr. Kruger yang terkenal tu ke?” tanya Sophia.
“Oh, bukan. Saya bukan doktor,” jawab Heris.
“Tapi nama awak…”
“Cuma satu kebetulan.” Cepat-cepat Heris menjawab.
“Sayangnya… saya sangka awak doktor. Kalau awak doktor sebenarnya saya nak tanya bagaimana cara nak merawat penyakit psikologi yang saya hidapi.”
“Owh, maksud awak penyakit yang menyerang awak tadi?”
Sophia mengangguk perlahan. “Bila dalam keadaan tertekan dan hilang kawalan saya sering diserang sesak nafas.”
“Tentang itu mungkin saya tahu caranya. Sebenarnya saya ada kawan yang bertugas sebagai doktor. Mungkin dia boleh tolong awak.” Dia mungkin sedang berhelah. Bukan berniat untuk menipu Sophia.
“Betul?”
Heris mengangguk sambil tersenyum.
“Saya boleh tolong awak tapi kita perlu berkawan dulu supaya saya boleh mamahami penyakit awak.”
Sophia angkat sebelah kening mendengar kata-kata Heris. Dia mengalihkan pandangannya ke arah sisi bahu kanannya. Giginya menggigit bibir bawahnya. Taktik yang bijak untuk lebih mendekati aku. Getus hati Sophia.
“Berkawan… Hmm, kita berserah pada takdir. Kalau ditakdirkan kita berdua…” Sophia diam. Kata-kata itu tergantung tidak disambung. Dia berlalu pergi meninggalkan Heris. Seri senyuman yang terukir di wajahnya tidak dapat dilihat Heris. Sapu tangan milik Heris tadi dalam genggaman Sophia.
Heris bercekak pinggang. Sophia sengaja membiarkan ayatnya tergantung.
“Kita berdua? Hei… awak nak tinggalkan saya di sini?”
Langkah Sophia tersangkut. Dia berhenti sejenak. Kemudian dia melangkah lagi tanpa berpaling pada Heris.
“Sekurang-kurangnya bagilah number contact awak. Kita patut mulakan perhubungan kita!” Jerit Heris bila Sophia semakin jauh.
Sophia berpaling jua akhirnya.
“Saya akan cari awak untuk pulangkan sapu tangan ini,” ujarnya.
“Tapi macamana?” tanya Heris.
“Biar takdir yang menemukan kita,” jawab Sophia. Dia melambai sapu tangan berwarna maroon itu ke arah Heris dan berlalu setelah meninggalkan senyuman kepada Heris.
Heris menyeluk tangan ke saku seluarnya. Dia terus memerhatikan langkah kaki Sophia yang menuju ke keretanya. Orang kata cinta kita terbalas kalau si dia menoleh ke belakang semula. Sophia…please, tolehlah. Pandanglah pada ku semula. Heris menanti saat itu. Saat dimana cintanya benar-benar disambut oleh Sophia. Heris terus menanti walaupun Sophia sudah sampai di keretanya. Namun bila gadis itu telah masuk ke dalam perut kereta, harapannya berkecai. Sophia tidak sedikit pun mahu menoleh kepadanya. Akhirnya Heris berpusing 180° dan berjalan terus meninggalkan perkarangan taman memandangkan hari sudah senja.
Dari redup keheningan senja itu sepasang mata mencuri pandang kepada Heris yang semakin jauh kelibatnya. Senyum terukir sebelum kereta Volkswogen itu membawa dirinya pergi dari kawasan taman permainan tersebut.
Share this novel