Chapter 29

Humor Completed 22614

Bab 29

Heris dan Sophia merenung antara satu sama lain. Memang tiada jalan lain. Akhirnya mereka berdua memilih warna putih untuk rumah baru mereka. Sebenarnya masing-masing tidak berpuas hati tapi ini lebih adil agar tiada siapa yang akan menang dan kalah.

Kerja mengemas dan menyusun atur rumah itu dilakukan oleh sekumpulan pereka hias dalaman yang sememangnya mahir dalam bidang tersebut. Heris dan Sophia hanya berkata ‘ya’ jika suka dan ‘tidak’ jika tidak berpuas hati. Namun tetap ada beberapa ruang yang disiapkan sendiri oleh mereka berdua. Sebenarnya Sophia berharap semuanya dilakukan oleh pereka hias yang telah diupah tetapi disebabkan sikap Heris yang cerewet maka ada sahaja yang tidak kena dan perlu diperbetulkan semula. Sophia naik rimas dengan ketelitian dan kesempurnaan yang dimahukan Heris.

Sophia membantu Heris yang sedang mengecat di bahagian luar rumah. Heris melakukan kerja tersebut dengan gembira tapi Sophia pula sebaliknya. Asyik merungut-rungut sendirian. ‘Berapa tebal lagi nak sapu cat di dinding ini? bukankah ia telah dicat semalam? Dia ni memang teruk. Punyalah cantik interior designer tu buat kerja tapi dia masih nak complain. Masalah betul dapat suami yang cerewet macam dia.’

Sekali-sekala Sophia menjeling ke dalam rumah melalui pintu kaca. Dia berasa cemburu apabila melihat Jerry bersenang-lenang duduk di hadapan tv menonton anime sambil mengunyah Pop Corn. ‘Tak guna punya budak. Dia datang ke sini semata-mata nak menonton anime dan bukan nak tolong kami. Menyesal aku selalu back up dia apabila dibuli oleh Heris. Sekarang aku pula yang kena buli balik dengan Heris.’

Heris yang sibuk mengecat di sudut terakhir dinding itu diperhatikan Sophia. Tiba-tiba senyuman nakal terukir di wajahnya. Sesuatu sedang berlegar di kepala otaknya. Dia mengambil berus cat yang terendam dalan tin cat lalu mendekati Heris. Dia menconteng sesuatu di belakang baju Heris. Heris tidak sedar dan sementara Heris belum sedar akan perbuatannya itu, Sophia cepat-cepat meninggalkan situ dan masuk ke dalam rumah.

“Oi, dah siap?” tanya Heris apabila nampak Sophia melangkah masuk ke dalam rumah.

“Dah,” jawab Sophia sambil tersenyum simpul.

Heris membiarkan Sophia pergi dan dia terus menyiapkan kerja yang tinggal sedikit itu. Sophia duduk di atas lantai di sebelah Jerry. Wajahnya masih tersenyum-senyum sendiri. Jerry pelik.

“Apa yang kelakar? Ini cerita Bleach, bukan cerita Shin Chan.”

“Tak ada apa-apa. Nanti Jerry akan tahu juga,” jawab Sophia sambil mengambil Pop Corn dari tangan Jerry.

“Ahh… siap juga akhirnya.”

Sophia terdengar suara Heris. Dia menoleh memandang keluar. Dia nampak Heris yang sedang duduk di lantai sambil senyum dengan puas. Lelaki itu kemudiannya baring di situ. Alamak! Sophia gigit jari apabila tidak sempat menahan Heris daripada berbaring di situ kerana kesan cat yang masih belum kering. Heris yang tidak tahu apa-apa terus baring dengan selesa. Tidak lama kemudian Heris bangun dan masuk ke dalam rumah.

Dia berdiri di hadapan tv dan cuba menukar siaran untuk menonton berita sukan. Jerry cuba hendak manghalang namun niatnya terbatal tatkala ternampak suatu tulisan di belakang baju Heris. Marahnya serta-merta berubah menjadi tawa kerana gelihati. Sophia panik. Dia menutup mulut Jerry supaya tawa Jerry tidak dicurigai oleh Heris. Heris menoleh ke belakang dan dia berasa pelik apabila melihat Sophia sedang menekan muka Jerry ke lantai. Sophia tersenyum selamba kepadanya tanpa menunjukkan tanda-tanda yang mencurigakan.

Sophia bangkit menghampiri Heris. Lengan Heris ditarik untuk beredar dari situ sebelum lelaki itu curiga dengan sikap Jerry yang sedang sungguh-sungguh menahan tawa.

“Awak tentu dah penat. Pergilah naik atas dan mandi.”

“Saya nak tengok berita sukan dulu.” Heris berkeras namun tetap dipaksa oleh Sophia.

“Alah, pergilah. Lagipun Jerry sedang menonton. Tengoklah berita malam ini.”

Heris berasa pelik tapi akhirnya dia menurut sahaja kehendak Sophia. Sophia sempat memberi isyarat mengarahkan agar Jerry diam dan jangan ketawa di hadapan Heris. Selepas Heris hilang di sebalik pintu bilik barulah Sophia turun semula ke bawah. Dia nampak Jerry sedang menekan-nekan perut kerana ketawa. Sophia hanya tersenyum.

“Jerry, jangan gelak di hadapan Abang Heris. Mati kakak kalau dia tahu apa yang kakak buat pada dia tadi.”

Sophia masuk ke bilik belakang dan mengambil sesuatu. Jerry sambung menonton tv semula dan tidak menghiraukan apa yang sedang dilakukan oleh kakak iparnya. Sophia keluar rumah sambil membawa alas kaki. Dia menutup kesan cat di lantai tadi dengan alas kaki itu. kemudian dia mengambil salah satu pasu bunga yang belum tersusun di suatu ruang di halaman rumah. Dia meletakkan pasu pokok Kaktus itu di atas alas kaki tadi. “Selesai. Dia tidak akan tahu kalau aku buat begini. Lagipun agak sesuai juga letak Kaktus ini di sini.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience