Chapter 12

Humor Completed 22614

Bab 12

DUA kali Sophia cuba mendail nombor Heris tapi akhirnya dia membatalkan niatnya. Dia berasa takut. Betulkah tindakannya kali ini? Tidakkah ia akan menyusahkan Heris? Jika dia beritahu Heris, apa pula reaksi lelaki tersebut? Mahu tidak mahu Sophia perlu memberitahu Heris juga.

“Hello…”

Suara garau dalam talian itu menggegarkan jiwa Sophia. Tiba-tiba mulut Sophia seperti dikunci. Dia tidak dapat membuka mulut untuk bersuara.

“Hello, siapa ni?”

Sophia masih tidak menjawab. Lidahnya kelu tatkala mendengar suara Heris.

“Hello…” Sekali lagi Heris menyapa.

“Hello…” Akhirnya Sophia menjawab.

“Hello…” Heris mengulang sapaannya.

“Hello…!” Sophia membalasnya semula dangan agak keras.

“Hello… Hello… Hello…” Heris seperti sedang bermain-main.

“Hello, janganlah main-main!” Sophia geram setelah sedar yang Heris sengaja bermain-main dengannya.

“Ok…okey… Boleh saya tahu siapa di sana?” Heris mengubah nada suaranya.

“Saya…” Lama baru Sophia menjawab semula.

Heris diam sejenak. Dia cuba mengingati suara dalam talian itu.

“Sophia?”

“Ya, saya Sophia. Awak tak cam suara saya?”

“Suara awak merdu sangat bila dalam talian. Maafkan saya.”

Kata-kata manis Heris membuatkan Sophia tersenyum sendiri.

“Tak mengapa. Awak… awak sedang bekerja?”

“Ya… tapi sebenarnya saya sedang tunggu panggilan daripada awak.”

“Tipu…” aku benci lelaki yang bermulut manis. Tapi aku gembira dengan kata-kata manisnya.

“Tipu… kalau saya tak rindu nak dengar suara awak, Sophia.”

Sophia mengetap bibir menahan senyuman. Dia perlu bijak menangani lelaki yang bijak berbicara seperti Heris.

“Awak rindukan saya?” soal Sophia.

Heris senyap. Perlukah dia mengakui perkara tersebut secara terang kepada gadis itu?

“Berbanding awak, saya lebih rindukan bakal isteri saya.”

“Bakal isteri awak tu bukan saya ke?”

“Eh, awak ke? lupa pulak saya…hehehe…”

Kedengaran tawa kecil di hujung talian.

“Hmm. Awak…”

“Ya, saya.”

“Saya dah beritahu ibu bapa saya tentang rancangan perkahwinan kita. Jadi mereka nak berjumpa dengan awak. Kalau boleh hari ini.”

“Ha?” Heris terkejut beruk.

“Janganlah panik. Sebenarnya saya nak beritahu awak malam tadi tapi saya fikir awak dah letih sebab kita dah berjalan seharian.”

“It’s okey, Sophia. Saya akan jumpa dengan mereka pada hari ini. Jadi dimana mereka tinggal?” Heris cuba bertenang dan tidak menggelabah.

“Parsi Mellon Park.”

“Parsi Mellon Park!” Sekali lagi Heris terkejut kerana tempat tersebut bukannya dekat. Ia terletak di wilayah utara dan perlu mengambil masa kira-kira 8 jam jika menaiki kereta. Tiada pengangkutan yang lebih pantas selain daripada kereta. Boleh menaiki keretapi tetapi mungkin jauh lebih lambat berbanding dengan kereta. Perkhidmatan udara pula masih belum ada.

“Kita tidak mungkin boleh ke sana pada hari ini juga, Sophia.”

“Saya faham. Saya nak beritahu satu lagi perkara kepada awak.”

Hati Heris berdebar-debar. Jangan kau buat aku terkejut lagi sayangku…

“Kalau kita tidak ke Parsi Mellon Park hari ini, ayah akan datang ke Lisberg dengan serta-merta.”

Heris tidak menjawab apa-apa. Dia cuma menelan air liur. Ini terlalu mendadak dan dia belum bersedia lagi.

“Saya nak awak bersedia sebab saya tak nak awak terkejut dan kecut perut bila nampak ayah saya tu. Heris, saya sendiri masih takut setiap kali berhadapan dengannya.”

Heris menelan air liurnya lagi. Mulutnya terasa kering kerana asyik menelan air liur beberapa kali sejak tadi.

“Apa yang patut saya buat?”

“Yakinkan ayah yang kita benar-benar nak hidup bersama.”

“Kalau saya gagal, adakah kita tidak boleh berkahwin?”

“Jangan risau… saya ada senjata sulit. Apabila keadaan kritikal saya akan gunakannya. Awak hanya perlu yakin pada saya dan diri sendiri. Kalau awak benar-benar ikhlas terhadap saya, saya yakin awak boleh lakukannya.”

“Baik, sekarang saya rasa tak sabar nak bertemu dengan En. Heartnett. Saya akan lakukan sebaik mungkin demi awak.”

Tiba-tiba Heris jadi bersemangat setelah mendengar kata-kata Sophia. Sophia gembira. Dengan keyakinan Heris, dia tidak takut lagi jika ayahnya sendiri yang akan datang ke Lisberg. Dia akan lakukan sebaik mungkin bersama Heris nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience