Chapter 16

Romantic Comedy Completed 22877

Bab 16

BUNYI guruh yang kuat membuatkan Nia berhenti bermain piano. Dia menjenguk keluar rumah. Hujan sedang mencurah-curah turun. Dia segera menutup tingkap.

Ting! Tong!

Langkah kaki Nia terhenti tatkala loceng rumah berbunyi. Dia menuju ke arah pintu utama.

“Siapa tu?” tanyanya tanpa terus membuka pintu.

“Saya...nak tumpang berteduh.” Suara garau itu mematikan niatnya untuk membuka pintu.

“Baik, tapi saya minta maaf sebab tak boleh benarkan awak masuk.” Dia masih bersopan biarpun hatinya rasa curiga dengan lelaki asing yang berada di luar rumahnya.

“Tidak mengapa. Terima kasih.”

IVAN duduk bersandar di luar pintu rumah besar itu. Dia memeluk tubuhnya yang kesejukan. Kotnya yang basah di sidai di belakang kerusi rotan yang terdapat di luar pintu rumah agam tersebut. Dia duduk di lantai sambil melihat titik-titik hujan yang membasahi bumi. Hujan turun dengan sangat lebat malam ini.

Dari celahan langsir tingkap Nia mengintai pemuda yang tidak dikenalinya itu. Rasa simpatinya muncul tatkala melihat keadaan lelaki itu dalam basah kuyup dan menggigil kesejukan. Walaupun berteduh tapi tetap terkena tempias air hujan yang sangat lebat. Lelaki itu mungkin akan mendapat sakit jika terus dalam kesejukan di luar rumah. Dia patut menepis rasa curiganya untuk sementara waktu. Akhirnya Nia memberanikan diri untuk membuka pintu untuk pemuda itu.

“Encik…”

Ivan menoleh ke arah suara itu. Pintu yang tertutup rapat tadi telah di buka sedikit dan kelibat seorang gadis muncul di situ.

“Saya benarkan awak masuk. Lagipun hujan sangat lebat,” pelawa Nia.

Ivan diam tidak berganjak. Sorotan matanya tepat merenung wajah gadis yang samar-samar dalam cahaya lampu kuning di luar rumah itu.

“Saya tak berniat jahat melainkan jika awak bukan orang baik.” Nia membuka pintu dengan lebih luas membenarkan pemuda yang tidak dikenalinya itu masuk. Melihat dari tingkah laku Ivan, Nia berasa lelaki asing itu bukan orang jahat.

“Tak mengapa... Awak dah benarkan saya berteduh di luar ni pun dah cukup bagus,” ujar Ivan menolak lembut pelawaan Nia. Firasat pertamanya mengatakan bahawa gadis itu bersendirian di rumah agam tersebut.

“Mungkin awak boleh panaskan badan jika terima pelawaan saya.” Nia membuka pintu itu seluasnya menandakan dia membenarkan lelaki itu masuk.

Oleh kerana cuaca malam itu yang tidak mengizinkan Ivan menerima pelawaan Nia. Dia mencapai kot yang tergantung di kerusi rotan tadi dan masuk ke dalam kediaman gadis itu.

*********

IVAN membuka butang baju kemejanya satu persatu sebelum menanggalkannya dari tubuh. Baju itu dijemur di kerusi di meja makan. Hanya singlet putih yang melekat di tubuh lelaki itu. Nia hanya memerhati tingkah Ivan dari anak tangga sambil menelan air liur. Dadanya berdebar melihat tubuh sasa lelaki itu. Sebelum fikirannya bergayut pada sesuatu yang diluar batasan dia segera memikirkan suatu untuk dijadikan bahan perbualan.

“Sebenarnya awak dari mana dan hendak ke mana?” Nia memulakan bicara.

“Entah...”

Nia mencebirkan bibir tatkala mendengar jawapan mudah lelaki itu. Persepsi pertama terhadap pemuda tersebut; Sombong!

“Saya Nia Andrea Ferez... nama awak?” Nia cuba beramah mesra.

“Ivan...” jawab Ivan pendek.

“Ivan je?” Nia nampak tidak berpuas hati dengan jawapan ringkas itu.

Ivan hanya mengangguk tanpa menoleh kepada si penanyanya.

“Awak lapar tak?” Nia belum putus asa mahu menarik perhatian lelaki itu untuk berbual dengannya.

“Tak mengapa... jangan susah-susah. Saya akan pergi lepas hujan reda.” Nampaknya Ivan tidak betah melayan sikap tuan rumah agam itu yang banyak bertanya.

“Tak... maksud saya kalau awak lapar saya tak ada makanan untuk awak... sebab saya sendiri pun belum makan.” Nia tersengih melihat air muka Ivan yang berubah setelah mendengar jawapannya. Tentu sekali lelaki itu menyangka yang dia mahu menyediakan makanan untuknya. “Saya ke dapur sebentar, ya.”

Dia kenakan aku ke tadi? Ivan menyoroti langkah Nia yang sedang berjalan menuju ke dapur. Sebaik kelibat Nia lenyap dari pandangan matanya dia mengambil kotak rokok yang disimpannya di dalam poket dalam kotnya. Dikeluarkan sebatang dari bekasnya dan diletak di hujung bibir. Pemetik api dipetik untuk mencucuh rokoknya. Berkali-kali dicuba tapi nampaknya pemetik apinya sudah rosak. Mungkin basah terkena air hujan tadi. Dia melilau mencari sesuatu. Dapur yang terang itu menjadi sasarannya.

“Warghh!!!” Nia terkejut apabila tiba-tiba seorang lelaki muncul di hadapannya.

“Apa awak nak?” tanyanya kasar sambil mengurut-ngurut dada meredakan rasa gemuruhnya.

“Saya cari api,” jawab Ivan ringkas seraya meluru ke dapur. Dipetik dapur gas itu beberapa kali tapi tidak berjaya. Dalam diam Nia tersenyum memerhatikannya.

“Gas takde macam mana api nak hidup.”

Ivan menoleh kepada Nia.

“Awak tak pernah memasak ke?” soalan Ivan seakan menyindir gadis tersebut.

“Datang ke sini pun jarang-jarang macam mana saya nak memasak.”

“Jarang-jarang?” Ivan pelik.

“Ya... saya baru sampai petang tadi.”

“Jadi rumah ni...”

“Rumah pusaka mendiang datuk saya.”

“Oo... okey. I’m sorry.” Ivan keluar dari dapur dengan sedikit perasaan hampa.

Nia mengekori Ivan ke ruang tamu. Dia sempat mencapai sesuatu dari atas meja console berhampiran sudut di ruang makan. Ivan duduk memandang keluar tingkap. Hujan tiada tanda-tanda untuk berhenti. Dia mengeluh lagi. Rokok tadi masih di tangannya. Nia menghampirinya lantas menghulurkan pemetik api yang diambilnya tadi.

“Terima kasih.” Ivan mencapainya dengan teragak-agak. Senyuman manis Nia membuatkannya rasa serba salah namun dibiarkan saja perasaan itu berlalu.

Dia pantas menghidupkan api untuk rokoknya. Sebentar kemudian asap berkepul-kepul menyelubungi ruang itu. Nia hanya memerhati keenakan Ivan menikmati asap rokok itu.

“What?” Ivan menoleh kepada Nia apabila terasa diperhatikan.

“Sedap ke hisap rokok? Bak satu!” Nia menadah tangan.

“Tak... jangan mulakan.” Ivan melarang.

“Kenapa?”

“Saya merokok ada sebab.”

“Sebabnya?”

“Cuma nak kurangkan stress.”

“Betul boleh hilang? Kalau macam tu saya nak cuba.”

“Saya kata jangan. Awak tak faham ke?” bentak Ivan. Rimas apabila didesak berterusan oleh Nia.

“Berapa banyak masalah awak dah berkurang?” Nia masih tidak serik malah menyindir Ivan.

Ivan diam. Dia tidak mahu bertengkar. Gadis itu mahu mendesaknya untuk berbual sedangkan dia bukan dalam mood yang baik untuk beramah mesra.

“Jawablah soalan saya.”

Ivan memandang Nia dari atas ke bawah. Gadis itu hanya memakai dress paras lutut berwarna peach yang bertali halus di bahunya. Ada renda berbentuk bunga di bahagian dada bajunya. Rambutnya yang panjang dibiarkan lepas bebas.

“Tak sejuk ke pakai macam ni?” Ivan menyindir pakaian Nia yang terlalu terdedah.

“Awak nak ke mana sebenarnya? Ceritalah, saya tahu selok belok kawasan di sini. Mungkin saya boleh tolong awak.” Nia tidak mengendahkan soalan Ivan malah sengaja menukar topik perbualan.

“Saya tak tahu... saya tak tahu nak ke mana sebenarnya,” akui Ivan.

“Jadi macamana awak boleh sampai di sini?”

“Kereta saya kehabisan petrol,” jelas Ivan.

“Let me guess...kereta habis petrol atau awak sedang melarikan diri daripada sesuatu?” lagak Nia bagaikan seorang penyiasat.

“Shut up!!” sikap Nia merimaskan Ivan.

“I’m sorry... saya nak naik.” Nia terasa hati apabila Ivan menggertaknya. Dia berlalu naik ke atas. Ivan tidak menghiraukannya. Dia terus dengan aktivitinya menghisap rokok.

Tiba-tiba guruh berdentum kuat disusuli jeritan seorang perempuan dari bahagian atas rumah. Ivan terkejut lantas bangun dari kerusi menuju ke arah tangga. Dia mendaki tangga itu untuk mendapatkan Nia. Langkahnya mati bila tiba-tiba bekalan elektrik terputus.

“Aaahhh!!” sekali lagi Nia menjerit.

“Inilah perempuan. Leceh betul,” rungut Ivan.

“Ivan, tolong saya!” Nia menjerit ketakutan.

Ivan menghidupkan pemetik api yang kebetulan masih dipegangnya. Berbekalkan api kecil itu dia meneruskan langkahnya mendaki tangga untuk sampai ke bilik Nia.

“Hei, buka pintu ni. Awak tak apa-apa kan?”

“Saya takut! Cepatlah masuk. Tempat ni gelap!”

Suara Nia yang ketakutan sedikit membimbangkan Ivan. Dia membuka pintu setelah pasti yang Nia berada di bilik tersebut.

“Awak dimana? Saya tak nampak ni.”

Tiba-tiba tangan Ivan digapai oleh satu lembaga yang muncul dari sisinya. Dia hampir terperanjat. Rupanya Nia berada di tepi pintu. Ivan mencengkam pergelangan tangan Nia.

“Jom turun. Duduk bawah. Menyusahkan orang betul.” Ivan merungut sambil menarik tangan Nia untuk turun ke bawah.

Nia mengetap bibir sambil memandang geram pada lelaki tersebut… Siapa yang menyusahkan? Kalau aku tak jemput kau masuk tentu kau dah kena sambar petir di luar tu! Ergh… Geram betullah… Sakit hati Nia memikirkan sikap Ivan yang tidak mesra terhadapnya.

“Mana awak simpan lilin?”

“Dalam laci.”

“Laci mana?”

“Saya tak tahu. Saya teka saja?”

“Kalau tak tahu buat cara tak tahu... Rumah sendiri pun tak tahu mana simpan lilin.”

Gigi Nia berlaga-laga menahan geram dengan sikap lelaki itu. Ivan terus memegang tangan Nia. Agaknya dia takut gadis itu menjerit lagi apabila ditinggalkan. Dia mencari lilin di setiap laci yang ditemuinya dalam gelap itu. Nia hanya mengekorinya tanpa membantah.

“Pegang lighter ni. Saya nak cari lilin.” Ivan merasakan sukar untuk mencari dengan sebelah tangannya memegang pemetik api dan sebelah lagi menggenggam tangan Nia. Nia takut untuk bersuara lantas menurut segala perintah Ivan.

Sebatang lilin ditemui. Mereka memasang lilin tersebut dan meletakkannya di atas meja kopi yang terdapat di ruang tamu. Itulah satu-satunya lilin yang menjadi sumber pencahayaan mereka. Ivan mengambil tempat duduk di sofa panjang di situ. Nia turut duduk di sofa yang sama sambil memerhatikan lelaki itu dari sisi. Ada yang tidak kena dan dia rasa tidak selesa.

“Apa awak nak lagi?” Ivan rimas dengan sikap Nia yang sering merenungnya sejak tadi.

“Ivan... sampai bila?” tanya Nia takut-takut.

“Apa? Tunggu sekejap lagi hujan reda.”

“Tapi tangan saya dah sakit.”

Ivan memandang tangannya. Rupanya dia belum melepaskan tangan Nia yang dicengkamnya sejak tadi. Cepat-cepat dia melepaskan tangannya. Serta merta dia menjarakkan duduknya dengan gadis tersebut. Nia memegang tangannya yang kebas akibat terlalu lama dipaut Ivan.

Ivan yang nampak serba salah segera bangun dan mendapatkan pakaiannya yang sudah sedikit kering di kerusi di meja makan. Dia menyarung kemeja putihnya. Kotnya diambil dan hanya di sangkut di bahunya. Dia kembali ke ruang tamu.

“Saya minta maaf. Saya dah susahkan awak di rumah saya sendiri.” Nia rasa bersalah. Gadis itu hanya tertunduk memandang hujung kaki.

“Tak… saya yang kena minta maaf... maaflah kalau saya ni kasar sangat terhadap awak.” Jujurnya Ivan juga rasa bersalah kerana bersikap dingin terhadap gadis yang membantunya itu.

“Awak macam ada masalah.” Nia meneka. Matanya menyoroti Ivan yang sedang mengambil tempat di sofa tunggal di hadapannya.

Jangan menyibuklah, perempuan. Aku tak akan cerita apa-apa pada kau... Ivan bermonolog sendiri.

“Ya, disebabkan masalah itulah saya berada di sini. Saya sendiri tak tahu macam mana saya boleh sampai di sini. Macam magik pulak.”

Apa yang aku buat ni? Kenapa aku beritahu dia?... tanpa sedar Ivan telah mengakuinya.

“Magik yang awak cipta sendiri... tapi sebab magik itulah kita berkenalan hari ini.” Nia tersenyum. Panjang senyumannya apabila melihat air muka Ivan yang berkerut bagaikan keliru dengan tindakannya sendiri.

“Apa masalah awak yang besar sangat sehingga ke sini awak larikan diri?”

Cukup! Jangan tanya lagi... aku tak kenal kau dan tiada sebarang kebaikan untuk aku beritahu masalah aku kepada kau.

“Ditinggalkan oleh seseorang yang penting dalam hidup saya. Saya keliru dengan apa yang dia lakukan jadi saya memandu untuk tenangkan fikiran. Tak sangka sehingga ke Ocean Hill saya tersadai.”

Aku gila ke? Kenapa mulut aku bertindak bertentangan dengan kata hati? Spontan Ivan memegang mulutnya yang bertindak bertentangan dengan hatinya.

“Adakah awak sedang bercerita tentang seseorang yang awak cintai?”

Ivan diam tidak menjawab pertanyaan Nia. Gadis ini umpama ahli sihir. Menakutkan!

“Ceritalah... mungkin dengan bercerita beban awak akan berkurangan.”

“Apa yang awak buat di atas tadi?” Ivan cuba menukar topik.

“Saya cari baju tapi tak jumpa. Tiba-tiba black out... Eh, awak nak tukar tajuk ya. Jawab soalan saya balik.” Nia senyum nakal sambil mengerling manja. Saja mahu mengusik jejaka tersebut.

“Awak datang sehelai sepinggang ke?” Ivan tetap berusaha untuk lari dari soalan Nia.

“Sebab saya tak bercadang nak bermalam di sini tadi. Ivan, jawablah soalan saya.” Ivan gagal menarik perhatian Nia untuk ke topik lain dalam perbualan mereka.

Ivan meneroka susuk tubuh Nia dalam cahaya suram itu. Gadis itu sungguh mengiurkan jika diperhatikan betul-betul. Hanya mengenakan dress paras lutut dengan tali yang halus di bahagian bahunya. Warna peach begitu menaikkan seri si pemakai yang berkulit cerah. Mujur rambutnya yang dilepaskan itu menutup sedikit bahunya yang terdedah. Jiwa Ivan jadi tak keruan. Sebelum syaitan menguasai dirinya cepat-cepat dia mengalih pandangannya ke arah lain.

“Tak sejuk ke pakai macam ni?”

“Soalan tu lagi.” Nia meluat.

“Yelah, sebab awak tak jawab lagi.”

“Saya peduli apa. Awak ni kenapa? Kalau tak nak cerita janganlah alih tajuk lain.”

Memanglah aku tak nak cerita sebab tulah tukar topik lain. Getus Ivan. “Ceritalah perkara yang lebih menggembirakan... Hahchiuu!!”

“Awak kena selsema?”

“Sikit saja. Tadi kena hujan.”

“Sikit-sikit lama-lama boleh melarat. Di dapur mungkin ada simpan ubat. Nak saya ambilkan untuk awak?”

Pelawaan Nia hanya disambut gelengan tegas Ivan. Nia akur. Dia mengusap-usap lengannya. Kesejukan semakin dirasai memandangkan alat pemanas tidak berfungsi akibat bekalan elektrik yang terputus. Ivan hanya memerhatikan tingkah laku gadis tersebut. Dia tersenyum sinis.

“Malam nanti lagi sejuk tau! Kalau sejuk pandai-pandailah nak hangatkan badan, ya,” kata-kata Ivan penuh makna tersirat.

Nia menjeling tajam. Pandai juga kau bermain kata-kata rupanya. Ada senyuman sinis membalas kata-kata Ivan sebentar tadi.

“Awak tahu dimana stesyen petrol berhampiran?”

“Jauh... kalau jalan kaki tapi kalau naik kereta lima minit dah sampai. Kalau nak, esok saya suruh orang tolong awak. Malam ni susahlah. Current tak de...telefon pun tak de line.”

“Terima kasih...hahchiu!!!” Ivan terbersin lagi.

Melihat keadaan Nia yang menggigil kesejukan Ivan membuka kotnya.

“Ambil ni. Tak payah nak berlagak. Awak dah kesejukan, kan?”

“Eh, tak pe... saya okey, awak tu je yang tak okey. Awak pakailah kot awak.” Nia menolak pelawaan Ivan.

“Pakailah! Saya lelaki... lebih rela demam dari tengok seorang perempuan kesejukan. Ambil!” desak Ivan.

“Okey, kalau awak dah fikir macam tu. Saya pinjam kot awak.”

Dalam kesejukan malam yang mula berlabuh itu mereka sudah terlelap kerana terlalu penat. Penat menempuh satu hari yang penuh dengan cerita-cerita luka. Satu hari yang memberi erti sebuah kenangan. Adakalanya kita tak mahu menerima kenyataan yang hari ini akan menjadi sejarah dan esok akan berlaku pelbagai peristiwa yang telah kita rancang dan kisah yang tidak kita duga bakal terjadi. Semuanya sudah disuratkan untuk berlaku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience