Chapter 6

Humor Completed 22614

Bab 6

SURIA pagi menyinar indah. Seperti hari semalam ia menjalankan tugasnya untuk memberikan hari baru kepada warga kota yang sedang memulakan tugas masing-masing. Tidak seperti semalam, rutin harian Sophia telah berubah pada hari ini.

Sophia memegang segelas jus oren dan berdiri di balkoni. Dia memandang pemandangan kota metropolitan yang sibuk. Fikirannya kosong. Dia tidak tahu apa yang patut dilakukannya pada hari ini. Inilah kali pertama dia menjadi seorang penganggur. Seawal jam 6.00 pagi dia sudah bangun. Matanya sudah biasa untuk bangun seawal itu. Dia tidak dapat melelapkan matanya lagi. Kehidupannya sebagai anak seorang tentera dulu sudah mendisiplinkan dirinya untuk bangun awal walaupun tidur lewat.

Dia menongkatkan sikunya di tebing balkoni menyaksikan pemandangan menara De’castle, mercu tanda Kota Lisberg. Pemandangannya memang indah apatah lagi bila dilihat dari tingkat dua belas kediamannya. Sophia memandang ke arah bawah pula. Puluhan kenderaan… mungkin ratusan kenderaan sedang merangkak-rangkak untuk bergerak akibat kesesakan jalan raya yang berlaku. Sophia sekadar senyum sinis tatkala sesekali kedengaran bunyi hon bersahut-sahutan. Perbuatan sesetengah pengguna jalan raya yang tidak boleh bersabar dengan keadaan jalan yang sesak di awal pagi.

Jus oren dalam gelas yang digenggamannya diteguk sehingga ketitisan terakhir. Kemudian Sophia masuk ke dalam rumahnya. Setelah meletakkan gelas di atas meja, dia masuk ke biliknya dan duduk menghadap cermin soleknya. Dia mengeluh panjang. Dia menongkat dagu dan memandang pantulan imejnya di layar cermin. Dia mencebik dan mengeluh lagi. Rambut ikalnya yang dipotong layer nampak serabai dan tidak kemas seperti selalu.

Sophia bangun dari situ kemudian merebahkan diri di atas katilnya. Tubuhnya dibiarkan terlentang luas. Tangan dan kakinya terbuka luas. Dia memandang siling beberapa ketika.

“Aaahh!!” Dia menjerit kebosanan.

“Aku perlu lakukan sesuatu. Aku mesti keluar dari tempat yang bosan ni!” Dia bangun dan duduk di birai katil.

“Mesti mula cari kerja hari ini juga. Kalau tak aku akan jadi gila.” Dia bangun dan menuju ke almari pakaian di sebelah meja soleknya.

Sejam kemudian Sophia berdiri di hadapan cermin setelah lengkap berdandan. Dia mengenakan kemeja tanpa lengan berwarna biru kundang. Warna kegemarannya. Jaket putih paras pinggang di bahagian luar melengkapkan penampilannya hari itu. Beg sandang berwarna coklat muda diambil dari dalam almari. Begitu juga dengan satu lagi beg sandang yang hampir serupa rekaannya tetapi berwarna biru gelap di kaki meja soleknya. Semua isi yang terdapat dalam beg berwarna gelap itu dikeluarkan dan dipindahkan ke dalam beg yang baru. Sedang sibuk dia memindahkan barang-barang tersebut, Sophia tercapai sehelai sapu tangan berwarna maroon kepunyaan Heris. Direnungnya sapu tangan itu. Lama. Ada senyuman terukir indah dari bibirnya. Kisah semalam mula muncul semula dari kotak fikirannya.

*********

NIA sedang menunggu Heris di ruang lobi bangunan Cello’s. Dia menyilangkan kedua belah tangannya ke hadapan. Kakinya digoyang-goyangkan kerana sudah penat menunggu pemuda itu. Dia mula resah dan tidak sabar menunggu temannya nan seorang itu. Mana Heris ni? Dia memang nak kena dengan aku. Kau memang dah lama hidup ya Heris. Nanti kau sekejap lagi.

“Boo!!” satu suara memeranjatkannya dari sisi kirinya.

Heris ketawa melihat gelagat Nia mengawal tindakannya yang terperanjat. Gadis itu menjeling Heris marah.

“Marah eekk… janganlah maree…kalau mare nanti kene jual.” Sempat Heris berseloroh untuk mengembalikan mood Nia.

“Kau dah sediakan keranda ke belum?”

“Keranda? Untuk apa?” Heris garu kepala.

“Untuk aku tanam kepala kau hidup-hidup,” jawab Nia geram sebelum keluar dari perkarangan lobi berkenaan.

Heris mengejar Nia yang pantas melangkah sehingga dapat beriringan dengannya.

“Sayang, janganlah marah…kalau kena jual takde siapa nak beli tau. Muka muncung siapa pun tak sudi pandang,” pujukan Heris bernada gurauan.

Nia langsung tidak melayannya. Heris mencuit-cuit bahu gadis tersebut tetapi dibalas satu tumbukan oleh Nia. Heris menekan perut yang senak akibat tumbukan kencang Nia.

“Lain kali jangan sampai perempuan tunggu kau selama satu jam di ruang lobi.” Nia memberi amaran keras. Wajahnya sedikit pun tidak mahu senyum seperti selalu.

“Kau ni kejamlah. Aku lambat sikit saja dah kena belasah,” rungut Heris.

“Ada kau bayar gaji aku untuk menunggu kau setiap hari?”

Nia memicit alarm kereta. Sebentar kemudian pintu keretanya dibuka. Tanpa berlengah dia segera masuk ke dalam Blossom Interna, kenderaannya yang berwarna kuning keemasan itu.

“Muka saja cantik tapi sebenarnya perangai macam raksasa. Langsung tak boleh nak bertolak ansur,” Heris mengomel lagi. Kakinya melangkah masuk ke bahagian penumpang di sebelah pemandu.

“Setiap saat sangat penting dalam hidup aku. Kau fikir aku dibayar gaji untuk menunggu kau. Kau ingat sebab nama kau Heris James KRUGER, kau dah cukup besar untuk orang menunggu kau setiap saat. Lusa aku dah nak fly. Jangan bazirkan masa aku, okey. Bla… bla… bla…” leter Nia sambil mula menghidupkan enjin kereta.

Heris sekadar mencemekkan wajah sambil mengajuk Nia bercakap di sebelah.

“Okey, boleh tak kalau kita berbalik pada tujuan sebenar kita sekarang. Kau ajak aku keluar ni sebab kau dah nak bertolak ke Houston Milan kan.” Heris tidak lalu hendak menelan leteran Nia yang seperti mak nenek.

“Ewah… bunyi macam tak sabar-sabar nak hantar aku keluar dari Kota Lisberg ni saja.” Nia mengerling sinis sang sahabat di sebelah sebelum stereng kereta dipulas. Kereta mula meluncur meninggalkan perkarangan bangunan Cello’s.

“Tak adalah… bukan itu maksud aku.”

“Habis tu?”

“Oh ya, pasal semalam.” Heris memusing tubuhnya menghadap tepat ke arah Nia yang sedang memandu. Wajahnya meleretkan senyuman paling lebar. Ada sesuatu yang ingin diceritakan kepada Nia.

“Err…” Tiba-tiba wajah Nia berubah. Riak bersalah memenuhi air mukanya kerana pulang dengan tergesa-gesa meninggalkan Heris. “Sorry, sebenarnya aku… aku dapat call dari butik. Pekarja aku rosakkan baju pelanggan. Maka aku terpaksa uruskan masalah tu dengan segera. So, aku tiada pilihan…”

“Nanti, nanti, nanti…” Heris segera memintas bicara Nia yang umpama bertih jagung itu. “Bukan itu yang aku nak cakapkan. Aku tak kisah kau tinggalkan aku, Nia. Aku cuma nak cerita pada kau siapa yang aku jumpa semalam.”

“Oh, yeke? Okey… kau jumpa siapa semalam?” Nia yang sedang memandu itu sempat mengerling kepada Heris yang sedang tersenyum-senyum bahagia.

“Seorang perempuan.”

“Perempuan? Okey, siapa perempuan tu?” tanda tanya masih menguasai minda.

“Aku tak tahu macamana nak gambarkan perasaan ni tapi bila aku nampak dia masa kita duduk di tepi padang tu, aku rasa macam dunia ni berhenti sekejap dan aku hanya nampak diri dia dan aku sahaja di situ. Aku tak pernah rasa perasaan begitu sebelum ni. Aku tak faham. Adakah aku dilamun cinta atau sekadar terpengaruh dengan kata-kata kau semalam.”

“Wow, amazing! Kau dapat cinta lepas aku cerita maksud cinta pada kau.” Perasaan pelik dan teruja bergabung pada riak wajah Nia.

“Bukan selepas tapi semasa. Betul ke begitu perasaan cinta?”

“I think so. Entahlah, aku sendiri pun belum jumpa cinta sejati aku. Adakah kau jumpa dia masa kau hilangkan diri tanpa beritahu aku tu?”

“Yup, aku tak tahu apa yang aku buat masa tu tapi semua tu di luar kawalan aku. Aku pergi dapatkan dia dan ajak dia bercinta.”

“Gilanya kau. Dia tak terkejut ke kau cakap macam tu?” Bulat mata Nia mendengar keterangan Heris.

“Mahu tak terkejut… dia lari, aku kejar. Dia masuk kereta aku follow juga. Dia fikir aku gila, Nia tapi disebabkan satu insiden yang berlaku pada dia aku telah jadi penyelamat.”

“Kira kau jadi macam superhero dialah ni.”

Heris terus menceritakan pengalamannya kepada Nia. Nia gembira mendengar cerita Heris. Tanpa sedar yang kehadiran Sophia dalam hubungannya dengan Heris akan membawa satu konflik yang bakal merungkai perasaan sebenar Nia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience