Chapter 75

Humor Completed 22614

Bab 75

AWAN kumulus mencantikkan pemandangan langit biru yang cerah. Burung-burung bernyanyi di dahan pokok. Ada juga yang terbang rendah melintasi taman yang menjadi tumpuan ramai orang pada hari ini. Seperti biasa Cupid Luvina menyambut lagi penyatuan dua hati yang berkasih. Inilah majlis resepsi yang paling meriah dan dikunjungi ramai tetamu. Walaupun sedikit lewat tapi akhirnya ia tetap diadakan juga. Semua yang hadir nampak gembira melihat penyatuan mereka berdua dan yang paling bahagia sudah tentulah Heris dan Sophia.

Mereka berdua adalah watak utama yang menjadi perhatian semua pada hari ini. Sama cantik sama padan. Heris dan Sophia menjadikan dunia fantasi yang diilhamkan oleh Trisya Tifany menjadi realiti dan orang yang bertanggungjawab merealisasikan fantasi itu adalah Nia Andrea Ferez. Nia puas kerana telah menghadiahkan sesuatu yang bermakna untuk kedua pasangan tersebut. Dia gembira melihat wajah bahagia Heris. Dia yakin kali ini Heris tidak perlukannya di sisi lagi. Dia tidak perlukan perlindungan malah akan hidup sebagai lelaki yang melindungi perempuan yang dicintainya.

Nia menoleh ke belakang. Dia mencari kelibat Ivan. Wajahnya kecewa. Ivan tiada. Kenapa masih belum hadir? Sekejap-sekejap Nia menelek jam tangannya. Andrew yang berada di sisinya berasa rimas melihat tingkah laku adiknya yang resah gelisah sejak tadi.

“Kau sedang menunggu seseorang?” tanya Andrew.

“Ha? Tidak.” Nia menafikan pertanyaan abangnya dan tidak lagi menoleh-noleh ke belakang.

“Ceh, berpura-pura pula. Jangan ingat aku tak tahulah,” ujar Andrew sebelum bangkit meninggalkan Nia.

Nia menjeling abangnya yang beredar meninggalkannya di situ. Apa yang dia tahu? macam bagus je… Nia mengutuk abangnya diam-diam.

Trisya mencuit bahu ayah mentuanya yang asyik bermuram sejak tadi. Chris langsung tidak menghiraukan orang lain dan seperti tidak gembira dengan majlis ini.

“Sepatutnya ayah gembira hari ini. Bukankah ini yang kita mahukan sejak dulu?” pujuk Trisya.

“Kau mana tahu apa-apa. Hati aku sangat sedih. Sampai hati Heris…” Chris menjeling kepada Heris di ruang paling tengah dalam barisan meja mereka.

“Ayah, Sophia dah dewasa… saya pun sedih juga tapi saya sedar walau macam mana pun saya terpaksa lepaskannya suatu hari nanti dan hari tersebut sudah tiba. Kita terpaksa merelakannya. Demi kebahagiaannya.”

“Tapi Heris dah mungkir janji.”

‘Ha? Aku mula rasa yang ayah bukan sedih kerana terpaksa melepaskan Sophia. Tentu ada sebab lain dan aku tak nak tanya lebih lanjut lagi.’

“Trisya…” Chris menoleh kepada Trisya. Menantunya itu seperti tidak berminat mahu tahu lebih lanjut apa yang mahu diberitahunya.

Mulut Chris memuncung dan menoleh ke hadapan semula. ‘Ceh, dia tak nak dengar cerita aku lah tu. Tak guna betul Si Manggis Kelat. Mungkir janji. Kelly Hung… aku nak jumpa Si Epal Merah Yang Seksi, Kelly Hung.’

Majlis resepsi itu turut dihadiri oleh para wartawan yang pernah buat Heris sakit kepala sebelum ini. Hari ini biar mereka tahu apa yang sebenarnya berlaku. Tiada lagi spekulasi tentang perkahwinannya di dada-dada akhbar. Segalanya telah terjawab. Wartawan yang paling terkejut pastilah Maia Hilton kerana tidak menyangka rupanya jurugambar yang bekerja dengannya selama ini adalah isteri kepada lelaki yang selalu dikejarnya untuk mendapatkan cerita sensasi. Dalam pada rasa terkejut itu dia teruja untuk tahu lebih lanjut mengenai apa yang berlaku sebenarnya dalam perhubungan di antara Heris dan Sophia.

Alunan piano yang sangat mengasyikkan itu memukau semua orang di situ. Heris mempersembahkan sebuah lagu untuk isteri yang tercinta. Lagu yang baru digubahnya itu belum diberikan kepada mana-mana penyanyi. Ia dicipta khas untuk Sophia. Inilah kali pertama dia memperdengarkan lagu tersebut di hadapan para tetamu. Sophia asyik memandang Heris. Dia tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaannya ketika itu. Mata Sophia beralih kepada jari-jemari Heris yang berlari-lari di atas mata piano. Sesekali Heris kerling kepada isterinya yang berdiri di sebelah piano putih itu.

Tidak seorang pun yang ada dalam majlis itu bersuara. Semuanya diam memperdengarkan permainan piano Heris. Seolah-olah mereka semua tidak berada di situ. Jasad mereka menjadi sangat ringan. Terapung-apung dibawa oleh arus gelombang lagu menjelajahi sebuah benua. Benua cinta rekaan Heris. Walaupun tiada siapa tahu senikata lagu tersebut tetapi seakan-akan semua tahu makna lagu tersebut yang cuba mahu disampaikan oleh Heris. Itu sebuah lagu yang menggambarkan cinta lelaki itu terhadap perempuan di sisinya. Selepas Heris selasai memainkan lagu tersebut, barulah ada pergerakan dalam ruangan itu. Semua bertepuk tangan. Heris tundukkan kepalanya sedikit kepada para hadirin sebelum tempatnya diganti oleh seorang pemain piano profesonal yang diundang khas.

“Nampaknya awak seperti cemburu pada mereka berdua.”

Suara garau dari belakang itu mengejutkan Nia. Nia menoleh untuk memastikan siapa. Wajahnya tersenyum ceria. Orang yang ditunggu-tunggunya sudah tiba.

“Mana ada saya cemburu. Awaklah orang yang patut rasa cemburu pada mereka berdua.” Nia membalas kata-kata Ivan.

“Tidak. Buat apa saya nak cemburu? Sebenarnya saya rasa lega sebab segala-galanya telah selesai.”

Nia merenung Ivan dengan penuh makna. Sekali lagi dia cuba menduga Ivan. Namun kali ini Ivan membalas renungannya. Lama pandangan mereka bertaut sehingga akhirnya Nia yang mengalah.

“Awak dah semakin berani. Kenapa renung saya begitu?”

Ivan tersenyum kecil. Nia berkata sesuatu yang sama dengannya sebelum ini.

“Awak patut ada jawapannya sebab selama ini itulah soalan yang saya tanya setiap kali awak asyik pandang saya tanpa jemu.”

Ivan mengangkat tangan Nia dan merenung Nia lagi.

“Sudi menari dengan saya?”

Ivan mengucup tangan wanita itu. Nia tersenyum. Lama dia melihat gelagat pelik Ivan. Ya, memang pelik. Memang terasa janggal melihat aksi Ivan yang agak romantik terhadapnya.

“Saya tak nak menari dengan awak.” Nia sengaja jual mahal. Selama ini hanya dia saja yang kelihatan seperti mengejar Ivan. Kali ini dia mahu melihat kesungguhan lelaki itu pula.

“Kenapa?”

Ivan merenung Nia lagi. Masih ada senyuman yang terukir di bibir merah itu. Cantik. Inilah kali pertama Ivan melihat dengan betul senyuman itu. Siong di bahagian kanan mulut Nia seperti pemanis tatkala bibir itu tersenyum. Memang cantik. Kenapa aku tidak perasan selama ini? getus hati Ivan seakan menyesali sesuatu yang ada pada Nia.

Ivan dan Nia menoleh ke atas pentas apabila terdengar lagu Endless Story yang dimainkan oleh pemuzik. Heris dan Sophia sedang menari di situ. Ivan kembali memandang Nia.

“Kalau awak tak nak menari dengan saya, saya boleh cari pasangan lain,” Ivan bijak memancing.

Dahi Nia berkerut. Mudah benar lelaki ini berubah fikiran.

“Okey… demi tidak mahu menghampakan harapan awak, saya sudi menari dengan awak.”

Ivan tersenyum. Dia sudah menjangka apa yang akan dikatakan oleh Nia. Mereka berdua sama-sama sukakan lagu tersebut. Ada sesuatu pada lagu ini yang meninggalkan kesan dalam jiwa mereka. Suatu peristiwa di antara mereka yang seakan telah dilupakan. Namun kisah silam bukan perkara yang penting. Apa yang penting ialah waktu sekarang yang bakal mencorakkan masa hadapan. Mereka berdua naik ke atas pentas dan menari di sebelah Heris dan Sophia. Sebentar kemudian beberapa tetamu yang hadir juga turut menari dengan mereka. Sebahagian daripada mereka menari di bawah pentas.

“Josh, saya rasa seperti kembali ke zaman muda kita,” ujar Trisya sambil merangkul leher suaminya.

“Awak rasa yang usia awak dah tua?”

Trisya memandang Josh geram. Josh tersenyum melihat wajah isterinya yang berkerut.

“Saya bergurau. Marah?”

“Tak.” Trisya senyum. “Kita memang dah berusia sedikit dan saya bahagia sebab masih berada di sisi awak sehingga sekarang. Saya nak hidup dengan awak sehingga ke akhir hayat.” Trisya mengucup bibir suaminya dengan penuh rasa cinta.

“Saya cintakan awak, Trisya.”

Mereka berdua terus menari dalam kelompok tetamu di situ. Majlis itu dipenuhi dengan warna cinta. Dan ia tidak akan berakhir selagi muzik tidak berhenti.

“Saya lihat wajah awak yang bahagia hari ini, sayang.”

“Ya, saya bahagia melihat suasana begini. Saya bahagia melihat Heris yang sekarang.”

Dr. Marcus sempat meninjau kelibat Heris yang sedang merangkul Sophia dalam dakapannya dan masih menari di pentas. Frida Fernanda turut gembira melihat kebahagiaan yang terpamer di wajah mereka berdua.

“Frida, ada sesuatu yang saya nak katakan pada awak… saya tak pernah katakannya selama ini tapi bukanlah bermakna yang saya tidak menghargai kewujudan awak di sisi saya.”

Frida tertarik dan mahu terus mendengar ucapan suaminya.

“Saya sangat menyayangi awak. Awak adalah kekuatan saya. Saya terus berdiri di sini adalah kerana awak. Keira mahu saya hidup bahagia dan saya sangat bahagia sekarang. Terima kasih, Frida.”

Frida hampir menangis mendengar kata-kata Dr. Marcus. Inilah kali pertama Dr. Marcus mengucapkan terima kasih kepadanya. Akhirnya kesabarannya mendatangkan hasil. Segala pengorbanannya tidak sia-sia. Dia bukan sekadar pengganti Keira Angela tetapi telah menjadi orang yang penting di sisi Dr. Marcus Kruger.

“Alex…”

“Hmm…” Alex merenung Mayu di hadapannya.

“Kenapa setiap kali awak masih mencari saya? Bukankah awak tidak menyintai saya?”

“Sebab… saya tak tahu.” Alex tidak pernah memikirkan kenapa. Dia cuma rasa Mayu orang yang paling dipercayainya.

“Awak masih nak teruskan rancangan awak?”

“Kenapa tanya perkara tu dalam waktu begini? Awak patut tahu apa jawapan saya.”

“Ya… saya tahu cuma saya nak awak fikirkan semula. Cuba awak lihat wajah ayah awak… mama awak… Heris… Jerry… apa perasaan awak? Adakah mereka menganggap awak orang asing selama ini?”

Alex menoleh kepada Dr. Marcus dan Frida yang sedang menari tidak jauh daripadanya. Itulah orang yang membesarkannya selama ini dengan penuh kasih sayang. Kemudian dia memandang Heris di atas pentas. Lelaki itu sentiasa mengakui kewujudannya dan tidak pernah sekali pun menganggapnya sekadar abang angkat. Cuma dia sahaja yang menjauhkan diri daripada Heris setelah mengetahui status sebenar dirinya dalam keluarga Kruger. Kemudian mata Alex beralih pula kepada Jerry yang sedang berborak dengan beberapa orang teman Heris. Telatah budak itu menghiburkan. Tidak mustahillah dia boleh bergaul dengan sesiapapun walaupun dengan orang dewasa. Entah kenapa dia berasa marah setiap kali mendapat tahu Jerry dibuli. Dia sentiasa mahu melindungi Jerry walaupun budak itu bukan adik kandungnya.

“Kalau awak masih ada perasaan terhadap mereka, fikirkanlah semula niat awak untuk menguasai Hospital Mercient. Jangan khianati mereka. Mereka orang baik. Mereka sayangkan awak. Janganlah awak sengaja merosakkan hubungan awak dengan mereka. Awak tidak boleh dapat keluarga seperti mereka lagi jika awak musnahkan kepercayaan mereka terhadap awak. Awak akan menyesal.” Mayu cuba mempengaruhi Alex untuk membatalkan rancangannya.

Alex diam lama. Dia seperti sedang memikirkan kata-kata Mayu. Beberapa ketika kemudian Alex senyum dan memandang Mayu semula. Mayu membalas senyuman itu. Dia harap Alex akan berubah fikiran. Dia kenal dengan Heris ketika sama-sama menuntut di universiti. Dia tahu tentang hubungan Alex dan Heris yang sangat rapat suatu ketika dulu. Dia dapat merasakan yang Alex cuma takut kedudukannya tergugat walaupun sebenarnya hal itu tidak patut berlaku kerana kewujudannya sebagai ahli keluarga Kruger diakui. Mayu merasakan Dr. Marcus mengakui kepentingan Alex di Hospital Mercient dan Alex patut menyedarinya juga.

Chris sedang berdiri di meja buffet. Dia sedang merenung seorang budak yang sedang dikelilingi oleh gadis-gadis cantik. Dia berasa cemburu dan tercabar. Dengan mudah budak itu berjaya menarik perhatian mereka. Sekejap kemudian Jerry menoleh kepadanya. Mata mereka bertentang dan saling menikam. Mata Chris terbuntang dan keningnya bercantum di tengah. Dahinya yang sudah berkedut itu tambah berkedut kerana berkerut geram melihat Jerry.

“Hai, Atuk Chris…”

Tiba-tiba wajah Chris kembali normal dan tidak berlawan mata dengan Jerry lagi. Dia terdengar suara halus seorang gadis menegurnya. Chris menoleh ke belakang.

“Aahh!!” Chris menjerit apabila melihat Kelly Hung sedang tersenyum kepadanya.

Ini bagaikan mimpi. Impian tercapai. Chris terus tergamam menatap Kelly Hung yang cantik bergaun warna lavender itu. Senyumannya benar-benar telah meleburkan jiwa Chris.

“Marabilloso…hermoso…” cantik, menarik… kau memang bungaku yang terindah. Hati lelaki tua itu meloncat-loncat kegirangan melihat Kelly Hung.

“Ha?” Kelly Hung tidak mengerti maksud kata-kata Chris. Dia terus tersenyum. Sebelum datang ke majlis ini Heris ada berkata sesuatu tentang Chris dan dia tidak keberatan untuk menunaikan permintaan Heris yang mahu dia menemui datuknya itu.

“Atuk nak menari?”

‘Apa? Dia tanya aku nak menari? Tentulah aku sudi jika dengan gadis cantik sepertinya. Bahagianya... Heris, kau memang cucu menantu paling hebat di dunia! Aku tarik semula kata-kata kutukan aku terhadap kau tadi.’ Chris menarik Kelly Hung menuju ke pentas untuk menari. Kelly mengikut sahaja dan melayan kerenah Chris. Dia masih ingat kata-kata Heris tentang Chris yang miang itu jadi dia sudah bersedia lebih awal. Mungkin Chris tidak akan keterlaluan tapi jika lelaki tua itu melakukan sesuatu yang tidak senonoh pasti Heris yang bakal mendapat masalah kerana lelaki itu yang beriya-iya memujuknya agar menemui Chris.

“Heris, terima kasih,” ucap Sophia.

“For what?”

“Untuk impian yang saya fikir tidak akan tercapai ini.”

Heris tersenyum lalu mengucup bibir isterinya.

“Adik, terima kasih.”

“What for?”

“Awak mengajar saya tentang cinta. Saya mula memahami perasaan cinta setelah bertemu awak.”

Heris mendukung Sophia dan masuk ke dalam Crush Mermaid yang telah sedia terbuka bumbungnya. Mereka akan meninggalkan majlis tersebut untuk pergi berbulan madu. Sebelum beredar mereka sempat melambai kepada semua orang. Para tetamu turut melambai kepada mereka. Heris dan Sophia tersenyum bahagia.

“Terima kasih semua!”

Ucapan mereka disambut dengan kata-kata tahniah. Ada juga yang mendoakan kebahagiaan mereka berkekalan dan ada juga yang berdoa agar Heris dan Sophia cepat-cepat menimang anak. Sophia mencampak jambangan bunga ditangannya sebelum Crush Mermaid yang dipandu Heris bergerak meninggalkan Cupid Luvina.

Semua cuba mendapatkan bunga tersebut. Nia tersenyum. Kebarangkalian untuk bunga tersebut jatuh kepadanya. Alamak! Bunga itu terlepas dari tangannya dan jatuh di hadapan abangnya, Andrew. Andrew mengutipnya. Dia sempat menjeling kepada Nia. Dia tersenyum melihat wajah geram Nia. Andrew menoleh kepada seseorang yang sedang berdiri di hadapannya. Gadis itu asyik merenungnya. Barangkali dia juga kecewa kerana bunga tersebut sudah menjadi milik Andrew. Andrew berasa tertarik melihat gadis genit dan bermata sepet itu lantas menghulurkan bunga tersebut kepadanya.

“Untuk awak.”

Naliz tersenyum dan memandang bunga tersebut. Kemudian dia memandang kepada Andrew semula. Dia tidak berkata apa-apa. Lidahnya kelu. Berdebar-debar jantungnya tatkala bertentang mata dengan jejaka tersebut. Dari satu sudut, Nia dan Ivan memandang mereka berdua. Pandangan itu seperti mahu dimengertikan maksudnya oleh Naliz. Naliz lihat mulut Nia yang mengungkapkan suatu kod rahsia mengucapkan terima kasih dan tahniah kepadanya. Dia mengangguk perlahan secara rahsia juga. Melihat Ivan yang kian akrab dengan Nia membuatkan Naliz tumpang bahagia kerana dialah yang selalu membantu Nia secara rahsia untuk memikat lelaki itu selama ini.

Ivan dan Nia tersenyum-senyum sebelum kembali menoleh ke arah Crush Mermaid yang semakin menjauh. Hari ini adalah permulaan dan penamat sebuah cerita cinta. Bermula dengan indah dan berakhir dengan cantik. Namun tidak siapa boleh menduga apa yang akan berlaku selepas ini. Samada ia kekal cantik atau tidak, kitalah yang akan mencorakkannya. Semoga bunga-bunga cinta itu tidak layu walau hayat memisahkan cinta mereka.

~TAMAT~

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience