Chapter 72

Humor Completed 22614

Bab 72

KERETA yang dipandu Heris baru melepasi sempadan Kota Lisberg. Dia mahu menuju ke Restavia untuk menghadiri satu majlis anugerah. Tidak tahu kenapa tapi dia berasa malas untuk pergi begitu cepat memandangkan majlis tersebut bermula pada hari esok. Namun dia terpaksa pergi hari ini kerana telah berjanji untuk datang awal untuk menghadiri parti harijadi seorang kenalannya pada malam ini.

Ketika sedang memandu di sebuah jalan raya tiba-tiba Heris ternampak seekor binatang yang sedang cuba melintas jalan. Dia cuba mengelak walaupun Crush Mermaid yang dipandunya sudah terlalu hampir. Heris cuma sedar yang keretanya sedang berpusing beberapa kali di atas jalan raya dan terasa berlanggar dengan sesuatu. Dia tergamam seketika. Dadanya berdebar-debar. Tiada satu kereta pun yang lalu di situ ketika itu. Dia keluar dari kereta dan melihat keadaan keretanya. Heris garu kepala. Bontot keretanya sudah remuk sedikit kerana melanggar sebatang pokok.

“Selamatlah kereta aku…” Heris menggeleng-geleng kepala. Dia menumpang tangannya ke tubuh Crush Mermaidnya. “Aouch!”

Heris melihat lengan kanannya. Luka sedikit. Heris tersenyum. Nasib baik tak parah. Seketika kemudian dia teringat pada seekor kura-kura yang cuba dielaknya tadi. Dia berlari mendapatkan kura-kura tersebut. Binatang itu masih merangkak terkedek-kedek di tengah jalan raya. Heris mengangkat kura-kura itu dan membawa ke destinasinya di seberang jalan. Dia meletakkan kura-kura itu elok-elok di tepi jalan. Dia tersenyum melihat kura-kura yang sedang menyorokkan kepalanya di dalam tubuh kerasnya. Heris menepuk-nepuk tubuh keras itu.

“Kau dah selamat sekarang. Aku pergi dulu.”

Heris meninggalkan kura-kura itu dan kembali ke keretanya. Dia masuk dan cuba menghidupkan enjin keretanya. Sekejap kemudian keretanya kembali mengaum. Fuh… lega. Heris tersenyum sendiri. Nasibnya baik kali ini walaupun Crush Mermaid cedera sedikit. Namun begitu Heris tidak terus memandu. Hatinya masih berasa tidak enak.

‘Kenapa dengan aku ni? Asyik berdebar-debar. Apa yang berlaku? Tadi seperti ada orang sedang memanggil aku dan panggilan itu menyebabkan aku perasan dengan kura-kura yang cuba melintas jalan tadi. Kenapa aku ada perasaan begini? Sophia… dia tak apa-apakah? Aku nak hubungi dia…’

Heris mengambil telefon bimbitnya lantas cuba menghubungi Sophia untuk memastikan keselamatan wanita itu. Sebentar kemudian telefon itu berada di telinganya. Lama telefon itu berada di telinganya. Talian tidak dapat disambungkan. Heris membuat panggilan semula… masih tidak dapat disambungkan. Barangkali ada talian lain yang sedang masuk. Akhirnya Heris membatalkan niatnya dan kembali memandu menuju ke Restavia.

“Mungkin perasaan aku sahaja. Biarlah… Sophia pasti selamat.” Heris cuba menyedapkan hati sendiri.

********

“Hello…” Sophia menjawab dengan takut-takut. Kali ini pistol di kepalanya itu tinggal mahu ditarik picunya sahaja untuk menamatkan riwayatnya.

“Hello, Sophia. Jurnal kau tertinggal malam tadi. Aku rasa ia penting…”

“Ivan…”

“Sophia… kenapa ni?” Ivan berasa pelik dengan suara Sophia.

Mike menarik telefon dari telinga Sophia. Tangan kanannya masih mengacukan pistol ke kepala Sophia sementara tangan kirinya sedang memegang telefon milik Sophia. Dia mendengar suara Ivan dari corong telefon yang sudah berada di telinganya.

“Sophia… Sophia…”

Mike tersenyum sinis. Dia sudah mendapat sasaran.

“Hei, perempuan kesayangan kau ada bersama aku. Kalau kau nak dia hidup-hidup, datang ke sini dan serahkan nyawa kau sebagai ganti.”

“Ivan, jangan!” jerit Sophia.

“Siapa suruh kau bersuara!” Mike mencengkam mulut Sophia. Dia mengarahkan pengawalnya untuk menyumbat mulut Sophia dengan sesuatu.

“Siapa kau? Apa yang kau buat pada Sophia?” Mike terdengar suara cemas dari corong telefon tadi. Dia kembali berbicara dengan Ivan.

“Hei, anak Dr. Kruger… kau jangan anggap aku dah lupakan apa yang kau buat pada aku tempoh hari. Berani kau malukan aku di hadapan perempuan tak guna ni. Hari ini aku akan tentukan nasib kalian berdua. Aku nak kau makan semula kata-kata kau tempoh hari. Anak orang kaya yang hebat konon… Ptuih!”

Ivan hanya mendengar. Dari cara lelaki itu bercakap dia tahu ia ditujukan kepada siapa sebenarnya. Heris. Ivan tidak tahu cerita di antara lelaki itu dengan Heris dan Sophia tapi dia tahu yang Sophia kini dalam bahaya.

“Aku akan buat apa yang kau mahu tapi tolong jangan apa-apakan Sophia.” Ivan bertindak dengan tenang.

Mike ketawa panjang. Galak dan sarkastik.

“Kau sangat tenang. Aku macam tak percaya. Rasanya anak Dr. Kruger yang aku kenal tempoh hari seorang yang gelojoh dan melulu. Kau ni…”

“Cakap saja apa yang kau nak!” tempik Ivan.

Mike terdiam. Wajahnya membengis apabila ditengking oleh musuhnya.

“Ingat, kalau kau berani buat setitik darah Sophia menitis pun aku tak kan maafkan kau.”

Mike tersenyum sinis. ‘Oh, berani nak takutkan aku… bodoh, aku boleh seksa Sophia tanpa menitiskan darahnyalah.’

“Jadi datang saja ke gudang lama di Max Hill. Cuma ada satu saja gudang di sini. Kau tidak akan tersesat.”

Talian diputuskan tanpa sempat Ivan berkata-apa-apa. Ivan segera bangkit dari kerusi dan meninggalkan pejabat dengan tergesa-gesa. Seorang wanita yang mahu menemuinya sempat menegur Ivan.

“Ivan, nak kemana?” tanya Luna.

“Saya ambil cuti kecemasan hari ini. Tolong beritahu boss. Awak letak saja dukumen tadi di atas meja saya. Saya akan baca nanti.”

Ivan bercakap sambil tergesa-gesa meninggalkan situ. Luna tidak sempat bertanya banyak. Sekejap sahaja Ivan sudah lesap dari pandangan matanya.

Ivan segera memandu menuju ke Max Hill. Dalam perjalanan sempat dia menghubungi Heris agar lelaki itu tahu apa yang sedang berlaku pada isterinya, Sophia. Lagipun lelaki yang menculik Sophia itu mahu bersemuka dengan Heris sebenarnya.

“Hello…”

“Heris, cepat ke Max Hill sekarang.” Tanpa pembuka bicara Ivan segera ke titik bicaranya.

“Gila… nak buat apa? Lagipun aku…”

“Sophia dalam bahaya.”

“Apa kau cakap?” serta merta pedal break Crush Mermaid yang dipandu di tekan mengejut. Menjerit tayar kereta Heris akibat tindakan mendadaknya itu.

“Cepat, dah tak banyak masa lagi ni. Lagipun penculik tu mahukan kau segera!”

Tanpa berfikir panjang Heris membuat pusingan U untuk berpatah balik ke Kota Lisberg. Panggilan daripada Ivan telah memberikan jawapan ketidak senangan hatinya sejak tadi. Memang betul. Memang sesuatu telah berlaku kepada Sophia… “Sophia, tunggu! Aku akan selamatkan kau, sayang…”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience