Chapter 13

Humor Completed 22614

Bab 13

DI luar Restoran De Maravill…

Sophia sedang menunggu kehadiran Heris. Dia gelisah dan asyik mundar mandir di luar pintu. Ibu, ayah serta datuknya sedang menunggu di dalam bersama seorang pemuda yang tidak dikenalinya. kehadiran keluarganya bersama pemuda tersebut seolah-olah yang keputusannya untuk berkahwin dengan Heris telah dibangkang sebulat suara. Kelibat Heris yang masih tidak muncul tambah merisaukannya.

Penantiannya berakhir apabila Crush Mermaid berwarna biru gelap milik Heris muncul jua akhirnya. Heris bergegas mendapatkan Sophia tatkala melihat gadis itu sedang menunggunya. Sepuluh jari disusun ke hadapan memohon maaf di atas kelewatannya.

“Maaf… saya terlewat. Keluarga awak sudah sampai?”

“Kenapa lewat? Saya sangat risau, Heris. Saya ingat awak tak datang.” Jelas raut wajah Sophia yang nampak cemas kerana menyangka yang Heris telah membatalkan niat untuk menemui keluarganya.

“Mana boleh saya tidak datang. Saya dah janji dengan awak.” Kehadirannya biarpun agak terlewat membuktikan yang Heris tidak mempermainkan niatnya terhadap Sophia.

“Terima kasih, Heris. Saya percayakan awak.” Seraut senyuman gembira terpancar di raut wajah gadis itu.

“Jom masuk.” Heris menarik Sophia untuk masuk ke dalam restoran tersebut.

************

HERIS dan Sophia masih berdiri setelah menyapa keluarganya. Empat pasang mata sedang merenung tepat ke arah Heris. Heris berasa gugup tetapi tetap mengukir senyuman kepada mereka semua.

Pandangan Chris Heartnett seolah-olah tidak menyukainya. Jelingannya seperti mahu mencabar Heris. Manakala renungan Josh Heartnett pula seakan-akan mahu menelannya hidup-hidup. Misai lentik bekas tentera itu cukup menggerunkan hati Heris. Dia tidak berani menatap ayah Sophia lama-lama. Takut rohnya akan ditelan oleh daya kuasa pandangan mata Josh. Renungan Trisya Tiffany pula sebaliknya lebih lembut dan mahu memahami fikiran anaknya. Mata itu dipenuhi sifat keibuan yang mulia. Heris lebih suka memandangnya. Terasa Trisya benar-benar sudah menjadi ibu mentuanya. Namun begitu Heris paling benci melihat wajah lelaki yang duduk selang satu kerusi dengannya. Pemuda itu adalah pesaingnya yang mesti ditewaskannya petang itu. Dia tidak akan membenarkan Sophia jatuh ke tangan pemuda berkemeja kekotak itu.

“Silakan duduk,” jemput Trisya Tiffany.

“Terima kasih.” Heris menundukkan kepala sedikit tanda berterima kasih.

Heris dan Sophia duduk bersebelahan.

“Sophia, duduk di sebelah atuk,” arah Josh.

Sophia tidak sempat melabuhkan punggung. Dia berdiri semula. Dia mengerling kepada Heris sebelum melangkah mengambil tempat di sebelah datuknya. Dia berasa berat hati untuk duduk di situ memandangkan terpaksa duduk di sebelah pemuda asing yang tidak pernah dikenalinya itu tapi dia tidak berani membangkang ayahnya. Entah dari manalah ayah kutip lelaki ini. Rungutnya sendiri di dalam hati.

“Soalan pertama, kenapa kau mahu mengahwini anakku?” Josh terus mengemukakan soalannya kepada Heris.

“Josh…” Trisya cuba menegah tindakan suaminya.

“Soalan kedua, apa kelayakan yang kau ada untuk menyara kehidupan cucuku?” Chris turut mengemukakan soalannya juga.

“Ayah… bukankah lebih baik kita menjamu selera dahulu.” Trisya tidak mahu situasi di antara mereka terus tegang di awal pertemuan.

“Sophia, panggil pelayan suruh hidangkan makanan,” arah Trisya kepada anak gadisnya.

Sophia mengangguk lantas bangun untuk memanggil peramusaji.

“Sophia, tunggu.”

Sophia tidak jadi untuk meninggalkan meja apabila Heris memanggil namanya.

“Pakcik, makcik, atuk… saya akan jawab soalan-soalan tersebut sebelum kita makan.”

“Bagus, lagipun makanan hanya akan dihidangkan kepada bakal menantu keluarga Heartnett sahaja. Pastikan jawapan kau boleh menandingi jawapan Mike kerana dia juga calon suami untuk Sophia,” ujar Josh sambil memandang kepada Mike.

Heris mengerling kepada Mike yang duduk di sebelahnya ketika itu. Lelaki tersebut tersenyum sinis kepadanya seperti kemenangan bakal menjadi miliknya pada petang tersebut. Senyuman itu umpama satu cabaran buat Heris.

“Saya mahu mengahwini Sophia kerana dia mempunyai karisma seorang isteri impian saya. Saya yakin mampu membahagiakan Sophia. Lagipun saya waris tunggal kepada Lord Nelson Amestris. Jadi saya jamin Sophia tidak akan hidup susah jika bersama dengan saya.”

Cis, tak guna! Dia sengaja mendahului aku. Muka skema macam dia ni anak kepada seorang Lord? Macam tak percaya sahaja. Heris berpaling semula ke hadapan. Dia melihat wajah Josh dan Chris yang nampak sangat berpuas hati dengan Mike. Heris rasa tercabar kerana mereka berdua begitu mudah berpuas hati dengan jawapan daripada pemuda tersebut.

“Kau pula?” tanya Chris kepada Heris dengan pandangan yang sinis seolah-olah memperkecilkan kelebihan Heris.

“Saya… saya cintakan Sophia. Itu sahaja sebab saya nak mengahwininya,” jawab Heris dengan jujur.

“Cinta bukan boleh jamin masa hadapan cucu aku. Aku tidak terima jawapan kau tu, budak mentah,” herdik lelaki tua itu yang merupakan datuk Sophia.

“Apa pekarjaan yang kau lakukan?” Josh menambah soalan lagi.

Trisya dan Sophia hanya diam dan tidak dapat menyampuk perbualan di antara mereka.

“Saya seorang komposer lagu sepenuh masa. Saya tiada harta yang banyak tapi saya mampu menyara seorang isteri,” jawab Heris ikhlas.

“Bermakna kau hanya bergantung kepada lagu yang kau hasilkan untuk hidup?” Chris mencari titik kelemahan pemuda yang berhajat mahu mengahwini cucunya itu.

“Lebih kurang begitu.” Heris bersikap jujur.

“Jadi kau tiada pendapatanlah jika tiada lagu yang kau hasilkan.” Josh membuat kesimpulannya sekaligus mahu menutup peluang Heris.

Dua lawan satu. Heris menggigit bawah bibirnya. Kemudian dia mengangguk. Chris dan Josh saling berpandangan seperti sedang memutuskan sesuatu. Heris terasa mahu membetulkan semula jawapannya tadi tapi dia berasa was-was. Dia diam sahaja dan sesekali menjeling kepada Sophia yang selang dua kerusi dengannya. Gadis itu nampak sedikit risau apabila setiap soalan tidak berpihak kepada Heris.

“Aku tak mahu cucu aku bekerja keras selepas berkahwin. Apa yang boleh kau lakukan jika pendapatan kau terputus sebab tiada lagu yang kau hasilkan?”

Heris diam sekejap. Berhati-hati mengatur bicara sebelum menjawab soalan Chris.

“Saya tak pernah fikir begitu. Saya lakukan kerjaya ini sebab saya meminatinya tapi saya janji akan lakukan yang terbaik demi Sophia.”

“Kata-katanya itu tidak dapat menjamin apa-apa. Sophia akan hidup susah jika berkahwin dengan orang sepertinya, pak cik,” Mike tiba-tiba menyampuk.

Sophia yang berada di sebelahnya berasa marah. Darahnya terasa mendidih mendengar kata-kata Mike.

Orang kaya tak guna! Hanya tahu bergantung pada harta keluarga. Kau fikir kau anak orang kaya aku akan terpikat. Pergi matilah buaya skema berambut pacak. Marah Sophia dalam hatinya.

“Betul… jadi apakah pula…”

“Kita belum berkenalan, bukan? Siapa nama kamu? Ceritakanlah latar kehidupan kamu. Makcik nak tahu. Lagipun Sophia belum sempat ceritakan apa-apa pada kami tentang Heris.” Trisya memotong bicara Josh lantas mengemukakan pertanyaan yang sedari tadi ingin ditanyakannya kepada Heris. Sebenarnya dia mula berasa lemas dengan situasi tegang yang diwujudkan oleh suami dan ayah mertuanya.

“Nama saya Heris James Kruger, makcik,” Jawab Heris penuh berhemah.

“Wah, awak anak kepada Dr. Marcus Kruger, pakar jantung yang terkenal tu? Hebatnya!” Trisya menjeling kepada Josh dan Chris yang seakan jengkel dengan tindakannya.

“Bukan, ibu. Ia cuma suatu kebetulan sahaja. Dia bukan anak Dr. Marcus seperti yang ibu sangkakan.” Sophia membetulkan sangkaan ibunya.

“Ada hati nak jadi anak doktor yang hebat,” sindir Mike.

Mike, aku teringin nak belasah kau di luar nanti. Getus hati Heris yang geram dengan kata-kata Mike.

“Sophia, maaf. Disebabkan kita akan berkahwin jadi saya tidak mahu berpura-pura lagi. Sebenarnya saya memang anak kepada Dr. Marcus Kruger seperti sangkaan awak tempoh hari,” jelas Heris.

“Ha? Awak…” Sophia terkesima dengan kejutan Heris.

“Saya minta maaf. Saya cuma tidak ingin dikaitkan dengan ayah saya tapi kali ini saya perlu jujur kerana kita akan berkahwin.”

“Siapa yang kata kamu berdua boleh berkahwin? Kami belum setuju lagi.” Chris membangkang.

“Betul. Jangan-jangan dia sengaja gunakan nama Dr. Kruger untuk meyakinkan atuk dan pakcik.” Mike cuba mengapi-apikan dua orang lelaki yang sedang membangkang perkahwinan Heris dan Sophia itu.

“Baik, kalau benar kata kau, siapa doktor yang meneruskan kajian penyakit maut?” Josh menguji Heris.

Semua yang berada di meja tersebut diam dan memandang Josh sebelum tertumpu kepada Heris pula. Wajah Sophia sedikit cemas. Dia tidak pasti lagi dengan pengakuan Heris tadi.

Saya harap awak bukan berbohong demi bersaing dengan Mike, Heris. Awak tak boleh bohong sebab ayah pernah mendapat rawatan di hospital Mercient jadi dia tahu tentang sejarah penyakit maut yang dikaji oleh Dr. Kruger. Awak mesti tahu jika awak benar-benar ahli keluarga Kruger. Sophia berharap sesuatu daripada Heris.

“Dia cuma pembohong yang gunakan nama Dr. Kruger untuk mendapatkan kepercayaan orang. Mana ada ahli keluarga Kruger yang menjadi ahli muzik,” Mike bersuara.

“Saya cuma seorang penulis lagu. Walaupun saya tahu main beberapa jenis alat muzik tapi saya bukan ahli muzik.” Heris membetulkan fakta tersebut.

“Siapa peduli dengan itu semua. Apa yang penting, muzik cuma bidang yang membuang masa dan tidak mendatangkan sebarang faedah,” kutuk Mike secara terang.

Kurang ajar! Aku dah tak tahan lagi. Aku tidak akan lepaskan kau jika kau buka mulut sekali lagi! Heris cuba menahan perasaannya demi tidak mahu memburukkan keadaan.

“Jawab soalan aku, budak bodoh!” Josh naik berang apabila Heris tidak menjawab soalannya sebaliknya membalas kata-kata Mike.

“Tentang soalan begitu adik saya yang masih bersekolah itu pun tahu, pakcik. Tentulah abang saya, Dr. Alex Kruger.” Heris terbawa-bawa perasaan marahnya terhadap Mike tadi dalam jawapan yang diberikannya.

Betul… tapi cara dia menjawab dengan nada yang kurang ajar. Memang budak yang tidak tahu bersopan. Dia ini jenis yang ikut hati. Bisik Josh dalam hati.

“Jadi kau benar-benar anak Dr. Kruger?” Heris mengangguk. “Hebatnya, cucu aku berkenalan dengan anak seorang doktor yang terkenal dan mempunyai sebuah hospital yang hebat!” Chris nampak teruja dan gembira secara tiba-tiba.

“Apa kena-mengenanya dengan saya, atuk?” tanya Heris yang terkejut melihat reaksi Chris yang berubah secara mendadak.

“Tidak… err, cuma aku rasa gembira sahaja.”

Josh menjeling ayahnya yang mula berpaling tadah daripadanya. Kegirangan Chris mati serta merta bagai direnjat elektrik. Dia kembali berlagak serius.

“E’ehem… jadi kenapa kau tidak ikut jejak langkah Dr. Kruger sebagai ahli perubatan?” Chris bertanya semula dengan nada yang serius demi menarik semula kepercayaan Josh.

“Saya pernah menyertai bidang perubatan selama dua tahun tapi saya tidak meneruskannya lagi kerana… kerana suatu perkara yang tidak dapat dielakkan.” Heris tidak memberi alasannya meninggalkan bidang perubatan dengan terperinci. Dia takut akan memberi kesan kepada keputusan keluarga Sophia untuk menerimanya sebagai menantu.

“Tentu dia pernah tersalah beri ubat kepada pesakit ataupun mungkin pernah terbunuh orang… hahaha…” Mike masih lagi dengan sikapnya yang suka menyindir dan mentertawakan orang.

Kali ini tahap kesabaran Heris sudah mencapai batasan. Dia bangun lantas menarik kolar baju Mike secara kasar.

“Kau betul-betul tidak puas hati dengan aku, bukan! Aku tidak tahan lagi. Mari kita selesaikannya seperti seorang lelaki.”

Heris merapatkan wajahnya dan merenung Mike dengan tajam. Mike berasa terkejut dengan tindakan Heris yang begitu berani di hadapan keluarga Sophia.

“Hei, apa ni… jangan cuba cari pasal. Awak tak kenal siapa saya. Saya ada ramai anak buah yang akan belasah awak jika awak berani sentuh saya.” Mike bersuara berani, padahal sebenarnya dia berasa kecut diperlakukan seperti itu oleh Heris.

“Kau ni bukan saja bermulut busuk tapi juga anak orang kaya yang bodoh! Biar aku ajar bagaimana nak menjadi anak orang kaya yang hebat…”

“Cukup! Hentikannya sekarang!” Jerit Josh yang sudah berdiri untuk meleraikan keadaan.

“Heris, please… hentikannya,” rayu Sophia sambil memaut pergelangan tangan Heris agar melepaskan Mike.

“Belum lagi, Sophia. Saya belum lepas geram lagi. Awak pergi duduk dan jangan halang saya.”

Renungan Heris menakutkan Sophia sehingga gadis itu terpaksa menurut arahannya. Dia melepaskan Heris tapi tidak terus duduk di kerusinya. Trisya berdiri di sisi Josh sambil memegang lengan suaminya. Chris pula hanya duduk sambil minum teh. Dia melihat perbuatan Heris terhadap Mike dengan perasaan tertarik. Dia tidak teringin untuk menghalangnya seperti yang cuba dilakukan oleh anaknya, Josh. Dia mahu terus melihat kesudahan yang bakal berlaku di antara dua orang pemuda tersebut.

“Kau waris tunggal Lord Nelson Amestris, ya? Tentu keluarga kau sangat kaya, bukan?”

Mike mengangguk. Tubuhnya terketar-ketar dan matanya takut-takut memandang Heris.

“Tentu kau hidup dengan senang-lenang dan membelanjakan harta ayah kau dengan sewenang-wenangnya selama ini. Kau tidak pernah takut dibuli atau diancam malah kaulah yang berkuasa. Kau sentiasa ada pengawal yang melindungi kau dimana-mana. Lagi…Hmm, kau boleh dapat apa saja yang kau nak dan kau boleh beli semuanya dengan duit… betul?”

Mike mengangguk bertalu-talu kerana ketakutan. Yang lain diam dan melihat sahaja perbuatan Heris terhadap Mike. Josh juga tidak jadi menghalang Heris. Dia tertarik untuk melihatnya.

“Ya, tentulah betul sebab aku pun anak orang kaya macam kau juga cuma bezanya aku tak hairan dengan harta orang tua aku yang berlambak-lambak tu sebab aku tahu yang aku tiada hak. Harta yang ayah aku perolehi itu adalah kerana jasanya kepada masyarakat. Aku tidak pernah buat jasa sepertinya jadi aku tidak pernah seronok membelanjakan harta ayah aku. Kau pun jangan gembira sangat sebab sebenarnya kau tiada hak ke atas harta ayah kau yang bertimbun-timbun tu, faham!”

Sophia kaku melihat Heris. Adakah hari ini sifat sebenar Heris telah muncul? Sophia sedar banyak tentang Heris yang belum diketahuinya tetapi dia berasa cinta pemuda itu terhadapnya bukan palsu. Josh tersenyum. Begitu juga dengan Chris dan Trisya. Mike memandang kepada mereka semua. Dia berasa marah kerana tidak mendapat pembelaan.

“Hei, kau pandang aku. Aku belum habis bercakap lagi.”

Heris mencengkam mulut Mike dan menghadapkan ke arahnya.

“Kau fikir harta ayah kau tu boleh beli cinta dan hati seseorang? Kalau kau sendiri tidak mampu melindungi diri sendiri, jangan mimpi nak melindungi orang lain… maksud aku Sophia. Aku tidak akan serahkan Sophia kepada lelaki seperti kau. Aku akan melindungi dia selaku lelaki yang mencintainya. Itu kata-kata aku yang boleh dijadikan perjanjian.”

Heris menolak tubuh Mike sehingga lelaki itu tersungkur ke lantai.

“Tak guna… pengawal, belasah lelaki ini!” arah Mike. Serta-merta dua orang lelaki bersut hitam dengan kacamata gelap muncul dan cuba membelasah Heris. Mujur Heris peka. Dia sempat mengelak dan membuat serangan balas.

“Nak bertumbuk dengan aku? heh, aku memang suka belasah orang tak berguna macam kalian semua. Marilah…” Beberapa minit kemudian dua orang lelaki itu rebah dan tewas. Mike berasa marah lantas memukul mereka berdua bertubi-tubi sambil memaki-maki.

“Pakcik, kenapa diam sahaja. Lelaki ini sangat melampau. Pakcik jangan lupa jasa saya terhadap pakcik!”

Amboi, kasarnya! Dia fikir sedang bercakap dengan siapa? Anak orang kaya tiada sivik. Kutuk Josh dalam hati.

“Bertenang… mari kita berbincang secara aman,” pujuk Josh cuba tidak mengeruhkan lagi keadaan walaupun dia terasa mahu menampar Mike yang bersikap biadap terhadapnya.

“Saya tak nak berbincang! Pak cik mesti ingat semula perjanjian di antara kita. Saya nak hak saya sekarang!” Mike memandang Josh dengan pandangan yang berapi.

“Ayah, apa ni? Ayah buat perjanjian apa dengannya?” Sophia berasa cemas.

Dahi Josh berkerut-kerut. Semua ahli keluarganya sedang memandangnya dengan perasaan curiga.

“Perjanjian? Kita pernah buat perjanjian?” Josh melontarkan semula soalan tersebut kepada Mike.

“Jangan nak bergurau! Heartnett Plate tidak akan wujud tanpa duit yang saya laburkan!” tengking Mike. Heartnett Plate merupakan perniagaan restoran yang diusahakan oleh keluarga Heartnett di Parsi Mellon Park.

“Saya cuma buat perjanjian dengan Lord Nelson Amestris. Bukan dengan Mike Amestris. Lagipun sesen pun saya tidak gunakan duit awak melainkan daripada Lord Nelson dan tidak pernah pula saya terlupa membayar pinjaman saya kepadanya setiap bulan. Kalau tidak percaya, awak boleh tanya kepada akauntan saya.” Dalam senyumannya Josh mengerling Trisya.

Trisya membalas renungan tajam Mike dengan senyuman mesra. Mike sangat marah. Dia tidak dapat menentang kata-kata mereka semua. Tambahan pula dua orang pengawalnya telah tewas di tangan Heris. Dia berundur untuk beredar. Dua orang pengawal yang masih terbaring di lantai disepaknya. Dia menjerit kepada mereka berdua sebelum pergi dari situ. Dua orang pengawal tersebut segera bangun dan terkocoh-kocoh mengekori Mike. Sebelum Mike hilang, sempat Heris berkata sesuatu kepadanya.

“Hei, sebelum awak jadi anak orang kaya yang hebat, belajarlah untuk menjadi lelaki sejati dahulu supaya Lord Nelson Amestris tidak malu ada anak macam awak!” jerit Heris.

Mike terus melangkah laju kerana malu mendengar kata-kata Heris yang ditujukan kepadanya itu. Heris kembali ke meja dimana keluarga Sophia masih berdiri. Mujurlah ia ruang tertutup yang memang ditempah khas, jadi pelanggan lain di dalam restoran tersebut tidak tahu apa yang baru berlaku sebentar tadi. Semua yang berada di meja itu sedang memaku pandangan pada Heris. Kali ini Heris tidak gugup seperti mula-mula tadi kerana pandangan mata mereka kali ini sudah berubah.

“Hebatnya! Nampaknya kau tidak memalukan ayah kau seperti Mike Amestris.” Trisya nampak gembira sekali.

Heris terasa kembang mendengar pujian daripada ibu Sophia. Dia menyeluk rambutnya kebelakang kepala. Namun begitu tatkala terpandang wajah Josh, dia masih berasa gerun. Wajah itu hanya kaku dan tidak menggambarkan sebarang perasaan tapi yang paling memberi kesan terhadap perasaan orang ialah misainya yang tajam melentik, tanpa sebarang kata-kata dari mulutnya pun sudah menakutkan orang. Senyumlah… jangan buat aku rasa tertekan. Heris berharap Josh tersenyum seperti tadi agar dia berasa tenang.

“Tidak~!” Jerit Chris secara tiba-tiba.

Semua orang tertumpu kepadanya.

“Kenapa ayah?” tanya Trisya cemas. Josh, Sophia dan Heris turut member tumpuan terhadap lelaki tua itu.

“Aku akan kehilangan ‘epal hijau’ kesayanganku.” Chris seperti orang yang kecewa dan sedang menatap Trisya dengan mata yang berkaca-kaca.

Trisya mencebik tapi cebikannya tidak begitu jelas kerana dilindungi oleh senyumannya. Sejenak dia kembali pada Heris dan tidak lagi menghiraukan ayah mertuanya. “Dia dah nak mula…” bisiknya perlahan.

“Ayah, jangan panggil anak saya dengan nama yang mengarut tu lagi!” Josh mengerling tajam kepada ayahnya, Chris.

Chris membalasnya dengan renungan yang sama. Mata mereka bertembung dan sedang menikam antara satu sama lain.

“Ia sangat comel. Hanya kau saja yang menganggapnya teruk, Si Misai Pelik!” ejek si ayah.

“Tiada siapa yang mengatakannya comel. Cuma ayah seorang yang berkata begitu.” Nada Josh masih terkawal memandangkan lelaki itu adalah ayah kandungnya sendiri.

“Sebenarnya kau dengki, Josh. Mengaku sajalah, Si Misai Pelik.”

“Erghh! Ayah jangan nak cari pasal dengan saya…” gigi Josh berlaga-laga menahan geram.

“Awak berdua nak mulakannya lagi?” Trisya segera bertindak menjadi orang tengah sebelum pertengkaran mereka berdua berlarutan. “Tolong jaga tingkah laku di hadapan bakal menantu kita.” Trisya menolak kedua-dua lelaki itu berjauhan agar pergaduhan mereka segera terlerai.

Mendengarkan perkataan ‘menantu’ membuatkan Josh dan Chris tersedar akan kewujudan Heris di situ. Mereka kembali member fokus terhadap Sophia dan bakal suaminya, Heris.

Heris terpinga-pinga mendengarkan kata-kata Trisya. Dia menjadi subjek utama apabila semua mata tertumpu ke arahnya kini. Tubuhnya kaku tetapi tangannya sedang menggenggam tangan Sophia dengan erat. Sophia mengerling ke arahnya. Tangan Heris yang sedang mencengkam tangannya itu dilepaskan. Dia menyilang tangannya pada lengan Heris. Heris memandang Sophia. Sophia mengangguk sambil mengukir senyuman. Heris bahagia melihat senyuman wanita itu.

“Kami telah mendapat restu?” Heris bertanya untuk mendapatkan kepastian.

“Hai… nampaknya aku benar-benar akan kehilangan cucu kesayanganku.” Chris pura-pura mengeluh.

“Sophia, pergi panggil pelayan untuk hidangkan makanan,” arah Josh.

“Ayah ni… bukan nak jawab soalan kami dulu.” Sophia merungut. Muncungnya hampir terserlah kerana tidak puas hati dengan tindakan ayahnya yang memesongkan soalannya.

“Sophia, dengar cakap ayah. Pergi panggil pelayan,” giliran Trisya memberi arahan sekali lagi kepada Sophia.

“Ibu…” Sophia merengek kepada ibunya pula.

“Sophia, jangan nak melawan.” Kali ini Chris pula bersuara. Tingkahnya sama sahaja dengan kedua ibu bapa Sophia.

“Apa maksud atuk?” Heris dan Sophia bertanya serentak.

“Bukankah tadi ayah cakap akan makan bersama dengan bakal menantu sahaja di meja ini,” jelas Trisya.

“Selain Si Manggis Kelat ni, siapa lagi yang berada di sini adalah calon menantu kami?” sambung Chris.

“Manggis Kelat?” Sophia dan Heris memandang Chris pelik.

Chris memandang ke arah Heris dengan jelingan penuh makna. Mungkin persepsinya terhadap Heris mula berubah selepas melihat diri sebenar lelaki itu tadi.

“Ayah dah beri nama gelaran untuk Heris pula.” Trisya geleng kepala sambil tersenyum.

“Satu lagi nama yang teruk,” kritik Josh.

Chris sekadar menjeling Josh. Heris pula masih terpinga-pinga memandang Sophia. Sophia sedang tersenyum kepadanya. Dia membiarkan Heris terpinga-pinga. Pabila Heris telah masuk ke dalam keluarganya, lelaki itu akan tahu juga sikap semua ahli keluarganya.

Josh bangkit mendekati Sophia dan bakal menantunya, Heris. Kedua anak muda itu memandang perbuatan Josh yang sedang memegang hujung tangan mereka berdua. Josh tetap dengan wajah kakunya tapi kali ini dia tidak memandang dengan dingin lagi. Ada sedikit riak gembira terpancar di wajahnya.

“Tahniah tapi ingat…Kau mencari nahas jika buat anak perempuan aku menangis,” ujar Josh.

“Josh, jangan bercakap dalam nada yang menakutkan orang,” tegur Trisya.

“Ayah…”

“Aku belum jadi ayah mentua kau lagi!” tengking Josh.

Hampir luruh jantung Heris ditengking begitu dekat oleh Josh.

“Tapi Heris boleh panggil ‘ibu’,” ujar Trisya dari tempat duduknya.

Heris memandang Trisya. ‘Ibu’… hebatnya. Dah lama dia tidak menyebut perkataan itu. Melihat gaya Trisya, Heris dapat merasakan wanita itu seorang ibu yang penyayang dan pandai memanjakan anaknya. Dia sangat gembira untuk memanggil wanita itu sebagai ‘ibu’. Dia akan mendapat keluarga baru tidak lama lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience