Chapter 48

Humor Completed 22614

Bab 48

HERIS membenamkan tubuhnya ke dalam air laut. Dia mahu menenangkan jiwanya yang tertekan dengan cara itu. Hatinya kecewa terhadap Sophia. Jiwanya sakit dipermainkan oleh wanita itu tapi kenapa dia merasakan cinta menjadi penghalang kepada perasaan benci itu. Bukan… sebenarnya dia membenci Sophia kerana dia menyintai wanita itu.

‘Cinta itu memang kejam kerana menemukan aku dengan insan yang bernama Sophia Jasmine Luis Hartnett. Aku rela mati daripada terseksa kerana cinta. Adakah ini jalan yang tepat…? Tidak, bunuh diri bermakna mengalah dalam pertarungan. Dia tentu gembira jika aku mati kerana percintaannya dengan Ivan akan berjalan dengan lancar tanpa kehadiran aku sebagai penghalang.’

“Tidak! Aku tak akan benarkan ianya berlaku.”

Heris keluar dari dalam laut. Dia berlari naik ke pesisir pantai dan berteduh di bawah pokok besar tadi. Nafasnya tercungap-cungap kepenatan. Beberapa ketika kemudian setelah penatnya hilang, dia bangun untuk meninggalkan kawasan tersebut. Cincin yang ditanggalkan dari jarinya tadi dipandang. Ia masih di tangannya. Apa yang patut aku lakukan? Akhirnya Heris menanggalkan rantai perak di lehernya. Cincin tadi disematkan dengan rantai tersebut kemudian disangkutkannya di buaian. Dia tidak mahu memakainya lagi. Dia tidak percaya dengan mitos tentang cincin berkenaan seperti yang diceritakan oleh penjualnya. Mungkin tanpa cincin tersebut dia dapat menjalani kehidupan normal seperti sebelum dia mengenali Sophia. Heris beredar pergi dari situ.

**********

“MAAF, nombor yang anda dail sedang sibuk. Sila tinggalkan pesanan anda selepas nada...” Suara wanita yang menjawab panggilan itu membuatkan Nia mula menyampah lantas mematikan talian dengan segera.

“Lagi-lagi ‘skandal’ dia yang jawab panggilan. Kemana Heris ni?” Nia merungut memikirkan panggilan Heris yang tidak bersambut sejak semalam Hatinya tertanya-tanya mengapa Heris tidak menjawab panggilannya? Apa yang telah berlaku? telefon rumahnya juga tidak dijawab. Adakah Heris dan Sophia tiada di rumah? Mengapa tidak membawa telefon sekali jika keluar? Hati Nia bertambah tidak keruan apabila mendapati Heris tidak datang ke studio mahupun pejabatnya. Malah langsung tidak meninggalkan pesanan kepada kakitangan di situ tentang ketidak hadirannya.

Semua orang yang mencarinya di pejabat juga mengeluh kerana tidak dapat menghubungi Heris. Ada juga yang marah dengan sikap Heris yang lepas tangan dengan tugasnya.

“Kami perlukan bantuan Cik Ferez selaku sahabat En. Kruger. Cik Ferez tentu tahu dimana dia berada?” ujar seorang lelaki berpakaian kemas yang merupakan pengurus artis rakaman.

“Kalau saya tahu Heris dimana, tidaklah saya datang ke sini untuk mencarinya,” jawab Nia separuh marah.

“Cik Ferez tentu tahu dimana rumahnya, bukan?”

“Saya akan carinya di sana,” balas Nia seraya berlalu pergi dari situ.

Nia tidak terus ke rumah Heris. Dia kembali ke butiknya kerana ada temujanji dengan salah seorang pelanggan tetapnya. Walaupun hatinya dilanda kerisauan tetapi dia perlu bersikap professional dalam bertugas. Setelah lebih sejam berurusan dengan pelanggan barulah Nia lega kerana dia boleh kembali menjejaki Heris. Dua kali dia mendail telefon bimbit Heris tetapi tiada jawapan dari lelaki itu melainkan suara operator yang memberitahu sesuatu yang berulang-ulang. Nia pasti kali ini dia perlu bertindak memandangkan sudah lebih dari tiga hari Heris tidak dapat dihubungi.

Kali terakhir dia bersama Heris adalah ketika mereka makan malam bersama beberapa hari yang lalu. Pada malam itu juga dia bertemu dengan Ivan. Selepas bertemu Ivan dia menghubungi Heris. Panggilan dijawab tetapi Heris tidak bersuara. Ini menambahkan kerisauan Nia.

“Barangkali rumah Heris dirompak. Heris dan Sophia telah di… oh, tidak.” Nia takut untuk menyebut kemungkinan itu. Dia cuma berharap Heris dan Sophia selamat.

Sesampainya di perkarangan rumah Heris dan Sophia di Paradise Shine, Nia memberhentikan keretanya. Dia keluar dan menuju ke pintu pagar rumah putih itu. Pagar kayu itu bermangga dan kereta Heris dan Sophia juga tiada. Jadi rumah ini bukan dirompak. Hati Nia lega. ‘Jadi kemana pula mereka berdua telah pergi? Jika keluar bersama, mengapa kedua-dua kereta mereka dibawa? Barangkali bercuti lama dan tidak mahu diganggu jadi kereta mereka ditinggalkan di tempat yang lebih selamat memandangkan tiada jiran terdekat yang boleh melihat-lihat rumah mereka.’ Nia membuat andaian sendiri.

“Kalau nak bercuti pun, tak bolehkah beritahu aku dulu? Dia memang menyusahkan aku. Semua orang mencarinya dan akulah sasaran mereka.”

Nia beredar dari situ setelah mendapati Heris dan Sophia tiada.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience