Chapter 53

Humor Completed 22614

Bab 53

HANYA sebuah lampu di ruang pejabat Ferez Global yang menyala apabila Nia masuk ke situ. Dia mengukir senyuman apabila ternampak kelibat Ivan ke hulu ke hilir berhampiran mejanya.

“Abang Andrew memang suka dera Ivan bekerja hingga lewat malam.” Nia sempat mengomel memarahi abangnya sambil mencapai telefon bimbitnya untuk menghubungi Ivan. Sebentar kemudian dia merapatkan telefonnya ke telinga sambil memerhatikan tingkah laku pemuda itu dari jauh.

“Hai, Ivan. Awak masih bekerja?” Nia tersenyum lebar dan terus memerhatikan Ivan dari hujung pintu. Lelaki itu melakukan sesuatu di hadapan komputer sebaik mengambil tempat duduk. Kepalanya dibiar senget untuk menampung telefon di bahunya sambil jemarinya pantas menaip di dada keyboard.

“Ya, ada apa hal?” suara dingin Ivan menyapa menjawab panggilan Nia.

“Jawapan yang kasar untuk soalan yang berniat ikhlas.” Nia tarik muka kelat.

“Saya sibuk, Nia. Tak ada masa nak layan awak. Sorry.” Ivan tidak berminat untuk melayan Nia.

“Rehatlah sebentar. Saya ada bawakan makanan untuk awak.”

Ivan memegang telefonnya dengan betul sambil menoleh menjejaki kelibat Nia. Gadis itu sedang berjalan menuju ke arahnya sambil membawa sesuatu di tangannya. Ivan memutuskan talian.

“Macam mana awak tahu saya di sini?” Kerja-kerjanya terpaksa dihentikan untuk seketika memandangkan ‘awek-stalker’-nya sudah muncul.

“Mata saya ada sepuluh untuk menjejaki dimana awak berada, Ivan. Apa nak hairan. Syarikat ni abang saya yang punya.”

“Hmm…” ada keluhan dalam senyuman Ivan. Wajah Nia yang tidak pernah lekang dengan senyuman itu dikerling sekali. “Awak nak apa pula kali ini?”

Senyuman Nia mati. “Awak tak suka jumpa saya ke?” cuba menduga Ivan dengan soalan tersebut.

“Bukan tak suka… cuma…”

“Jadi awak suka?” Gelojoh Nia memintas kata-kata Ivan.

“Saya sibuk, Nia. Tolonglah faham.”

“Tinggalkan kerja awak. Esok belum tentu kiamatlah. Jom makan dulu.” Nia menarik Ivan secara paksa bangun meninggalkan meja kerjanya. “Saya tahu awak mesti belum makan malam lagi. Jom.”

Ivan tiada pilihan lagi setelah didesak begitu. Melihat kesungguhan Nia, tidak sampai hati juga dia mahu mengecewakan gadis itu.

“Hari ini saya masak khas untuk awak. Saya masak yang simple saja sebab nak cepat tadi. Kalau tak menepati citarasa awak, saya minta maaf awal-awal ya,” ujar Nia sambil membuka penutup bekas makanannya.

Ivan membuka peti sejuk dan mengambil dua tin minuman isotonic lalu meletakkannya di atas meja. Dia mengambil tempat duduk bertentangan dengan Nia. Bekal makanan sudah sedia tersua di hadapan matanya. Aromanya menusuk ke rongga hidung menyebabkan rasa lapar tiba-tiba menggamit perutnya.

“Saya bukannya lapar sangat. Saya akan jamah sedikit untuk puaskan hati awak.” Ivan masih berlagak mempertahankan egonya. “Tolong pulang dengan segera lepas saya makan bekalan awak.”

“Okey.” Nia tersenyum simpul sambil membukakan tin minuman untuk Ivan. Perempuan berhati kering sepertinya memang tidak pernah tersinggung dengan sikap dingin yang dipamerkan oleh lelaki seperti Ivan.

Ivan mengambil sudu. Teragak-agak juga mahu menyudu makanan yang disediakan oleh Nia. Sekilas matanya mengerling kembali kepada Nia. Melihat air muka Nia yang penuh harapan, akhirnya Ivan memutuskan untuk menyuap makanan tersebut ke mulutnya.

Dia mengunyah perlahan-lahan dengan tertib. Sekali-sekala Nia yang sedang meneguk minumannya itu dikerling dengan ekor mata. Daripada sesudu menjadi dua sudu. Kemudian tanpa sedar bersudu-sudu Ivan menyuap makanan tersebut.

Nia hanya melihat dalam senyuman. Hatinya gembira apabila makanan yang disediakannya dimakan dengan penuh selera oleh Ivan. Tidak sia-sia dia menghabiskan masa di dapur sebaik pulang dari butiknya petang tadi.

“Awak kata tak lapar tapi habis licin awak habiskan makanan tu,” sindir Nia.

Serta merta Ivan meletakkan sudu. Malu. Penutup diambil untuk menutup bekas makanan. Kemudian dia mencapai minumannya. Meneguk seteguk sambil terus diperhatikan oleh Nia.

“Boleh tahan sedap. Pandai orang gaji awak masak.” Melihat personaliti Nia, Ivan kurang yakin jika hidangan tersebut disediakan sendiri oleh gadis itu.

“Orang gaji?” panas juga hati Nia mendengar kenyataan Ivan. “Orang gaji pun belajar masak dengan saya tau. Saya masak sendirilah, Ivan.”

“Yeke? Tak percayalah.” Hati Ivan masih menidakkan kenyataan itu. Namun mengakui yang masakan tersebut menambat hatinya.

“Tak mengapa. Suatu hari nanti awak akan percaya juga. Waktu tu nanti jangan salahkan saya kalau badan awak yang kurus keding ni akan jadi gemuk angkara saya.”

Ivan sekadar mencebik tapi senyuman menjadi penyudah cebikannya itu. Bekas makanan yang telah kosong itu dibawanya ke sinki untuk dicuci. Nia hanya menyoroti langkah Ivan.

“Ivan…” perlahan-lahan Nia bangkit dan menghampiri Ivan di hadapan sinki. “Awak suka tak?” tiba-tiba suara Nia berubah manja.

“Suka apa?” Span pencuci yang berlumuran buih sabun dicapai dari bekasnya. Ivan mula mencuci tanpa mengambil peduli sikap Nia di sebelahnya.

“Makanan yang saya bawa tu.” Sempat Nia mencuri pandang wajah lelaki itu dari sisi.

Mahu tidak mahu akhirnya Ivan mengangguk. Anggukan itu membuatkan hati Nia ingin melonjak kegembiraan. Namun sikap sopannya di hadapan seorang jejaka idaman tetap dikawal sopan.

“Nanti ucapkan terima kasih saya pada orang gaji awak yang sediakan makanan tadi, ya.” Selamba Ivan bertutur tanpa mempedulikan perasaan Nia yang bersusah payah menyediakan makanan tersebut untuknya.

“Sama-sama. Kalau awak suka, saya akan suruh orang gaji saya tu masakkan untuk awak setiap hari. Awak nak tak?” Nia memang sudah biasa dengan bahasa-bahasa Ivan yang sinis walaupun tidak kasar. Telinganya sudah lali malah adakalanya dia merindui bahasa-bahasa sindiran Ivan yang ‘manis’ itu.

“Kalau niat awak nak buat saya jadi gemuk lebih baik lupakan sahaja.” Bekas yang sudah selesai dicuci diletakkan di atas para untuk dikeringkan. “Bila awak nak balik ni?”

“Awak halau saya?” bulat mata Nia menikam wajah Ivan. Suka-suka halau aku lepas kenyang makan bekalan yang aku bawa. Cis, Marah betul!

“Masih banyak kerja yang perlu saya bereskan. Selagi awak berada di sini, saya tak boleh teruskan kerja saya,” jujur Ivan berterus terang.

“Awak ni bekerja umpama esok dah nak kiamat. Patutlah jadi pekerja harapan abang.” Separuh berbisik Nia menuturkan ayat terakhirnya.

“Bukan begitu…” kata-kata Ivan terhenti di situ. Malas hendak menjawab rungutan lazim yang sering disuarakan terhadapnya itu. Bukan Nia seorang yang berkata begitu.

“Ivan…” Nia mendekati Ivan. Wajah Ivan diteleknya seketika. Ada sesuatu yang dikesannya. “Kenapa muka awak lebam?”

Serta merta tangan Ivan hinggap meraba pipinya. Lebam kesan tumbukan Heris petang tadi masih berbekas di wajahnya. Nia telah mengesannya.

“Awak bergaduh ya?”

Ivan menggeleng.

“Dengan siapa? Mari saya tengok luka tu.” Nia menarik tangan Ivan yang cuba melindungi kesan lebam tersebut.

“Tak ada apa-apa lah. Benda kecil saja.” Ivan cuba menegah niat Nia yang mahu melihat kesan lebam tersebut.

“Awak cakap betul-betul, siapa yang belasah awak ni?” Hati Nia rasa tidak enak. Secara automatik otaknya terbayangkan Heris. Heriskah punya angkara?

“It’s okey. Saya dah sapu ubat. Kejap lagi okeylah ni.”

“Heris datang cari awak kan. Betul tak, Ivan?”

Ivan membisu tanpa sebarang jawapan. Dia yakin tanpa penjelasan pun Nia pasti dapat mengagak siapakah orang yang menyerangnya. Ivan mengatur langkahnya menuju ke balkoni yang terdapat di bilik pantry tersebut. Tanpa menghiraukan Nia dia menikmati keindahan cahaya malam di Kota Lisberg itu. Jam menunjukkan pukul 10.00 malam. Masih awal dan kotaraya masih lagi sibuk.

Nia memerhatikan belakang pemuda itu dari dalam bilik pantry. Lelaki itu sedang menyeluk poket seluarnya mengeluarkan sesuatu. Kotak peneman yang terus menjadi sahabatnya sejak kali pertama Nia berkenalan dengan lelaki itu. Rokok! Nia melangkah perlahan-lahan menghampiri Ivan yang baru hendak menyematkan sepuntung rokok di celah bibir.

“Orang lelaki… merokok kerana nak nampak macho atau nak hilangkan stress?” Nia melontarkan soalan sambil matanya meneroka keindahan limpahan cahaya kotaraya.

“Saya memang tampan jadi buat apa nak nampak macho dengan merokok.”

Jawapan Ivan membuatkan Nia tertawa. Ditambah lagi dengan gaya pertuturannya yang tidak merasa sedang memuji diri sendiri. Nia hanya menggeleng kepala. Ketampanan Ivan memang diakuinya.

“Saya tak begitu stress memandangkan saya memang selesa dengan gaya hidup saya sekarang.” Kepulan asap mula memenuhi ruang udara tetapi tidak menyesakkan nafas Nia kerana Ivan melepaskan asap rokok ke arah bertentangan darinya.

“Mungkin sebab bosan.” Ivan mendongak ke arah langit yang ditaburi bintang. Tiada sang purnama menemani malam ini. “Walaupun saya sudah biasa bersendirian tapi kadangkala kesunyian itu singgah di jiwa.”

Nia berdiri dekat dengan Ivan. Mengambil posisi yang sedikit bertentangan dengan pemuda tersebut. Wajah Ivan direnungnya. Sukar untuk dibaca apa sebenarnya yang sedang berlegar dalam fikiran lelaki itu. Dia masih cuba memahaminya.

“Jiwa awak kosong. Oleh sebab itu awak kesunyian.” Rokok di tangan Ivan diambilnya kemudian dibuang ke lantai. Ivan hanya diam bagai terpukau dengan tindakan Nia terhadapnya. “Cuba beri peluang pada diri sendiri untuk berubah, Ivan. Kadangkala perubahan itu akan membawa lebih kebaikan pada kita.” Nia memaut kedua belah tangan Ivan ke dalam tangannya. Wajah Ivan diteroka sambil senyuman manis dihadiahkan kepada jejaka itu.

Ivan diam terpaku. Anak matanya membalas renungan Nia tanpa sebarang perasaan. Ada sesuatu yang disedarinya kini…

“Nia… bila awak nak balik?” Soalan itu kembali terpacul dari mulut Ivan dan ia membuatkan senyuman Nia mati mendadak. Tangan yang memaut Ivan segera dilepaskan. Boleh pula Ivan nak tukar soalan secara tiba-tiba.

“Awak betul-betul nak saya balik?”

Ivan mengangguk.

“Okey… saya faham. Awak betul-betul sibuk. Kalau begitu saya tak mahu ganggu awak lagi.” Nia bersiaga untuk beredar dari pejabat tersebut.

Ivan rasa lega kerana Nia mudah dipujuk kali ini. Dia meluangkan sedikit masa untuk menghantar pemergian Nia sehingga ke ruang lobi bangunan pejabat.

“Saya balik dulu,” ucap Nia sebelum beredar meninggalkan Ivan. “Awak tu, jangan sampai bermalam di pejabat tau. Jangan bekerja terlalu kuat. Jaga kesihatan. Duit boleh dicari, kesihatan sukar ditukar ganti.” Sempat Nia berceramah menasihati Ivan.

Ivan hanya tersenyum. Sesekali dibebeli begitu buat dia rasa dihargai.

“Terima kasih.” Ucapan pendek itu membuatkan hati Nia berbunga-bunga. “Lepas ni jangan susah-susah sediakan makanan untuk saya lagi.”

Nia mencebik kecewa. “Kenapa? Tak sudilah tu. Saya masak tak sedap ke?”

Ivan menggeleng. Dalam benaknya menyimpan sesuatu yang sukar untuk diluahkan mengapa dia tidak mahu Nia datang lagi membawa makanan untuknya. “Cepatlah balik. Dah lewat ni.”

“Tak sabar-sabar nak halau orang nampaknya. Fine… saya balik sekarang.” Nia mengatur langkahnya meninggalkan Ivan sejurus kemudian.

Ivan merenungnya dari jauh sehingga kelibat Nia lenyap. Sebaik Nia hilang dari pandangan dia kembali mengatur langkah untuk kembali ke pejabatnya semula. Dalam diam ada senyuman berbunga di wajahnya. “Sedap sangat. Aku hampir terpikat dengan masakannya.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience