Chapter 57

Humor Completed 22614

Bab 57

HARI yang cerah telah bertukar gelap. Suasana malam yang dingin itu sungguh sunyi tatkala semua penghuni alam sedang berehat setelah seharian menunaikan tanggungjawab dunia. Perlahan-lahan Heris membuka pintu bilik. Walaupun hatinya berdebar-debar dia tetap mengukir senyuman untuk berhadapan dengan isterinya. Setelah menutup rapat pintu bilik dia mendekati Sophia yang sedang membaca majalah di atas katil. Dia naik ke atas katil tersebut dan berbaring di sebelah Sophia. Sophia mencerling kepadanya.

“Kenapa pandang macam tu? macam nak telan orang. Buat saya rasa seramlah awak ni,” ujar Heris dalam nada seloroh untuk menghindarkan gemuruhnya apabila dicerling tajam oleh isterinya.

“Siapa yang benarkan awak baring di atas katil saya?” Sophia hilang selera mahu menyelak majalah di tangannya lagi.

“Bukankah kita masih suami isteri. Apa salahnya tidur bersama.” Heris menjawab selamba.

“Kita akan bercerai tak lama lagi. Awak sepatutnya lebih jelas tentang hubungan kita sekarang. Saya berbaik-baik dengan awak cuma di hadapan keluarga saya sebab saya tak mahu mereka tahu hubungan kita yang dah retak menanti belah ni.” Nafas Sophia turun naik menahan api marahnya dengan sikap Heris yang tidak menghormati haknya sebagai seorang wanita.

Orang lelaki… bagi mereka wanita hanyalah hamba untuk kepuasan nafsu. Biarpun cinta tidak lagi menjadi kunci keintiman dalam perhubungan. Apa yang penting tubuh seorang wanita itu masih tetap menjadi haknya selagi ikatan mereka belum terlerai secara sah. Sophia benar-benar marah!

“Sophia, please…” Heris memaut tangan Sophia untuk memujuknya. Wajah sayunya benar-benar mengharap agar wanita itu sudi memaafkannya sekaligus menerimanya kembali.

“No, ambil bantal ni dan tidur di bawah.”

Sophia menarik tangannya. Dia mengambil bantal dan menyerahkannya kepada Heris dengan kasar. Dia mahu Heris tidur di lantai dan bukan di atas katil bersamanya.

“Kalau saya tak nak?”

Heris menentang keputusan Sophia. Dia tetap berbaring di situ tanpa mempedulikan arahan Sophia. Sikap degilnya cuba mahu mencabar Sophia. Sengaja mahu melihat sejauh mana kemarahan Sophia terhadapnya.

“Jangan nak cari pasal dengan saya, Heris. Lebih baik awak tidur di bawah atau saya akan… saya akan jerit sampai semua jiran tetangga dengar,” ugut Sophia.

Heris ketawa mengikik mendengar kata-kata Sophia. Sophia berasa geram melihat tingkah laku Heris.

“Jeritlah. Biar ibu dan ayah awak dengar juga. Lepas tu mereka akan tahu segala-galanya tentang hubungan kita sekarang.”

Kata-kata Heris ada benarnya. Heris sengaja memerangkap Sophia kembali. Dia akan tewas kalau membiarkan Heris tidur di situ.

“Baik. Awak boleh tidur di katil ni.”

Heris tersenyum puas. Sophia mengalah juga akhirnya. Namun sekejap cuma senyumannya terukir. Dia melihat Sophia mengambil bantal dan turun dari katil lantas berjalan menuju ke ruang hadapan katil. Dia meletakkan bantalnya dan berbaring di lantai yang berlapik permaidani di situ. Heris memerhatikan saja tingkah laku Sophia dari atas katil. Timbul rasa bersalah dalam dirinya. Mengapa Sophia sanggup tidur di lantai daripada di katil bersamanya? Adakah kesalahannya sangat besar sehingga tidak dapat dimaafkan oleh wanita itu?

Heris bangun lalu mendekati isterinya. Dia baring berhadapan dengan Sophia yang mengiring ke kanan. Mata mereka bertentang. Heris merenung sepasang anak mata berwarna hitam itu. Mata yang layu itu dibebani perasaan luka dan kecewa. Heris tidak sanggup melihat kelukaan itu. Dia mahu melihat keceriaan pada wajah itu seperti yang selalu dilihatnya sebelum ini.

Sophia berpusing ke sebelah kiri kerana tidak mahu menatap wajah lelaki yang telah mengecewakannya itu. Hatinya pilu setiap kali mengingatkan tuduhan Heris terhadapnya. Adakah Heris yang dikenalinya sebelum ini adalah palsu? Dimana janji-janji lelaki yang mahu melindunginya tempohari? Baru beberapa minggu usia perkahwinan mereka tetapi Heris sudah mungkir janji. Adakah lelaki semuanya sama? Atau nasibnyakah yang malang kerana bertemu dengan lelaki-lelaki yang sebegini? Setiap kali juga hatinya dikecewakan oleh lelaki.

Heris melurut-lurutkan rambut Sophia yang mengurai. Dia tahu yang Sophia tidak mudah untuk memaafi kesalahannya tetapi dia tidak mahu melihat keadaan Sophia yang begitu. Dia turut terseksa melihat penderitaan Sophia.

“Adik, Mamoru minta maaf. Mamoru dah tahu segala-galanya. Mamoru tahu Adik tak ada apa-apa dengan Ivan…”

“Siapa Mamoru? Mamoru saya dah mati. Itu yang awak beritahu saya tempohari, bukan?”

Terasa seperti Sophia sedang menghiris-hiris hatinya dengan kata-kata itu dan darahnya sedang menitis-nitis jatuh akibat luka tersebut. Heris memegang jari-jemari Sophia yang terjuntai di belakang.

“Jangan layan saya begini. Tolonglah… saya sayangkan awak. Saya juga sangat cintakan awak. Saya tak boleh hidup tanpa awak. Beri peluang pada saya untuk betulkan kesilapan saya.”

Sophia rasa setiap sentuhan dan belaian Heris. Kata-kata Heris yang lembut itu menenangkan jiwanya. Air matanya bagai mahu mengalir ketika itu. ‘Kenapa berbeza sungguh layananmu tempohari dengan malam ini? Jika kita berbincang secara aman tempoh hari tentu bukan begini layananku terhadapmu. Aku rindukan tutur katamu yang lembut seperti malam ini. Aku dahagakan belaianmu yang penuh kasih sayang. Kenapa kau tinggalkan diriku? Dimana janjimu untuk melindungi dan menjagaku?’

“Awak mungkir janji. Saya tak dapat nak maafkan awak.”

“Jadi hukumlah saya… saya sanggup asalkan kita berbaik semula.”

Heris memeluk pinggang Sophia. Rambut Sophia diselak dan dia mengucup tengkuk Sophia. Tanpa dilihat oleh Heris, airmata Sophia mengalir. ‘Aku rindukan belaianmu ini tetapi aku tetap tidak dapat memaafkanmu. Hatiku sangat terluka.’

Sophia melepaskan diri dari rangkulan Heris. Dia menjauhkan dirinya sehingga tidak berbaring di atas bantal lagi. Heris kecewa dengan sikap yang ditunjukkan Sophia tetapi dia tahu, bukan mudah untuk Sophia menerimanya semula setelah apa yang telah dilakukannya terhadap wanita tersebut beberapa hari yang lalu.

“Saya tak tahu apa perbuatan saya yang melukakan awak tapi saya nak awak tahu hati saya sakit setiap kali awak sebut tentang Nia. Saya diam selama ini sebab saya harap awak dan Nia benar-benar cuma berkawan tetapi malam itu awak sendiri telah mengaku. Terima kasih atas pengakuan itu. Sekurang-kurangnya setakat ini saja awak mempermainkan hati saya.”

Mendengarkan kata-kata itu Heris sedar bahawa dialah yang telah menghiris luka di hati Sophia. Dia rasa sangat menyesal meluahkan kata-kata yang palsu itu. Ia seolah-olah telah memakan dirinya semula.

“Sumpah saya bohong malam itu. Saya dan Nia tiada apa-apa sebenarnya.”

“Saya tak nak dengar. Setiap kali saya terfikirkannya hati saya sakit. Nafas saya sesak. Jantung saya seperti berhenti berdegup. Saya rasa macam nak mati. Awak benar-benar buat saya hilang kawalan. Kalau saya tak fikirkan ibu, ayah dan atuk, pasti saya pilih kematian untuk tamatkan segala penderitaan ini.”

Heris terdengar sendu dihujung bicara Sophia. Dia dapat membayangkan penderitaan Sophia kerana dia turut merasa derita apabila mendapat tahu Sophia mencintai orang lain. Mungkin penderitaan Sophia lebih teruk berbandingnya. Mengapa dia langsung tidak peka dengan perasaan isterinya. Dia terlalu ambil mudah memandangkan Nia itu sekadar sahabatnya.

Akhirnya Sophia terlelap dan lena di atas lantai. Heris yang tidak lena tidur di tempat baru itu terjaga. Dia mengangkat Sophia untuk dibaringkan di atas katil. Sophia sudah lena dan tidak sedar lagi. Heris membetulkan baringannya dan menarik selimut untuk menutup tubuh Sophia. Heris memandang sebentar wajah itu. Setitik air mata mengalir di hujung kelopak mata Sophia. Heris mengusapnya dengan lembut agar Sophia tidak terjaga.

“Aku tidak akan membiarkan kau terluka lagi. Aku akan bahagiakan dirimu. Aku akan lakukan apa saja agar kita dapat bina semula ikatan yang telah longgar ini.”

Heris berbaring semula di atas lantai sambil meletakkan lengannya di atas dahi. Dia memikirkan sesuatu untuk dilakukannya esok sehingga terlelap semula.

*************

BUNYI kokokan ayam menyedarkan Sophia pagi itu. Dia bangun dan menggeliat. Tiba-tiba dia terfikirkan sesuatu. ‘Bukankah aku tidur di lantai semalam? Heris…’ Sophia menoleh. Dia lega kerana Heris tiada di sebelahnya. Dia menjenguk ke bawah. Heris tiada juga. Kemana lelaki itu pergi? Apa telah berlaku? Adakah dia bangun ke katilnya tanpa sedar atau telah diangkat oleh seseorang? Sophia tidak mahu berfikir banyak. Dia bangun dan menuju ke bilik air untuk mencuci muka.

Setelah keluar dari bilik air dia terus menuju ke dapur setelah terbau suatu aroma yang menyelerakan.

“Selamat pagi, ibu. Ibu masak apa?”

“Pagi… hari ini ibu buat Peach Cobbler.”

“Ahah… dan Blueberry Pancake.” Sophia menjeling pankek yang tersusun rapi di atas dulang di sebelah dapur. Di sebelah pankek terdapat beberapa potong roti bakar tersusun di dalam bakul rotan dan semangkuk sup cendawan. “Banyak ibu masak pagi ini.”

Trisya tersenyum ceria. Tanpa terus membalas kata-kata Sophia, dia mengambil tuala kecil dan membuka ketuhar pembakar, mengeluarkan Peach Cobbler yang baru sahaja sedia masak.

‘Mesti sebab ada Heris.’ Sophia dapat mengagaknya. Apatah lagi sejak semalam lagi ibunya itu tidak habis-habis memuji Heris. Heris pula memang bermulut manis dan bijak mengambil hati kedua orang tuanya termasuk datuknya juga. Sophia tidak mampu berbuat apa-apa. Dia terpaksa mengikut rentak keluarganya yang masih tidak sedar akan keretakan hubungan mereka berdua suami isteri.

“Apa yang tercegat lagi tu… cepat sediakan meja. Sekejap lagi panggil ayah, atuk dan suami kamu sarapan bersama.”

“Baiklah.” Sophia segera mengambil dulang yang berisi hidangan sarapan pagi menuju ke meja makan. Setelah semuanya sedia di atas meja Trisya memanggil Josh dan Chris. Josh turun setelah namanya dilaung oleh Trisya tetapi Chris tidak muncul.

“Sophia, panggillah suami kamu.”

“Dia tiada di atas. Sebenarnya sejak Sophia bangun tadi dia dah menghilang,” ujar Sophia berterus terang.

“Kemana pula dia pergi pagi-pagi buta begini?” Trisya yang sedang menuang teh ke dalam cawan itu kehairanan.

“Mungkin dia berjalan-jalan di luar. Ini kan kali pertama dia ke sini.” Josh yang baru muncul sekadar meneka.

“Dengan atuklah agaknya tu,” sambung Sophia pula. Firasatnya kuat mengatakan yang suaminya itu tentu bersama datuknya memandangkan datuknya itu juga tidak kelihatan sejak tadi.

“Biar saya cari mereka berdua untuk sarapan bersama.” Josh bangun dari duduknya.

“Tak payahlah, ayah. Ayah kan nak ke restoran sekejap lagi.” Sophia melarang ayahnya daripada mencari Chris dan Heris.

Kata-kata Sophia mematikan niat murni Josh. Dia duduk semula dan kembali menjamah sarapan pagi yang disediakan oleh Trisya.

Dalam diam sebenarnya hati Sophia turut tertanya-tanya kemana Heris dan datuknya menghilangkan diri di awal pagi begini. Tentu ada sesuatu yang sedang mereka rancang. Hati Sophia mula berasa tidak enak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience