Chapter 55

Humor Completed 22614

Bab 55

MEJA dapur dipenuhi dengan segala macam bahan. Sophia berdiri di sebelah meja yang semak itu sambil melakukan tugasnya. Buah labu kuning itu dikupas dengan pisau. Trisya yang hilang tadi telah muncul semula memerhatikan kerja anaknya. Dia menggeleng-gelengkan kepala.

“Apa yang kamu buat dengan labu ini, Sophia?”

“Kenapa, bu?”

Trisya mengambil pisau dari tangan Sophia.

“Mana ada orang makan buah labu macam makan buah tembikai. Kan ibu suruh potong dadu. Lagi satu… kupas kulit labu ni bersih-bersih sikit.” Trisya mengecilkan potongan buah labu itu. “Biar ibu yang buat. Kamu pergi cuci ayam di sinki tu.”

Sophia menggaru-garu dahinya. Dia akur dengan arahan ibunya lantas menuju ke sinki untuk mencuci daging ayam yang sudah siap dipotong.

“Sophia, orang perempuan mesti pandai memasak. Belajar tinggi-tinggi sampai ke menara gading sekalipun tetap kena pandai buat kerja di dapur. Seorang wanita akan lebih dihargai jika dia berjaya menyediakan masakan untuk keluarga dengan air tangannya sendiri.”

“Maksudnya kalau tak pandai masak suami akan lari?”

Trisya tertawa mendengar kata-kata Sophia.

“Bukan macam tu. Maksud ibu ia seperti satu bonus dan kita akan lebih dihargai oleh seorang lelaki.”

Betul cakap ibu. Mungkin inilah sebab aku dan Heris berpisah. Sophia memandang ketulan ayam di dalam besen yang dipenuhi air itu. Dia termenung dan teringat kepada lelaki tidak berguna yang telah menjadi suaminya sebulan yang lalu itu. Betapa luka perasaannya sehingga kini apabila mengenangkan apa yang telah berlaku beberapa hari lalu. Dia masih menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan ahli keluarganya. Dia tidak mahu ayahnya mengamuk. Dia tidak mahu ibunya bersedih. Dia juga tidak mahu atuknya pengsan jika mendapat tahu yang cucunya akan menjadi seorang janda. Dia tidak mahu keluarganya mendapat malu disebabkan kesilapan yang telah dilakukannya.

“Sophia… Sophia…”

“Ya… ibu panggil Sophia?”

Setelah beberapa kali dipanggil barulah Sophia menyahut. Dia menoleh kepada ibunya yang masih di meja di belakangnya.

“Sophia termenung lagi. Apa yang Sophia fikirkan? Rindukan Heris, ya?”

Kata-kata ibunya itu disambut dengan senyuman tawar. Sophia kembali melakukan tugasnya. Trisya berasa seolah-olah ada yang tidak kena dengan perangai anaknya itu sejak pulang ke Parsi Mellon Park. Senyumannya sebentar tadi seperti tersirat suatu cerita yang cuba disembunyikan oleh anak tunggalnya.

“Sophia tak nak cerita pada ibu?”

“Cerita apa?”

“Masalah Sophia… kenapa tiba-tiba pulang ke Parsi Mellon Park?”

“Bukankah Sophia dah jelaskan. Heris out station. Dia tak nak Sophia tinggal sendiri di rumah jadi dia suruh Sophia pulang ke sini.”

“Tidak. Ibu tak rasa begitu.”

‘Alamak, ibu dapat mengesan sesuatu.’

“Kamu berdua bergaduh?”

Sophia menggelengkan kepala. Dia langsung tidak berani menoleh kepada Trisya di belakangnya.

“Heris buat kamu marah dan kamu sedang merajuk dengannya?”

Sophia masih menggeleng.

“Jadi kamu yang buat dia marah?”

Sophia tetap menggeleng dan tidak memberi sebarang jawapan kepada soalan ibunya.

“Ibu tak percaya. Mesti salah satu jawapan ibu tadi tu betul.”

“Ibu, ayam ni kita nak masak apa?” Sophia cuba mengalih topik perbualan.

“Beritahu ibu… atau ayah dan atuk akan tahu perkara yang salah dari mulut ibu nanti.” Kata-kata Trisya berunsur ugutan buat Sophia.

“Ibu ugut Sophia?”

Sophia menoleh memandang ibunya yang sedang berdiri menghadapnya. Trisya mendekati Sophia dan memegang jari-jemari anaknya yang basah itu.

“Bukan niat ibu nak mengugut Sophia. Cuma ibu rasakan sesuatu yang buruk dalam beberapa hari ini. Ibu gembira Sophia pulang tapi kenapa bukan bersama Heris?” Trisya meneroka anak mata Sophia. Dia cuba menyelami masalah yang sedang dilalui oleh anaknya.

“Betul. Kami bergaduh tapi ibu jangan risau. Ia cuma pergaduhan kecil dan Sophia nak beri pengajaran kepadanya saja.”

‘Oh, tuhan… ampunkanlah aku kerana membohongi ibu. Sebenarnya aku dan Heris mungkin akan bercerai.’

“Jadi betullah kamu berdua bergaduh. Tapi kenapa?”

“Perkara kecil saja.”

“Benarkah hanya perkara kecil? Hmm, mana cincin perkahwinan?.”

Trisya yang memegang tangan Sophia itu telah perasan sesuatu. Sophia cuak. Dia telah terperangkap dan perlu mencari suatu alasan.

“Ada…Sophia simpan sebab…Hmm…” Sophia gagal mendapatkan alasan malah tidak berani membalas renungan mata ibunya.

“Jangan takut. Beritahu ibu. Ibu janji tak kan beritahu ayah dan atuk.” Trisya memberi jaminan.

“Sebenarnya cuma perkara kecil saja dan kami akan berbaik semula… betul.” Dia cuba meyakinkan ibunya.

Sophia tetap tidak mahu ibunya tahu hal sebenar yang berlaku di antaranya dengan Heris. Dia percaya pada ibunya tetapi dia tetap tidak mahu melukai hati ibunya. Dia patut memberi satu alasan supaya ibunya itu tidak bertanya dengan lebih lanjut lagi.

“Kami bergaduh sebab ikan yang Sophia masak hangus.”

“Ha?” Trisya hampir tidak percaya dengan pengakuan Sophia.

Sophia mengangguk membenarkan kata-katanya.

“Betul. Itulah puncanya.”

Walaupun alasan itu tidak logik tapi dia cuba mempercayai kata-kata anaknya itu. ‘Aku tidak faham dengan pemikiran orang muda zaman sekarang. Ini bukan perkara yang serius untuk bergaduh sampai lari dari rumah. Patutlah dia nak belajar memasak. Jadi inilah sebabnya. Baguslah kalau dia telah sedar. Anakku telah dewasa.’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience